Tuesday, September 4, 2018

NAK TENGOK GAMBAR DAN VIDEO KAMI KORBAN DI KEMBOJA ?

Pada hari raya haji tahun ini buat pertama kalinya saya menganjurkan ibadah korban di Kemboja. Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakan di mana 4 ekor lembu telah pun dikorbankan pada dua hari raya haji, 23hb Ogos 2018. Setiap bahagian dikenakan bayaran sebanyak RM360.00. Bayran itu adalah untuk harga lembu dan belanja pengurusan.



Gambar 1:  Lembu pertama.


Gambar 2: Lembu kedua.



Gambar 3: Lembu ketiga.


 Gambar 4: Lembu ke empat.

Demikianlah 4 ekor lembu sempurna dikorbankan di Wilayah Kampot, Kemboja yang diwakil dan diuruskan oleh Ustaz Badri Yunos dan pasukannya dari badan Cambodian Charitable Trust Association. Terima kasih banyak-banyak Ustaz kerana menyempurnakan amanah dan hajat peserta-peserta dari Malaysia. Mudah-mudahan Allah menerima korban yang kami lakukan di samping sedikit sebanyak dapat membantu masyarakat Islam di sana yang rata-rata miskin berbanding dengan masyarakat Islam di Malaysia.

Berikut saya tunjukan sebuah video yang berkaitan untuk anda dapat merasakan suasana ibadah korban di Kemboja yang tidak banyak berbeza dengan di Malaysia.





Friday, August 31, 2018

DAPAT TAK BACA ENTRI INI ?

Mata adalah salah satu dari pancaindera kita yang sangat diperlukan.
Saya tidak boleh membayangkan apa akan terjadi kepada saya jika tiba-tiba saya tidak boleh melihat lagi.

Katalah satu hari sebaik bangun tidur pandangan menjadi gelap gulita kerana sudah tidak boleh melihat lagi.

Maka tidaklah dapat hendak melihat isteri, anak2 dan cucu2, tidak dapat melihat matahari tebit di ufuk timur di waktu pagi, tidak dapat melihat cahaya mentari perlahan-lahan terbenam di ufuk barat di waktu petang,

tak dapat membaca
tak dapat menulis
tak dapat menonton tv
tak dapat memandu
tak dapat memancing
tak dapat melancong.

Bila memikirkannya saya rasa amat takut kehilangan penglihatan.

Saya teramat-amat bersyukur kerana Allah mengurniakan mata walaupun sudah menggunakan cermin mata.


Dan dalam masa yang sama Allah masih memberi rahmatnya dengan tidak menarik kembali daya penglihatan yang dipinjamkannya. Sedangkan Dia boleh berbuat begitu pada bila-bila masa kerana adanya mata tidak semestinya kita boleh melihat.

Berapa ramaikah di antara kita (termasuk saya) yang berterima kasih kepadaNya pada setiap kali bangun tidur kerana masih boleh lagi melihat.

Memang tabiat manusia bila sudah tiada, baru tetingat akan kepentingannya. Lalu saya teringat akan buku ugama yang bersusun-susun yang masih belum habis dibaca. Nampaknya kena kurangkan lagi berblog [memang pun telah dikurangkan] kerana masa semakin singkat untuk membacanya sementara mata boleh melihat.

Kalau anda telah dapat membaca entri ini sampai habis, bersyukurlah.

*Ini entri tertangguh.




Thursday, August 30, 2018

YANG MANA MANALAH ..



Yang mana ikhlas yang mana curang,
Yang mana padi yang mana lalang,
Yang mana cerdik yang mana bangang,
Yang mana lurus yang mana pincang,
Yang mana damai yang mana perang,
Yang mana dayus yang mana pejuang,
Yang mana mentah yang mana matang,
Yang mana dukun yang mana jembalang,
Yang mana kukuh yang mana goyang,
Yang mana samar yang mana terang,
Yang mana sesumpah yang mana orang,
Yang mana macai yang mana hulubalang,
Yana mana bendul yang mana tiang,
Yang mana sebarau yang mana seluang,
Yang mana kecut yang mana kembang,
Yang mana bernas yang mana sambang,
Yang mana terus yang mana simpang,
Yang mana kendur yang mana tegang,
Yang mana pipit yang mana enggang,
Yang mana ungkit yang mana ulang,
Yang mana angkut yang mana tumpang,
Yang mana risau yang mana sayang,
Yang mana pangkas yang mana tebang,
Yang mana balun yang mana pantang,
Yang mana geram yang mana berang,
Yang mana curah yang mana tuang,
Yang mana gatal yang mana jalang,
Yang mana usap yang mana pegang,
Yang mana sepak yang mana terajang,
Yang mana tunggul yang mana tunjang,
Yang genggam yang mana pegang,
Yang mana umpat yang mana bincang,
Yang mana serang yang mana perang,
Yang mana kuyu yang mana buntang,
Yang mana pinjam yang mana hutang.