Sunday, April 26, 2020

GANJARAN TAK LANGSUNG DARI PEMOTONG RUMPUT.


Gambar 1: Sebelum.


Gambar 2: Selepas

Petang semalam ada orang datang potong rumput kat rumah saya.  Saya bayar lebih sedikit darapada biasa. "Duit raya", kata saya.

Nak jadikan cerita,  tak sampai setengah jam kemudian, saya terima mesej dari seseorang beritahu dia ada transfer duit ke akaun saya. Dia pernah pinjam duit saya kira2 tiga tahun lalu. Saya tak pernah pula minta atau ingatkan dia suruh bayar balik hutangnya. Tapi bila orang dah nak bayar,  takkan saya nak tolak pulak.

Saya cerita ini bukan nak riak. Jangan silap faham. Saya cuma nak tunjuk melalui kisah saya ini akan kuasa sedekah. Tak semena2 tergerak hati orang yang pinjam duit saya tu untuk bayar balik hutangnya. Siapakah yang menggerakan hati orang itu kalau bukan Allah.

Kemudiannya hati kecil saya berkata,  "Itulah kau berkira sangat nak sedekah kat Bangla tu tadi. Kalau kau tak berkira, entah-entah orang yang pinjam duit kau lebih lama dan lebih banyak daripada tu tergerak pulak hatinya nak bayar"



Friday, April 24, 2020

JANGAN BERAT DALAM DUA PERKARA.

Seseorang itu dikira sombong jika dia berat dalam dua perkara,  iaitu:

1. Berat untuk memuji kebaikan orang lain;  dan

2. Berat untuk mengaku kelemahan diri sendiri.


.

Tuesday, April 21, 2020

SELOKA MUSIM PKP.

I Stay At Home Awareness Campaign And Coronavirus Prevention Stock ...


Musim PKP ni banyak orang yang kesempitan,
Ramai yang bantu, ada juga yang ambil kesempatan.

Musim PKP ni banyak orang yang terkurung,
Ramai yang suka, ada juga yang murung.

Musim PKP ni banyak kilang yang tutup,
Ramai yang susah, ada juga yang cukup.

Musim PKP ni tak boleh berjemaah di surau.
Ramai yang sedih, ada juga yang tak hirau.

Musim PKP ni susah nak beli barang,
Tapi khabarnya ramai juga yang bertambah kembang.

.







Saturday, April 18, 2020

JASA PLASTIK PEMBUNGKUS ROTI

Gambar hiasan hasil carian Google.

Kita hidup ini ada peranan masing-masing.  Kadang-kadang kita terlupa akan peranan orang lain. Mungkin mereka yang pada pandangan kita tidak penting itulah yang telah menyelamatkan kita.  Umpama plastik pembungkus roti yang dibuang ke dalam tong sampah, dialah yang telah melindungi roti yang kita makan dari kekotoran agar kita terselamat dari virus yang boleh mengancam kesihatan.

Begitulah dengan orang miskin.  Jangan sekali-kali dipandang hina. Entah kerana sedekah kita yang tidak seberapa menjadi asbab terelaknya kita dari dimasukkan ke dalam neraka di sana nanti.


Saturday, April 11, 2020

MARI BELAJAR BAHASA NEGERI SEMBILAN: PELAJARAN 19.




PEMERHATIAN 19: Perkataan sama tapi makna tak sama.

Saya perhatikan banyak perkataan dari bahasa baku tapi dalam dialek N9 ia memberi makna  yang berbeza dan unik.

Contoh:

1. Pahit - Rasa yang tidak sedap seperti biji langsat. N9: Pait  - Jangan harap.
2. Jalang - Perempuan tak baik. N9 - Tak pekat atau cair.
3. Cuci - Basuh. N9 - Rosak, musnah.
4. Kawan - Sahabat. N9 - Isteri atau suami
5. Panggilan - Macam panggilan telefon.  N9 -Jemputan kawin.
6. Segan - Malu.  N9: Sogan - Malas
7. Tindik - Membuat lubang pada cuping teling atau hidung. N9 = Menindas kutu dengan kuku.
8. Bayang - Bentuk hitam yg terjadi daripada sesuatu benda yg menahan cahaya. N9 - Berjalan atau berdiri yang terhuyung-hayang.
9. Korek - Menggali. N9: Kokoghek - Baki makanan dalam bekas.
10.Kelapa. - Sejenis buah atau nyior. N9 - Menyemai anak benih.
11. Pokok - Pohon. N9 -Terpulang, terserah.
12. Teragak -  Terfikir (timbul sesuatu fikiran dgn tiba-tiba atau dgn sepintas lalu), terlintas di hati. N9 - Teringin, teringat. 
13. Kencang - Laju, deras. N9: Koncang - Mesra.
14. Titik - Tanda N9. Pukul 
15. Serik - Tak mahu buat lagi. N9: Soghik - Susah, miskin.
16. Biak - Menjadi banyak. N9: Becak, lecah.

