Friday, March 29, 2019

RISAUKAN DIRI SENDIRI.

Ada dua golongan yang terperanjat di akhirat kelak.

Golongan pertama terperanjat kerana pahala mereka hilang bahkan jadi muflis sedangkan mereka telah banyak membuat amal ibadat semasa hidup di dunia.

Golongan kedua terperanjat kerana mendapat banyak pahala sedangkan mereka tidak banyak melakukan amal ibadat semasa hidup di dunia.

Golongan pertama kehilangan pahala akibat suka mengumpat, memfitnah serta mengadu domba dan pahalanya berpindah kepada golongan kedua yang diumpat, difitnah atau menjadi mangsa adu domba golongan pertama.

Jadi jagalah diri dari perbuatan mengumpat, memfitnah atau mengadu domba, lebih2 lagi perbuatan mengumpat peribadi atau batang tubuh seseorang seperti mengatakan pendek, gemok, kembang, gelap, kerepot dsb. Jangan aibkan orang kerana kita juga punya aib. Tiada siapa tahu kesudahan hidup seseorang. Mungkin pendosa yang kita kutuk siang malam bertaubat dengan sebenar2 taubat dan Allah terima taubatnya serta mati dalam keadaan beriman sedangkan kita sendiri belum tahu lagi kesudahan hidup kita. Kalau kita rasakan kita suci, doakan mereka yang tersilap supaya segera bertaubat serta memohon Allah mengampunkan dosa2nya.

# Dalam rangka mengingatkan diri sendiri serta menyahut seruan saling berpesan-pesan kepada kebaikan.

Tuesday, March 19, 2019

PATUTKAH KITA LALAI?


Image result for moving
Gambar hiasan hasil carian Google.

Katalah kita dapat surat arahan bertukar (transfer order) ke kedutaan Malaysia di Norway untuk suatu tempoh yang tidak dapat dipastikan.  Dan kita diberi masa cuma 24 jam sahaja untuk membuat persiapan.

Pada masa itu mungkin kita tak ingat makan minum kerana sibuk membuat persiapan. Bermacam-macam benda yang perlu diselesaikan. Antaranya:

# Bagaimana dengan rumah, nak sewakan atau nak tinggalkan begitu sahaja? Kalau nak sewakan siapa nak uruskan mencari penyewa? 
Kalau nak jual tentu tak cukup masa dan siapa pulak nak uruskan.

# Bagaimana dengan kenderaan kita yang ada 2-3 buah tu. Nak jual ke tidak? Kalau nak jual, siapa nak uruskan. Kalau tak jual, siapa nak jaga?

# Bagaimana dengan persekolahan anak-anak ?

# Bagaimana dengan pekerjaan isteri dengan CIMB misalnya ?

# Nak lipat pakaian dan lain benda yang patut dan perlu dibawa.

# Nak cari beg untuk letak pakaian sendiri, isteri dan anak-anak.

# Nak cari pakaian panas kerana kerana cuaca di sana sedang tersangat sejuk.

# Nak buat paspot anak dan isteri yang telah luput masanya.

# Dan banyak lagi kalau nak disenaraikan.

Itu antara perkara yang perlu diuruskan dalam tempoh 24 jam. Begitulah misalnya kita hidup di dunia ini bila-bila tiba masa boleh diarahkan untuk "pindah" ke sana. Kita tidak diberi masa 24 jam tapi serta merta, tidak cepat atau pun tidak terlambat sesaat. Oleh hal yang demikian kita kenalah sentiasa standby atau bersiap sedia setiap masa dengan bekalan untuk ke sana.

Oleh kerana kita tak tahu bila nak "ditukarkan" kesana, tu sebab kita selalu lalai atau menyangka lambat lagi.

Ingatan untuk diri sendiri.


Sunday, March 10, 2019

KISAH SE PAGI DI KAMPUNG PAGI.

