Tuesday, September 30, 2014

MEMANCING KUNCI RUMAH.

Beberapa hari lepas, kami terkunci di luar rumah. Mula ceritanya begini. Kami nak keluar dan saya keluar dulu sementara menanti Makngahnya bersiap. Saya menggunakan kesempatan yang ada untuk memancing ikan di kolam sebelah rumah saya. Mancing main-main jer. Dapat lepas, dapat lepas.

Bila Makngahnya keluar dan kata jom saya tanya mana kunci kereta.  Dia ingat saya dah bawak. Kunci rumah pun dia ingat saya dah bawak bersama. 
Akan tetapi kunci itu saya tak bawa bersama sebab ianya tidak diperlukan untuk memancing ikan. Saya ingatkan Makngahnya tahu saya tak bawa kunci.

Maka kami pun mengelilingi rumah mencari mana-mana tingkap yang tak berkunci. Malangnya semua tingkap berkunci kecuali satu tingkap 'nako' yang terbuka. Dari luar jelas ternampak kunci-kunci rumah dan kereta terletak atas lemari pinggan mangkuk iaitu di tempat biasa kami meletakkannya.

Timbul satu ilham, kerana minat dengan siri Macgyver dulu, untuk membuat alat memancing kunci itu menggunakan joran yang ada. Hasilnya adalah seperti dalam gambar di bawah. Secara perlahan-lahan saya menghulurkan batang pancing teleskopik yang panjangnya kira-kira 10 kaki ke arah kunci itu dan dengan mudah sekali kunci itu tercangkuk kepada dawai dihujung joran. Seterusnya saya menariknya perlahan-perlahan ke arah saya yang berdiri di luar tingkap.

Bila kunci sudah digenggam, timbul perasaan lega kerana tidak perlu memecahkan tingkap rumah untuk masuk mengambilnya.



 Pancing yang sudah diubahsuai menjadi alat pemancing kunci rumah.

Ini bukan kali pertama kami terkunci di luar. Masa kami kat USA dulu pun pernah kena dan ada saya buat entri mengenainya di sini. Kalau nak tahu ceritanya, silalah klik.

Pengajarannya.

1. Jangan harap mengharap tanpa berkomunikasi.

2. Jangan letak kunci rumah atau kereta ditempat yang boleh dilihat dan dipancing dari luar rumah.


Monday, September 29, 2014

PERNAHKAH ANDA BERADA DALAM SITUASI INI - 2: BERCAKAP SEORANG DIRI ?.



 Gambar hiasan hasil carian Google.

Kita jalan berdampingan kat pusat beli belah dengan isteri kita atau kawan kita.
Sambil berjalan kita berbual-bual.
Tetiba pasangan kita tertarik dengan satu benda, katalah beg tangan, dan dia pun terus berhenti membelek-belek beg tersebut.
Kita pulak jalan terus sambil bercakap kerana ingatkan dia ada berjalan di sebelah kita.
Kita tak perasan masa bila dia berhenti.
Yang isteri atau kawan kita tak cakap pulak nak berhenti.

Selepas beberapa ketika, baru kita tersedar rupanya pasangan kita tidak ada berjalan di sebelah kita.
Cisss ...!
Rupanya sejak tadi kita bercakap seorang diri.
Alangkah malunya kalau ada orang nampak.

Pernahkah anda mengalami situasi sebegini ?


Saturday, September 27, 2014

TERKENANG SEMASA DULU 85: TERPERANGKAP DI HOTEL NARITA, JEPUN.

Saya pernah merancang untuk melawat kotaraya Tokyo semasa dalam perjalanan balik  ke Malaysia selepas habis bertugas di USA. Saya sudah pun menempah hotel di Narita Airpot untuk beberapa malam.

Tapi hajat itu tidak kesampaian kerana pada pagi kita nak gerak ke Tokyo tu, anak sulung saya muntah dalam kereta sorongnya dan badannya pun macam nak demam. Cuaca di luar pula sangat sejuk pada masa itu. Peristiwa ini berlaku pada hujung bulan November tahun 1984.

