Friday, April 11, 2025

KISAH SELEPAS BERSARA.

 

Selepas bersara ni, banyak benda2 yang kita gunakan semasa bekerja dulu sudah tidak digunakan lagi atau kurang digunakan.  Saya suka meletakkannya di bawah 3 kategori.

Kategori A: Benda yang tidak lagi digunakan. Contoh:

1. Beg ke pejabat.

2. Tali leher.

3. Kot dan jeket dan baju sejuk/panas.

4. Pakaian istiadat (seperti dalam gambar)

Yang paling banyak dalam simpanan adalah tali leher. Semasa berkemas kat ofis dulu, saya masukkan semuanya ke dalam beg plastik. Sekarang rupanya dah macam cacing dalam tempurung.  

Katgegori B: Benda yang kurang  digunakan. Contoh:

1. Kereta.

Sekarang asyik guna motosikal kapcai je. Jimat minyak dan senang nak parking. Ada satu kereta tu yang dulunya selalu saya bawa ke ofis, dah sebulan isi minyak, masih tinggal suku lagi minyaknya. 

2. Seluar.

Maksudnya bukan tak pakai seluar tapi tak lah macam dulu seminggu 4-5 kali tukar. Sekarang sehelai seluar boleh pakai 3-4 kali sebab pakai sekejap2. Lebihnya banyak pakai kain sarong.

3. Baju batik. 

Pakai pun kalau pergi kenduri. Dulu kena pakai setiap hari Khamis atau bila ada dinner.  Nak pakai bawa pergi sembahyang Tarawikh rasa macam tak sesuai pulak.  

4. Kasut dan stokin.

Sekarang ini lebih banyak pakai selipar atau berkaki ayam sahaja.

Kategori C: Benda yang terus digunakan tapi benda itu pulak makin sedikit. Contoh:

1. Duit.

2. Ringgit.

3. Fulus.

4. Pitih.

Nota kaki. Saya tak pulak bercadang nak memberikan benda2 dalam kategori A dan B, lebih2 lagi benda2 dalam kategori C kepada orang lain. 


Sunday, April 6, 2025

SILAP FAHAM LAGI BAHAYA DARI TIDAK FAHAM.



Yang paling saya takut bukan orang tidak faham tapi orang silap faham apa yang saya kata. Orang yang tidak faham selalunya dia akan bertanya balik tapi orang yang silap faham tidak akan bertanya kerana dia rasa sudah faham. Kita pulak tidak tahu dia silap faham kerana kita ingatkan dia faham. Maka berlanjutanlah masalah ini sampai bila-bila kecuali suatu masa nanti orang itu bertanya kepada kita. 

Wednesday, March 26, 2025

ADA SEBAB KENAPA ORANG TUA-TUA DULU KATA "BUAT BAIK BERPADA-PADA"

Saya terjumpa hantaran tersebut di medsos. Setelah direnung-renung, saya rasa ada betulnya kata2 penulis tu. Saya sendiri pun pernah mengalaminya.

Nota kaki: Kasih itu maksudnya beri. 

Friday, March 21, 2025

UNGKAPAN YANG PALING PAYAH

Selain bersabar, rupanya mengaku salah juga adalah sukar.  

Patutlah bijak pandai ada berkata, satu ungkapan pendek yang amat sukar untuk diungkapkan adalah,

"Saya mengaku telah buat salah" atau "I admit that I made a mistake". 


# Peringatan untuk diri sendiri. 

Wednesday, March 5, 2025

ULASAN ENTRI KE EMPAT- AKHIRAT DIKEJAR, DUNIA JANGAN LUPA..

Makluman. 

Entri ini telah tersimpan dalam draf entri saya selama lebih 10 tahun. Saya terjumpa secara tidak sengaja semasa menyemak himpunan draf entri saya. Mohon pembaca sedekahkan bacaan Fatihah kepada roh arwah yang telah mendahului kita bersebab dari jangkitan COVID. Terima kasih. 

    +++++++++++++++++++++++++++++++

Kali ini dari YB. Tajuknya ......Akhirat di kejar, dunia jgn lupa" 

dipos pada 1.12.2010

Penulis: Yunus Badawi. Seorsng bloger yang sangat aktif. Mengikut profailnya dia berada dalam dunia bisnes dan kerjanya macam2. Sebenarnya dia adalah seorang profesional lulusan seberang laut yang menjadi usahawan yang berjaya yang mengendalikan projek berjuta-juta. Dia adalah orang bandar (city boy) kerana lahir dan membesar di bandar.

