Monday, June 21, 2021

KENAPA IKLAN TAK MASUK?

Sudah dua hari berturut-turut blog saya dapat lebih 3 ribu pageviews tapi iklan Nuffnang tak ada masuk. 

Apa harus saya buat?  Bagaimana dengan blog anda?  Ada iklan masuk tak? 

Atau sekarang ini memang sudah tiada lagi ikan dari Nuffnang.  Kalau mahu iklan,  cari sendiri?

Begitu ke? 



Sunday, June 13, 2021

PATUTKAH KOLAM MEMANCING DIBENARKAN BEROPERASI SEMULA?


Gambar kitar semula untuk hiasan. 

Saya rasa kerajaan patut benarkan kolam pancing terbuka (bukan kolam simen dalam bangunan) beroperasi semula atas alasan berikut,

1. Para pemancing secara naturalnya akan duduk berjarak.  Tiada pemancing yang gemar duduk berdampingan. Tak timbul isu langgar SOP. 

2. Biasanya pemancing datang dari daerah yang sama. Tak timbul isu rentas daerah atau negeri. 

3. Jadi pemangkin kepada kegiatan ekonomi sokongan seperti pembekal ikan, udang, pembekal umpan, pembekal air laut atau pembekal garam, penjual peralatan memancing, pembekal elektrik dan air, pembekal makanan ringan serta memberi peluang pekerjaan kepada pekerja kolam. Kadang-kadang saya dapati ada juga gerai makanan dibuka dalam premis yang sama. 

4. Jadi pusat terapi minda bagi mereka yang sudah jemu atau stress akibat terlalu lama duduk terkurung di rumah. 

Selain dari itu, belum pernah lagi saya terdengar kluster kolam memancing. Yang selalu saya dengar adalah kluster perkilangan atau tapak bina. 



Saturday, June 5, 2021

BAHASA MELAYU KLASIK LAWAN BAHASA NEGERI SEMBILAN.


Gambar hiasan hasil carian Google. 


BK: Sudi apalah kiranya tuan hamba memberikan saya durian itu barang seulas. 

N9: Bak suleh. 

BK: Alangkah baiknya jika kita semua dapat bersegera berangkat sekarang agar kita boleh sampai sebelum senja. 

NS: Moh dogheh. 

BK:  Gerangan apakah yang membuat tuan hamba datang ke teratak hamba di tengah-tengah malam buta begini ni? 

NS: Kau nak apo? 

BK: Mengapakah tuan hamba gemar sekali menggangu anak-anak gadis yang sedang bergumbira bermain-main di dalam taman itu.

NS: Janganlah uncah. 

BK: Bukankah telah hamba ingatkan berulang kali supaya tuan hamba tidak mengacau kerbau yang sedang tidur itu. Sekarang lihatlah apa yang terjadi. 

NS: Ghaso an

BK: Barulah hamba mengerti bahawa tuan hamba ini sebenarnya adalah pemilik sawah ladang ini. 

NS: Kosan ea. 

BK: Hamba kurang pandai bagaimana hendak mengajar tuan hamba menganyam tikar mengkuang itu. 

NS: Hontah. 


Tuesday, June 1, 2021

PENGALAMAN MENJADI PESAKIT COVID-19, TAHAP 4.




Gambar 1: Cetakan skrin dari Apps MySejahtera.

Saya sengaja tak mahu cerita di fesbuk yang saya terjangkit COVID-19 masa mula-mula kena dahulu sebab khuatir banyak soalan yang saya bimbang tak sempat atau tak larat nak jawab. Dan saya akan rasa bersalah kalau tak dapat atau tak sempat jawab. Bila dah jawab, saya pasti akan ada soalan tambahan atau lanjutan. Memang tak larat nak jawab dalam keadaan kita tidak sihat pada masa itu. Soalan anak2 pun saya tak larat nak jawab. Kalau ada yang call langsung saya tak dapat nak layan sebab saya jadi semput kalau bercakap. 

Alhamdulillah setelah 10 hari mendapat rawatan di Hospital Tuanku Jaafar,  Seremban,  saya sudah dibenarkan pulang.  Sekarang saya dalam tempoh pemulihan. Mohon doakan saya agar saya terus kekal sihat seperti sebelum ini. Ini adalah sejarah bagi saya masuk hospital untuk tempoh paling lama kerana sebelum ini rasanya paling lama pun seminggu. 

