Friday, January 31, 2014

NIKMAT YANG KERAP KITA TAK PERASAN


Gambar hiasan hasil carian Google.

Selalu kita dengar orang berkata "alangkah nikmatnya kalau aku ada benda itu". Tapi jangan kita lupa, tidak memiliki sesuatu itu pun kadang-kadang adalah satu nikmat.

Kadang-kadang kita juga tidak perasan atau tidak sedar yang kita sedang menikmati sesuatu sehinggalah sesuatu itu tidak ada pada kita.

Lawan kepada nikmat adalah azab. Ia tidak boleh datang bersama. Jadinya kalau kita tidak merasa azab pada masa ini, maknanya kita sedang merasai nikmat.

Misalnya kita selalu ambil mudah (take for granted) urusan buang air besar. Bila terasa, masuk tandas dan beberapa minit kemudian selesai. Lega. Sekarang cuba bayangkan kalau kita tidak dapat buang air besar selama 3 minggu terus menerus. Bukan 3 hari tapi 3 minggu. Mesti kita rasa azab kan ?

Kita duduk atau mencangkung dalam tandas berjam-jam lamanya tapi dia tak mahu keluar. Rasa ada. Dah dekat sangat, tapi dia tak juga mahu keluar. Pada saat itu baru kita sedar bahawa wang berjuta pun tidak ada gunanya.

Selepas ini kalau kita lihat orang tu ada banglo 7 bilik tidur, kereta Mercedes, ada Estima, ada Kelisa dan motorsikal jangan cemburu. Entah-entah dia sedang menanggung azab kerana tak dapat buang air besar sudah 3 minggu. Dan kalau kita tidak mengalami azab tersebut, bersyukurlah sebanyak-banyaknya kerana kita sebenarnya sedang mengalami nikmat, iaitu nikmat boleh buang air besar tanpa sebarang masalah. Itu baru satu contoh nikmat.

Kesimpulannya, kalau kita tidak mengalami sebarang masalah pada masa ini, maknanya kita sedang menikmati kehidupan ini dan dengan itu banyak-banyaklah bersyukur agar Allah menggandakan lagi nikmatnya. 

Sudahkah anda mengucap syukur kerana masih boleh dan dapat membaca entri ini ?


Thursday, January 30, 2014

INI CERITA SAYA PULAK - LAWATAN KE BUKIT TINGGI DAN PADANG, INDONESIA SEPINTAS LALU.

Dari 12/11 hingga 15/11/2013 saya bersama 5 orang rakan lagi melancong ke Bukit Tinggi dan Padang, Sumatra. Belanjanya sangat murah. Tiket hanya RM188.00 je seorang, pergi balik. Bayaran makan, hotel dan kenderaan pulak cuma RM350.00 sahaja sekepala.

Lebih senang rasanya saya nak cerita seiring dengan gambar.



Gambar 1: Sebelum memulakan perjalanan kena ada alas kaki yang betul. Pengalaman saya pergi Saigon tahun sebelumnya mengajar saya memilih alas kaki yang sesuai. Memang selesa kasut ini.


Gambar 2: Saya bawa 3 juta pun tak habis sebab banyak tempat yang terima dan lebih suka dengan duit RM kita selain menerima kad kredit.


Gambar 3: Bandara (Bandar Udara) Minangkabau dari tempat duduk saya dalam pesawat.


Gambar 4: Pintu gerbang pertama yang di lalui.
.

Gambar 5: Persinggahan pertama. Nampak tak air terjun kat belakang kami ? Kami tak mandi walau ada di kalangan kami yang belum mandi kerana nak menjimatkan masa.


Gambar 6: Persinggahan kedua. Model Rumah Gadang yang menjadi Pusat Dokumentasi Dan Informasi Kebudayaan Minangkabau, Padang Panjang, Sumatera Barat, Indonesia.


Gambar 7: Taklimat ringkas yang sangat informatif diberikan oleh petugas Rumah Gadang ini. Kalaulah kat Muzium atau Pusat Penerangan Pelancongan kita ada khidmat macam ini kan bagus !




Gambar 8: Saya berdiri ditengah dengan diapit oleh dua pasangan di kiri dan kanan saya.

 

Gambar 9: Salah satu kedai menjual kain baju yang disinggahi. Nasib baik Makngahnya tak pergi, kalau tidak 3 juta pasti tak cukup.



Gambar 10:  Dari tepi jalan menghala ke Tasik Maninjau. Pemandangannya sungguh mempersonakan. Rasa tak nak balik.



Gambar 11: Salah sebuah masjid yang tersergam cantik di kelilingi sawah padi.


Gambar 12: Kami hanya sampai setakat kelok 37 sahaja dan harus beredar kerana ada banyak tempat lagi yang ingin di lawati. Lain kali kalau pergi lagi saya teringin nak sampai ke rumah almarhum Pak HAMKA yang berada di penghujung jalan..


Gambar 13:  Di kiri gambar adalah surau yang terapung dengan air kolam datang dari air gunung yang sejuk, jernih dan bersih.


