Monday, June 29, 2015

BUKAN SUSAH NAK MENYAKITKAN HATI ORANG.



 Gambar hiasa dari album pemilik blog ini.
 
Salah satu tabiat segelintir orang kita ialah meleletak kereta hanya untuk kesenangqn diri sendiri. Walaupun segelintir tapi kadang-kadang boleh melibatkan ketidak selesaan kepada ramai orang.

Pernah satu hari saya pergi kenduri kawin rakan sepejabat kat area Bangi. Hari itu hari Sabtu di mana saya sedang membuat diploma DEPS di Universiti Malaysia. Masa rehat tengah hari yang hanya kira-kira satu jam itu saya pergunakan untuk hadir kenduri itu.

Saya sampai orang tengah ramai. Kereta di letakan sepanjang jalan kiri dan kanan bersusun-susun. Saya masuk satu kawasan lapang di mana saya dapati telah banyak kereta diletakkan.

Pendek cerita lepas makan, selepas mengucapkan terima kasih kepada pengantin saya pun bergegas ke kereta untuk balik semula ke UM. Saya dapati ada sebuah kereta yang diletakan betul-betul di muka jalan masuk ke tempat kereta saya diletakan kerana tempat meletak kereta di kawasan itu sudah penuh. Ia telah menghalang semua kenderaan untuk keluar masuk. Sakitnya hati saya. Sudahlah masa singkat, hari panas, ada pulak manusia yang hanya pentingkan diri sendiri buat perangai.  Sampainya hati orang ini. Kalau basikal atau motorsikal bolehlah saya alihkan ke tepi.


Lalu saya bergegas pergi ke tempat orang kenduri tadi dan meminta dibuat pengumuman supaya mengalihkan kereta nombor sekian-sekian. Selang beberapa lama saya lihat seorang lelaki baya-baya saya dengan muka masam tanpa menoleh kepada saya berjalan menuju keretanya dan terus berundur mengalihkan keretanya ke tempat lain. Kotlah nak minta maaf. Bedebah betul. 

Throwback - Pagi Tadi Saya Terima Diploma.



Saturday, June 27, 2015

ENTRI SEMPENA BILANGAN SEJUTA PENGUNJUNG.


Cetakan skrin pada jam 7.58 pagi - 27/6/2015.

Sebenarnya itu bukanlah azam atau cita-cita saya untuk mendapat sampai sejuta kunjungan (page views) masa saya mula-mula berblog dulu. Macam orang mula-mula berniaga air tebu, mana ada niat nak jadi jutawan. Tapi lama kelamaan cita-cita itu timbul bila tengok perniagaan semakin hari semakin maju. Begitulah kaedahnya yang terjadi kepada saya.

Akhirnya merasa juga saya mencapai angka 1,000,000. Terima kasih kepada semua pengunjung samada secara zahir atau senyap. Saya rasa sungguh  terharu. Alhamdulillah, kelmarian (26 Jun 2015) saya berjaya memperolehinya.

Sempena dengan bilangan ke sejuta kunjungan ini, saya nak berkongsi dua entri lama saya yang agak 'nakal' yang mungkin telah menimbulkan rasa tidak enak atau tidak puas hati kepada anda yang telah membacanya.

1. Tajuk: Kalau Dah Dasar Kerengga. 


Dalam entri ini saya bermetafora (berkias). Kerengga itu adalah simbolik. Ada juga pembaca yang terperanjat dan kesal dengan entri saya ini kerana menyangka saya betul-betul marahkan kerengga. Entrinya di sini.

2. Tajuk: Kisah Benar Pengalaman Saya Naik Bas Ekpress.

Entri ini pula bukannya berupa pujian tetapi sebaliknya tempelakan kepada syarikat pengendali bas yang saya naiki, tetapi kena baca sampai habis. Saya perhatikan ada pembaca yang terkena kerana baca tak habis.  Entrinya di sini.

Sekali lagi terima kasih kepada anda semua yang telah sudi berkunjung ke blog saya ini.  Maaf jua yang saya pinta jika ada mana-mana tulisan saya selama ini yang keterlaluan atau menimbulkan silap faham (seperti dua entri di atas) hingga menimbulkan rasa kesal di hati anda.

Kipidap.




Friday, June 26, 2015

KECELAKAAN YANG TERELAK.

