Wednesday, January 30, 2013

WW # 61: ALA TOMEI TOMEI !


TERKENANG SEMASA DULU 73 - CAPITOL HILL

Capitol Hill adalah umpama Parlimen kita. Semasa saya bekerja di USA pada awal tahun 80an dulu, saya pernah melawatnya beberapa kali samada dengan Makngahnya atau menemankan pelawat dari Malaysia.  Sejak itu apa-apa peristiwa penting yang berlaku di situ, sering menarik perhatian saya. 

 

Gambar 1: Baru-baru ini satu sejarah penting dan sangat bermakna telah terpahat di mana solat Jumaat telah diizinkan untuk didirikan di situ.

 

  Gambar 2: Sejak Obama berjaya dipilih semula untuk menjadi presiden negara Amerika Syarikat bagi penggal ke dua, Capitol Hill rancak semula dengan pelbagai aktiviti.

 

 Gambar 3: Capitol Hill di musim dingin diambil pada penghujung tahun 1984. Gambar kitar semula


Gambar 4: Menemani dua orang pegawai tinggi dari Malaysia yang membuat lawatan ke sini.


Gambar 5: Gambar ini hingga gambar 8 adalah pada hari yang sama berdasarkan pakaian yang kami pakai. Yang jelas masa ini adalah musim bunga.


Gambar 6: Di tangga di luar bangunan Capitol Hill. Saya tak pasti siapakah yang telah menjadi mangsa mengambil gambar kami. Perasan tak janggut Makngahnya semakin lebat ?

Sekarang mari kita lihat apa ada di dalam bangunan ini pulak ..



Gambar 7:  Berlatarbelakangkan binatang buas yang telah mati keras.


Gambar 8:  Kalau tak silap ini patung Abraham Lincoln - presiden Amerika yang telah menghapuskan amalan perhambaan di Amerika Syarikat.


Gambar 9: Yang ini saya tak ingat lagi apa benda yang berada di belakang kami. Nampak macam pelamin.


Gambar 10: Sebahagian kenderaan untuk terbang ke angkasa lepas.


Gambar 11: Tak lupa membeli sebuah pinggan sebagai tanda kenang-kenangan yang masih ada dalam simpanan.

Saya terfikir akan betapa benarnya kata orang tua-tua bahawa dunia ini ibarat roda,  yang di bawah tidak selamanya berada di bawah dan begitulah sebaliknya. Buktinya, kalau dulu orang kulit hitam yang dijual-beli sebagai hamba abdi untuk bekerja di ladang-ladang kapas dan gandum orang kulit putih, kini berjaya menjadi presiden Amerika Syarikat. Bukan satu penggal, tapi dua penggal pulak tu. Renung-renungkanlah !

Friday, January 25, 2013

DARI FESBUK # 2 - BOLEHKAH KITA BERSYUKUR KEPADA PEMERINTAH ?

Hari Isnin lalu saya update facebook saya dengan menyatakan syukur kepada pemerintah yang telah menaikan kadar pencen saya. Saya mendapat teguran dari Hamidah Kidam yang tidak bersetuju dengan saya kerana dia mengatakan bahawa "syukur hanya kepada Tuhan". Saya tak tahu nak jawab sebenarnya lalu saya buat carian di Google dan seterusnya saya 'cut and paste' dari satu artikel yang saya kira boleh menjawab komen beliau itu.

Seterusnya ikutilah komen-mengomen kami seperti di bawah. 

 




Saya mengaku pengetahuan ugama saya sangat cetek. Apa yang dipelajari atau diketahui hanyalah untuk kegunaan sendiri dan bukan untuk mengajar orang lain. Kalau apa yang saya kata dan petik itu salah, saya sedia diperbetulkan.


Thursday, January 24, 2013

TERKENANG SEMASA DULU 72: PERARAKAN SAMBUTAN MAULIDUL RASUL LEMBAGA PERPADUAN NEGARA 1979.


Hari ini kita menyambut hari keputeraan Nabi kita, Nabi Muhammad s.a.w. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita. Di sana sini akan ada sambutan yang diisi dengan ceramah, selawat, bacaan Quran dan juga di sesetengah tempat diadakan perarakan. Ia semata-mata untuk mengajak kita mengenali, mengingati serta menginsafi pengorbanan beliau yang telah membawa kita keluar dari zaman kegelapan. Diharap dengan ada sambutan seumpama ini (walaupun ada orang yang mengatakannya bida'ah) akan dapat menimbulkan dan menambahkan kecintaan kita terhadap beliau yang seterusnya akan mendorong kita untuk mengikuti sunnahnya dengan penuh keikhlasan.