Maka kami dengan berat hati membatalkan hasrat nak ronda-ronda kotaraya Tokyo dan memeraplah kami kat bilik hotel di situ untuk beberapa hari. 

 

Gambar 1: Di Narita Airport setibanya kami dari Honolulu, Hawai.

 

Gambar 2: Baju tidur itu bukan kami yang punya tapi hotel yang punya. Teruja juga nak rembat bawa balik ke Malaysia.


Gambar 3: Bergambar di luar hotel. Tengok tu kita dah siap nak meronda.


Gambar 4: Kalau nak kata kami sudah pernah menjejakan kaki di bumi Jepun tak boleh juga, sebab kita semua pakai kasut pada masa itu. 
(Gambar kitar semula)

Sampai sekarang saya masih menyimpan hasrat untuk melancong ke Tokyo, tapi masih belum kesampaian. Ada ajakan dari kenalan yang posting di sana tapi masih juga tidak berjumpa masa dan keadaan yang sesuai dan kawan itu pun sudah balik semula ke Malaysia. Bahkan Duta kita yang bertugas di sana pada masa ini juga rakan sekuliah saya semasa di Universiti Malaya dulu. Pernah saya buat entri mengenai beliau di sini sedikit masa dulu. Kalau anda berkelapangan, silalah klik untuk melihat siapakah orangnya.




Friday, September 26, 2014

SEDAR ATAU TIDAK, KITA SEBENARNYA SEDANG MEREKABENTUK RUMAH SENDIRI




Baru-baru ini saya ada menerima wasap dari seorang sahabat. Saya tertarik, tersentuh dan termenung memikirkan kandungannya yang sungguh menginsafkan. Ia benar-benar telah berjaya mengetuk dan menggetarkan hati dan sanubari saya.  Pada pagi hari Jumaat penghulu segala hari yang mulia ini, saya ingin berkongsi dengan pembaca semua. Saya kopipes sepenuhnya seperti di bawah:

"Seorang Supervisor yg telah berkhidmat 30 tahun di dalam sebuah syarikat 'property developer' ingin bersara dan mengemukakan surat permohonan kpd majikannya.

Pengarah syarikatnya bersetuju tetapi dgn syarat supervisor tersebut hendaklah menyiapkan satu lagi projek sebuah rumah.

Supervisor dengan berat hati bersetuju. Kerana tidak sabar untuk bersara cepat maka projek rumah tersebut dibuatnya dgn pantas tetapi tidak menjaga kualitinya.

Setelah siap rumah tersebut, terkejut si supervisor apabila dimaklumkan rumah itu sebenarnya adalah hadiah majikannya kepadanya.

Amat menyesal dalam hati supervisor tersebut kerana tidak di 'Design' rumah yg bakal didudukinya dengan sebaik mungkin.

Sebenarnya, inilah yg terjadi pada setiap dari kita.
Kita sekarang sedang 'Design' dan membangun di TEMPAT TINGGAL kita di akhirat kelak...

Kita beribadah untuk Allah tapi pahalanya untuk diri kita sendiri. Kerana Dia Maha Kaya dan sama sekali tidak memerlukan kita dan ibadah kita.

Sebaliknya kita yang sangat sangat memerlukan Allah. Sebenarnya dengan SOLAT dan IBADAH kita, kita sedang 'Design' dan membangun TEMPAT TINGGAL kita sendiri..

Jika kita designkannya dengan sambil lewa, maka tak sempurna kejadiannya.
Jika kita membangunnya dgn baik akan berbaloilah hasilnya.

Renungan Bersama..."


Ia sebagai peringatan kepada saya yang sedang meniti usia senja ini. Semoga ia juga ada manfaatnya kepada pembaca semua. Terima kasih.








Thursday, September 25, 2014

APA BENDA YANG BUAT KITA PALING MENGGGELABAH KALAU HILANG ?




Apa benda milik kita, yang kita cukup takut kalau kehilangan. Sila jawab (kalau rasa nak jawab) dengan sejujur-jujurnya, mengikut keutamaan anda.