Sepanjang kehidupan ini banyak juga kejadian yang mencemaskan yang telah menimpa diri saya atau keluarga saya. Mungkin belum ajal kami lagi. Bila mengenangkan kembali kejadian itu terasa betapa bersyukurnya saya kepada Allah kerana di atas rahmat dan rahimNya memanjangkan umur saya hingga dapat lagi saya mengerjakan ibadah puasa pada tahun ini.

Ada 4 peristiwa yang ingin saya ceritakan dalam entri ini.


Peristiwa 1.  Nyaris di langgar treler.

Saya dalam kereta pejabat dengan beberapa orang pegawai lain sedang berhenti di lampu trafik yang sedang berwarna merah. Jalan itu menurun sedikit tapi tidaklah curam sangat. Ada sebuah treler dari arah belakang yang mengalami masalah brek, bergerak laju kearah kereta kami yang masih lagi berhenti. Selepas sangat mengampiri kereta kami, pemandunya sempat mengelak ke kiri dan tak berapa jauh kedepan selepas itu ia terus terbalik. Kalaulah ia melanggar kereta kami harus kami jadi sandwich kerana ada beberapa kenderaan di depan.

Peristiwa 2. Hampir gagal potong kereta.

Peristiwa ini berlaku semasa saya masih bujang di jalan menghala ke utara di kawasan Taiping. Saya memotong sebuah kereta. Tanpa saya duga ada lori datang dari depan. Saya menekan minyak kereta hingga maksimum utuk melepasi kereta yang saya potong itu yang juga bergerak laju (tidak pasti samada disengajakan atau tidak oleh pemandunya). Sebaik melepasi kereta itu saya terus masuk ke lorong kiri dan berjaya mengelak dari dilanggar lori yang datang dari arah hadapan itu. Kalau saya lewat sesaat sahaja pastinya kereta saya akan bertembung dengan lori secara berhadapan yang juga dipandu laju.

Peristiwa 3. Zink terbang ke arah kereta. 

Saya dengan beberapa rakan, dalam perjalanan ke Pulau Pinang atas urusan rasmi menggunakan lebuhraya PLUS. Kereta saya dipandu oleh rakan saya pada kelajuan yang dibenarkan (lebih kurang 110 km). Saya duduk di sebelah pemandu. Tiba-tiba saya nampak sekeping zing terbang melayang-layang ke arah kereta kami. Zing itu datang dari sebuah lori yang barangkali membawa bahan buangan menghala keselatan. Saya yang dapat melihat dengan jelas sempat berdoa supaya zing itu tidak mengenai kereta kami. Tetapi zing itu tetap juga mengenai cermin depan kereta saya. Bagaimanapun kedudukan zink itu tidaklah menerjah umpama lembing tetapi ibarat tamparan ke muka sahaja. Akibatnya cermin kereta saya bercalar yang agak dalam yang kemudiannya terpaksa ditukar kerana tidak boleh diperbaiki lagi. Saya bersyukur kerana bernasib baik bukannya batu atau objek keras yang terbang kerana kesannya tentulah lebih buruk.

Peristiwa 4.  Kereta Makngahnya berlanggar.

Tak berapa lama dahulu, Mak Ngahnya terlibat dengan kemalangan sekembalinya dia mengambil anak saya, Haiqal dari sekolah di sebelah petang. Kira-kira setengah perjalanan balik, sebuah motosikal meluru keluar ke jalan besar dari jalan kampung tanpa menoleh ke arahnya. Makngahnya tidak sempat mengelak dan berlakulah perlanggaran yang menyebabkan kerosakan kepada kereta Mak Ngahnya dan juga motorsikal itu. Tapi saya sangat bersyukur tidak ada sebarang kecederaan kepada Mak Ngahnya dan juga Haiqal kecuali terkejut dan trauma sahaja. 

Peliknya kaki saya pulak yang luka ketika mengalihkan kereta itu ketepi jalan akibat terkena serpihahan kaca. Luka sikit sahaja tapi berdarahlah juga.


Beginilah rupanya kereta yang dipandu Mak Ngahya yang rosak agak teruk di sebelah pemandu.


Jadi bila kita ditimpa satu kemalangan kecil, ingatlah berapa banyak kecelakaan besar yang telah terelak. Barulah akan timbul rasa syukur dan tidak menyesali nasib.