Kisahnya berawal begini.  Mula-mula saya demam dan batuk sejak 2hb Mei. Saya pergi klinik dekat rumah kerana ingatkan demam biasa sahaja.  Doktor beri antibiotik.  Lepas seminggu, demam dan batuk masih tak hilang bahkan makin berat walaupun antibiotik dah habis saya makan.  Dalam tempoh seminggu tu saya tidur macam orang pengsan dan cuma terbangun bila rasa lapar sangat dan makan apa yang lalu. Lepas tu sambung tidur sampai tak ingat dunia. Demam dan batuk masih tak hilang. Untuk meredakannya saya ambil panadol dan ubat batuk ikut selang masa yang sepatutnya.  Lega sekejap, kadang-kadang terbangun kerana badan berpeluh-peluh macam dah kebah,  tetapi lepas tu ia datang semula. 

Kemudian saya buat swab test kat sebuah di klinik di Senawang pada 9 Mei. 

Pada 11 Mei saya diberitahu positif Covid.  

Saya masih cuba bertahan sambil menunggu dihubungi pihak KKM tapi tiada sesiapa menghubungi saya.  Pada pagi 13 Mei berbetulan hari raya Aidil Fitri keadaan saya makin teruk.  Nafas pun sudah tersekat-sekat dan tercungap-cungap.  Saya minta anak saya hantar ke hospital Tuanku Jaafar. Semasa saya dihantar ke hospital oleh anak saya, ada juga terlintas di fikiran saya bahawa mungkin pemergian ini tidak akan kembali lagi. Namun begitu apa pilihan yang ada. Saya menaruh keyakinan bahawa pihak hospital adalah tempat terbaik untuk dapat rawatan dan petugas akan berusaha merawat kita sebaik mungkin secara profesional. 

Selepas menunggu untuk dapatkan katil kira-kira 6 jam sambil mendapat rawatan awal di bilik kecemasan akhirnya saya dihantar dengan ambulan untuk ke Wad. Walaupun wad itu dalam kompleks bangunan yang sama,  tapi mungkin itulah prosedurnya kepada pesakit yang menerima oksijen. Kemudiannya saya ditolak atas stretcher hingga sampai ke katil di tingkat 8B. Alhamdulillah saya dapat katil sebelah tingkap, jadi tidaklah panas sangat dan dapat pula melihat pemandangan di luar.  Kemudian bermulalah proses rawatan.  Antaranya ambil xray,  ambil darah,  ambil tekanan darah,  cek kandungan gula,  cek oksijen,  cek jantung,  injek ubat cair darah,  injek insulin,  cek suhu badan di samping diberi pelbagai ubat. 

Semasa melalui proses rawatan,  macam2  kesan sampingan timbul.  Misalnya tetiba bacaan gula dalam darah saya naik mendadak yang mana sebelum ini saya tidak pernah ada sejarah kencing manis.  Bila diberitahu oleh jururawat keadaan itu adalah sementara akibat saya diberi ubat tertentu dan ia akan kembali seperti biasa bila ubat tersebut dihentikan, saya pun jadi sedap hati.  Namun begitu saya terpaksa diberi suntikan insulin di perut dalam tempoh 7-8 hari sehingga kandungan gula kembali normal. Sebelum itu,  saya juga telah berhenti menerima oksijen untuk bantuan pernafasan selepas 4-5 hari menggunakannya.  Alhamdulillah. 

Sepanjang 10 hari berada di wad,  saya perhatikan semua jururawat bertugas dengan penuh dedikasi,  prihatin dan cekap tanpa keluhan walaupun saya percaya mereka kelelahan akibat tekanan dan bebanan kerja di samping kepanasan dalam pakaian yang berlapis-lapis. Tugas mereka berat dan mulia.  Tanpa mengira kaum, saya perhatikan mereka, 

1.  Suapkan makanan dan kadang2 terpaksa memujuk pesakit sebab ada yang tak mahu makan. 

2. Tukar diapers dan bersihkan badan pesakit serta tukar pakaian mereka yang tak berdaya mengurus diri sendiri. 

3. Melayan kerenah beberapa orang pesakit yang degil seperti suka buka oksijen dsb. 

4. Menenangkan pesakit yang sudah macam hilang ingatan hingga ada yang terpaksa diikat kaki tangan untuk elakan mereka jatuh dari katil. 

Namun begitu tidak ada pesakit yang tak berdaya mengurus diri sendiri yang terlepas pandang dan ketinggalan mendapat layanan dan jagaan mereka. Kepada siapa lagi hendak diharapkan kerana tidak seperti kes lain yang bukan Covid, keluarga pesakit tidak dibenarkan berada di dalam wad untuk membantu menjaga mereka. 

5. Dan yang paling utama ialah mereka  sangat berhati-hati dalam menjalankan tugas.  Misalnya dalam pemberian ubat, mereka harus menyampaikannya kepada setiap pesakit mengikut masa,  jenis, kuantiti atau amaun yang berbeza di antara seorang pesakit dengan pesakit yang lain,  tanpa membuat sebarang kesilapan. 