Berikut adalah tulisannya. 

"Masjid Ar-Rahimah Kuala Kubu Baru. 

Maaf aku tak sempat nak sambung Random Things About YB kerana tuntutan kerja. Sykt kami telah dilantik secara rasmi utk membekalkan perabot kpd satu projek di selatan tanahair.

Aku baru saja menandatangani kontrak di pejabat kontraktor utama pukul 1:05 tghari tadi.
 
Sebaik itu aku bergegas ke masjid utk solat Zohor di masjid jamek di sini.

Alhamdulillah rezeki dari Allah. Selayaknyalah kita bersyukur kpdNya"

Ulasan saya. 

Sebuah entri yang pendek. Tajuknya sahaja sudah cukup untuk dijadikan pengajaran. Ia menceritakan dia pergi sembahyang di masjid  Ar-Rahimah, selepas mendapat satu kontrak.  Benar akhirat hendaklah di kejar. Maknanya berdahulu-dahuluan untuk mendapat ganjaran dari Allah. Dalam mengejar akhirat itu dunia jangan di lupa. 

Jadi tidaklah tepat kalau ada orang berkata  "kita hendaklah seimbangkan dunia dan akhirat".  Kita mesti memberatkan akhirat. Seimbang maknanya sama banyak, sama sayang, sama penting sedangkan dunia ini adalah sementara dan akhirat kekal abadi selama-lamannya. Kalau kita peruntuksn 99% masa kita untuk akhirat pun rasanya belum mencukupi. Tetapi kita beruntung kerana rahim Allah setiap amalan yang kita lakukan dengan ikhlas akan digandakan pahalanya.

Eh panjang pulak ulasan saya. Lebih panjang dari entri YB.

Tuesday, February 18, 2025

KITA YANG SERBA TAK TAHU.

Sebenarnya banyak benda yang kita tidak tahu, samada benda yang telah berlaku atau pun yang sedang berlaku apa lagi benda yang akan berlaku, walau pun benda itu paling hampir dengan kita. 

Misalnya kita tidak tahu berapa helaikah bulu mata kita yang telah gugur, berapa helaikah yang masih ada dan berapa helaikah yang akan gugur pada esok hari, sedangkan ia berada paling hampir dengan mata kita. 

Wednesday, February 12, 2025

CARA ELAK GETAH NANGKA LEKAT KAT TANGAN.



Buah nangka ini sudah lebih tiga minggu tersimpan dalam peti ais rumah saya. Kelihatannya seperti masih baru 

Sebelum ini saya cukup malas nak buka buah nangka yang dah masak kerana getahnya melekat kat tangan. 

Untuk elakkan getah melekat kat tangan, saya simpan dulu buah nangka tersebut dalam peti sejuk (bukan tempat buat ais) selama 2-3 hari. Sebenarnya lebih lama lebih bagus. Selepas itu, getahnya sudah tiada lagi atau tidak melekat lagi kat tangan. 

Untuk elakkan isinya cepat rosak,  jangan pisahkan ia dari kulitnya. Bila nak makan, ambil isinya sebanyak mana yang dikehendaki dan selebihnya simpan semula dalam peti ais.  Insyaallah isi nangka masih elok selepas 2-3 minggu tersimpan. 

Kalau kita pisahkan isinya dari kulitnya dan simpan dalam peti sejuk,  selepas 2-3 hari ia dah mula berlendir dah tidak sedap dimakan.

Wednesday, January 29, 2025

TAHUKAH ANDA FASAL RAJA YANG PALING LAMA MEMERINTAH?


Tahukah anda bahawa raja yang paling lama memerintah di dunia adalah King Sobhuza II dari negara Eswatini yang dulunya di kenali dengan nama Swaziland. 

Negara tersebut yang berpenduduk seramai kira-kira 1.23 juta orang berada di negara Afrika. 

Baginda memerintah dari Disember, 1899 hingga Ogos,1982 iaitu selama lebih dari 82 tahun. Beliau juga dilaporkan  mempunyai seramai 70 orang isteri serta 210 orang anak.


