Saturday, August 29, 2015

SELEPAS LEBIH 3 TAHUN BARULAH SAYA TERIMA LAGU DARI ZANA.

Setelah lebih 3 tahun, barulah sampai lagu yang ditujukan kepada saya oleh Zana pemilik blog Sekadar Coretan Buat Kenangan. Walaupun beliau sudah tidak aktif lagi berblog, namun saya rasa berhutang kalau tidak membuat entri ini sebagai tanda penghargaan kepada beliau. Tak apalah kalau dia tak baca entri ini, hati saya puas.

Saya menjumpai entri "Bila Dengar Lagu Ini" dari blog milik Zana secara tidak sengaja. Terima kasih banyak-banyak. Kenapa tak beritahu awak ada tujukan lagu kepada Pak Ngah ? Sedap lagu itu dan liriknya penuh makna. Terima kasih.



Di petik dari entrinya di sini bertarikh Jumaat 18/5/2012. Kalau nak dengar lagu yang dihantarnya, bolehlah klik link tersebut.

--------------------------------------

Sub-entri: Kisah Lobai Salleh - Part 4.

Malam ni lobai Salleh tak sembahyang Tarawih kat surau sebab cucu dia umur 5 tahun yang duduk KL ada balik. Dia tak sampai hati nak tinggalkan cucu dia kat rumah dengan emak dan abahnya.




Tuesday, August 25, 2015

PENGALAMAN PERTAMA MENAIKI ETS (KERETAPI LAJU) DARI ARAU KE KL DAN BALIK.

Buat pertama kalinya pada 15 Ogos yang lalu, saya berpeluang menaiki Keretapi Laju (ETS) dari Arau ke KL Sentral pergi balik. Tiketnya murah sahaja bagi warga emas iatu RM42 sehala. Balik semula ke Perlis pada 17 Ogos. Saya balik berdua dengan anak bongsu saya untuk menghadiri kenduri kawin anak saudara saya pada 16 Ogos di Putrajaya.

 

Gambar 1: Keratan tiket perjalanan sehala dari Arau ke KL Sentral yang berharga RM42 bagi warga emas.


Gambar 2: Semasa dalam perjalanan menghala ke KL.


Gambar 3: Semasa dalam perjalanan balik ke utara.


Video semasa dalam terowong. Lama juga rasanya untuk merentasi terowong ini. Saya agak terowong ini dalam negeri Perak.

Berikut adalah ringkasan pengalaman dan ulasan saya mengenai perjalanan dan perkhidmatan ETS ini pergi dan balik.

Masa pergi - 15/8/2015

1. ETS bergerak dari stesyen Arau tepat pada 4.15 petang seperti dinyatakan dalam tiket.

2. Saya duduk menghadap ke belakang ke arah Siam di koc A.  Pening juga kepala dibuatnya. Oleh kerana saya duduk menghala ke Siam, maknanya ada berapa juta orang berada belakang saya termasuk rakyat Singapura. Sampai Butterwoth barulah tempat duduk saya menghadap ke depan arah keselatan.

3. Kelajuannya dalam linkungan 145km/jam. Masa bergerak seiring dengan lebuhraya PLUS selepas Alor Star, saya perhatikan tak ada kenderaan yang dapat potong ETS.

4. Stesyen pertama berhenti adalah Alor Star.  Saya beli nasi lemak dan mee goreng untuk anak saya. Dua bekas tak sampai RM10. Kira murah jugalah.

5. Setiap stesyen cuma berhenti kira-kira seminit sahaja. Kena cepat naik dan turun.  Ada orang yang hantar sudara tak sempat turun keretapi dah gerak.

6. Tempat duduk cuma boleh direbahkan (recline) kira-kira 5% sahaja. Itu pun semasa balik. Semasa pergi saya tak jumpa punat untuk merebahkannya.

