Saturday, July 3, 2010

SONYUM SOKOJAP 14 - MICHAEL JACKSON TU SIAPA EK?





















Che Wel: "Michael Jackson dah keluar hospital ke belum ek ?"


Che Ngok: "Aku tak dengar pulak dia masuk hospital"


Che Ngang: "Michael Jackson tu sapa ek ?"


Pengajarannya.

Kalau pun kita tak tahu, janganlah sampai tak tahu langsung macam Che Ngang tu !!!

Friday, July 2, 2010

RENUNGAN PAGI JUMAAT - LAUT.



Gambar 1: Kolam ikan yang ada kipas untuk menghasilkan ombak tiruan.


Minggu lepas saya pergi memancing di Telok Gong. Agak mengecewakan. Ikan yang dapat cuma gelama yang masih memakai diapers. Tetapi semasa termenung menanti pancing mengena, saya dapat bertemuNya lewat persoalan-persoalan berikut:

1. Kenapa air laut tidak tumpah walau pun dunia ini bulat. Sedang air di dulang kalau kita sengetkan pun akan tertumpah. Graviti. Tetapi siapakah yang mencipta graviti itu ? Dan kalau kuasa graviti itu sudah tiada, apa akan jadi kepada kita semua?

2. Kenapa airnya masin dan di mana sumber garamnya. Sudah berjuta tahun masih masin macam itu juga. Sedangkan kolam pancing ikan air masin, yang selebar padang hoki pun berguni-guni garam digunakan untuk memasinkannya. Dan kalaulah air laut itu tawar, apa akan jadi ? Tentulah tidak tertahan busuknya lantaran disitulah terhimpunnya segala kotoran yang dibawa oleh sungai. Buktinya, lihatlah betapa busuknya kolam di kawasan perumahan (retention pond) yang mengalir air longkang kedalamnya.

3. Kenapa laut berombak tiada berhenti. Di manakah mesin pembuat ombak berada? Ombak antara lain berfungsi untuk meng"hidup" kan air demi kesejahteraan flora dan fauna di dalamnya. Lihatlah kolam ikan yang terpaksa memasang kipas air (seperti gambar 1 di atas) untuk meng'hidup'kan air kolam tersebut agar ikan atau udang di dalamnya boleh bernafas dengan selesa.

4. Kenapa keluasan laut melebihi 2/3 dari dunia ini. Daratan hanya kira-kira 1/3 sahaja. Apa akan terjadi kalau sebaliknya. Adakah kita akan mati kehausan ?  Atau mati kepanasan ? Atau mati kerana menghidu toksik kerana kekurangan carbon-sink?

Harap betulkan saya kalau saya terkhilaf menggunakan dalil aqli.

Subhanallah. Sesungguhnya tidak sia-sia rupanya trip memancing saya kali ini !



Gambar 2: Jeti tempat kita berlepas dan tempat kita kembali !



Gambar 3: Siapa belum pernah tengok ikan gelama hidup ?




Nota kaki:

Gambar 2 dan 3 adalah sangat penting sebagai bahan bukti kepda Makngahnya.







Thursday, July 1, 2010

AMARAN TERAKHIR YANG PERTAMA UNTUK TETUAN VISA DAN MAYBANK ...!



Gambar 1: Kad kredit yang saya jadi ahli sejak tahun 1985

Tetuan Visa dan Maybank.

1. Merujuk perkara tersebut di atas, sebagaimana tuan sedia maklum, saya sudah 25 tahun menggunakan kad kredit tuan iaitu sejak tahun 1985. Dari pada had kredit sebanyak RM2,000 sebulan hinggalah kepada had yang boleh membeli sebuah rumah kos rendah. Untuk itu saya ingin mengucapkan terima kasih di atas segala perkhidmatan yang telah tuan berikan selama ini.

2. Sebagaimana tuan juga sedia maklum, dalam tempoh tersebut saya tidak pernah sekali pun terlewat bayar. Saya juga tidak pernah membayar sebahagian atau ansur-ansur. Setiap kali bil sampai, saya akan jelaskan semuanya. Bukannya saya banyak duit, tapi saya berbelanja ikut kemampuan.

3. Walau bagaimanapun, baru-baru ini, saya telah terlewat bayar dua hari kerana saya pergi bertugas diluar daerah. Oleh kerana itu, pihak tuan telah mengenakan interest/faedah atau riba kepada saya. Tidak banyak. Tak sampai pun RM10 ringgit. Tapi hati saya amat sakit dan perasaan saya sangat berang.

4. Setelah 25 tahun, saya menjadi pengguna yang setia yang tidak pernah sekalipun terlewat bayar, tetapi dek kerana hanya terlewat sekali, saya telah dikenakan caj tambahan oleh pihak bank.

5. Di sini saya hendak memberi tuan amaran terakhir yang pertama, sekiranya sekali lagi tuan berbuat begitu kepada saya, tuan akan menerima nasib yang sama seperti kad di bawah. Walau pun had kredit yang diberikan lebih tinggi, yang membolehkan saya membeli rumah teres kos sederhana dan diberikan untuk tempoh lima tahun sehingga tahun 2013, tapi saya tidak teragak-agak untuk menamatkan riwayatnya. Diharap tuan mengambil iktibar dari nasib yang menimpa kad di bawah.


Gambar 2: Kad kredit yang saya sudah "berkerat rotan berpatah arang" dengannya.


6. Sekian. Harap ambil maklum. Akhirnya terimalah serangkap pantun dari saya (gian nak berpantun sejak blog ini berhenti operasi).


Mangga dahan bercantum
Tumbang arah ke dapur
Bunga bukan sekuntum
Kumbang bukan se ekor.



Sekian.


Perhatian: Surat ini adalah cetakan komputer dan tidak memerlukan tandatangan.


#############################################

Gambar Sisipan.


Gambar 3: Makngahnya buat survey sebelum membeli ikan dan
suruh Pakngahnya bayar pakai kad kredit.


Nota kaki:

Pada awal 80an semasa saya bekerja di Amerika sudah boleh guna kad kredit untuk beli ikan kat pasar. Sekarang ni dah ada ke pasar basah di Malaysia yang boleh guna kad kredit untuk beli ikan termenung se kilo ? Kat pasar Ampangan semasa nak beli bacang hari tu dia orang belum terima kad kredit lagi !