Thursday, November 29, 2018

MARI SAYA TUNJUK NIKMAT YANG SAYA TERIMA.

Kadang-kadang kita mendapat nikmat atau rezeki yang lebih baik dari apa yang kita rancang atau harapkan. Ini terjadi kepada saya sendiri. Setinggi-tinggi syukur diangkatkan kepada Allah SWT yang maha pemurah dan maha mengetahui akan kehendak dan keperluan hambaNya.

Saya tinggal di taman ini sejak kira-kira 12 tahun lalu. Saya membeli tapaknya sebelum membina rumah tanpa melihat keadaan tanah yang sebenarnya. Cuma lihat dalam pelan atas kertas sahaja. Alhamdulillah saya dapat tapak yang sangat strategik dan cantik. Bukan di cerun bukit. Di depannya ada kawasan lapang yang boleh memuatkan kira-kira 30-40 buah kereta. Ketiga-tiga kenduri kawin anak saya dibuat di kawasan lapang tersebut. Di belakangnya pula tidak terlindung oleh rumah orang lain kerana kedudukannya yang tinggi dan boleh nampak hutan rimba dan gunung Angsi dengan jelas. Setiap hari saya dapat menyedut udara bersih yang dibawa angin dari arah hutan rimba dan gunung ganang di belakangnya.


Gambar 1: Inilah rumah saya dipandang dari depan pada waktu siang. 



Gambar 2: Ini pulak rumah saya dipandang dari depan pada waktu malam.


Gambar 3: Pemandangan di belakang rumah saya. Nampak tak hutan rimba dan gunung ganang nun di kejauahan?



Gambar 4: Kelihatan padang atau kawasan lapang betul-betul di hadapan rumah saya. Boleh buat parking kereta atau pasang khemah kenduri kawin.



Gambar 5:  Belakang rumah saya kelihatan dari rumah jiran semasa buat kenduri tahlil sedikit masa lalu.

Apakah nikmat-nikmat yang lain itu ? Ok, saya kongsikan.

1. Masjid. 

Bermula dengan surau kini ia telah dibesarkan dan dinaik taraf menjadi masjid yang tersergam indah. Ia terletak cuma kira-kira 2 minit berkereta atau bermotorsikal dari rumah saya. Kalau berjalan kaki, boleh sampai dalam masa 5 minit. Inilah nikmat yang paling besar. Kalau hari Jumaat, tidak lagi perlu bersesak-sesak macam sebelum ini di masjid yang berdekatan. Sekarang saya boleh park motor saya betul-betul di tepi pintu masjid (kalau mahu).


Gambar 6: Inilah masjid yang saya maksudkan. Gambar hasil carian Google.

2. LEKAS.

Lebuharaya Kajang Seremban (LEKAS) ini memendekan masa dan perjalanan saya ke Putrajaya tempat saya pernah bekerja dulu dan rumah anak saya di Ampang. Saya tidak terfikir akan ada lebuh raya sebaik ini yang betul-betul berpangkal (atau berhujung) di taman perumahan saya tinggal sekarang. Masa saya kerja dulu, saya cuma mengambil masa kira-kira 40-45 minit atau kurang dari satu jam untuk sampai ke pejabat. 



Gambar 7: Inilah sebahagian dari LEKAS. Bila sampai sini, kira dah sampailah rumah saya.

3. Kolam memancing. 

Minat saya memancing. Sejak bersara, memancing adalah hobi masa lapang saya. Tak kiralah memancing  ikan air masin atau air tawar. Udang galah atau udang harimau. Sekarang ini berhampiran rumah saya (kira-kira 5 minit berkereta) sudah ada ada kolam memancing ikan air masin dan air tawar. Dalam seminggu dua lagi, siaplah pulak kolam untuk memancing udang galah dan udang harimau, terletak betul-betul bersebelahan kolam ikan air masin dan air tawar yang sedia ada. Tidak perlulah saya pergi jauh-jauh kalau ingin memancing.  Jika saya tak ada di rumah, carilah saya di sini.


Gambar 8: Inilah kolam mancing ikan air masin yang saya maksudkan. Kelihatan gunung Angsi yang masih berkabus di belakang sana. Alangkah damainya.