7. Ada tandas dan kafe tapi tak ada bilik untuk solat. Di kafe hanya ada jual  nasi lemak, mee dan beehon goreng dan minuman sejuk. 

8. Ada skrin untuk tonton movie tapi langsung tak digunakan. Tonton skrin je lah sepanjang perjalanan.

9. Sampai KL jam 9.15 malam seperti masa yang tercetak di tiket.

Masa balik - 17/8/2015.

1. Bertolak 9.33 pagi. Patutnya jam 9.30. Lewat 3 minit.

2. Stesyen pertama berhenti ialah Tanjong Malim dan stesyen terakhir saya tak tahu sebab dah turun kat Arau. Hehe.

3. Sampai Arau 2.48 petang. Patutnya 2.41 petang. Lewat  7 minit. Ada juga eloknya sebab Mak Ngahnya lambat sampai. Dia ambil anak sekolah dulu.

4. Kali ini saya menghadap ke selatan pulak dari KL. Bayangkan berapa juta orang berada dibelakang saya termasuk rakyat Thailand. Sampai Butterworth barulah tempat duduk saya menghadap ke depan.

5. Saya beli nasi lemak kat KL Sentral untuk bekal makan dalam keretapi. Maknanya boleh makan dalam keretapi. Laju betul saya makan nasi lemak tu.

Rumusan.

Sekil dari A hingga E di mana A - Terbaik  E - Teruk.

1. Ketetapan masa - B
2. Keselesaan tempat duduk - B
3. Makanan - C
4. Keselamatan - A
5. Kebersihan (termasuk tandas) - A.
 
Bagi saya perjalanan selama 5 jam dari Arau ke KL itu tidaklah laju sangat kerana ada orang yang berkereta boleh sampai kurang dari 5 jam. Tapi yang pentingnya bagi saya ialah tambangnya murah, selamat dan bebas tekanan (stress). Kalau dapat laju lagi hingga masa dapat dikurangkan kepada 2 jam sahaja, lagi bagus. Saya percaya satu hari nanti boleh buat rasanya. Sebagai permulaan, saya berpuas hati dengan tahap kelajuannya buat masa ini.

Isu.

Saya tidak tahu apa rasionalnya kenapa separuh tempat duduk dalam keretapi menghadap ke hadapan dan ada separuh lagi mengadap ke belakang. Ada siapa tahu ?


 

 

Saturday, August 22, 2015

APAKAH PERASAAN ANDA JIKA TETIBA PEMBACA SENYAP MEMBUAT KOMEN ?

Saya percaya semua blogger tentu berasa seronok kalau entrinya ramai orang tengok dan baca. Lagilah seronok kalau ada orang komen. Tapi langit tidak selalu cerah.

Kadang-kadang ada masanya entri kita yang tak ada seorang pun beri komen. Lalu kita tertanya-tanya ada orang baca ke tidak ?

Baru-baru ini tanpa diduga, saya menerima komen buat pertama kalinya dari dua orang pembaca blog saya yang mengaku menjadi silent reader. Mereka yang saya maksudkan ialah Puan Hasniah Ismail dan Indai Igat. 

Hati saya kembang bila mereka mengaku yang mereka adalah pembaca senyap blog saya selama ini. Maknanya selama ini walaupun entri saya tiada orang komen, tapi tetap ada pembaca setianya. Tak sesialah saya membuat entri dari masa ke semasa.


Menurut Hasniah, dia adalah silent reader tegar blog saya


 Kata Indai pula, sudah bertahun dia jadi silent reader.

Saya harus akui bahawa komen-komen  seperti yang diberi oleh Hasniah Ismail dan Indai Igat itu memberi suntikan modal semangat kepada saya untuk terus berblog. Terima kasih Hasniah dan Indai.

Di kesempatan ini saya ingin menyeru rakan-rakan blogger saya yang telah lama menyepi supaya aktif semula berblog. Satu entri dalam seminggu pun tak apa. 

