Tuesday, March 25, 2014

SESUNGGUHNYA TEMPAT SUAMI ADALAH DI SISI ISTERI.

Mulai hari ini (25/3/2014), saya akan bersiaran dari Kampung Alor Sena, Kangar, Perlis. Saya akan berada di sini untuk suatu tempoh yang belum ditetapkan. Semuanya bergantung kepada keadaan dan ketentuan Allah swt jua.  

Ini adalah kampung tempat kelahiran Makngahnya. Dia telah balik lebih awal bersama dengan bapa mertua dan Ifa anak perempuan saya pada penghujung tahun lalu. Dia perlu balik terlebih dahulu kerana hendak menyelia  kerja-kerja pengubahsuaian rumah bapa mertua saya. Kami tambah satu bilik bawah untuk kemudahan bapa mertua saya yang sudah sangat uzur dan tidak larat lagi untuk menaikki tangga. Sebelum ini dia tinggal dengan kami di Seremban selama kira-kira 5 tahun.


Gambar 1:  Gambar keluarga lebih 10 tahun lalu semasa bapa mertua saya masih sihat dihadapan rumah yang saya maksudkan.

Mulai hari ini, saya harus membuat beberapa pengubahsuaian kepada rutin hidup saya selama ini. Saya tidak fikir itu akan menjadi masalah besar, kecuali kalau tiada tempat memancing di sini.

Apa-apa pun saya sangat gembira dan bahagia bila dapat bersama kembali dengan Makngahnya dan Ifa, anak perempuan bongsu saya yang menemani ibunya dan telah pun bersekolah di sini. Tentulah Haiqal juga, anak lelaki bongsu saya yang menemani saya di Seremban selama ini juga akan  gembira dapat bersama dengan ibunya semula tetapi dengan Ifa saya tidak pasti samada Iqal akan gembira atau tidak.


Gambar 2:  Nampak tak mandor berjubah hitam bercekak pinggang sedang menjalankan tugas menyelia kerja-kerja pengubahsuaian.


.


Gambar 3:  Bilik tambahan yang saya maksudkan sedang dalam pembinaan.
 

 

Gambar 4: Rupa rumah yang telah selesai dibuat sedikit penambahan dan ubahsuai.



Gambar 5: Inilah sekolah tempat anak-anak saya bersekolah.


Banyak sebenarnya pengalaman yang ingin saya ceritakan selama menjadi
 'bapa tunggal' untuk beberapa bulan,  tapi biarlah saya simpan sendiri. Cuma saya harus menyampaikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada adik beradik dan saudara mara saya serta sahabat handai yang kerap bertanya khabar, menghantar lauk dan kueh untuk saya dan Haiqal dan juga membelanja saya makan di luar. Budi baik anda semua tidak akan saya lupakan sampai ke akhir hayat.

Kesimpulannya apa yang ingin katakan bahawa sesungguhnya tempat suami adalah di sisi isteri.



Friday, March 21, 2014

BUTANG BAJU KU TERTANGGAL.


Tadi semasa duduk menunggu khutbah disampaikan, saya ternampak ada satu benang terjulur kat baju saya. Saya tarik, tarik dan tarik. Akhirnya ia terlepas bersama dengan sebuah butang baju yang saya pakai. Saya pun memerhati dan mencari di mana butang itu mendarat, tapi tak nampak kelibatnya. 
 
Harga butang tu taklah mahal mana tapi dari pengalaman lalu, adalah agak sukar untuk membeli butang yang punya bentuk dan warna yang sama. Bahkan belum pernah lagi saya dapat membeli butang yang serupa dengan butang sedia ada. Kalau digantikan tempat yang kosong, nampak tak cantik.

Selepas mata melilau beberapa ketika, saya pun putus harapan. Mungkin ia telah tersepak oleh lepas seorang seorang jemaah yang memenuhi setiap ruang kosong di dalam masjid. Lalu saya berkata dalam hati ..

"kalau nak jumpa,  jumpalah".

Selepas sembahyang Sunat Ba'diyah, saya pun beredar menuju ke pintu masjid untuk segera keluar kerana saya tak mahu  anak saya menunggu lama di kereta di tengah-tengah panas terik mentari.

Tanpa saya duga, saya terlihat butang itu terletak di atas permaidani  beberapa saf di belakang saya. Tadi saya cuma mencarinya dengan pandangan mata di hadapan dan di kiri kanan saya sahaja. Rupanya dia telah terlepas ke belakang.

 
Inilah gambar butang yang saya maksudkan itu.

Dari peristiwa ini, tetiba sayang teringat akan usaha mencari kapalterbang MH370 yang masih belum dijumpai itu. Kalau Allah hendakkan kita menjumpainya, maka terjumpalah.


Thursday, March 20, 2014

SONYUM SOKOJAP 67 - 3G



 Gambar hiasan hasil carian Google.

Beberapa hari lalu saya belikan henfon baru untuk Iqal (anak bongsu saya) sempena hari lahirnya. Semasa membelek-belek telefon barunya, dia bertanya:

"3G tu apa ayah ?"


Saya sebenarnya tidak tahu jawapannya tapi dengan yakin saya menjawab:

"3G tu lebih baik dari 2G tapi 4G lagi baik".

Tanpa menoleh kepada saya Iqal menjawab:

"Ye lah tu".
  Saya dapat mengesan ada sedikit nada menyampah pada suaranya.