Wednesday, June 24, 2015

WW # 123: YESSSSS !!!


Monday, June 22, 2015

SONYUM SOKOJAP 73 : MAHU MATI CEPAT ATAU LAMBAT ?




Hari tu saya pergi kedai nak membeli racun rumput. Cadangnya nak racun rumput di keliling rumah yang saya tinggal ini. Sebelum ini saya upahkan orang mesen rumput tapi hasilnya rumput makin naik subur lepas itu. Setiap dua minggu kena upah orang mesen. Mana nak larat.

Berbalik kisah saya nak beli racun tadi, sesampainya di kedai yang saya biasa pergi, saya disambut dengan pertanyaan oleh pembantu kedai tersebut.

"Mahu cari apa ?"

"Racun rumput". Jawab saya pendek.

"Awak mahu mati cepat ka mati lambat ?"

Terkejut saya mendengar pertanyaan itu. Setelah diterangkan baru saya faham. Maksudnya ada racun yang cepat beri kesan dan ada yang lambat nampak kesannya.  Lagu saya beli yang lambat nampak kesannya kerana saya fikir kalau lambat nampak kesannya, maka lambatlah tumbuh yang baru.
  
Semasa pembantu kedai itu mendapatkan racun yang saya pinta, saya bertanya kepada taukeh kedai tersebut ..

"Ada racun yang tak ada bahaya ka ?"

"Mana ada racun tak ada bahaya maa .." jawab taukeh kedai itu dengan pantas.

Saya terus terkedu kerana tersilap tanya. Malu pun ada.





Saturday, June 20, 2015

KENAPA SAYA PATUT BERSYUKUR - KERANA BOLEH BUANG AIR KECIL.



Gambar hiasan hasil carian Google.

Hari ini saya ingin berkongsi tafsir Prof Dr. HAMKA pada ayat 50 surah Az-Zumar yang dipetik dari kitab Tafsir Al-Azhar karangannya yang terkenal itu.

 قَدۡ قَالَهَا ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ فَمَآ أَغۡنَىٰ عَنۡہُم مَّا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ

Sebenarnya orang-orang yang terdahulu daripada mereka telah juga mengatakan yang demikian maka segala yang mereka usahakan itu tidak dapat menyelamatkan mereka (dari azab Allah) - Az -Zumar ayat 50

~   Teringatlah kita kisah ketika Alim pendita Ibnus Samaak yang terkenal datang ke dalam majlis Raja Harun al-Rasyid. Raja meminta agar Baginda diberi pengajaran, diberi ceramah agama. Ketika itu hari sedang tengah hari di musim panas. Ketika mendengar ceramah itu Raja terasa haus. Lalu Baginda titahkan seorang khadam mengambil air dingin buat diminum. Setelah khadam itu datang membawakan air dan seketika Raja akan meminum air itu, bertanyalah Ibnus Samaak. "Tuanku !  Patik hendak bertanya. Jik tidak segera dapat air yang Tuanku minta itu, padahal Tuanku sedanga sangat haus, bagaimana sikap Tuanku?

    Raja Menjawab. Akan aku perintahkan orang mencari air itu di mana-mana di seluruh dunia, walaupun akan habis separuh dari kekayaanku buat belanja mencari air itu !"

    Maka perkataan itu disambut oleh Syaikh Ibnus Samaak: "Tuanku ! Kalau demikian halnya, adakalanya segelas air lebih mahal daripada separuh kekayaan Tuanku ?"

    Raja menganggukkan kepala tanda setuju, bahawa kadang-kadang seteguk air lebih mahal dari separuh Kerajaan Baginda.

    Lalu Baginda pun terus meminum air itu hingga habis.

    Setelah air itu habis diminum oleh baginda, Ibnu Samaak sekali lagi bertanya: "Tuanku ! Masih ada pertanyaan hamba ! Jika sekiranya air yang segelas yang Tuanku minum sebentar ini, tidak mahu keluar dari dalam tubuh Tuanku, bagaimana akal Tuanku ?"
  
  "Itu adalah penyakit amat berbahaya"

    "Kalau misalnya kejadian demikian itu, bagaimana ikhtiar Tuanku?"

    "Aku akan suruh cari doktor yang ahli di mana saja, walaupun dia berada di ujung bumi ini. Aku suruh datangkan ke mari buat mengubatiku. Seluruh kekayaanku ini pun tidak mengapa licin tandas, asal segelas air itu dapat keluar kembali dari badanku!"

