Friday, December 28, 2018

KENAPA KITA ADA DUA LUBANG HIDUNG?



 Gambar hiasan hasil carian Google.

Di kepala kita ada dua biji mata, dua telinga, dua lubang hidung dan satu mulut termasuk lidah dan satu otak. Saya ingin membuat analisis ringkas satu persatu siginifikannya dari segi bilangan dan kedudukannya berdasarkan komensen saya sahaja.

1. Dua biji mata. Dia duduk depan. Apa yang berlaku kat belakang tak nampak. Jadi kalau ada apa-apa berlaku kat belakang, jangan memandai-mandai buat cerita. Awak bukannya nampak.

2. Dua telinga. Dia duduk kiri kanan. Jadinya sebelum membuat sesuatu penilaian atau keputusan dengar dulu pandangan orang kiri dan kanan.

3. Dua lubang hidung. Dia ada dua fungsi iaitu untuk menghidu dan juga bernafas. Barangkali sebab tu dia duduk tengah-tengah di sebelah depan. Punca bau dari mana pun dia masih boleh hidu. Misalnya buah durian yang masak kalau duduk samada kat belakang, kiri atau kanan, atas atau bawah, walaupun tak nampak, tetap boleh terbau. Sebagai fungsi pernafasan tak perlulah saya ulas kerana saya percaya anda tahu macamana nak gunakannya.

4. Satu mulut termasuk lidah. Kurangkan makan minum dan bercakap benda-benda yang tak perlu. Bagi saya ini yang paling susah terutamanya makan minum.

5. Otak. Otak duduk kat atas sekali dalam tengkorak yang kukuh. Secara simbolik ia sebagai pemerintah tertinggi yang terkawal dan mengawal segala pancaindera yang lain. Kalau dia sendiri kena kawal, lebih baik duduk kat vontot.

Demikianlah pandangan saya yang mungkin boleh jadi bahan renungan untuk kita semua. 





Monday, December 24, 2018

TERKENANG SEMASA DULU - 100: GILA BERMAIAN SALJI 4.

Sambungan dari entri ini.

Hari ini (22hb. Disember) sudah mula masuk musim sejuk di negara-negara hemisfera utara. Barangkali ini adalah entri terakhir saya bercerita dan menunjukkan gambar-gambar salji semasa saya bertugas di USA dulu sebab stok gambar yang sesuai dipaparkan, sudah habis, kecuali terjumpa gambar baru. Manalah tau kok ada kawan-kawan yang sama-sama bertugas di sana dulu ada simpan pulak.


Gambar: 32: Entah ada ke tidak lagi lagi pokok sebatang di hadapan rumah sewa saya ini.


Gambar 33. Salji tengah tebal di hadapan kediaman seorang kawan.


Gambar 34: Saya rasa ini gambar pada peringkat awal saya tinggal di USA kerana masih lagi memakai seluar 'bell bottom'.


Gambar 35: Tempat beli ikan, udang, sotong dan ketam. Nampak tak ada tulis 'crabs' kat belakang tu.


Gambar 36: Kelihatan di belakang kami orang main ski atas air batu yang asli. Masa tu tak teringin pulak nak main. Sekarang dah terlewat pulak.


Gambar 37: Sepasang ejen FBI muda yang mesra. 


Gambar 38: Kalau tak silap ini adalah bangunan Library of Congress.


Gambar 39: Bangunan yang sama seperti gambar 38 di atas. 

Demikianlah coretan saya mengenai salji dan cuaca sejuk semasa bertugas di USA dari tahun 1981 hingga 1984. Kini hanya tinggal kenang-kenangan yang semakin hari semakin hilang dari ingatan. Hajat nak ke sana lagi tu ada, tapi memikirkan jarak perjalanan yang mengambil masa yang lama, terpaksalah di lupakan. Buat masa ini saya dah tak larat lagi nak duduk lama-lama. Lainlah kalu ada orang sponsor tiket kelas pertama, boleh tidur baring. Hehe.


Tuesday, December 18, 2018

KISAH BENAR: PENJUAL COKELAT DI STESYEN PETRONAS.

*Entri tertangguh.

Cokelat buatan sendiri.


Minggu lalu seorang wanita pertengahan umur berjaja makanan menghampiri saya yang ketika itu sedang mengisi minyak kereta di stesyen minyak yang berdekatan dengan rumah saya. Dia minta saya beli cokelat (seperti dalam gambar) yang katanya dibuatnya sendiri. Kebetulan saya tidak membawa wang dan mengisi minyak menggunakan kad. Yang ada cumalah RM4 terselit di satu sudut dalam kereta saya manakala harga cokelatnya adalah RM6 sebekas. Saya tak sampai hati melihat mukanya yang sangat berharap kerana mungkin belum ada lagi keknya yang terjual pada hari tersebut.

Lalu saya berkata, "Saya minta maaf tak dapat beli kerana saya tak bawak duit. Yang ada cuma RM4 yang kebetulan terselit dalam kereta ni. Kalau mahu, ambil sajalah .."

Mukanya sikit berubah dan segera menjawab "Allahuakbar .. tak apalah bang, saya berniaga .."

Dengan pantas dia terus beredar. Tiba-tiba timbul dua perasaan dalam hati saya. Pertama. Rasa malu kerana tindakan saya itu menyebabkan wanita itu mungkin merasakan dirinya diperlakukan seperti orang yang meminta-minta. Kedua, rasa hormat dan kagum kepadanya walaupun dia sangat memerlukan wang tapi harga dirinya masih utuh.

Tadi sekembalinya dari mengambil barang dari pos laju Seremban, saya singgah mengisi minyak kereta anak saya di stesyen minyak yang sama. Anak saya yang memandu. Sebaik saya keluar, saya tak sangka berjumpa lagi dengan wanita itu di situ. Dia berjalan menuju saya dengan muka yang girang.

"Alhamdulillah saya jumpa abang lagi. Adalah rezeki saya hari ini". Lalu saya membeli sebungkus dan dia beredar dengan muka yang gembira mencari pelanggan yang lain.

Setibanya saya di rumah dan setelah masuk ke bilik tidur tetiba saya berasa sebak bila membayangkan jika isteri saya atau anak perempuan saya terpaksa berjaja sepertinya untuk membantu saya menambah pendapatan, sedangkan tiada seorang pun berminat untuk membelinya hingga ke petang. Lalu saya merasa sangat bersyukur dan merasa beruntung kerana rezeki Allah kepada saya tidak pernah putus-putus setakat ini. Moga-moga Allah terus memurahkan rezeki saya hingga ke hujung nyawa.

* Saya sebenarnya tidak gemar kek cokelat atau ais krim cokelat.