Monday, October 6, 2014

INI ENTRI KONTROVERSI - LEBIH BAIK NAIK HARGA DARI LANGSUNG TAK ADA.

Sambutan hari Raya Haji tetap meriah di sini. Sehari sebelum itu, iaitu hari Sabtu jalan sungguh sesak menuju ke pasar sehari Balai Baru dengan kenderaan orang ramai bertali arus berurusan membeli persiapan raya.


Gambar 1:  Pertama kali saya tengok sesak sebegini.

Sembahyang raya juga penuh masjid. Kereta yang diletakkan di sepanjang jalan menuju masjid sudah tidak lagi ikut peraturan. Tapi toleransi dan kesabaran orang kampung sangat tinggi. Tiada langsung bunyi hon atau orang meninggi suara. Masing-masing sabar menunggu di dalam atau di samping kereta masing-masing.


Gambar 2: Saya bersembahyang di Masjid al-Saadah.

Selepas sembahyang raya, saya membantu jiran depan rumah yang membuat korban. Hujan pulak 80% dari masa siang. Saya perhatikan semangat bergotong royong masih lagi tebal di sini.
 

Gambar 3:  Kelihatan kaum ibu sedang tekun menyediakan lauk pauk untuk makan tengahari.

Saya tidak mendengar ada orang bercerita atau mengeluh tentang kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen beberapa hari sebelum ini. Tidak seperti ramai rakan-rakan di fesbuk yang menyatakan kemarahan masing-masing kecuali seorang dua yang menyokong. Sampai ada yang mengajak tukar kerajaan. Janganlah jadi seperti rakyat Iraq atau Libya yang seronok sangat nak menjatuhkan Saddam dan Gaddafi dahulu. Apa jadi sekarang ?
.

Gambar 4:  Luahan perasaan seorang pemegang akaun fesbuk kerana kenaikan harga minyak.

Mungkin bagi orang kampung yang buat bendang, yang ke sana kemari rata-rata naik motor kapcai, kenaikan harga itu tidak berapa terasa. Kalau pun terasa, mungkin mereka akan ejas dengan cara mengurangkan hisap rokok sebatang sehari.  

Atau mungkin juga mereka bersyukur kerana minyak masih lagi boleh dibeli dimana-mana steseyen minyak pada bila-bila masa. Kalau sudah tidak lagi dijual, duit berjuta pun tak guna. Orang kita kalau tunggu sejam untuk isi minyak pun sudah bising satu Malaya, saya tidak dapat bayangkan apa akan jadi kalau tiada minyak.


Gambar 5: Ini pernah berlaku kat UK.  Sumber sini.

Setelah pernah tinggal di luar negara dan melawat banyak tempat di dunia ini, saya masih lagi menyatakan negara Malaysia adalah yang terbaik. Saya langsung tidak teringin untuk tinggal menetap di mana-mana negara yang pernah saya tinggal dan lawati.  Melancong bolehlah. Bahkan ada juga saya terdengar orang mengatakan Malaysia ini adalah ibarat syurga berbanding negara lain. Kalau tak percaya tanyalah orang Bangla, Myanmar, Nepal, Filipina, Kampuchea, Indonesia dan lain-lain yang mencari makan di negara kita.


Gambar 6:  Beratur untuk mengisi minyak di Abuja. Sumber:  Sini



 Gambar 7: Kelam kabut untuk mengisi minyak motor di Sulawesi Selatan. Rasanya Indonesia turut menjadi ahli OPEC.  Sumber: Sini.


Pada masa ini kira-kira 50% dari 1.2 billion orang penduduk India tidak ada tandas di rumah dan membuang air besar secara terbuka.  Pada hal mereka lebih dulu merdeka dari kita bahkan India merupakan antara negara yang terawal bertamaddun di dunia ini.

 

Gambar 8: Hampir 600 juta orang penduduk India membuang air besar secara terbuka kerana tiada tandas di rumah. Sumber:  Sini


Saya percaya kalau kerajaan India menaikan harga minyak sebanyak 20 sen seliter dan wang itu digunakan untuk menyediakan tandas percuma kepada rakyatnya, dalam masa 2-3 tahun sahaja masalah tandas itu boleh diselesaikan. Saya rasa itu lebih afdal lagi dari melaksanakan program pergi ke Mars yang kerajaan mereka laksanakan itu.



Gambar 9: India melancarkan misi ke Mars:  Sumber: Sini

Hairannya orang-orang India yang tidak bertandas di rumah mereka itu, tidak pula bertindak berarak di jalan raya melaunngkan reformasi untuk menukar kerajaan.


Friday, October 3, 2014

KITA SEMUA HANYALAH PEMEGANG AMANAH.



لِّلَّهِ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَمَا فِى ٱلۡأَرۡضِ‌ۗ


Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah - 2/284.

Oleh itu janganlah kita berlagak sombong dengan harta benda dan wang ringgit yang kita miliki kerana bila-bila masa sahaja semuanya boleh diambil semula oleh pemiliknya kalau Dia berkehendak dan kita sedikit pun tiada daya dan kuasa untuk menahannya.

Sebaliknya kita haruslah sentiasa bersyukur dengan nikmat pemberianNya dan beramal soleh sebagai tanda kesyukuran diatas segala kenikmatan yang dipinjamkanNya.

Ingatan kepada diri sendiri dan juga kepada rakan-rakan sekelian yang sudi diperingatkan.

Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha dari saya kepada semua kaum muslimin dan muslimat pembaca blog ini, walau di mana sahaja berada. Maaf zahir dan batin.




Thursday, October 2, 2014

SONYUM SOKOJAP 70 - ARWAHNYA ADA LAGI KE ?



Pemandangan sebenar pada hari kejadian.

Dua minggu lepas sempena cuti sekolah saya balik menjenguk rumah di Seremban. Memancing udang galah adalah satu agenda wajib saya.

Pada pagi hari yang dijadualkan, saya dihantar oleh Makngahnya kerana sebelum itu kita dah janji nak makan roti canai dulu kat gerai tepi sawah, tak jauh dari tempat berkelah Ulu Bendul.

Selepas selesai meroti canai, saya bergegas ke kolam pancing. Sebaik sampai saya segera sediakan pancing.

Oleh kerana saya dah lama tak memancing, penjaga kolam yang telah lama mengenali saya datang berborak. Saya ceritalah kenapa dah lama tak datang mancing kerana balik ke Perlis menjaga bapa mertua saya.

Dia pun mula cerita yang dulu dia juga menjaga arwah emaknya yang uzur.

Saya yang antara dengar tak dengar tapi buat-buat macam dengar kononnya,  bertanya.

"Arwah emaknya ada lagi tak ?"

Saya tengok Makngahnya dah tersenyum kat saya. Saya tahu kenapa. Kalau dah arwah mana nak ada lagi. Tapi yang bestnya penjaga kolam tu jawab:

"Dah tak ada dah .. "

Saya memang begitu. Kalau tengah asyik buat kerja apa lagi sedang menyediakan peralatan pancing, bukan ambil perhatain sangat kalau orang bercakap.

Yang orang ini pun satu, tengah orang sibuk sediakan pancing, masa tulah dia nak bercerita.