Kemudahan. 

1. Pakaian hospital yang sudah siap dicuci seperti seluar,  baju dan kain sentiasa tersedia. Kalau rasa nak salin pakaian 3 kali sehari pun tiada siapa yang larang. 

2. Kertas tisu,  diapers dan mask sentiasa ada dibekalkan. 

3. Makan minum diberi ikut jadual.  Alhamdulillah, selera saya terima semua. 

4. Untuk solat berjemaah dalam 10 -12 orang, ada sedikit ruang di bahagian belakang di celah2 laluan dan katil pesakit yang boleh digunakan. Sejadah yang secukupnya turut disediakan. 

Setiap malam sebelum tidur saya simpan harapan dan berdoa agar esok boleh discaj.  Begitulah berlarutan sehingga 10 hari terlantar di hospital. Dalam masa yang sama saya juga redha menerima apa-apa ketentuan Ilahi. Malah saya rasa bersyukur bila melihat ramai pesakit yang lebih teruk dari saya. Namun bila melihat sendiri di depan mata seorang pesakit di katil bertentangan meninggal dunia pada hari ke 2, saya merasakan antara hidup dengan mati itu berjarak hanya antara dua jari tangan sahaja. Kepada Allah saya berserah bulat2 dan redha akan apa sahaja ketentuanNya. 

Alhamdulillah pada 22 Mei,  tiba saat yang ditunggu-tunggu saya dibenarkan keluar dari hospital. Saya diberitahu oleh jururawat pada jam 2 petang berita baik itu dan meminta saya segera bersiap kerana ada pesakit baru yang akan masuk. Akhirnya kira2 jam 10 malam barulah dapat surat doktor dan juga ubatan untuk sambung ambil di rumah.

Namun begitu jika keadaan memerlukan untuk saya berada di hospital untuk suatu tempoh yang lebih panjang lagi, saya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal menempuhinya kerana saya ingin betul-betul pulih dari penyakit ini. 

Saya rasa proses rawatan saya agak pendek berbanding orang lain mungkin kerana saya tidak mengidap sebarang penyakit kronik lain seperti darah tinggi,  buah pinggang,  jantung dan sebagainya.  Alhamdulillah. 

Dengan tumpang kereta jiran yang turut sama discaj yang dijemput anaknya, saya selamat sampai di rumah kira2  jam 11 malam. Setengah jam kemudiannya isteri saya pulak sampai dari hospital Tampin dengan dijemput oleh anak saya. Dia pun terjangkit COVID tapi tidaklah serius sangat, cuma tahap 2 sahaja.  Syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT kerana dengan izin, ihsan dah kehendakNya, saya dan isteri telah dipulihkanNya. Moga kawan2 lain yang masih di hospital dan juga yang menjalani kuarantin di rumah agar segera sembuh dan kembali pulih seperti sedia kala. 

Namun begitu saya belumlah lagi pulih 100%. Banyak lagi ubatan yang dibekalkan yang perlu diambil sehingga 16hb Jun. Dan pada 15hb Jun di sebelah pagi saya akan pergi semula ke Hospital Tuanku Jaafar untuk buat xray dan ambil darah.  Sebelah petangnya pula ada janji temu dengan doktor untuk mengetahui keputusan ujian darah dan xray serta status kesihatan saya.  Saya berharap dan berdoa agar segalanya berjalan lancar dan saya bebas dari jangkitan COVID sepenuhnya.  Insyaallah. 

Sepanjang kira-kira 3 minggu sakit,  saya kehilangan berat badan kira-kira 5 kg.  Kini selepas keluar hospital kira-kira selama 10 hari,  berat badan saya sudah naik semula menghampiri berat sebelum sakit hari tu. Selera makan saya pada masa ini ibarat 'lembing dihayun'.

Saya juga merasa amat bersyukur dan lega kerana 2 orang anak saya yang tinggal bersama-sama dengan saya negatif COVID selepas dua kali buat swab test.  

Gambar 2: Satu untuk rekod. 

Di sini ingin saya ambil kesempatan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua petugas khasnya yang betugas di Ward 8B yang telah memberi perkhidmatan yang sangat cemerlang kepada semua pesakit yang berada wad tersebut terutamanya sepanjang saya berada di sana.  Jasa anda semua sangat besar dan tidak mungkin dapat saya membalasnya. Semoga Allah membalasnya dengan balasan yang lebih baik lagi.  Amin. 

Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Kesihatan yang memberikan segala kemudahan rawatan dan perubatan secara percuma.  Saya tidak tahu berapakah agaknya caj yang akan dikenakan oleh hospital swasta untuk perkhidmatan yang serupa.  Mungkin RM20 ribu kot untuk tempoh 10 hari. Atau mungkin lebih?