Friday, November 11, 2016

MENGUTAMAKAN ORANG LAIN DALAM IBADAT, BUKAN TINDAKAN YANG TERPUJI.


Satu daripada kaedah Fiqh.


Sebagai orang Islam, ada dua kewajipan atau fardhu yang harus dilaksanakan. Pertama Fardu 'Ain dan kedua Fardhu Kifayah. Semua orang tahu apa dia. 

Cuma saya nak bahas sikit tentang kekeliruan sesetengah orang tentang pelaksanaan fardhu 'Ain. Kadang-kadang kerana terlalu ingin berbudi bahasa atau semata-mata kerana jahil, kita telah memberi salah keutamaan. Fardhu 'ain tertanggung ke atas diri kita sendiri melaksanakannya. Tidak boleh diwakilkan. Bila cukup syarat atau sampai waktunya, kita perlu lakukan, kecuali dalam beberapa situasi tertentu yag memerlukan perbincangan lebih lanjut di kesempatan yang lain.

Kalau tidak sia-sia sahaja amalan kita ataupun mungkin mendapat dosa pula. Dalam hal salah memberi keutamaan ini, saya kerap perhatikan dua tindakan kita yang saya rasa kurang tepat. Pertamanya yang paling biasa saya lihat ialah, bila kita beria-ia mempersilakan orang lain maju ke saf pertama semasa hendak sembahyang berjemaah sedangkan ruang yang kosong itu betul-betul di hadapan kita. Sepatutnya kita yang  ke depan mengisi kekosongan itu kerana ganjaran untuk orang yang berada di saf pertama tentulah lebih besar dari saf kedua dan seterusnya. Tak kisahlah orang yang kita persilakan itu lebih tua atau lebih tinggi pangkatnya dari kita. Akan tetapi jangan pulak sampai bertarik atau bertolak-tolak berebutkan tempat di saf pertama.

Keduanya, amalan anak-anak yang menghantar ibu bapa ke Mekah menunaikan Haji sedangkan dia sendiri belum menunaikan rukun yang ke lima itu walaupun telah mencukupi syarat-syaratnya. Alasanyanya mungkin kerana ibu bapa tidak berkemampuan dari segi biaya untuk pergi selain untuk membalas jasa.  Barangkali juga kerana terlintas pada fikiran mereka bahawa orang tuanya sudah uzur dan pada adatnya akan mati dahulu. Mana kita tahu siapa akan mati dahulu. Mungkin yang uzur boleh kembali sihat dan yang muda serta sihat walafiat dijemputNya dahulu. Menunaikan fardhu Haji adalah ibadah Fardhu Ain yang wajib ke atas mereka yang cukup syarat sedangkan ibubapanya belumlah cukup syarat dan terlepas dari kewajipan melaksanakannya.

Sebagaimana saya katakan tadi, kedua-dua tindakan itu adalah baik atau terpuji dari segi budi bahasa dan budaya akan tetapi tidak menepati kehendak syarak sebenarnya. Itulah yang dimaksudkan dengan petikan di atas iaitu "Mendahulukan orang lain dalam ibadah, DIBENCI (makruh). Namun dalam masalah lain DISUKAI".

Wallahua'lam. Saya bersedia diperbetulkan.

.

2 comments:

  1. Sangat cantik dan indah apa yg dipaparkan
    Realiti ilmu yg memang wajar diketengahkan & diingatkan.

    ReplyDelete

Kalau tak tahu macamana nak panggil saya, panggil je Pak Ngah. Semua komen yg berbentuk pertanyaan lambat laun akan cuba saya jawab. Terima kasih. Sila datang lagi.