Jangan sampai lupa password !

----------------------------------------

Sub-entri. Kisah Lobai Salleh Part 3.
 
Malam ni mood lobai Salleh tak berapa baik gara-gara ada orang ambil tempat fevret dia kat dalam surau. Orang yg biasa pergi surau tak berani sembahyang kat tepi tiang sebelah kiri depan sekali. Lobai Salleh suka tempat tu sebab dekat dengan pintu keluar ke khemah jamuan moreh. 

Asal usul cerita - sini.



 

Friday, August 21, 2015

MENGAPA SAYA PATUT BERSYUKUR - KERANA JARI TANGAN BOLEH DIBENGKOKKAN.



Lihat.  Mudah sahaja memegang botol bilamana jari jemari boleh dibengkokkan
 Gambar hiasan hasil carian Google.


Kadang-kadang kita tidak terasa akan faedah dan pentingnya jari jemari tangan kita boleh dibengkok-bengkokkan. Kita tak rasa nikmatnya kerana sejak sedari kecil jari jemari tangan kita memang boleh dibengkok atau digenggam bila kita ingin memegang sesuatu.

Sekarang cuba pejamkan mata dan renungkankan akibatnya kalau jari jemari tangan kita tak boleh nak dibengkokkan. Lurus sahaja seperti keadaannya kalau kita nak menampar muka orang.


Agaknya macamana kita nak pakai kain sarung, gosok gigi, cukur janggut, pegang cawan, lekatkan zip, sain chek dan beratus-ratus lagi pergerakan yang biasa kita buat. Pernahkah kita terfikir bahawa perbuatan itu semua dapat dilakukan dengan mudah kerana jari jemari tangan kita boleh dibengkok atau digenggamkan.

Kalau tak percaya cuba buat semua itu tanpa membengkokkan jari. Oklah, tak payah buat semua, cuma buat satu je cukup dulu. Sekarang cuba pegang dan angkat sebuah cawan tanpa membengkokkan jari ! Boleh tak ?

Lepas ini barangkali tiada lagi sukan tinju dan digantikan dengan sukan lempang jer.

Maka  marilah kita mengucap setinggi-tinggi kesyukuran ke hadhrat Ilahi atas nikmatnya yang ini.

Entri kalau tangan dan kaki tak boleh bengkok pernah saya buat di sini.




Tuesday, August 18, 2015

BAGAIMANA HENDAK MENJATUHKAN PERDANA MENTERI.


Letupan bom kereta di Iraq - Gambar hiasan ihsan Google.

Ada kawan-kawan saya bertanya, adakah saya menyokong kemungkaran yang katanya membabitkan pemimpin tertinggi negara pada masa ini.  Pertanyaan itu sebenarnya merupakan sindiran kerana saya tidak turut sama menghamburkan caci maki dan kata-kata keji dalam status fesbuk dan wasap saya. Di sini saya cuba memberikan jawapan akan pendirian saya.

Saya tidak menyokong sebarang kemungkaran walaupun dilakukan oleh sesiapa samada pemimpin politik, kakitangan atau orang awam termasuklah saudara mara dan sahabat handai saya. 

Habis kenapa saya senyap sahaja, tidak turut sama arus perdana mengutuk pemimpin sekarang ?

Pendirian saya diringkaskan begini. 

Ada 3 pilihan kalau kita hendak menjatuhkan seseorang pemimpin sesebuah negara samada ia dipanggil Presiden, Perdana Menteri atau sebagainya yang telah dipilih secara demokrasi.

1. Ikut proses demokrasi dan perlembagaan.

Contohnya menjatuhkannya melalui pilihanraya umum atau undi tidak percaya di parlimen. Ini memakan masa dan hasilnya tidak pasti. Mungkin berjaya dan mungkin juga tidak, namun tiada kesannya atau kesannya minimal kepada kedudukan ketenteraman dan sosio-ekonomi negara.

