Thursday, November 13, 2014

BAHASA MELAYU TIDAK PELIK # 2: GULAI LEMBU.


Bahagian mana yang dikatakan lembu itu ?

Selalu kita dengar orang kita jawab 'gulai lembu' atau 'lauk lembu' kalau kita tanya apa lauk dia makan di rumah orang kenduri tadi. Jawapan itu adalah berbentuk umum tapi maksudnya khusus iaitu gulai daging lembu. Maknanya bila dikatakan gulai lembu itu kita faham ia adalah gulai daging lembu, walaupun pada seekor lembu ada juga orang buat gulai dari perut lembu, hati lembu, paru-paru lembu, ekor lembu dan otak lembu dan lain-lain lagi.

Kalau mengikut terjemahan orang putih lembu itu 'cow' dan daging lembu itu dipanggil 'beef'. Oleh kerana ada istilah itu, sudah tentulah orang putih tak kata dia makan 'cow' tapi  'beef' untuk memberitahu menu makan tengahari atau makan malam mereka. Bahasa mereka lebih khusus tapi bahasa kita perlukan imaginasi. Cuma orang yang hidup dalam masyarakat dan menyintai budaya  Melayu sahaja yang akan dapat memahami maksudnya.

Jadi tak perlulah kita tanya 'bahagian mana' kalau kawan kita kata dia makan gulai lembu tengahari tadi. Faham-faham sahajalah.