Monday, February 25, 2019

SANA SINI BOSSKU.

Gambar hiasan hasil carian Google.

Baru-baru ini saya berkesempatan bersembang dengan seorang kawan setaman. Walaupun duduk setaman, jarang juga ada kesempatan untuk bertemu begini. Kami berborak agak panjang juga lewat sarapan yang tak berapa pagi di sebuah gerai di area Ampangan. Dulu dia seorang pegawai tinggi di sebuah kementerian dan sudah bersara sejak setahun yang lalu. Kini dia sudah beralih arah. Sebelum PRU sehingga baru-baru ini dia penyokong tegar Dr M dan PH. Bila saya tanya apa sebab pendiriannya berubah, beginilah jawapannya lebih kurang.

"Bukanlah bermakna saya sokong Najib tapi saya dah hilang kepercayaan kepada PH. Saya tak kisah kalau janji nak hapuskan PTPTN, tutup tol, nak tutup kilang arak dan sebagainya tak dapat ditunaikan kerana saya tahu itu adalah janji-janji politik yang tak mudah dilaksanakan. Dan saya tak harap pun.  Yang saya fed up tu mereka cakap tak serupa bikin. Menteri-menterinya asyik nak berpolitik dan menyalahkan kerajaan dulu macam perangai pembangkang. Tapi bukanlah semua menterinya macam tu.  Gobind Deo, Antony Loke dan Menteri Kesihatan nampak ok. Mereka buat kerja dan kurang merapu".

Saya mencelah bertanyakan siapakah menteri yang merapu yang dimaksudkannya. Dia sebut beberapa nama tapi tak manis untuk saya tulis di sini. Kemudian dia menyambung lagi,

"Yang saya tak boleh terima ialah pemansuhan GST". Nada suaranya makin meninggi. 

"Kalau harga barang turun dan hasil bertambah tak apalah jugak. Sekarang gaduh bajet tak cukup. Kan ke sengaja cari penyakit. Satu lagi saya geram ialah tentang AES. Kata dulu nak hapuskan tapi sekarang bukan sahaja dikekal bahkan ditambah lagi bilangannya dengan pelbagai alasan ..".

Dia menggunakan ganti nama 'saya' bukan 'aku' mungkin kerana menghormati umur saya yang 4 tahun lebih tua dari dia.

Ada lagi perkara-perkara lain yang dia tak puas hati yang turut disentuhnya. Antaranya ialah isu LGBT, serangan kepada ugama Islam dan Raja-Raja Melayu. 

"Dia orang ni sudah sangat melampau memperlekeh ugama kita, sedangkan Dr M langsung tak buat apa-apa kenyataan atau teguran terhadap puak pelampau ni".

Suaranya bergetar dan nadanya tegas menyampaikan rasa hatinya yang seolah-olah telah tidak terganggung lagi untuk diluahkan.

Sebelum suhu menjadi terlalu  panas, saya mohon untuk beredar.  Sambil itu sempat juga saya bertanya pandangannya yang terakhir tentang fenomena bossku. Katanya benda tu takkan bertahan lama. 

"Takkan nak berbossku sampai PRU akan datang".  Saya pun fikir begitu. Saya rasa tak lama lagi jemulah mereka mengulang-ulang ungkapan yang sama.

Saya berkeras untuk bayar sarapan pagi itu untuk meredakan kemarahannya.

Nota kaki. Saya syak dia ni suka bawak kereta laju-laju. Tu sebab dia marah AES tidak jadi dihapuskan.



6 comments:

  1. hahahha pak Ngah ni tau, sempat lg hehehe

    tp kadang2 mmg ada yg gitu, sya tak suka campur org yg suka berpolitik, blh bergaduh jadinya...
    sya ni takla nk sokong mana2... cumanya kadang sya tak suka yg jenis suka melulu je... antar wassap berantai psl parti itu ini smpapi berjela2 sedangkan tak tau sahih ke tidaknya... fening

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau nak sokong mana2 parti pun tak apa tapi janganlah taksub sangat. Anggaplah ia satu proses demokrasi.

      Delete
  2. Selain bossku ada satu lagi tag line nya 'bukan biashe biashe heheheee...

    Rasanya apa yang kawan setaman PakNgah rungutkan itu rata-rata suara rungutan ramai pada masa kini #justmy2cents

    ReplyDelete
    Replies
    1. Entahlah. Saya perhatikan ada dua kem di taman saya. Sering bergaduh di grup wasap walaupun dlm grup wasap masjid.

      Delete
  3. salam singgah baca celoteh pak ngah dan bertanya kabar.

    saya tumpang baca ja.

    saya nk komen susah, saya muda lagi, saya naif bab politik.

    ReplyDelete
    Replies
    1. salam kembali. terima kasih kerana sudi singgah dan meninggalkan jejak. kalau awak tak singgah, sunyi sangat blog ini. macam cakap sensorang.

      Delete

Kalau tak tahu macamana nak panggil saya, panggil je Pak Ngah. Semua komen yg berbentuk pertanyaan lambat laun akan cuba saya jawab. Terima kasih. Sila datang lagi.