2.  Tunjuk perasaan secara aman.

Buat tunjuk perasaan secara besar-besaran dan berterusan di seluruh negara hingga rejim sekarang berjaya dijatuhkan.

Buruk kesannya kepada ekonomi dan sosial serta berisiko mengancam ketenteraman awam jika ada pihak yang ingin mengambil kesempatan. Mungkin segala kegiatan sosio-ekonomi seperti pendidikan, perdagangan, perniagaan, pertanian, perikananan akan terhenti. Stesyen minyak, bahan makanan dan gas masak tidak dapat dihantar kerana semua pekerja ambil bahagian dan jalan raya pula ditutup. Barangan sukar diperolehi dan kalau ada pun harganya sudah berpuluh-puluh kali ganda mahalnya.  Nilai RM sudah setaraf dengan matawang Zimbabwe.

3. Angkat senjata.

Yang ini saya tak perlu cakap apa kesannya. Lihat sahaja apa yang sedang berlaku di Syria atau Iraq sekarang. Tentu tiada siapa yg mahu kecuali pembekal senjata. Nauzubillah. Mungkin ada yang berkata, itu tidak mungkin berlaku. Saya percaya rakyat Syria dan Iraq juga berfikiran begitu dahulunya.

Kesimpulannya berkata-kata dan bertindaklah secara rasional agar negara kita tidak tertimpa huru hara yang untuk pulih dan aman kembali akan memakan masa dan memerlukan korban harta benda dan jiwa yang banyak. 

Mungkin ada di antara kita yang tinggal di bandar-bandar terpaksa berjalan kaki berbondong-bondong balik ke kampung untuk menanam ubi untuk dijadikan alas perut seperti semasa zaman Jepun dahulu.

Jangan terlalu sangat mengikut emosi. Jangan memperjudikan nasib dan masa depan anak cucu kita. Pilihlah cara yang terbaik dengan menggunakan akal fikiran anugerah Allah secara bijaksana.




 

Saturday, August 15, 2015

HARI INI ULANG TAHUN KE-35 PERKAHWINAN SAYA. SYUKUR ALHAMDULILLAH. ITU JER NAK BERITAHU.

Wednesday, August 12, 2015

WW # 126:DUA CONTOH KEDUT YANG MENAWAN.


Sunday, August 9, 2015

JANGAN CEPAT PERCAYA KEPADA RUPA DAN CERITA.



 Gambar hiasan hasil carian Google.


Saya pernah membeli sebuah beg pegang (lebih kurang seperi gambar di atas) di Shen Zen, China beberapa tahun dulu. Saya beli itu bertujuan untuk meletakan buku cek, buku-buku bank, tabung haji, pen, henfon, kad nama dan sebagainya.

Kata penjualnya bag itu diperbuat dari kulit lembu asli. Harganya tak sampai RM100. Saya ragu-ragu juga akan keasliannya. Tapi bila diamat-amati betul-betul, tidak berjumpa pula bahagian yang boleh menunjukkan ia bukan kulit. Pendeknya 100% macam kulit sejati.

Hampeh. Selepa kira-kira dua tahun, rupanya saya kena tipu. Menatang tu bukan diperbuat dari kulit. Ia mengelupas dan bersisik.  Saya taklah menyesal atau marah sangat kerana harganya murah je. 

Barangkali baginilah caranya kita terkena tipu atau kena main oleh sesetengah (bukan semua)  peniaga produk kesihatan, kecantikan, skim cepat kaya dan sebagainya. Hati ragu-ragu untuk percaya, tapi kerana harganya tidak mahal, hati kecil kita mungkin berkata ..

"alaa .. beli je lah .. bukannya mahal sangat .. kalau tipu pun, bukan boleh jatuh miskin"


Cuba bayangkan kalau sejuta orang berfikiran begitu.



