Pernah sekali pada tahun 2006, saya pergi ke London atas urusan rasmi membawa bekas tunang saya. Tambang dan makan minum dia, saya yang tanggung. Tempat tinggal adalah percuma kerana dia menumpang di bilik saya. Saya tak ingat berapa lama kami pergi, tapi kalau tak silap rasanya hampir dua minggu.
Di masa senggang sempat juga kita curi-curi melawat tempat-tempat menarik di sekitar London yang biasa dilawati orang. Sebenarnya dah banyak keluar gambar tersebut dalam entri-entri sebelum ini. Kali ini saya cuba masukkan gamba-gambar yang saya rasa belum tersiar. Kalau berulang, maaflah. Saya sangat teruk dalam membuat indeks penyimpanan gambar. Saya tak ingat susunan tarikh tapi saya susun ikut baju yang Makngahnya pakai. Ada gambar yang sengaja saya kaburkan muka kami kerana mahu anda fokus kepada subjek cerita.
Seterusnya saya nak cerita lawatan kami berdasarkan gambar-gambar terpilih seperti di bawah. Kalau anda malas baca apa yang saya tulis di bawah gambar-gambar tersebut, maka tak tahulah apa ceritanya.
Gambar 1: Selesa nampaknya bekas tunang saya (Makngahnya) dapat tempat duduk kelas perniagaan ni.
Gambar 2: Di London kami duduk di apartment milik orang Malaysia. Cukup selesa. Kalau nak jimat belanja boleh masak sendiri kerana ada dapur yang lengkap. Ia terletak bersebelahan dengan masjid. Saya sempat sembahyang Jumaat di masjid ini. Kerana terlalu ramai jemaah, sembahyang terpaksa dibuat dua kali.
Gambar 3: Di hadapan istana Buckingham yang merupakan salah satu tempat wajib di lawati.
Gambar 4: Gambar istana dari jarak yang lebih jauh. Lapang sungguh kawasan di depannya. Boleh pasang khemah buat kenduri kahwin.
Gambar 5: Orang perempuan tak boleh tengok bunga, mesti nak bergambar punya. Layan je la !
Video 1: Depan istana Buckhingam yang sentiasa meriah dengan pelancong.
Gambar 6: Terasa dunia ini kecil bila terjumpa kenalan dari Malaysia di Oxford Street tempat ramai orang membeli belah. Adapun saya tiada dalam gambar ini kerana ditugaskan untuk mengambil gambar mereka.
Gambar 7: Kami ke hulu ke hilir menaiki keretapi atau bas atau menapak. Tempat menunggu basnya tak sama macam kat tempat kita. Kat Malaysia kita duduk mengadap jalan tapi di sini sebaliknya. Kenapa entah ?
Gambar 8: Nampak tak perkataan MARA kat belakang tu. Kita makan tengah hari kat sini.
Gambar 9: Sedang menunggu keretapi dalam salah sebuah stesyen keretapi bawah tanah.
Gambar 10: Kelihatan gedung membeli belah Harrod di belakang tu. Kami masuklah juga, tapi sekadar untuk menjamu mata sahaja kerana tak ada barang yang kami betul-betul berkenan.
Gambar 11: Kita shopping kat Liverpool Street je iaitu tempat membeli belah golongan marhaen.
Gambar 12: Di pintu masuk bangunan Madam Tussauds, muzium patung lilin orang-orang terkenal di seluruh dunia.
Gambar 13: Tak dapat bergambar dengan selebriti yang sebenar, dapat bergambar dengan patungnya pun jadilah.
Video 2: Menyelusuri Sungai Thames. Kelihatan Tower Bridge di belakang sana yang sering orang keliru ingatkan itu London Bridge.
Gambar 14: Di
sini ada cerita menarik sedikit. Kita naik keretapi berlainan koc. Ada
seorang kawan tak turun masa kita ramai-ramai turun di sini. Bila
keretapi jalan, baru kita nampak dia kat koc belakang. Terpaksalah kami
duduk melepak sini sementara menunggu dia pataih balik.
Gambar 15: Kami sempat membuat persembahan singgah bergambar di hadapan Royal Albert Hall dalam perjalanan ke airport untuk balik ke tanah tumpah darah yang tercinta. Kalau tak silap saya di dewan ini pernah arwah Sudir dan CT buat persembahan suatu masa dulu.
Sungguh cantik perigi orang,
Cantik lagi perigi saya;
Sungguh cantik negeri orang.
Cantik lagi negeri saya.
Gambar 16: Sebuah cenderamata Tower Bridge untuk kenang-kenangan. Saya perhatikan ramai yang terkeliru (termasuk saya sendiri sebelum kena tegur ) kerana menyangka ini adalah London Bridge.
Perhatian: Saya teringat bagaimana beg tangan Makngahnya kena curi. Sampai bila-bila pun saya tak boleh lupa bagaimana liciknya perbuatan si pencuri itu. Ceritanya begini. Pada satu pagi kami satu grup minum kat sebuah restoran tak jauh dari Marble Arch. Oleh kerana meja sempit, Makngahnya meletakkan beg tangannya di bawah meja di celah-celah kaki kami seramai 7-8 orang.
Bila dah habis makan dan nak beredar, dia pun membongkok untuk mengambil begnya di bawah meja. Tetiba mukanya berubah kerana mendapati begnya sudah tiada. Saya dan lengkawan yang lain turut membongkok melihat ke bawah meja. Ternyata ia sudah ghaib. Langsung tak perasaan masa bila beg tersebut dicuri. Lepas insiden itu kami sangat beringat. Sesungguhnya musibah yang kecil itu sebagai peringatan untuk elakkan musibah yang lebih besar. Mujurlah yang hilang hanya beg, duit pound dan henfon. Passport tinggal kat bilik. Kalau pasport hilang, lagi berat masalahnya.