Wednesday, January 22, 2020

NAK TAHU 3 KATEGORI PEMANCING ?

Gambar hiasan hasil carian Google.

Pada hemat saya secara kasarnya terdapat 3 kategori pemancing.

1. Yang biasa-biasa.

Guna batang buluh atau bertam buat joran. Mancing pun kat parit atau lubuk kat rumah. Tak mancing kolam atau kelong berbayar. Modalnya beberapa ringgit je untuk beli tali pancing, mata pancing, pelampung dsb.

2. Yang sedang-sedang.

Guna joran dan mesin yang dibeli  Selalunya pergi memancing di sungai, tasik, kolam atau kelong berbayar. Kalau mancing di sungai, tasik atau laut, mereka guna bot sewa secara berkongsi. Belanja purata memancing  bulanan kategori ini jarang melebihi satu ribu ringgit.

3. Yang luar biasa.

Kategori ini ada enjin dan bot sendiri. Harga enjin dan bot boleh mencecah puluhan ribu ringgit. Memancing pun selalu kat laut dalam. Kadang-kadang naik kapalterbang pergi mancing sampai ke Maldives atau sewa helikopter mancing di kaki Gunung Tahan. Belanja purata bulanan boleh melebihi RM10 ribu.

Saya pada masa ni berada dalam kategori 2 dan susah nak sampai kategori Yang Luar Biasa sebab mabuk laut kalau memancing di laut dalam. Tapi yang sebenarnya saya tak banyak duit.  

Nota kaki: Jangan ingat pemancing hanya kategori 1 sahaja.


Friday, January 3, 2020

KISAH SCRAMBLER TENAGA PENGAJAR KENA CLAMP.

Kisah Benar.


Tak lama lepas graduasi,  saya telah ditawarkan menjadi Pengajar (tutor) di Jabatan Antropologi dan Sosiologi,  UM. Bila dapat gaji pertama saya terus beli motor scrambler.  Entah kenapa saya tak terfikir nak beli kereta masa itu.  Dipendekkan cerita,  satu hari saya letak motor saya di tempat berbumbung untuk tenaga  pengajar akademik. Bila saya nak ambil motor kemudiannya, saya tengok motor saya sudah kena kunci (clamp). Saya pun pergi ke bahagian keselamatan minta dibukakan. Beginilah lebih kurang dialog saya dengan seorang petugas,

Saya: "Minta maaf encik, motor saya kena kunci. Boleh tak tolong bukakan"

Petugas: "Awak letak kat mana?".

Saya pun beritahu di mana saya letak motor.  Mendengarnya terus muka petugas berkerut seraya berkata,

"Patutlah kena kunci.  Situ tempat letak kenderaan tenaga pengajar"

Segera saya menjawab sambil menghulurkan Kad Kampus saya,

"Saya pun tenaga pengajar juga .."

Petugas segera mencapai kad tersebut dan memerhatikan muka saya serta gambar dalam kad berkenaan.  Saya perhatikan dia agak terperanjat,  lantas berkata,

"Jom saya bukakan .. "

Siapakah yang silap di sini?



Inilah rupanya Kad Kampus saya yang saya maksudkan.