Thursday, January 19, 2017

BUKAN SENANG NAK TAMATKAN KONTRAK.

Gambar hiasan hasil carian Google.


Setelah mengikuti entri seorang kawan yang baru bersara tetang pengalaman suka dukanya menguruskan projek pembangunan di agensinya semasa masih bekerja, mengingatkan saya akan pengalaman menamatkan kontrak seorang kontraktor yang melaksanakan projek di agensi tempat saya bertugas. Saya fikir elok saya tidak sebutkan nama projek dan juga lokasinya untuk mengelakkan masalah berbangkit kemudian hari. Cukup saya katakan bahawa projek ini berprofil tinggi dan nilai projek dimaksudkan lebih RM200 juta. 

Projek ini dianugerahkan kepada kontraktor tersebut secara rundingan terus. Maknanya tidak melalui proses tender seperti kebiasaannya. Kemudiannya ia dijual sepenuhnya (total sub) kepada sebuah syarikat lain dengan membuat keuntungan segera yang sangat lumayan. Rasanya tujuh keturunan pun tak habis makan.

Dipendekkan cerita setelah projek siap kira-kira 60%, timbul pertelagahan diantara kontraktor utama dengan sub-connya tentang pembahagian bayaran hinggakan projek tersebut tidak bergerak atau tiada kemajuan. Berlakulah kelewatan atau "behind schedule" yang menyebabkan pengguna resah. 

Ada beberapa pilihan untuk menyelamatkan  projek ini. Senarai pilihan itu dikemukakan kepada YAB Perdana Menteri yang juga merangkap Menteri tempat saya bertugas dengan memberi pro dan kontra bagi setiap pilihan. Dan YAB PM telah memilih untuk menamatkan kontrak dan menawarkan kepada sub-con yang telah pun menjalankan projek ini separuh jalan. Pilihan ini dirasakan yang terbaik untuk menyiapkan projek yang telah tertangguh berbulan-bulan lamanya. Dari mula projek ini terhenti, hingga berjaya disambung semula, kalau tidak silap saya memakan masa hampir setahun.

Dipendekkan cerita akhirnya projek tersebut berjaya disiapkan dengan baik mengikut jadual yang baru. 

Sebenarnya bukan itu yang ingin saya ceritakan di sini tetapi adalah pengalaman yang menakut dan meresahkan saya sebagai pegawai yang mengetuai bahagian yang menguruskan pelaksanaan projek di agensi saya berkhidmat.  Saya ringkaskan.

1. Menghadapi karenah lobi melobi secara silih berganti antara kontraktor utama dengan sub-con. Kontraktor utama merayu supaya kontraknya tidak ditamatkan tetapi sebaliknya diserahkan kepada syarikatnya untuk meneruskan pelakasaan projek. Kita tidak yakin akan kemampuannya kerana kalau dia mampu berbuat begitu kenapa syarikat dia sendiri tidak melaksanakannya dari semula.

2. Kontraktor utama cuba bermain politik dengan mengatakan dia kononnya punya hubungan baik dengan Perdana Menteri dan pemimpin lain serta beberapa jasanya kepada kerajaan dan negara.

3. Sub-con pula melobi supaya projek ini dianugerahkan kepada dia kerana syarikatnya sudah pun membuat kerja dengan baik sehingga siap 60%. Banyak bahan binaan dan peralatan telah dibeli dan berada di tapak atau sudah ditempah. Kalau dia tidak dapat projek ini tentulah dia akan alami kerugian yang besar walaupun mereka sudah dapat progess payment.

4. Ada lagi pelobi dari luar yang di "dilantik" oleh kontraktor utama atau sub-con untuk mempengaruhi saya menurut kehendak mereka dengan pelbagai nasihat dan tunjuk ajar. Misalnya mereka kata PM suka cara ni dan tak suka cara itu dan sebagainya.

5. Saya juga rasa cuak jika saya atau keluarga diapa-apakan oleh mereka yang tidak berpuashati. Hanya kepada Allah saya berserah dan memohon perlindungan.

6. Saya juga bimbang untuk berhadapan dengan tindakan undang-undang walaupun di agensi kami ada Penasihat Undang-undang untuk menanganinya. Siapa yang suka naik turun mahkamah walaupun sebagai saksi kerana ia akan merugikan masa untuk membuat kerja teras kita.

