Gambar hiasan hasil carian Google.
Saya perturunkan tindakan-tindakan yang baik dan patut dari seorang tuan rumah bila menerima dan menjamu tetamunya makan. Ianya berasaskan kepada apa tindakan yang saya suka dilakukan oleh tuan rumah jika saya yang menjadi tetamu. Maknanya apa yang kita suka orang buat kepada kita, kita buatlah kepada orang lain.
1. Tunjukan muka yang benar-benar ikhlas dan gembira kerana tetamu sudi untuk berkunjung makan di rumah kita. Kalau kebetulan pada hari itu hari kita berkelahi laki bini, lupakan seketika. Sentiasalah senyum manis pada tetamu. Buat macam tak ada apa-apa yang berlaku.
2. Kemudian selepas sama-sama duduk atas kerusi atau bersila atas tikar, jangan lupa persilakan makan. Biarkan tetamu makan dengan tenang. Jangan asyik bertanya itu ini sampai lupa nak jemput dia makan. Kalau dia kelihatan teragak-agak nak mula, kita tolong bubuh nasi dalam pinggan dia. Tunggu sekurang-kurangnya tetamu sudah menyuap 5-6 kali suapan, barulah mulakan perbualan yang santai-santai. Jangan matikan selera tetamu dengan bertanya hutang dia bila nak bayar, misalnya.
3. Suruh ambil lauk dan kalau ia jauh dari capaiannya, sila dekatkan piring lauk itu dengan mengubah suai susun atur piring lauk atau pusingkan 'turntable' kalau ada. Termasuklah juga pencuci mulut dan sebagainya, dekatkan kepada dia pada masa yang sesuai. (Eh, betul ke perkataan turntable tu? ).
4. Kita pun makanlah sama-sama tapi mata kita sentiasa peka melihat tetamu apa yang tak ada atau kurang. Misalnya suruh dia tambah nasi. Tuang dan hulurkan air minum. Jangan hulur air basuh tangan pulak !
5. Beri kata-kata 'perangsang' supaya tetamu tidak teragak-agak untuk makan sampai kenyang. Misalnya, "habiskanlah lauk tu .. tak apa .. bukannya ada orang lain pun nak makan lepas ni" walaupun kita tahu anak kita berderet mengintai-intai di celah pintu bilalah tetamu nak habis makan.
6. Jangan sesekali kita berhenti makan sebelum tetamu berhenti makan dengan berkata, "aku dah kenyang .. jangan ikut aku .. awak teruskanlah makan". Walau pun anda berkata dengan jujur, tapi ia tidak kena pada tempatnya.
7. Bila tetamu sudah benar-benar kenyang dan 'merayu' untuk berhenti barulah kita habiskan makanan kita. Tak usahlah pulak kita tambah nasi lagi.
8. Akhirnya ucapkan rasa besar hati kepada tetamu kerana sudi makan di rumah kita. Dan beritahu tetamu dengan seikhlas hati bahawa rumah kita sentiasa terbuka menerima kunjungan dia lagi pada masa hadapan.
Kalau ini dapat kita lakukan, insyaallah tetamu itu akan ingat sampai bila-bila dan kita juga akan dapat rasa satu kepuasan kerana telah berjaya menjadi seorang tuan rumah yang baik.
Nota kaki: Ikhlas memang tak nampak dipandang tapi dapat dirasa atau dikesan dari nada dan intonasi suara serta melalui bahasa badan kita.