Gambar hiasan hasil carian Google.
Di penghujung puasa baru-baru ini, selepas solat 'Asar terus dari surau, saya mengunjungi seorang kawan yang kena stroke di rumahnya. Saya lebih tua 10 tahun darinya.
Saya perhatikan dia bersusah payah untuk bangun dari kerusi yang didudukinya sebaik melihat saya memasuki perkarangan rumahnya. Masa itu dia duduk melayan beberapa orang tetamu lain yang saya kenali di meja luar rumahnya.
"Saya suka sangat bila haji datang" terpacul kata-kata dari mulutnya yang senget sebelah sambil merangkul saya. Saya dapat kesan suaranya sedikit bergetar dan kelihatan air matanya menitis. Entah mengapa air mata saya juga turut menitis.
Kemudian saya bertanya khabarnya sambil saya melabuhkan punggung di kerusi yang tersedia. "Ada sikit improvement", dia menjawab dengan suara yang tersangkut-sangkut yang agak sukar untuk saya fahami. Tetiba rasa bersalah menyelinap dalam benak saya kerana tidak segera menzirahi dia sebaik mendapat tahu akan nasib yang menimpanya. Saya juga tidak menyangka yang dia begitu gembira menerima kunjungan saya kerana kami pun berkawan biasa-biasa sahaja.
Seterusnya dia rancak menceritakan rutin hariannya sejak ditimpa sakit serta ubat-ubatan dan rawatan yang telah dan sedang dilaluinya. Saya mendapat maklum bahawa tidak sedikit wang yang terpaksa dibelanjakan dan pengorbanan ahli keluarga yang menjaganya.
Selepas beberapa ketika saya pun beredar kerana waktu untuk berbuka pun sudah hampir dan berazam untuk mengunjunginya lagi.
Pengajaran:
1. Jangan bertangguh melawat kenalan yang sakit.
2. Insafi dan syukuri kesihatan yang sedang kita nikmati.
3. Sakit tidak menanti tua.