Saya pernah menyertaai perarakan ke Stadium Merdeka pada tahun 1979 mewakili Lembaga Perpaduan Negara, Jabatan Perdana Menteri yang merupakan agensi pertama saya bertugas sebaik keluar dari INTAN. 


Gambar 1: Saya tersenyum melihat songkok hitam saya yang boleh dilipat dan dimasukkan ke dalam poket. 

 

Gambar 2: Saya tak ingat lagi gambar ini dekat mana. Bangunan apakah di belakang itu ? Sesungguhnya masa telah begitu jauh meninggalkan saya. 

 

Gambar 3: Kami sebagai warga Lembaga Perpaduan Negara, bersama-sama melangkah ke dalam stadium.


Gambar 4: Seterusnya kami bergabung dengan kontinjen-kontinjen dari agensi-agensi kerajaan dan pertubuhan yang lain.


Gambar 5: Saya pun tidak pasti dan tidak ingat kenapa di lengan saya ada kain merah. Saya juga sebenarnya sudah lupa apa acara yang ada di Stadium Merdeka pada masa itu.


Seterusnya saya petik sabda Nabi dari blog ini. Moga-moga dengan petikan ini akan menginsafkan kita akan betapa berbahagianya dan bersyukurnya kita kepada Allah yang telah mengutuskan beliau untuk menjadi pembimbing kita menuju kejayaan di dunia dan akhirat.


Nabi Muhammad menghibur kita, "Berbahagialah orang yang melihatku dan beriman kepadaku," Nabi ucapkan kalimat ini satu kali.

"Berbahagialah orang yang beriman kepadaku padahal tidak pernah melihatku." Nabi ucapkan kalimat terakhir ini tujuh kali.

Akhirnya saya ucapkan salam Maulidurasul buat anda semua. Marilah kita memperbanyakkan selawat kepada beliau pada hari ini dan juga pada bila-bila masa yang berkesempatan.

Wednesday, January 23, 2013

FESYEN ORANG SAKIT.



Bila seseorang itu ditimpa penyakit, katalah sakit tekak (seperti yang sedang saya alami sekarang) masing-masing akan menghadapinya dengan salah satu fesyen berikut:

Pertama. Makan ubat dan berpantang.

Mereka akan pergi jumpa doktor. Doktor beri ubat dan berpesan jangan ambil makanan berminyak. Golongan ini akan mengikut nasihat doktor dengan mengambil ubat seperti diarahkan dan menahan diri dari mengambil makanan yang berminyak. Insya-Allah dia akan segera sembuh.

Kedua: Berpantang tapi tak makan ubat.

Spesis ini samada takut makan ubat, malas makan ubat atau tak ada duit nak beli ubat atau kesemuanya, tapi kebiasaannya akan sembuh juga tapi lambat sikit.

Ketiga: Makan ubat tapi tak berpantang.

Spesis ini pula, bangsa yang tak makan saman atau degil. Dia kata "apa gunanya makan ubat kalau tak boleh makan goreng pisang". 

Golongan ini lebih kurang serupa dengan orang yang taat mengerjakan sembahyang tapi dalam masa yang sama suka juga mengumpat.

Keempat: Tak makan ubat dan tak berpantang. 

Spesis ini pun ramai juga. Dia yakin anti-body dia kuat melawan penyakit. Dia kata:  "alahhh .. sakit tekak je". Biasanya kalau pun dia pulih, akan memakan masa yang agak lama berbanding golongan nombor 1 dan 2.

Namun begitu, mengikut pegangan Ahlisunnah waljamaah, ubat itu hanyalah sebab dan yang menjadi musababnya hanyalah Allah s.w.t sahaja. 

WW # 60: MAT PAKISTAN BERJAYA MENAIKAN TRAFIK DUA HARI BERTURUT2.








Tuesday, January 22, 2013

ADAKAH MENYAMPAH BERASAL DARI PERKATAAN SAMPAH ?


Banjir dengan sampah sarap " - akhbar The Star - 14/12/2012

Salah satu tabiat yang tidak disenangi pelancong asing terhadap rakyat Malaysia adalah  tabiat suka membuang sampah merata-rata.