    "Maafkan daku, Tuanku !  Sambung Ibnus Samaak selanjutnya. "Dapatlah kiranya Tuanku berfikir bahwa kadangkala segelas air najis, lebih mahal harganya dari seluruh Kerajaan Tuanku. Apala guna Kerajaan kalau badan tidak ada kesihatannya lagi".

    Raja termenung mendengarkannya ~

Saya ingin melanjutkan kisah itu dengan membuat bayangan, apa terjadi kepada diri saya sekiranya setelah meminum berpuluh-puluh gelas air selama seminggu, tidak boleh membuat air kecil walau setitis pun ?

Maka bagi kita yang masih boleh  membuang air kecil seperti biasa, marilah kita mengucapkan syukur kepada Allah swt yang telah memberikan kita nikmat tersebut dengan mentaati segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya tanpa sebarang persoalan atau keraguan.


Thursday, June 18, 2015

KENAPA SAYA PATUT BERSYUKUR - KERANA MATA.

Bila kita terjaga dari tidur di pagi hari, kita dapati bilik tidur kita gelap. Kita minta isteri kita bukakan lampu. Isteri kita pun jawab ..

" ... kan dah buka tu, nak buka macam mana lagi ?"

Dari nada suara dia, kita tahu isteri kita tidak bergurau. Tetapi kenapa kita tak nampak apa-apa ? Semuanya kelam. Sedikit pun tiada kelihatan cahaya. Kita meraba-raba cermin mata kita. Setelah dipakai tetap gelap gulita.
 

Kita tidak puas hati. Sambil menggosok-gosok mata kita capai henfon kita. Kita buka macam biasa. Masih tidak nampak apa-apa cahaya pada skrinnya. Bunyi ada. Kita mula panik kenapa jadi begini. Jantung kita bergerak pantas. Kita mula mengesyaki sesuatu yang tidak baik kepada mata kita. Nafas kita mula tersekat-sekat.

Seterusnya kita tarik langsir tingkap di hujung kepala kita. Biasanya cahaya dari lampu jalan dan rumah jiran akan menerpa masuk melalui tingkap ke bilik tidur kita. Tetapi masih juga kita tidak nampak apa-apa. Gelap. Kita pun menggelabah dan tertanya-tanya apa sudah jadi pada mata kita ?

Begitulah sedikit gambaran, jika Allah menarik kembali penglihatan mata kita yang telah dipinjamkanNya kepada kita selama ini. Dunia akan gelap gelita. Akan timbul persoalan bagaimanakah kita akan meneruskan rutin hidup harian kita. Bagaimana kita hendak melakukan kerja ? Bagaimana kita hendak memandu ketempat kerja ? Dan seribu persoalan lagi yang selama ini kita ambil sebagai hak kita (take for granted).



Gambar sekadar hiasan tetapi berkaitan.


Maka bagi kita yang masih mampu melihat dunia (walaupun mungkin dengan bantuan cermin mata) marilah kita mengucapkan syukur kepada Allah swt yang telah memberikan kita nikmat penglihatan selama ini dengan mentaati segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya tanpa sebarang persoalan atau keraguan.

SELAMAT BERPUASA DAN BERTARAWIKH DARI SAYA. 



Monday, June 15, 2015

APA REAKSI ANDA KALAU ORANG CAKAP - AWAK APA TAHU ?


Gambar hiasan hasil carian Google.

Salah satu sifat yang membuatkan orang hormat kepada kita ialah cara kita menjawab kritikan atau teguran. Walaupun kadang-kadang kritikan itu tidak berasas tetapi jikalau kita dapat menjawabnya secara rasional dan tidak melenting sehingga mengeluarkan kata-kata yang kebudak-budakan, pasti ianya akan menaikan lagi martabat kita. 

Banyak kali saya dengar jawapan yang diberi oleh orang yang kena tegur, tidak ada kena mengena langsung dengan perkara yang ditegur. Misalnya kalau kita tegur seorang pemuda kerana meletakkan motorsikalnya di tempat yang tidak sepatutnya, dia menjawab dengan nada suara yang marah:

"awak peduli apa"

"suka hati akulah nak letak kat mana .. motor aku !"