Pada 2hb dan 3hb Mac lalu kami seramai 10 orang kombinasi pemancing otai dan separuh otai telah pergi memancing di Kampung Pagi, Ulu Tembeling. Grup pertama seramai 4 orang pergi sehari lebih awal pada hari Jumaat petang.  Grup saya seramai 6 orang lagi bertolak pada pagi Sabtu dan kami semua balik selepas makan tengah hari, pada hari Ahad besoknya. Memang sekejap sangat, cuma semalam sahaja tapi nak buat macamana kerana masih ada peserta dalam kumpulan kami yang masih bekerja.

Hasilnya tidak berapa memuaskan kerana air sungai sangat cetek. Tapi  matlamat kami bukan semata-mata untuk mencari ikan. Kalau nakkan ikan, beli kat pasar lebih senang dan ekonomik. Alasan klise bila tak dapat ikan. Ikan itu perkara ke dua atau sampingan. Kalau dapat syukur, tapi kalau tak dapat tidak mengapa. Rezeki Allah yang tentukan. Mungkin bukan dalam bentuk ikan, tapi digantikan dengan keselamatan dalam perjalanan pergi dan balik. Itu pun rezeki juga dan ia lebih utama. 

Berikut saya kongsikan beberapa keping gambar. Jangan lupa baca 'caption' di bawahnya untuk mengetahui kisah yang berkaitan dengannya.



Gambar 1: Pasukan peninjau pertama yang bertolak sehari lebih awal.


Gambar 2. Dalam perjalanan dari jeti ke rumah rakit. Muka beseri-seri penuh pengharapan dan debaran.


Gambar 3: Inilah rumah rakit tempat kita bernaung selama dua hari satu malam. Sungguh selesa.

Gambar 4: Kami juga dihantar dengan bot untuk memancing di lubuk yang disyaki ada banyak ikan. Kawan saya sedang menanti sentapan ikan yang tak kesampaian sampai ke sudah. Tetapi pemandangan di belakang tu yang mahal yang dapat menghilangkan rasa hampa di dalam dada.

Gambar 5: Rezeki kawan saya di rumah rakit. Ikan sebarau datang menyerah diri memakan umpan pancingannya. 


Gambar 6: Kawan saya bergaya dengan ikan kerai dan ikan tengalan yang ditangkap di lubuknya.


Gambar 7: Seorang kawan saya menaikan ikan lampam yang boleh tahan besarnya. Kalau tak percaya cuba besarkan gambar tu.


Gambar 8: Saya juga mendapat seekor ikan menangis - kerai - cry, melalui pemancingan di rumah rakit. Tak yah penat-penat cari lubuk.


Gambar 9: Ikan sebarau yang kawan saya dapat dan kerai yang saya dapat dikorbankan sebagai lauk tambahan  makan tengah hari. Saya tak tahu siapa yang meratah ekor ikan kerai tu. Saya tidak mengesyaki sesiapa. Mungkin ikan yang kecik tu yang buat kot.


Gambar 10: Kami makan sambil bersila di atas lantai. Isteri tuan punya rumah rakit yang masak. Tentulah ikan sungai. Waktu malamnya di tempat yang sama saya tidur dengan kawan saya walaupun bilik mencukupi kerana ingin merasakan hembusan dingin angin malam yang segar dari sungai.


Gambar 11: Dalam bot masa nak balik. Kelihatan muka masing-masing nampak tak ceria walaupun nak balik rumah kerana sedih nak meninggalkan rumah rakit. Sebenarnya sedih sebab tak banyak dapat pun ia juga. Tapi pemancing tegar, tidak pernah kenal putus asa.


Video kami semasa akan bertolak ke jeti untuk pulang ke rumah dengan dilepaskan oleh Pak Uda iaitu tuan punya rumah rakit yang sangat baik hati dan juga sangat warak orangnya


Hati sayu meninggalkan rumah rakit tempat kita bersenda gurau, tidur baring, makan minum dan memancing. Insyaallah bila air sudah dalam sikit nanti, kita akan sampai lagi. Bukan jauh sangat pun. Cuma 326 km je perjalanan sehala.

Alhamdulillah kami selamat sampai ke rumah masing-masing tanpa sebarang insiden yang tidak diingini. Jalan jem tu biasalah. Terima kasih Allah.