Gambar 14: Di mana-mana tempat perhentian pelancong akan adalah orang berdagang. Gigih sungguh orang sini mencari penghidupan. Saya teringat saudara saya peneroka FELDA yang duduk goyang kaki kerana segala kerja diupahkan kepada orang dari Indonesia.



Gambar 15: Nama "Pandai Sikek" ada dalam lirik lagu Minang - Ayam Den Lapeh.



 Gambar 16: Dalam perjalan balik untuk bermalam di Padang, saya lihat bangunan ini yang sangat unik rupabentuknya yang merupakan sebuah masjid yang masih dalam pembinaan.  

Saya petik pengenalan mengenai masjid ini dari Wikipedia:



Masjid Raya Sumatera Barat atau juga dikenal sebagai Masjid Mahligai Minang adalah salah satu masjid terbesar di Indonesia yang terletak di Kecamatan Padang Utara, Kota Padang, Sumatera Barat. Masjid yang pembangunannya masih dalam tahap pengerjaan ini merupakan masjid terbesar di Sumatera Barat.
Pembangunan masjid ini dimulai dengan peletakan batu pertama pada 21 Desember 2007 oleh Gubernur Sumatera Barat saat itu, Gamawan Fauzi. Pengerjaannya dilakukan dalam beberapa tahap yang terkendala karena hanya mengandalkan dana APBD Sumatera Barat.
Hingga saat ini pemakaian masjid ini untuk aktivitas ibadah belum dapat dilakukan karena ketiadaan fasilitas listrik dan air bersih.[1] Meski tidak rutin, masjid ini sudah difungsikan untuk berbagai kegiatan; tabligh akbar dan pelaksanaan Salat Ied. Selain itu, kegiatan wirid di lingkungan pegawai negeri sipil pemerintah provinsi Sumatera Barat dipusatkan di masjid ini.

Banyak juga tempat di dunia ini (selain Mekah dan Madinah) yang telah saya lawati, tetapi tidak teringin sangat nak pergi melawat lagi, tetapi tidak dengan Bukit Tinggi. Entah kenapa ? Mungkin  tempat ini adalah tanah tumpah darah nenek moyang saya sebelum mereka berhijrah ke di Negeri Sembilan, beratus-ratus tahun dulu.

Cerita selanjutnya mengenai apa yang saya makan di sana ada di sini.








Wednesday, January 29, 2014

WW # 102 - HANYA DI MALAYSIA DI LARANG KERAS MEMBUAT LUBANG !


Monday, January 27, 2014

BETUL KE PEKERJA MALAYSIA BERMASALAH ?


"Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKA-PATI) menetapkan semua restoran berkonsepkan makanan segera di negara ini tidak dibenarkan menggaji pekerja asing"

Berikutannya timbul rasa tidak puas hati dizahirkan oleh majikan terhadap keputusan JKKA-PATI itu. Alasan mereka ...

1. Pekerja Malaysia tidak rajin. Saya dengar satu temuramah di tv ada seorang majikan berkata, produktiviti seorang pekerja asing bersamaan dengan 3 orang pekerja tempatan.

2. Pekerja Malaysia tidak berdisiplin. Ada majikan berkata, pekerja tempatan sering bercuti ikut suka, lewat sampai, cepat balik, lembab dan macam-macam lagi.

Soalan saya. Adakah pekerja asing itu samada dari India, Nepal, Indonesia dan sebagainya memang rajin secara genetik atau mereka rajin disebabkan keperluan atau tekanan hidup di negara masing-masing ?

Saya rasa secara semula jadinya, kalau kita bekerja di perantauan, kita akan bekerja dengan tekun. Banyak bukti-bukti pekerja Malaysia yang bekerja di luar negeri merupakan pekerja yang baik dan disukai oleh majikan mereka. Lagipun kalau kita diperantuan kita tak dapat balik kampung setiap hujung minggu melawat keluarga, bila musim durian, bila kenduri kendara dan sebagainya.

Entahlah.  Itu hanya pendapat saya. Kalau tak setuju, tak apalah tapi janganlah marah ek !




Wednesday, January 22, 2014

WW # 101 - TANDAS SUDAH TIADA LAGI.


Wednesday, January 15, 2014

WW # 100 - AKU KELIRU, YANG MANA SATU PERKASA ?






* Genap 100 entri WW kali ini.

Monday, January 13, 2014

DERI FESBUK # 5 - KISAH RAMBUTAN DAN MANGGA.


5 minutes ago via Mobile

Ada orang kata saya tidak berhak ke atas buah rambutan dan mangga yang saya tanam di luar pagar rumah saya. Setuju. Tapi awak LAGI tak berhak sebab bukan awak yang tanam dan bukan di luar pagar rumah awak. Tapi awak yang saya maksudkan itu bukanlah awak. Hehe.
 


Tag photo Add location Edit


Friday, January 10, 2014

MENGENALI PERIBADI RAKAN SEPEMANCINGAN.