 Ayah mana mahu kalah. Hehe.

Wednesday, March 19, 2014

WW # 105: BERSELFIE SEMENTARA MENUNGGU IKAN BAKAR.


Saturday, March 15, 2014

KEMUNCULAN SHARAMLI SI GADIS SUNTI.

Sejak akhir-akhir ini saya sudah malas berblog. Ramai kenalan yang telah mengundur diri. Salah seorang ialah gadis manis bernama Sharamli. Kali terakhir dia membuat entri ialah kira-kira setahun yang lalu.

Tadi saya semak dashboard, tengok ada komen dia yang terperangkap.  Antara lain katanya "uncle tak pernah tak rajin nak update kan".



Komen yang tidak disangka-sangka dari Sharamli

Sebenarnya uncle sudah tidak lagi rajin nak update tapi tidak pula berhasrat untuk bersara terus kerana nampaknya blog uncle secara puratanya mendapat 500 kunjungan setiap hari. 

Bagi saya sebagai seorang blogger bukan sepenuh masa ini, jumlah itu adalah besar.  Bahkan ada dua entri saya telah mendapat lebih 10 ribu pageviews, mengatasi semua entri yang lain. Yang menghairan dan menggembirakan saya ialah kedua-dua entri tersebut berkaitan dengan pantun kerana selama ini saya mengandaikan bahawa entri berkaitan pantun (atau puisi) tidak akan dibaca ramai orang. Rupanya anggapan saya meleset sama sekali.


Entri bertajuk Pantun Lawak Ori mendapat 11,571 pageviews.



Entri bertajuk "Panduan Ringkas Cara-Cara Mengarang Pantun" mendapat 14,413 pageviews.
 

Di samping itu saya juga menerima mesej dari Sdr Jasri Samad minta kebenaran untuk mencetak pantun saya dari page "Pantun Lawak Ori" mungkin di atas cawan atau baju 't' dll seperti di bawah.


Hati siapa yang tak kembang bila karya kita dihargai orang walau tidak mendapat apa-apa imbalan kewangan. 

Terima kasih Sharamli kerana sudi berkunjung ke blog uncle dan komen awak menyebabkan uncle membuat entri ini. Seperti biasa komen awak seronok di baca.


p/s: kenapa awak masih tak kawen lagi sampai sekarang ?
 

Sunday, March 9, 2014

TERKENANG SEMASA DULU 83 - NEW ORLEANS, LOUSIANA - 1984.

Saya pergi naik kapalterbang dari Washington D.C ke beberapa buah bandar di selatan USA atas urusan rasmi. Bila sampai kat airpot (dah lupa nama) saya sewa kereta, kemudian pergi ke tempat-tempat tujuan. 

Bila nak balik, saya tinggalkan kereta kat aiport yang lain bukannya airpot tempat saya mula-mula turun tadi. Tentulah kat cawangan syarikat sewa kereta yang sama. Mudah kan?

Kat Malaysia boleh ke buat cam itu ? Contohnya dari KL  turun kat airport di Kuala Terengganu. Kemudian sewa kereta kat situ dan selepas digunakan beberapa hari kita tinggalkan kat syarikat cawangannya di airport Kota Baharu? 

 

Gambar 1: Di belakang tu kelihatan kapal persiaran sedang menunggu penumpang.
.

Gambar 2: Kapal persiaran untuk belayar di sungai Mississippi - sungai yang terpanjang di dunia.
 

Gambar 3: Kuda tu macam cakap ..  "naiklah .. tunggu  apa lagi".


 Gambar 4: Inilah kereta yang saya sewa itu. Tak tahulah ada kena saman had laju atau tidak .. hehe. Perasan tak, nombor plet kereta belah depan tak ada ?

Pengalaman memandu di sana sungguh menyeronokan (kecuali kalau dalam salji)  kerana umumnya semua pemandu adalah sangat berhemah. R & Rnya banyak dan sangat bersih. Keduanya yang lebih menggembirakan,  tak ada tol walaupun jalanraya dan jambatannya luas serta disenggara dengan elok sekali.




Sunday, March 2, 2014

KALAULAH SAYA BORONG SEMUA DURIAN ...



Gambar hiasan hasil carian Google.


Katalah saya ada banyak duit. Saya beli/borong/pajak semua durian yang sedang berbuah di seluruh negara. Saya buat perjanjian dengan pemiliknya supaya tidak menjualnya kepada orang lain. Bila ada orang lain datang nak beli, sudah tidak boleh lagi melainkan mereka datang berjumpa saya. 

Maka paniklah semua peraih durian di seluruh Malaysia kerana musim ini tidak ada lagi buah durian untuk mereka perniagakan. Mereka pun berduyun-duyun berjumpa saya untuk berunding. Maka saya pun tarik harga. Masing-masing peraih pun mula berlawan sesama sendiri menawarkan harga yang tinggi kepada saya. Maka makinlah saya jual mahal.

Kemudiannya selepas saya mendapat tawaran harga yang saya inginkan, katalah 10 kali ganda dari harga borong saya, barulah saya menjualnya kepada peraih yang telah membuat bidaan yang tertinggi.

Agak saya begitulah caranya sindiket yang menyebabkan harga rumah melambung pada masa ini.  Bukannya rumah tak cukup atau tak ada, tetapi ada sindiket tertentu telah memborong semua rumah yang sedang dalam pembinaan seperti angan saya memajak durian di atas.