1. Orang rumah/pasangan.

2. Kereta/kenderaan.
3. Henfon.
4. Beg duit.
5. Lain-lain (sila nyatakan).

Baru sebentar tadi saya menggelabah macam orang kehilangan isteri bila henfon saya hilang kat pasaraya. Nasib baik orang yang jumpa (seorang pemuda India) hantar henfon saya itu ke pejabat pasaraya tersebut.

Bila Makngahnya telefon, staf pejabat pasaraya tersebut menjawab dan memberitahu henfon itu ada dalam simpanan dia.

Fuhhh .. legaaaa.

Nota kaki: Saya harap tiada siapa yang jawab hilang nyawa atau hilang ingatan.


Wednesday, September 24, 2014

KALAU TIADA KOMEN, MAKSUDNYA TAK ADA ORANG BACA KE ?




Semalam saya buat entri bertajuk "Macam-Macam Masalah"

Tapi tak ada sesiapa komen.

Itu tak jadi hal kepada saya.


 
Tapi angka 494 tu, menunjukkan apa ?

Siapa tahu ?

Dah lama berblog pun masih mau tanya !


 

Tuesday, September 23, 2014

MACAM-MACAM MASALAH.


Mungkin saya boleh bahagikan kepada enam jenis orang dengan masalah.

1. Orang yang boleh elakkan masalah - hebat.

2. Orang yang jumpa masalah dan boleh selesaikannya - cerdik.

3. Orang yang cari masalah dan tak dapat selesaikannya - bangang.

4. Orang yang jumpa masalah dan lari darinya - pengecut. 

5. Orang yang sengaja cipta masalah dan selesaikannya - tak guno.

6. Orang yang bawa masalah tetapi tidak disedarinya - ini masalah besar.


Kalau boleh saya nak jadi orang nombor 1, tapi kalau tak dapat, jadi nombor 2 pun jadilah. Harap-harap saya bukanlah orang yang dalam nombor selebihnya. .



Saturday, September 20, 2014

AMBIK NYOQ DAN MANCING PUYU.

Beberapa hari lepas ada orang datang nak beli kelapa dari kami. Memang banyak pokok kelapa disekeliling rumah mertua saya ni. Sampai gugur sendiri dan bercambah kerana tiada siapa yang nak ambil. Nak beri pada jiran, masing-masingnya ada pokok sendiri.

Mereka panjat dan kupas sendiri dan bayar 60 sen sebiji kepada tuan tanah. Ini kali kedua orang datang beli. Dulu mereka guna galah. Kali ini orang lain pulak. Mereka panjat sendiri dan turun sendiri.


Gambar 1: Saya tengok pun seriau jangankan nak panjat.

 

Gambar 2: Dia orang kupas lelapa menggunkan alat khas. Cukup cepat mereka mengupas kelapa. Tak sampai seminit dah siap sebiji.


Gambar 3: Mereka bekerja anak beranak dengan ceria sekali. Saya seronok lihat anak perempuannya yang sebaya dengan anak perempuan bongsu saya yang cukup rajin menolong bapa dan abangnya mengupas kelapa.


Gambar 4: Di masa senggang sementara menunggu kelapa dijatuhkan untuk dikupas, budak ini merayu untuk diberi kebenaran memancing ikan di kolam saya. Saya tak sampai hati dan saya benarkan walaupun sebelum ini saya tidak benarkan orang luar memancing di kolam saya ini dengan syarat ikan tilapia jangan diambil kerana masih di bawah umur.



Gambar 5: Gambar ini saya ambil dari bilik tidur saya. Kelihatan budak perempuan tadi sangat tekun dan seronok memancing. Ikan-ikan puyu yang dipancingnya semua dibawanya balik.