"pakcik apa tahu"


Bukankah lebih nampak bertamaddun kalau pemuda iatu meminta maaf dan seterusnya memberi alasan yang rasional kenapa dia perlu meletakkan motornya di situ ?

Adapun nasihat supaya jangan melenting ini memang senang  diucap dari dilakukan. Kata orang putih 'easier said than done' sebab sekali sekala ada juga saya termelenting bila kena tegur.

Namun begitu sebagai peringatan dan pegangan hidup, saya salinkan sabda Nabi kita Muhammad SAW tentang pentingnya mengawal diri:

"Bukanlah orang yang gagah perkasa itu yang terburu bertindak setelah tersinggung. Tetapi orang yang gagah perkasa ialah orang yang sanggup mengendalikan dirinya seketika dia sudah sangat marah" 

Umumnya saya bukanlah orang yang cepat melenting. Kalau tak percaya, entri ini buktinya. Kalau ada yang dah baca, skip jelah. Takyahlah nak melenting.








Wednesday, June 10, 2015

WW # 122: KENCING DAPAT BAYARAN !


Tuesday, June 9, 2015

KENAPA ADA ORANG TETIBA BOLEH JADI KUAT DAN BERANI ?



 Gambar hiasan hasil carian Google.

Ada masanya kita enggan untuk berbuat sesuatu kerana keletihan atau tidak sanggup melakukannya. Namun dalam keadaan tertentu, kita dengan tiba-tiba boleh jadi bertenaga dan berani melakukannya. 

Apakah keadaan tertentu itu?  Apa yang saya boleh fikirkan, ia boleh berlaku dalam 5 keadaan, iaitu:

1. Takut.

Misalnya orang yang sedang ketakutan kerana dikejar anjing boleh melompat longkang yang luas yang mana dlam keadaan biasa, orang itu tidak mungkin sanggup untuk berbuat demikian.


2. Marah.

Kadang-kadang kerana marah, ada orang yang boleh menumbuk orang lain yang lebih besar badannya dari dia. Misalnya kalau beg tangannya kena ragut. Kalau dia tidak dalam keadaan marah, tidak mungkin dia berani berbuat demikian.


3. Geram.

Perasaan geram juga boleh menyebabkan orang yang lemah dan penakut menjadi berani. Misalnya kalau dia diejek berulang kali, sampai masanya dia bertindak berani memukul orang yang mengejeknya yang sebelum ini ditakutinya.


4. Minat. 

Seorang kaki pancing yang lemah kerana demam tapi bila ada orang ajak dia pergi mancing tetiba sahaja badannya boleh jadi bertenaga dan bersemangat.

5. Ganjaran.

Ada masanya kerana ditawarkan ganjaran yang lumayan, orang yang penakut boleh jadi berani. Misalnya kalau disuruh tangkap seekor ular yang berbisa dengan ganjaran yang lumayan, katalah RM10 ribu, orang yang dulunya sangat penakut dengan ular, boleh jadi berani.


Ada sebab lain lagi tak ?


* Setinggi-tinggi penghargaan dari saya kepada pembaca senyap entri/blog ini.




Thursday, June 4, 2015

SIAPA PERNAH BERPERAHU DI SUNGAI KILIM ?

Pada 2/5/2015 yang lalu saya berpeluang buat ke dua kalinya berperahu di Sungai Kilim, Langkawi. Kami naik anak beranak berempat orang sahaja dalam satu bot. Nak kongsi dengan orang lain, tak ada yang kenal. Sewanya hanya RM250 untuk dua jam. 

Sebelum ini saya pernah menaiki bot/perahu di sungai Mekong pada tahun 2012 lalu. Di bawah saya tunjuk gambar saya berdayung di Sungai Mekong sebagai bukti.



 Gambar 1: Saya turut berdayung di Sungai Mekong di celah-celah pokok nipah agaknya. Kalau nak tahu cerita selanjutnya entrinya ada di sini.

Saya rasa pengalaman berperahu atau menaiki bot di Sungai Kilim, Langkawi lagi menyeronokkan berbanding dengan pengalaman berdayung di Sungai Mekong tu. Di Langkawi kawasannya lagi luas hingga ke lautan dan airnya lagi bersih. Ada banyak benda menarik dan semula jadi yang boleh dilihat dan dipelajari.