Saya percaya orang Malaysia sendiri juga tidak suka kepada orang yang gemar membuang sampah merata-rata. Dari temubual yang saya lihat di kaca TV, setiap orang yang ditanya benci dengan tabiat tersebut. Tentu kita biasa dengar jawapan-jawapan begini:

"tak eloklah dia orang buang sampah merata-rata macam tu kan"; atau

"dia orang tu buang sampah kat jalanaraya macamlah jalanraya tu tong sampah ... takkanlah itu pun tak boleh fikir" ; atau

"teruk betul dia orang ni .. suka hati je buang sampah ke dalam sungai ... tak bertimbang rasa langsung".

Pendek kata  tabiat buruk itu semuanya dilakukan oleh dia orang. Dia sendiri tak pernah buat.
Kesimpulannya, semua orang tak suka dan marah kalau ada orang lain buat tabiat buruk macam itu. Kalau setiap orang kata begitu, tentulah dia tak akan buat begitu. Dan kalau semua orang tak buat begitu, tentulah benda macam itu tak akan berlaku. Tapi kenapa benda tu jadi macam tu? Tentulah ada orang buat macam tu. Siapa yang buat macam tu? Mestilah dia orang yang buat macam tu!

Sebenarnya saya tidak percaya kita akan berubah. Kita akan beginilah selamanya. Mungkin kita boleh diumpamkan macam orang Mesir. Walaupun mereka sudah beribu tahun bertamaddun, namun tabiat membuang sampah ini tidak berubah.  Saya pernah lihat tali air atau longkang mereka yang sangat meriah dengan sampah sarap.

Sampah yang dibuang dari dalam bas berterabur atas jalan raya.
 
Satu hari tu saya menunggu di belakang sebuah bas sekolah (seperti gambar di atas) untuk mengambil anak saya balik dari sekolah. Saya cukup terbakar, sedih dan teramat kecewa bila melihat budak-budak sekolah membuang botol dan plastik bekas air dari dalam bas sekolah mereka tanpa rasa segan silu atau bersalah. Kalaulah di peringkat sekolah lagi, sudah begini perangai mereka, apalah yang boleh kita harapkan bila mereka sudah besar nanti. Kalau semasa rebung lagi, mereka sudah tidak berdisiplin, usah harap mereka akan berdisiplin bila sudah menjadi buluh nanti.

Maka saya membuat kesimpulan bahawa masyarakat kita secara umumnya sudah sebati dengan tabiat ini dan tidak boleh dan tidak akan berubah.

Maka apa kata saya cadangkan supaya tabiat ini kita jadikan sebagai salah satu produk tarikan pelancong !


Notak kaki: Saya akui kerap juga buat salah seperti memandu melebihi had laju atau menambah kelajuan semasa lampu kuning tapi saya berani cakap saya tak buat kesalahan membuang sampah merata-rata semasa sedar.

Monday, January 21, 2013

PERLUKAH BERTERIMA KASIH KEPADA ORANG PENCEN ?


Antara aktiviti orang pencen - tanam sayur.

Selalu saya dengar orang memperlekehkan orang yang sudah bersara atau orang pencen macam saya. Ingat orang pencen tu macam nangka busuk yang harus dibuang ke dalam tong sampah sahaja ke ? 

Padahal dengan pencennya seorang kakitangan kerajaan itu lebih-lebih lagi kalau dia Ketua Jabatan, mungkin beratus-ratus orang lain akan mendapat faedah baik secara langsung atau pun tidak langsung.

Bila dia bersara, tentu akan ada pegawai lain yang akan naik pangkat menggantikannya. Jawatan pegawai yang menggantikannya juga akan diisi oleh orang lain melalui kenaikan pangkat juga. Begitulah seterusnya hinggalah ke jawatan yang paling bawah atau di gred biasa yang akan diisi melalui lantikan baru. Mereka itu semua ada keluarga - ibu bapa, adik beradik dan bagi yang yang sudah berkeluarga ada isteri/suami, keluarga mertua dan juga mungkin ada anak-anak. Mereka-mereka itu sedikit sebanyak dapat faedah berikutan pencennya seorang kakitangan kerajaan itu.

Ada analisis yang mengatakan bahawa kemenangan tipis dalam PRU yang lalu sedikit sebanyak berpunca dari tidak puas hati orang-orang pencen. Misalnya kalau dulu setiap ada majlis, mereka akan di jemput dan kadang-kadang "dipujuk" supaya datang. Bila sudah pencen, satu jemputan pun tidak diterima lagi. Takkanlah majlis perasmian masjid pun tidak boleh dijemput. Seolah-olah mereka sudah tidak wujud lagi di dunia ini.