Walaupun keuntungan yang mereka peroleh dari pekerjaan ini mungkin tidak seberapa, tetapi mereka nampaknya gembira dengan pekerjaan mereka. Itu yang lebih penting kerana buat apa dapat banyak duit tapi hati merana. Selain dari itu, pekerjaan yang mereka buat ini lebih mulia dari sesetengah orang yang diamanahkan mengutip cukai tetapi melepaskan atau mengutip sebahagian sahaja atas sebab-sebab yang kita semua maklum.

Friday, September 19, 2014

SEMALAM SAYA MENERIMA FOLLOWER KE 1,000. TERIMA KASIH KELAB BLOGGER BEN ASHAARI.

Kelmarin saya menerima follower yang ke 1,000.   Walaupun bilangan  itu hanya seciput berbanding follower Cik Epal yang sudah melebihi 31 ribu orang, namun saya sangat gembira. Akan tetapi di sebalik kegembiraan itu, saya rasa sedih dan terkilan kerana tidak mungkin dapat pergi menziarahi semua blog mereka yang jadi follower.


Bila mencapai angka 999, saya mula berdebar siapakah agaknya yang akan menjadi follower blog saya yang  ke 1,000.


Terima kasih saudara Mohd Billy kerana menjadi follower saya yang ke 1,000. Tapi tak ada hadiah. Hehe. 

 
Melihat kebelakang, saya berblog pada usia yang agak lewat setelah tengok anak berblog. Teringin juga nak ada blog sendiri sebagai tempat berkongsi pengalaman dan meluahkan perasaan. Bukan nak berlawan dengan sesiapa.

Ada masanya saya menulis hanya ingin menyatakan sesuatu dan untuk kepuasan diri. Orang baca ke tak baca atau komen ke tak komen, itu sudah jadi benda 'secondary'.  Misalnya ada satu entri tu punyalah susah saya mencari bahan dan  lama pula saya mengarang tapi cuma mendapat satu  komen sahaja.

Sejak akhir-akhir ini semangat berblog saya malap. Bukan tak ada apa nak ditulis, tapi perasaan malas menghimpit keinginan. Followers pun tak bertambah sejak berbulan-bulan.  Tetapi selepas menyertai Kelab Blogger Ben Ashaari, tetiba bilangan follower bertambah dengan derasnya dan bilangan trafik juga meningkat. Sebelum ini saya menjangkakan mungkin 3-4 tahun lagi baru saya mendapat followers 1,000 orang.

Memang berbisa penangan Kelab Blogger Ben Ashaari. Terima kasih Ben Ashaari.


Satu masa dulu saya pernah buat entri sempena follower yang ke 200 di sini.



Wednesday, September 17, 2014

TERKENANG SEMASA DULU 84: PENGALAMAN NAIK HELI DAN KAPAL TERBANG.


Gambar 1: Saya makan cukup laju  .. kira-kira 800kmj.
 (Maaf .. gambar kitar semula)

Gambar di atas disiarkan untuk menunjukkan keterbalikan layanan yang diberi kepada manusia. Sebenarnya saya sudah pun kekenyangan selepas makan di 'golden lounge' MAS sebelum berlepas. Makanan di situ ada bermacam-macam jenis. Makanlah semaunya.  Bila dah naik kapalterbang, rasanya mahu terus tidur sahaja.   Tetapi saya dijamu lagi dengan pelbagai macam makanan. Tetapi oleh kerana tak sampai hati nak mengecilkan hati pramugari dan juga cuba nak mengambil hatinya, saya makan jugalah sikit sebelum tidur.
 
Sedangkan di barisan belakang, penumpang2 kebanyakannya (berdasarkan pengalaman saya sendiri) mungkin lapar kerana tidak diberikan kemudahan untuk menjamu selera di 'golden lounge' sebagaimana orang barisan hadapan. Sepatutnya merekalah yang lebih utama dijamu sehingga kenyang. Ini terbalik .. orang yang sudah sedia kenyang pulak yang dijamu !

Bagitu jugalah dengan kemudahan yang di sediakan oleh bank. Masa kita tak ada duit, gaji kecik, cukup susah nak buat pinjaman. Tapi bila kita dah banyak duit, masa itulah dia orang datang bertalu-talu dengan pelbagai pakej dan tawaran suruh kita meminjam. Bededah !