 

Gambar 2: Jeti dan bot-bot yang tersedia dalam keadaan baru dan baik.

 

Gambar 3:  Bergambar di pengkalan sementara menunggu giliran untuk menaiki bot.
 

Gambar 4: Dengan bantuan jurubot, inilah rombongan kami seramai 4 orang termasuk bendahari saya.


Gambar 5:
Kelihatan bot-bot yang bersimpang siur membawa pelancong di air yang jernih.


Gambar 6: Salah satu tempat singgahan adalah gua yang ada kelawar. Tapi sayang kami terpaksa patah balik kerana air pasang yang menaiki laluan.


Gambar 7: Kelihatan restoran-restoran terapung untuk kemudahan pengunjung yang kebuluran menjamu selera.


Gambar 8: Kita juga sepatutnya melalui gua ini dengan menaiki bot, tetapi kerana air pasang, bot kita tak celus.


Gambar 9: Kelihatan papan tanda "Kilim Geoforest Park" dari kejauhan. 

Seterusnya tiga keping gambar berikut menarik hati saya dan boleh dikira satu sejarah di mana dua orang anak saya menzahirkan kasih sayangnya yang tidak pernah dibuatnya semasa di daratan.


Gambar 10: Songkok Haiqal tak pernah tinggal. Inilah pengaruh baik sekolah agama semasa dia bersekolah rendah dahulu.


Gambar 11: Haifa duduk sendirian berjauhan dari Haiqal.
 

Gambar 12:  Nampak kekok. Kakaknya syak saya yang suruh buat begitu. 


Akhirnya saya ingin tunjukan video yang saya ambil sendiri dan dah pun upload ke Youtube.


 Perhatikan burung helang terbang melayang-layang menyambar makanan di permukaan air. Kalau tak nampak, sila pergi sendiri tengok. Hehe.


Kalau pihak berwajib dapat menambah beberapa tarikan lain di kawasan ini, saya percaya ia akan dapat menarik lebih ramai orang datang berkunjung ke sini lagi dan lagi dari seluruh pelusuk dunia. Misalnya kat salah sebuah dari pulau tu, buat pentas pertunjukkan kesenian tradisional, permainan tradisional atau masakan tradisional dsb.

Nasihat:


1. Kalau sesiapa yang nak datang ke sini, elok datang semasa air surut kerana saya tidak dapat masuk kedua buah gua kerana air tinggi.


2. Bagi perempuan usah pakai kasut tumit tinggi kerana boleh membahaya atau menyusahkan diri sendiri.
 

3. Elok buang air dulu sebelum naik bot, kerana bila sudah berada dalam bot, susah nak buat urusan itu.



Tuesday, June 2, 2015

KENAPA TAYAR SPARE KERETA CUMA SATU ?


Gambar hiasan hasil carian Google.

Kereta kita ada biji 4 tayar. Kenapa tayar spare yang kita bawa hanya sebiji sahaja. Kalau dibuatnya bocor 2 biji sekali, macam mana ? Kalau bocor 3 atau 4 biji sekali, lagilah pening. Habis tu, kenapa kita tak bawa 4 biji tayar spare ? Saya sendiri belum lagi pernah terjumpa ada pemilik kereta yang bawa tayar spare lebih dari sebiji.

Begitulah kita dalam kehidupan ini. Walaupun kita harus membuat persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang tidak diingini, namun persediaan kita itu haruslah tidak berlebih-lebihan atau di luar dari kebiasaanya.

Serupalah dalam kes tayar spare tadi, kemungkinan untuk tayar kita bocor atau pecah lebih dari sebiji dalam satu masa memang ada. Tetapi kemungkinan itu jarang-jarang sekali berlaku. Kalau berlaku juga, ia bolehlah dikatakan sebagai takdir dan perlu tindakan yang berlainan. Misalnya panggil trak untuk angkat kereta ke kedai tayar.

Kesimpulannya, perkara yang amat jarang berlaku janganlah digunakan sebagai sebab untuk kita membuat persediaan menghadapinya, kecualilah kalau tak ada kerja lain. Dengan itu kita boleh tumpukan perhatian dan tenaga kita kepada perkara-perkara yang biasa berlaku atau yang berkemungkinan besar akan berlaku.


Boleh tak kita gunakan (apply) prinsip ini dalam hidup kita seharian ?