INGAT TAK DULU-DULU ?
Kau tahu tak dulu-dulu ?
Aku yang menyuapkan nasi ke mulut mu
Sebelum kau pandai mengais
Kini kau anggap ku bagai pengemis
Aku bukan lagi orang pertama yang kau tuju
Kerana dari ku tiada apa lagi yang kau perlu
Hibanya hati tuhan sahaja yang tahu.
Kau ingat tak dulu-dulu?
Masa kau belajar bertatih
Rebah mu sentiasa ku sambut
Aku yang merawat luka mu di lutut
Kini kau sudah pandai berlari
Diri ku sudah tidak kau toleh lagi
Pedihnya hati ini tidak terperi.
Kau sedar tak dulu-dulu ?
Kau sering sahaja terkeliru
Antara rama-rama dan kupu-kupu
Lalu bertanya bertalu-talu
Aku tidak pernah jemu-jemu
Memberitahu mu yang mana satu
Tetapi kini kau sudah serba tahu
Aku hanya penyibuk masa senggang mu.
Sayap mu kini sudah berbulu penuh
Kau ingin terbang dan lari jauh-jauh
Air mata ku sudah tiada lagi untuk jatuh
Apa daya ku untuk menghalang
Kini diri ku ibarat melukut di tepi gantang
Sampainya hati mu diri ku kau buang.
Akan ku bawa diri mencari daerah yang baru
Moga-moga ada damai yang menanti di situ
Dan dari kejauhan ini ketahuilah wahai anakanda
Aku akan menjadi pemerhati yang tidak pernah alpa
Penyelamat yang yang sentiasa waspada
Dan penunggu yang teramat setia.
Dan seandainya nanti kau terluka
Carilah dan datang lah kepada ku tanpa ragu
Aku pasti akan menyambut dan merawat mu seperti dulu-dulu
Kerana sesungguhnya kau tetap anak ku .. darah daging ku !
Berita Harian (Edisi Melaka & Negeri Sembilan) - 20.1.2010
"Saya jaga Razak hingga akhir hayat" ..
Melaka: "Sebagai ayah, saya akan tetap menjaga anak saya selagi hayat ada," itulah antara yang diluahkan seorang warga emas, Deris Hamid, 70, ketika ditemui di rumahnya di Telok Mas, baru-baru ini ... "Selepas ketiadaan isteri, kini tanggungjawab menguruskan segala keperluan beliau menjadi tugasan saya, termasuk menyuapkan makanan setiap hari," katanya.
Maaf, saya berhenti di disini dulu .. nak lap entah air apa yang jatuh kat papan kekunci ni .. !