Bila pencen seseorang itu, pandangan mereka sudah tidak diperlukan lagi dan tidak relevan. Kalau dulu apa sahaja yang keluar dari mulut mereka (bagi ketua-ketua Jabatan) akan dianggap satu arahan atau peraturan. Dan bila sudah pencen, tetiba mereka sudah dianggap jadi orang bodoh. Siapa yang sebenarnya bodoh ?

Setiap pesara ada keluarga. Pada hemat saya, seorang pencen yang tak puas hati mungkin akan mempengaruhi 4-5 orang dalam keluarganya. Bayangkanlah kesannya kalau ada 300 ribu orang pencen yang tidak puas hati.

Tak apalah. Kepada mereka yang memandang rendah kepada orang pencen, ingatlah satu hari nanti awak pun akan pencen juga. Orang putih kata "what goes around comes around"


Nota kaki: Sebenarnya entri ini sedikit sebanyak dipengaruhi oleh entri ini. 



Sunday, January 20, 2013

RAHSIA BLOG TIDAK POPULAR TERBONGKAR !

Berikut adalah beberapa panduan mudah jika tidak mahu blog anda popular.

1. Selalukan dan banyakkan guna perkataan kotor dan mencarut.

2. Usah biasakan ziarah blog orang lain.

3. Kalau ziarah pun, jangan tinggalkan komen.

4. Jangan follow sesiapa.

5. Usah wujudkan bloglist. 

6. Selalu muatkan cerita-cerita peribadi anda seperti  kekayaan, kehebatan diri,  pangkat dsb.

7. Muatkan sebanyak mungkin gambar-gambar 'gedik' dengan pasangan, tunangan atau dengan kekasih anda.

8. Bubuh "word verification" seperti di bawah.


 

Thursday, January 17, 2013

TERKENANG SEMASA DULU 71: BERJOGET LAMBAK DI AFRIKA SELATAN.

Dalam entri sebelum ini, ada saya ceritakan pertemuan dengan isteri pegawai pelancongan yang bekerja di sini di sebelah paginya di Sun City. Beliau pun mengajak makan makan malam di rumahnya. Orang mengantuk disorongkan bantal  dunlopilo. Tidak sangka pula sambutannya begitu meriah walaupun masa untuk mereka membuat persiapan adalah begitu singkat sekali.



Gambar 11: Dipintu masuk rumah Pegawai Pelancongan kita.
Siap dengan bunga manggar lagi.


Gambar 12:  Di belakang rumahnya yang luas itu mereka adakan jamuan dan persembahan tradisional kesenian Melayu.


Gambar 13: Penari-penari sedang menari tarian tradisional Melayu.

Sebenarnya kedatangan kita di sini tidak ada dalam jadual asal. Di rumah pegawai pelancongan ini saya berjumpa seorang peniaga batu hiasan yang berasal dari Kelantan. Kita panggil dia Wan sahaja. Dia memasuki Afrika Selatan sebelum Dasar Apartheid dibubarkan.  Masa itu rakyat Malaysia tidak dibenarkan memasuki negara tersebut. Macamana dia dapat masuk, biarlah rahsia. Dia berkahwin dengan Mek Salleh warga Afrika Selatan. Dia ada kilang memproses batu permata di sini. Pekerja-pekerja tentulah orang di sini.

Pada hari itu kerana kesuntukan masa, beliau telah diminta untuk membawa produk keluaran kilang dia datang ke rumah pegawai pelancongan ini untuk kami lihat dan kalau berkenan membelinya. Bila kita kata 'mahal', salah seorang pekerjanya warga tempatan wanita berkulit hitam, menjawab 'tak mahallah tuan'. Saya terkejut juga kerana dia boleh berbahasa Melayu. Ini bukan dekat Taiping tapi di Afrika Selatan.



Gambar 14: Inilah sebahagian persembahan oleh kanak-kanak Malaysia di Afrika Selatan. Ada juga saya perasan muka yang tak berapa nak macam muka orang Melayu.
 

Gambar 15: Di depan bangunan Kedutaan Malaysia di Afrika Selatan.


Gambar 16: Di pintu masuk ke pasar menjual cendermata.