4. Kemudahan stesyen minyak dan lain-lain.

Ada dua stesyen minyak yang berdekatan rumah saya. Kadang-kadang saya pergi isi minyak motor hanya berkain sarong dan berkopiah selepas solat di masjid. Begitu juga untuk membeli barang keperluan, semua lengkap dalam bangunan KipMart. Selain dari itu bilangan restoran cukup banyak, sampaikan tak tahu nak pilih yang mana. Hospital swasta juga terletak sepelangunan dari rumah saya. Saya sudah dua kali menjadi tetamu di hospital ini.

5. Tapak kubur.

Ia juga terletak tidak jauh dari rumah saya. Ia lebih dekat dari kolam memancing yang saya nyatakan di atas. Jika saya pergi memancing kolam tersebut, saya akan melaluinya. Ahli keluarga saya yang hidup nanti, tidaklah perlu susah-susah mencari tapak untuk mengebumikan saya dan kalau ingin berziarah kemudiannya nanti.

Demikianlah antara 5 nikmat yang saya terima. Sebenarnya banyak lagi, tapi cukuplah setakat ini dahulu. Saya berharap inilah tempat terakhir saya sebelum menutup mata buat selama-lamanya kerana sudah letih berpindah randah semasa masih dalam perkhidmatan dahulu. Insyaallah.



24 comments:

  1. alhamdulillah, sangat selesa n strategik betul umah Pak Ngah tu, kalau tak kemana2 ddk lepak2 je kt uamh je pun rasa syok.... cantik pemandangan belakang umah tu ,

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ye .. rasa macam duduk kat resort. Sekarang pulak cuaca tak berapa panas, memang nyaman bersantai di belakang rumah.

      Delete
  2. bagus pakngah. mcm2 emosi tercuit bila baca entri pngah ni. alhamdulillah. saya nk share d fb saya pula. sayang pngah, makngah dan keluarga pkngah..

    ReplyDelete
  3. Alhamdulillah diatas semua nikmat yg dikurniakan Allah...

    ReplyDelete
  4. Alhamdulillah mensyukuri nikmatNYA.

    ReplyDelete
  5. Saya suka kawasan belakang rumah Pak Ngah tu. Bersantai menikamti pemandangan alam ciptaan Ilahi...

    Alhamdulillah, banyak nikmat dariNya dan memang wajib disyukuri. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya pun gemar bawak tetamu bersantai kat situ sambil melihat keindaha alam.

      Delete
  6. Cantik and yang penting cukup oxygen udara pagi yang segar dan saujana mata memandang. Indah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Harap keindahan ini tidak dirosakkan oleh tangan2 manusia yg rakus.

      Delete
  7. semoga nikmat - nikmat ini akan mendatangkan kegembiraan, ketenangan dan kebahagian buat Pak Ngah sekeluarga dunia dan akhirat.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Di samping itu terasa betapa bersalahnya diri ini wpun dlm kelekaan dan kealpaan mengingatiNya pada kebanyakan waktu, masih lagi mendpt rahmatNya yg berlimpah ruah.

      Delete
  8. Halalnya rezeki yang Pak Ngah perolehi selama ni yang memungkin Pak Ngah menikmati nikmat nikmat itu semua...saya juga akan cuba sebaik mungkin..Insyaallah

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah. Semoga Allah mengampun kesalahan dan terus melimpahkan rahmatNya.

      Delete
  9. Rumah saya di taman perumahan bersebelahan dengan rumah Pak Ngah, lebih hampir dengan gunung tu..hihi Saya sempat duduk dua bulan sebelum diarah transfer ke Terengganu hingga sekarang. Moga-moga saya sekeluarga dapat kembali pulang ke sarang suatu hari nanti...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya tahu taman tu .. anak buah saya pun ada beli rumah kat situ. Memang damai dan udara lagi bersih kat taman tu.

      Delete
  10. Alhamdulillah. Rezeki orang baik baik ni

    ReplyDelete

Kalau tak tahu macamana nak panggil saya, panggil je Pak Ngah. Semua komen yg berbentuk pertanyaan lambat laun akan cuba saya jawab. Terima kasih. Sila datang lagi.