7. Banyak masa saya terpaksa digunakan dalam bentuk mesyuarat, lawatan, surat menyurat dan sebagainya sehingga menggangu tumpuan kepada menguruskan projek-projek lain.

Namun akhirnya, selang beberapa tahun, saya telah bersara dengan selamatnya, projek tersebut berjaya disiapkan dengan sempurna dan pengguna gembira. Cakap-cakap kontraktor serta pelobi yang macam-macam tu semuanya auta belaka  kerana apa yang sebenarnya tidak seperti didakwa. Contohnya, Perdana Menteri tak peduli pun si kontraktor itu kerana dia tak mengambil masa yang lama untuk bersetuju menamatkan kontrak syarikat yang kononnya baik dengan dia. Katanya "kalau dia saman kita, kita lawanlah kat court nanti".

Itu baru karenah kontaraktor bagi satu projek. Ada beratus lagi projek yang saya uruskan. Dan ada pelbagai lagi masalah yang perlu ditangani seperti masalah dengan perunding yang dilantik, masalah dengan kerajaan tempatan, masalah dengan kerajaan negeri, masalah dengan setinggan yang menduduki tanah kita, masalah menghidupkan projek yang dah bertahun-tahun terbengkalai, masalah dengan kontraktor bertelagah dengan perunding, masalah kontraktor mendesak percepat bayaran dan pelbagai macam ragam lagi masalah. Tapi kita dilantik untuk menyelesaikan masalah dan bukannya menambah masalah.  Namun nasib baik bukan semua kontraktor yang menimbulkan masalah. Banyak juga kontraktor menjalankan kerja dengan baik tanpa banyak masalah dan projek dapat disiapkan mengikut jadual atau mendahului jadual serta menepati spesifikasi yang telah dipersetujui. Mereka yang dalam kelompok inilah yang menjadi penawar kepada saya dalam mendepani karenah kontraktor-kontraktor yang bermasalah. Di samping itu saya juga mendapat kerjasama dan sokongan yang baik dari pegawai dan staf di bahagian saya.

Dan tugas menguruskan pelaksanaan projek pembangunan ini sangat memberi kepuasan kerja kepada saya, kerana kita dapat melihat hasil kerja kita dengan mata kepala sendiri. Misalnya bila secara kebetulan saya melalui projek yang tersergam indah yang pernah turut sama menguruskan, dalam hati berkata-kata: "dulu aku terlibat dalam pelaksanaan projek ini". 






9 comments:

  1. Sering terjadi kontrak ditandatangai antara main-con. dgn developer. Tapi main-contractor biasa sub kerja dan jarang ada sign kontrak perjanjian. Lagi sadis developer bayar main-con tapi duit tak sampai pada sub-con itu yg buat projek delay...

    Nasib baik Pak Ngah bertindak bijak kalau tak projek tergendala duit habis entah ke mana.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang ada kes serupa itu terjadi. Kesian pada sub-con terutamanya sub-con yg kecik2. Sedikit sebanyak ada kesannya kepada kemajuan projek.

      Delete
  2. menarik cerita nya ada kaitan beberapa projek yg saya urus dulu.. nanti saya cerita..

    ReplyDelete
  3. Wah menarik juga tu pengalaman Pak Ngah. Apa pun alhamdulillah berkhidmat demi rezeki yang halal akhirnya semua pun selesai. Mesti bangga bila tenguk hasil usaha Pak Ngah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bangga jugalah macam bangga seorang pekerja Indonesia bila tengok Istana Negara yg dia pernah turut buat .. bukan boleh masuk pun bila dah siap. Hehe

      Delete
  4. susah bila semua benda di kaitkan ngn politik kan pak Ngah....

    dana pun kerja di sektor kerajaan, main politik mmg ada kt mana2....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul tu .. memang kita tak dapat lari dari politik. Pandai-pandailahh membawa diri.

      Delete

Kalau tak tahu macamana nak panggil saya, panggil je Pak Ngah. Semua komen yg berbentuk pertanyaan lambat laun akan cuba saya jawab. Terima kasih. Sila datang lagi.