Gambar 17: Bersama Dato' Zainal Dahalan, Timbalan Menteri. Sekarang menjadi Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang.



Gambar 18: Inilah bunga batu yang saya beli di sini dari Wan buat hiasan dan kenang-kenangan.


Nota kaki: Memang ada joget lambak dan saya ada gambar-gambarnya. Walaubagaimanapun setelah menimbang buruk baiknya, saya membuat keputusan tidak mahu tunjukkan gambarnya  di sini kerana dikhuatiri akan mengundang kontroversi.


Wednesday, January 16, 2013

WW # 59: MARI MENCANDOL !



KITA SELALUNYA MERASIONALKAN APA YANG KITA TAK DAPAT




Situasi 1: Katalah kita tak mahu kahwin dengan anak tunggal, kita akan kata:

"kawin dengan anak tunggal lecehlah sebab dia mesti manja punya"

 tapi bila kita dah suka, kita akan kata:

"anak tunggallah bagus, tentu dia pandai dalam serba-serbi sebab semua urusan rumah tangga dia kena bantu atau  kena buat"  

atau

 "anak tunggallah bagus sebab semua harta terlonggok kat dia sorang"

Situasi 2: Katalah kita kata tak mahu kawin dengan janda atau duda yang dah ada anak, tapi bila sudah bertemu jodoh dengan janda atau duda yang dah ada anak, kita akan kata:

 "kawin janda atau duda ada anaklah bagus, kawin-kawin je anak dah boleh disuruh pergi kedai"

Situasi 3: Katalah kita kata tak nak kawin dengan orang jauh, kita kata:

"susahlah bila nak balik kampung, banyak belanja, letih bla bla .. "

tapi bila dah bercinta dengan orang jauh, kita akan kata:

kawin dengan orang jauh ni selamat sikit, mak mertua kurang kacau"

Situasai 4: Katalah kita kata tak nak kawin dengan perempuan yang lebih tua dari kita .. tapi bila sudah berkenan, bagi lelaki akan kata:

"umur perempuan kan lebih panjang dari lelaki .. bila kita mati taklah lama sangat balu kita menjanda"

 
atau bagi yang perempuan pula akan kata:

"orang lelaki yang lebih tua kan lebih penyabar dan ekonominya kan lebih teguh"

Situasai 5: Katalalah pinangan kita ditolak oleh orang kaya, kita akan kata:


"bahaya juga kawin dengan anak orang kaya ni .. silap-silap kita jadi tukang jaga pintu pagar rumah dia je nanti".



Begitulah kita akan sentiasa mendamaikan hati kita sendiri dengan justifikasi yang kita cipta sendiri.   Tetapi apa yang sebenarnya yang telah terjadi adalah takdir Allah belaka yang perlu kita terima dengan redha.  Kita hanya boleh merancang dan berharap. 

Apa pula kaitan gambar gunung dengan entri ini ? Siapa boleh agak ?



Monday, January 14, 2013

14.1.2003 - HARI PENYESALAN SAYA.



Hari ini genap 10 tahun ibu saya dijemput menghadap Maha Pencipta. Namun begitu, saya merasa seolah-olah dia masih lagi ada bersama. Atau mungkin hati dan perasaan saya tidak mahu menerima kenyataan yang dia telah tiada.

Setiap kali saya balik ke kampung di rumah tempat dia tinggal bersama adik bongsu saya, saya merasa seolah-olah dia ada di sana. Bila saya di serambi, saya merasa seperti dia ada di dapur, dan bila saya ke dapur saya merasa dia ada di dalam biliknya. Dengan itu saya tidak merasa sangat kehilangannnya kecuali bila saya sedar hakikat sebenarnya yang selama ini saya hanya bermain perasaan sahaja. 

Sampai mati pun saya tidak dapat memaafkan diri saya kerana pada malam arwah ibu menghembuskan nafas terakhir di hospital Kuala Pilah, saya tidak berada di sisinya. 

Petangnya sebelum saya meninggalkannya dengan ditemani oleh salah seorang adik perempuan saya, saya telah bertanya doktor tentang penyakitnya. Doktor menjawab lebih kurang begini"

" tak ada apa-apa encik, sakit biasa je .. sehari dua lagi bolehlah keluar" 

Memang ibu saya sudah lama menghidap penyakit lelah dan sering keluar masuk hospital. Cakap doktor itu menyedapkan hati saya kerana saya fikirkan ibu saya akan pulih semula seperti sebelum ini. Dan sungguh saya tidak menjangka kemasukannya kali ini adalah yang terakhir.