Thursday, August 6, 2015

ADA SESIAPA YANG PERNAH SAMPAI KE PULAU REUNION ?

"On 29 July 2015, marine debris was found on Réunion Island which was confirmed to be a flaperon from Flight 370.[25][26][27]" - Petikan dari Wikipedia.


Sejak dari tarikh itu nama Pulau Reunion sering-sering di sebut-sebut dalam media masa dan perbualan seharian sebahagian rakyat Malaysia. Saya sendiri turut berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang pulau ini.

Berikut adalah serba sedikit maklumat mengenai pulau Reunion berdasarkan pencarian saya dengan bantuan Google.


Sejarah:

Saya agak tertarik bila dinyatakan bahawa pulau ini mungkin juga turut dikunjungi pelaut Melayu seperti petikan di bawah.


Penduduk sekarang berhijrah dari Afrika, Asia, India dan Eropah beberapa abad yang lalu kerana pulau ini pada asalnya tiada berpenghuni.

Lokasi.

Pulau ini berada di Lautan India, di timur pulau Madagascar dan kira-kira 175 km tenggara pulau Mauritius, ialau pulau terdekat dengannya. Ia merupakan sebuah wilayah seberang laut bagi negara Peranchis. Lihat peta di bawah.

 

Gambar 1: Kedudukan Pulau Reunion di lautan India

Keluasan: 970 batu persegi (2,511 km persegi). Lebih tiga kali ganda lebih luas dari negara Singapura (716 km persegi).


 

Gambar 2: Peta Pulau yang seakan-akan  Pulau Pinang.

Penduduk: Penduduknya adalah seramai 844,994 orang mengikut statistik pada bulan Januai 2014.   Penduduk yang berugama Islam adalah kira-kira 3% dari jumlah penduduk dan khabarnya terdapat masjid di bandar-bandar besar.


Gambar 3: Salah sebuah masjid yang terdapat di pulau ini.
 

Gambar 4: Sebahagian bandarnya yang nampak moden dan bersih.


Gambar 5: Sebahagian penduduknya yang seakan-akan komposisi penduduk Malaysia, dalam satu perhimpunan.


Begitulah serba sedikit tentang latarbelakang Pulau Reunion. Saya nak cerita lebih-lebih pun tak pandai, sebab saya pun belum PERNAH sampai lagi ke sana. Apa yang di paparkan hanyalah berdasarkan carian di internet sahaja. Kalau tidak tepat harap maaf dan mohon diperbetulkan.

Adakan anda sudah sampai ke sini ?

Monday, August 3, 2015

PERNAHKAH ANDA BERADA DALAM SITUASI INI - 5: NASI TERBANG ?


 Gambar hiasan hasil carian Google.

Katalah suatu hari kita sedang makan tengah hari dengan rakan sekerja kita di sebuah restoran secara berdepan. Maknanya bukan duduk sebelah menyebelah. 

Untuk lebih dramatik, katalah rakan sekerja kita itu adalah berlainan jantina dengan kita. Maksudnya kalau lelaki, kawannya perempuan dan sebaliknya.

Tetiba rakan kita terbersin dan beberapa butir nasinya terbang memasuki pinggan kita. Kita tidak pasti samada rakan kita tu perasan atau tidak nasinya tersembur menyeberang sempadan dan landing sikit punya baik di sudut pinggan kita.

Selepas menyedari perkara itu, apakah tindakan anda ?


1. Berhenti makan dengan beri alasan dah kenyang;

2. Minta ganti nasi lain dan sambung makan,  dengan memberi apa-apa alasan yang terpikir pada masa itu; atau

3. Buat-buat tak nampak dan teruskan makan.

 Ke macam mana ?

~

Saturday, August 1, 2015

KALAULAH MALAM TERUS MENERUS SAMPAI KIAMAT.