Gambar 2: Pertama kali naik heli. Pejabat yang sewakan untuk saya dan seorang kerani pergi ke Sarikei dan Kapit atas urusan rasmi. Pilotnya mat saleh.  Semasa di Sarikei, dia duduk menunggu saya kat tepi padang bola di mana helinya diletakkan sehingga selesai tugasan saya. Dari sana saya terbang ke Kapit dan bermalam di sana. Heli dan Mat Salleh itu pun turut bermalam menunggu saya. Masa tu saya baru 3 tahun lebih bekerja. Rasa hebat juga bila sebuah helikopter beserta pilot mat saleh disediakan untuk kemudahan kita. Memori ini cukup mahal dan indah sekali buat saya


Gambar 3: Masih dalam heli yang sama seperti Gambar 2. Gambar saya terpaksa diambil dari arah belakang kerana tak  ada siapa yang berani mengambilnya dari depan.


Gambar 4:  Masa ini saya bekerja di USA pada awal tahun 80an. Saya dengan kawan bergambar sebelum menaiki kapalterbang, tapi sayangnya saya dah lupa bila tarikhnya, nak pergi ke mana dan nak buat apa.

Nasihat saya kepada mereka yang masih muda, bila bergambar sila catatkan tarikhnya dan sedikit latarbelakang mengenainya. Kalau tidak menjadilah anda semacam saya juga.
.

Tuesday, September 9, 2014

PERNAHKAH ANDA BERADA DALAM SITUASI INI - 1: BELUM NAK BERSALAM ?

Gambar hiasan hasil carian Google.


Kita berbual-bual dengan kawan kita di tempat parking kereta sambil berdiri.
Berbual punya berbual, kita ternampak tali pinggang yang dia pakai.
Kita terberkenan melihatnya. 

Sebelum ini dia belum pakai lagi.
Kita pun menunjuk ke arah tali pinggang dia dengan tujuan ingin bertanya di mana dia beli. 
Belum sempat kita membuka mulut, dia terus menghulurkan tangan dia nak bersalam dengan kita kerana dia ingat kita nak bersalam dengan dia. 
Dia ingat kita dah nak balik dah. 
Dan kita tak mahu dia segan, kita pun terus bersalam dengan dia, walaupun bukan niat kita nak bersalam.
Lepas itu kita pun belah walaupun belum berniat nak belah lagi.




Tuesday, September 2, 2014

KESALAHAN TYPO YANG DITAKUTI.




Sering kali saya bertemu kesalahan typo dalam blog atau fesbuk. Contohnya seperti di atas. Tentulah Tepak Bersulam nak tulis 'kapal'  tetapi tertulis 'kepala'.  Saya pun rasanya pernah terbuat kesalahan yang seumpamanya.

Biasanya sebelum saya publish satu-satu entri atau komen, saya semak dulu dan perbetulkan kalau ada yang tersilap. Namun begitu saya khuatir juga takut-takut kalau ada yang terlepas pandang. Antara kesalahan typo yang saya takuti adalah seperti berikut:

Silap - "Lama dah kita tidak berdakap" - Sebetulnya - "Lama dah kita tidak bercakap"

Salah -  "Sialkan share". Sebetulnya  - "Silakan share".

Salah - "Bila nak dating?". Sebetulnya - "Bila nak datang?"

Salah - "Muka awak lamalah". Sebetulnya - "Muka awak lawalah".

Salah - "Jom berak". Sebetulnya - "Jom berarak"


Harap-harap saya tidak ada yang terlepas tertulis macam yang di atas tu. Kalau ada tertulis macam tu kat blog atau fesbuk saya, maafkan sahajalah ya.

Adakah anda fikir budak perempuan di bawah ni betul-betul ingin nak dakap saya atau satu kesalahan typo juga ?



* Maaflah Tepak Bersulam dan Fadzilah Omar kerana mengambil kes kesalahan typo awak sebagai contoh dan tauladan untuk entri ini . Hehe
 .