Tuesday, January 21, 2025

MACAM TAHU.


Prakata: Ada orang tu sebenarnya tak tahu dan bila kita beritahu, dia terus bercakap macam dia dah tahu. Ikuti kisah berikut.

Satu pagi sebelum bermula kuliah Subuh, seorang kawan saya yang duduk di sebelah saya  bercerita mengenai ustaz yang akan beri kuliah pagi ini. Katanya, 

"Saya jumpa dia jogging kat KOMBES Paroi minggu lepas. Hensem betul orangnya bila dia tak pakai serban dan jubah"

"Setahu saya dia dah lima enam bulan bertukar ke  Penang?", saya menjawab. 

"Tak.. dia duduk kat Taman Awan Gumawan, Ampangan", dia membalas. 

Dengan suara yang agak tegas, saya menyambung: "Kuliah minggu lepas dia ada cerita sedikit sebanyak tentang tugas barunya di Pulau Pinang". 

Monday, January 13, 2025

YAB MENTERI BESAR, SILA LETAK JAWATAN.

Saya lihat kecenderungan netizen menghentam seseorang Menteri Besar atau Ketua Menteri jika ada satu kes orang melarat yang tidak pun diketahui latar belakangnya dalam negeri MB/KM tersebut sehingga ada yang menuntut beliau meletak jawatan. Kemudian mereka membandingjan pula MB/KM tersebut dengan kisah atau peribadi khalifah Saidina Omar. Kisah Saidina Omar memang elok dijadikan iktibar atau penanda aras, tapi janganlah sampai mengharap atau menuntut seorang MB/KM berbuat sepertinya.  Adakah munasabah seorang MB/KM berjalan di keliling negeri pada malam hari mengintai2 untuk mencari rakyatnya yang hidup susah?  Apa tujuan dilantik Ketua Kampong,  JKKK,  Penguhulu di peringkat akar umbi, jika bukan antara lain membawa kes ini kepengetahun pihak berwajib?  

Kalaulah kerana ada satu orang susah dalam satu negeri maka seorang MB/KM atau Presiden atau Raja harus meletak jawatan,  nescaya tiada seorang pun daripada mereka dari mana-mana negari atau negara di dunia ini yang selamat.  Ini kerana di negara yang paling maju sekali pun seperti USA,  UK atau Jepun terdapat beribu-ribu orang yg tidak berumah (homeless). Saya sendiri pernah menyaksikan dengan  mata kepala saya sendiri baru2 ini keadaan gelandangan yang berkeliaran di stesyen keretapi atau taman awam di Jepun dan juga di luar pagar Rumah Putih di Washington D.C suatu masa dulu.

Pasti ada yang menyanggah tulisan saya ini dengan berkata janganlah bandingkan negera lain dengan Malaysia.  Bukankah itu tugas pemimpin mana-mana negara?  Baiklah.  Apa pula tanggung jawab anda sebagai rakyat atau seorang umat Islam?  Adakah anda juga berperibadi seperti Saidina Abu Bakar yang sanggup mendermakan hampir keseluruhan hartanya untuk maslahat Islam?

Kesemua gambar berikut saya sendiri yang mengambilnya.



Tokyo - 2017


Tokyo - 2017


Washington D.C - 1984.

Wednesday, January 8, 2025

TAHUKAH ANDA FASAL KUMBANG TANDUK ?


Tahukah anda bahawa haiwan terkuat di dunia (dalam kategori angkat berat) adalah Kumbang Tanduk (Atlas Beetle). Ia boleh mengangkat benda yang 850 kali ganda dari berat badannya. Sebagai perbandingan, rekod angkat berat yang pernah dicapai oleh manusia adalah hanya kira-kira 17 kali ganda dari berat badannya.

Sunday, January 5, 2025

TAHUKAH ANDA FASAL PELANCONG KE TUVALU.

Tahukah anda bahawa negara yang paling kurang dikunjungi pelancong adalah Tuvalu. Negara tersebut berada di kepulauan Pasifik berkeluasan 26 km². Penduduknya adalah sekitar 12 ribu orang. 

Negara tersebut menerima kedatangan pelancong seramai 3,700 orang pada tahun 2023. Sebagai perbandingan, Malaysia menerima kira-kira 26 juta pelancong pada tahun yang sama.