Allah berfirman dalam surah al-Qasas (ayat 71-73) seperti berikut:


سُوۡرَةُ القَصَص
قُلۡ أَرَءَيۡتُمۡ إِن جَعَلَ ٱللَّهُ عَلَيۡڪُمُ ٱلَّيۡلَ سَرۡمَدًا إِلَىٰ يَوۡمِ ٱلۡقِيَـٰمَةِ مَنۡ إِلَـٰهٌ غَيۡرُ ٱللَّهِ يَأۡتِيڪُم بِضِيَآءٍ‌ۖ أَفَلَا تَسۡمَعُونَ (٧١) قُلۡ أَرَءَيۡتُمۡ إِن جَعَلَ ٱللَّهُ عَلَيۡڪُمُ ٱلنَّہَارَ سَرۡمَدًا إِلَىٰ يَوۡمِ ٱلۡقِيَـٰمَةِ مَنۡ إِلَـٰهٌ غَيۡرُ ٱللَّهِ يَأۡتِيڪُم بِلَيۡلٍ۬ تَسۡكُنُونَ فِيهِ‌ۖ أَفَلَا تُبۡصِرُونَ (٧٢) وَمِن رَّحۡمَتِهِۦ جَعَلَ لَكُمُ ٱلَّيۡلَ وَٱلنَّهَارَ لِتَسۡكُنُواْ فِيهِ وَلِتَبۡتَغُواْ مِن فَضۡلِهِۦ وَلَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ (٧٣)

Katakanlah: Bagaimana fikiran kamu jika Allah menjadikan malam kepada kamu tetap selama-lamanya hingga ke hari kiamat; tuhan yang manakah yang lain dari Allah, yang dapat membawakan cahaya yang menerangi kepada kamu? Maka mengapa kamu tidak mahu mendengar (secara memahami dan menerima kebenaran)? (71) katakanlah lagi: Bagaimana fikiran kamu jika Allah menjadikan siang kepada kamu tetap selama-lamanya hingga ke hari kiamat; tuhan yang manakah yang lain dari Allah, yang dapat membawakan malam kepada kamu untuk kamu berehat padanya? Maka mengapa kamu tidak mahu melihat (dalil-dalil dan bukti keesaan dan kekuasaan Allah)? (72) Dan di antara rahmat pemberianNya, Dia menjadikan untuk kamu malam dan siang (silih berganti) supaya kamu berehat padanya dan supaya kamu berusaha mencari rezeki dari limpah kurniaNya dan juga supaya kamu bersyukur. (73)

Saya takut akan kegelapan. Semasa kecil, hidup di kampung saya sangat gelap pada waktu malam kerana tiada bekalan elektrik. Di dalam rumah gelap dan di jalan pun gelap terutamanya di waktu bulan kecil. Bila malam, tidak sabar rasanya menunggu siang untuk membolehkan saya melakukan perkara yang biasa dilakukan oleh anak-anak.

Saya langsung tidak dapat membayangkan kesannya kepada kehidupan kita kalaulah Allah jadikan dunia ini malam selama-lamanya. 

Kepada siapakah kita hendak mengadu dan meminta pertolongan jika Allah menjadikan malam beterusan sampai hari kiamat ?

Tiada. Tiada siapa yang boleh dan berupaya mengubahnya jika itu terjadi kecuali Dia yang maha adil, penyayang dan berkuasa.

Saya cuma menyentuh tentang malam kerana saya tiada masalah dengan siang, bahkan kekadang terfikir juga alangkah baiknya jika siang berterusan sampai bila-bila. Tapi itu cuma di fikiran saya semasa kanak-kanak sahaja yang hanya mementingkan diri sendiri. Hakikatnya entah berapa banyak lagi makhluk Allah yang perlukan malam atas pelbagai sebab  kehidupan.

Terima kasih Allah kerana menjadikan siang dan malam silih berganti kerana ianya adalah sebesar-besar nikmat yang kerap saya terlepas pandang.

Allahuakbar.