Dan saya juga sempat berpesan kepada adik yang menjaganya supaya segera menalipon saya kalau penyakit Ibu bertambah serius.

Adik saya pun tidak ada menalipon apa-apa memberitahu perkembangannya sehingga tiba waktu Subuh keesokan harinya dia menalipon mengatakan penyakit ibu agak serius sikit. Namun suara adik saya tidak pula cemas kerana barangkali sudah kerap berdepan dengan keadaan yang serupa sebelum ini.

Selepas sembahyang Subuh saya dan isteri serta adik beradik yang lain bergegas ke hospital yang tidak berapa jauh dari rumah saya. Setibanya di katil ibu saya, saya lihat matanya pejam dan mulutnya ditekup dengan topeng gas. Pada masa itu itu saya juga masih tidak cemas lagi kerana sudah banyak kali melihat keadaan ibu begitu.

Tidak berapa lama selepas itu, doktor tiba-tiba menyuruh saya memanggil adik beradik yang lain dan meminta saya membaca surah Yaasin. Dengan tiba-tiba air mata saya terhambur tanpa boleh ditahan-tahan lagi umpamanya empangan yang pecah kerana saya faham maksud doktor tersebut.

Selepas menalipon adik-beradik yang lain memberitahu keadaan ibu, saya pun mengambil wuduk, dan membaca surah Yaasin tidak jauh darinya dan saya lihat doktor dan jururawat bertungkus-lumus cuba menyelamatkan ibu saya. Tidak lama lepas itu ibu saya pergi tanpa sempat membuka mata dan meninggalkan sebarang pesan kepada saya dan adik beradik yang lain. 

Pada masa itu hanya Tuhan sahajalah yang tahu perasaan sedih dan kesal saya kerana tidak bersama dia sepanjang malam sebelum itu. Walaupun saya sedar bahawa itu semua sudah ditakdirkanNya, namun saya tidak juga  dapat memaafkan diri saya sampai sekarang.

Saya rasa meninggalkan dia malam itu, adalah suatu kesilapan besar yang tidak mungkin dapat saya maafkan diri saya. Kalaulah saya tahu dia akan pergi buat selama-lama, saya pasti akan berada disisinya sepanjang masa. Tapi saya tidak mungkin dapat tahu kerana itu semua rahsia Allah, namun begitu kekesalan itu masih juga membebani perasaan saya. Entah sampai bilakah saya harus menanggung rasa bersalah ini, saya pun tidak tahu.

Semoga roh ibu saya aman di sana.

Sunday, January 13, 2013

SONYUM SOKOJAP 54: KALAU DAH TAK PERASAN !

Dipetik dari facebook grup taman perumahan saya ..



  • Kelmarin semasa Rashid Diron menaiki Estima saya untuk pergi melawat Dr Zairul Nizam, dia tak perasan Tn Hj Abd Rahman Harun telah pun duduk di belakang sekali. Dia beritahu saya yang Hj Rahman pun nak ikut sama. Lalu Hj Abdul Rashid Mohd Yusof yang duduk sebelah saya, suruh Rashid Diron telefon Hj Rahman. Rashid Diron pun terus telefon Hj Rahman yang duduk betul2 di belakang dia. Bila telefon Hj Rahman berbunyi Rashid Diron masih lagi tak perasan. Hj Rahman pun jawab dengan pura-pura kesal kerana dah lama menunggu .. bayangkanlah perasan kami semua yang keras perut menahan ketawa. Teruk betul tahap tak perasan Rashid Diron ni ..


    Nota kaki: 

     
    Saya harap anda dapat 'tangkap' lawak ini. Bagi penduduk di taman perumahan kami, ia telah menjadi lawak tahun ini.

Friday, January 11, 2013

KISAH DATUK BANDAR NEW YORK TERBONGKAR !

KISAH DATUK BANDAR NEW YORK.


The Star - 5, Januari 2013.

 Dia bernama Michael Bloomberg.
Dia berumur 72 tahun.
Dia adalah Datuk Bandar bandaraya New York, New York. 
Dia adalah orang yang ke 11 terkaya di USA pada masa ini.
Dia sudah tiga penggal menjadi Datuk Bandar.
Dia di antara 4 Datuk Bandar yang berjaya menjadi Datuk Bandar sebanyak 3 kali secara berterusan sepanjang tempoh 100 tahun yang lalu.
Dia enggan menerima gaji sebaliknya bersetuju menerima bayaran sebanyak USD1 (satu dollar Amerika) setahun sebagai ganjaran kepada perkhidmatan yang diberikannya.