Gambar katun hasil carian Google.

Melalui aktiviti memancing kita dapat mengenal peribadi rakan sepemancingan kita dan begitulah sebaliknya rakan sepemancingan kita dapat mengenal peribadi kita. Kita boleh menilai samada rakan kita itu bertimbang rasa, bertolak ansur, mahu berlebih kurang, mementingkan diri sendiri, kedekut dan sebagainya.

Saya pernah diceritakan tentang perangai seorang pemancing, bila pergi memancing dan ditakdirkan dia sorang  tak dapat ikan sementara orang lain semuanya dapat, dia akan berkata:

"Kita pergi secara berkumpulan, susah senang bersama. Jadi ikan-ikan yang kita dapat tu sepatutnya kita bagi sama rata"

Pada masa yang lain, dia pula mendapat ikan yang banyak dan ada di antara rakan sepemancingannya yang langsung tak dapat, lain pulak dia kata:

"Kita memancing ini rezeki masing-masing. Sesiapa yang tak dapat ikan itu kenalah kaji puncanya samada umpan tak sesuai ke,  mata pancing tak kena saiz ke .. bla bla bla  !

Orang jenis ini saya tak tahu nak labelkan apa ?

Wednesday, January 8, 2014

WW # 99: KALAU PANDAI TEKNIKNYA, BENDA KECIL PUN NAMPAK MACAM GERGASI !


Sunday, January 5, 2014

CERITA TUAH AYAM NAMPAK DI KAKI LAGI.

Berkuatkuasa mulai 1/1/2014, seorang kenalan rapat saya Dato' Mohamd Khalid bin Hj Shariff telah memulakan tugas sebagai Ketua Setiausaha,  Kementerian Dalam Negeri menggantikan Dato' Seri Abd Rahim Radzi yang bertukar ke kementerian lain.

Saya mengenali Dato' Mohamad  Khalid sejak tahun 2002 kerana kami sama-sama pernah bertugas di Bahagian dan Kementerian yang sama iaitu Kementerian Dalam Negeri. Kebetulan pula pada masa itu saya mengetuai satu Bahagian dan dia menjadi timbalan saya di Bahagian tersebut. Kini dia mengetuai kementerian tersebut dan ia umpama 'belut pulang ke lumpur'  atau 'sirih pulang ke gagang'. Sudah tentulah saya tumpang gembira dan berbangga dengan perlantikan beliau ini.

Jadi saya tahulah serba sedikit tentang peribadi, prestasi dan akal budi beliau. Beliau adalah seorang yang tak banyak bercakap tapi banyak dan cekap bekerja. Hinggakan ada yang berkata, "kalau Khalid yang buat, kira bereslah tu". Begitulah keyakinan kita kepada beliau.



Gambar 1: Dato' Khalid bersalaman dengan Dr Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara.  Dipetik dari twitter Dr Ali Hamsa.


Bambar 2: Saya duduk di kiri sekali dan dia pula duduk di sebelah saya.


Gambar 3. Pertemuan terbaru saya dengannya di majlis cukur jambul cucunya di rumah beliau.


Selamat bertugas Dato' Khalid dan saya mendoakan agar anda mampu  mengatasi segala cabaran dan halangan yang menanti agar Kementerian Dalam Negeri berjaya mencapai visinya demi kebaikan rakyat dan negara Malaysia keseluruhannya.





Friday, January 3, 2014

KENAPA NAK IKUT MACAM AKADEMI FANTASIA ?




Saya tak tahu adakah progam Akademi Fantasia (AF) ini memang asal usulnya dari Malaysia atau pun tiruan dari produk luar negara. Namun apa yang saya perhatikan formatnya seakan-akan format American Idol. Entahlah.

Dalam program AF, sekumpulan pelajar masuk akademi dan dilatih oleh guru-guru yang berwibawa untuk menjadi penyanyi atau penghibur. Setiap minggu dibuat konsert dan setiap pelajar diminta membuat persembahan dan mereka diadili melalui undian SMS penonton. Lalu disingkirkanlah pelajar yang persembahannya tidak memenuhi citarasa penonton. Seolah-olah peserta yang tersingkir itu dibuang sekolah kerana telah berbuat jahat. Maka pelajar tersebut tak sempatlah nak habis belajar. O.k lah kalau program ini semata-mata bertujuan komersial.

Akan tetapi apa halnya pulak dengan program berbentuk keagamaan seperti Akademi al-Quran, Imam Muda dan terbaru Pencetus Ummah yang terikut-ikut dengan program AF itu. Kenapa tidak peserta program agama ini diajar atau belajar sampai tamat dan kalau pun mereka mahu diadili dan diberi hadiah, biarlah selepas mereka semua tamat belajar. Bukankah itu lebih bermanfaat dan ikhlas untuk melahirkan qari, imam atau Pencetus Ummah ?

Entahlah !

Wednesday, January 1, 2014

WW # 98: SEPENTAS BERSAMA PAK LAH.