Pelajaran sebelumnya ada di sini. 

Thursday, April 9, 2020

JANGAN PANDAI KUTIP JE !.

Gambar hiasan hasil carian Google.

Tipikal orang Malaysia suka dan cepat menghukum. Contoh, kalau ditularkan kisah seorang ibu tunggal yang miskin beranak lima sudah tidak makan nasi tiga hari, maka akan tersemburlah komen-komen dari mereka yang sangat prihatin kepada pusat pungutan zakat. Antaranya yang biasa kita baca atau dengar ialah:

"Pusat Zakat tidur ke ?"
"Kutip je pandai. Jawablah di akhirat nanti"
"Janganlah asyik nak mesyuarat je"

Mereka tidak pernah bertanya dan menyelidik apa puncanya ibu tumggal tu jadi demikian tapi sebaliknya terus menjatuhkan hukuman kepada pusat zakat. Kita terima bulat-bulat cerita yang ditularkan itu tanpa usul periksa.

Sebelum beri komen,  tahukah kita berapa jumlah kutipan zakat setahun dan berapa dan untuk apa ia telah dibelanjakan? Yang lebih menjengkilkan kebanyakan mereka yang buat komen tu satu sen pun tak hulurkan bantuan.

Mungkin juga yang buat komen itu ada yang akan berkata bahawa mereka tidak ada masa nak menyiasat itu semua, tapi mahu tidak mahu kita wajib dengar cerita dua belah pihak dahulu. Kalau tidak, simpan sahaja komen sedemikian atau beri komen dalam bentuk pandangan atau cadangan dan bukannya dalam bentuk menilai atau menghukum.

.

Wednesday, April 8, 2020

BERI BETIS NAKKAN BERAS WANGI.


Walaupun ada betulnya peribahasa "beggars can't be choosers" itu,  tetapi ingatlah sebagai pemberi hendaklah kita beri apa yang terbaik. Janganlah beri benda yang dah rosak, yang tamat tempoh, yang tidak berkualiti dan seumpamanya.

Di pihak penerima juga janganlah mengada-ngada.  Orang dah beri beras tempatan Cap Ayam, ambil sahajalah.  Jangan pulak tanya,
"Beras Jasmine Sunwhite AAA Special Fragrance tak ada ke? "


Saturday, April 4, 2020

KISAH PENJUAL TELUR DAN PEMBUAT BAULU.


Tersebutlah kisah seorang penjual telur dan pembuat baulu di sebuah kampung. Mereka telah lama berkawan dan berurusan jual beli. Pada suatu hari pembuat baulu telah membeli seratus biji telur dari penjual telur. 

Dipendekkan cerita, bila pembuat baulu nak buat baulunya, didapati sebiji telur yang dibelinya telah rosak. Dia sangat marah dan terus keluar menuju ke gerai tempat penjual telur. Masa itu penjual teluar sedang bersiap-siap hendak menutup gerainya.

Sebaik melihat penjual teluar, dengan muka mencuka dia pun meluahkan kemarahannya.

Pembuat baulu: "Kenapa kau jual telur busuk kat aku"

Penjual teluar:  "Betul ke apa yang kau cakap ini ? Berapa semuanya yang busuk tu?"

Pembuat baulu:  "Sebiji je, tapi rosak habis seluruh adunan baulu aku"

Penjual Telur: "Aku minta maaf banyak-banyak. Aku tak tahu pun ada di antara telur yang aku jual tu yang busuk"

Pembuat baulu: "Lain kali periksalah dulu sebelum jual. Jangan nak cari untung je"

Berdesing telinga penjual telur bila mendengar kata-kata pembuat baulu itu. Segera dia teringat tak berapa lama dahulu dia pernah beli baulu darinya terkurang sebiji. Dia lantas menyebutkan perkara itu kepada pembuat baulu.

Panjual telur: "Aku pun pernah beli baulu dari kau tak lama dulu terkurang sebiji. Tapi aku halalkan je. Aku fikir takkanlah sebab baulu sebiji, rosak habis persahabatan kita selama ini. Lagi pun aku tahu takkan engkau sengaja berbuat begitu"

Mendengar kata-kata penjual telur itu, pembuat baulu terus terdiam dan tertunduk malu.

Pengajaran: Hidup ini kenalah berlebih kurang dan bersangka baik.  Janganlah hanya kerana satu sebab yang mungkin tidak disengajakan oleh kawan atau kenalan kita, habis rosak atau terlerai ikatan persahabatan yang telah terjalin sejak sekian lama.