Jelaslah bahawa Michael Bloomberg tidak menggunakan kedudukan dan pengaruhnya sebagai Datuk Bandar New York untuk menambah kekayaan yang telah dimilikinya.

Ada mana-mana Datuk Bandar di Malaysia yang ingin meneladaninya ?

Sumber:  Di sini.



Thursday, January 10, 2013

TERKENANG SEMASA DULU 70 : KADET PTD - PENEMPATAN DAERAH.

Entri ini adalah sambungan kepada entri saya sebelum ini. Saya ingin menyudahkan cerita berkaitan kursus Kadet PTD yang pernah saya ikuti sepanjang tahun 1977/78. Kali ini saya ingin menceritakan pengalaman saya mengikuti Modul Penempatan Daerah selama beberapa bulan (saya lupa tempoh sebenar) di daerah Kuala Selangor bersama dua orang lagi kawan saya, sebagai sebahagian dari modul kursus Kadet PTD. Sebelum itu pihak INTAN dengan kerjasama pejabat daerah telah memilih dan menentukan terlebih dahulu keluarga angkat untuk kami bertiga.

Saya dititipkan kepada keluarga seorang ketua kampung yang tinggal di kampung Bukit Badong, tidak berapa jauh dari pejabat daerah di Kuala Selangor. Hari-hari saya berulang alik dengan motorsikal scrambler saya ke pejabat Daerah  bagi mengikuti latihan amali. 

Ada masanya saya dibawa oleh bapa angkat saya ke majlis-majlis yang diadakan di kampung Bukit Badong serta persekitarannya dan melaluinya saya berpeluang mengalami budaya orang-orang keturunan Jawa. Inilah pertama kali saya diperkenalkan dengan Nasi Ambeng !


Gambar 1: Di tengah-tengah adalah Tuan Pegawai Daerah menyerahkan saya kepada bapa angkat saya (kini sudah meninggal dunia). Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.


Gambar 2: Saya mengucapkan terima kasih sambil bersalaman dengan tuan Pegawai Daerah.


Gambar 3: Selepas tamat majlis penyerahan anak angkat sebagaimana lazimnya ia disusuli dengan jamuan ringan dengan ibu-bapa angkat serta juga pegawai dan kakitangan pejabat Daerah Kuala Selangor.


Gambar 4: Inilah motosikal yang saya gunakan untuk berulang dari rumah bapa angkat ke pejabat setiap hari.


Gambar 5: Gambar sebahagian dari keluarga angkat saya.


Gambar 6: Di sebelah kiri saya adalah salah seorang kawan saya yang akhirnya berkahwin dengan salah seorang staf di pejabat daerah Kuala Selangor.

 

Gambar 7: Yang ditengah-tengah itulah yang telah berjaya mencuri hati kawan saya dan sehingga ke hari ini mereka hidup rukun damai sebagai suami isteri. Ada cerita menarik di saat awal mereka berkenalan dan jatuh hati, tapi biarlah saya simpan dahulu. 


  
 Gambar 8: Di atas puncak Bukit Melawati berlatarbelakang Selat Melaka. Pada masa itu tidak banyak yang boleh dilihat di pekan Kuala Selangor ini. Bila ada kelapangan saya akan naik ke atas bukit ini melihat monyet atau melihat orang yang melihat monyet.

 

 Gambar 9: Saya sedang menaip laporan penempatan kami dengan dibantu oleh kawan saya. Leceh juga kerjanya sebab masa itu belum ada komputer.



 Gambar 10: Persiapan jamuan perpisahan di malam terakhir saya di Kampung Bukit Badong.

 

Gambar 11: Adik beradik angkat saya sedang menyediakan sesuatu di dapur.
 

Gambar 12: Gambar di atas disalin dari laporan yang kami sediakan untuk diserahkan kepada INTAN.

Saya sudah terputus hubungan dengan keluarga angkat saya sejak bapa angkat saya meninggal dunia lebih dari 10 tahun dahulu.



TAMMATLAH KISAH SAYA SEBAGAI KADET PTD  AMBILAN TAHUN 1977/78.