Tuesday, October 28, 2014

KISAH KONVOI ROMBONGAN MEMINANG SESAT.


 Gambar hiasan dari album al-lavendari.

Entri kali ini adalah menceritakan kisah rombongan meminang secara berkonvoi ke sebuah kampung yang agak terpencil di sebuah negeri di pantai timur.

Masing-masing tidak tahu tempat yang hendak dituju. Orang yang tahu iaitu si bujang yang nak bertunang itu tidak dapat cuti kerana bertugas di perbatasan. Cuma lakaran peta sahaja diberikan sebagai panduan.  

Maka semua anggota rombongan telah bermuafakat dan sepakat untuk melantik ketua dan berjanji untuk mengikut kereta ketua yang dilantik itu. Terdapat 5 buah kereta semuanya.

Setelah beberapa jam perjalanan, tertanya jalan yang diikuti ketua konvoi telah menyimpang dari jalan yang sepatutnya. Maka tanpa perbincanga dan persetujuan, 2 buah kereta telah keluar dari konvoi dan membuat haluan masing-masing kerana beranggapan mereka lebih tahu akan jalan ke tempat yang dituju.

Dipendekan cerita, hanya sebuah kereta sahaja yang sampai terlebih dahulu di rumah pihak perempuan. Akan tetapi mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana ketua rombonga yang akan melakukan peminangan masih belum sampai. Bila ketua rombongan dan dua buah kereta lagi sampai, mereka terpaksa pula menunggu sebuah kereta lagi yang tersesat entah ke mana. Mereka terpaksa menunggu kerana di dalam kereta tersebut terdapat cincin peminangan.

Melalui hubungan telefon, kereta yang tersesat itu dapat diberikan panduan dan akhirnya sampai selepas lebih 6 jam anggota lain menunggu. Upacara meminang yang sepatutnya dibuat pada jam 11 pagi, hanya dapat dilakukan pada jam 6 petang.

Apakah agaknya iktibar dari cerita rekaan saya ini ?


Sunday, October 26, 2014

TERKENANG SEMASA DULU 86 : MUSIM PANAS 82-84 - USA.

Musim panas di sini memang panas. Kadang-kadang panas lagi dari Malaysia dan cuacanya kering - tidak tinggi 'humidity'nya macam di Malaysia. Itu menyebabkan badan kita kurang berpeluh dan kalau jemur pakaian, cepat kering.

Oleh kerana rumah sewa saya ada tingkat bawah yang sebahagiannya berada di dalam tanah (sebagaimana kebanyakan rumah orang di sini)  saya akan berpindah tidur di bawah bila tiba musim panas. Sejuk sikit. Kurang guna pendingin hawa. Boleh jimat duit sebab pendingin hawa di rumah saya adalah jenis berpusat. Kalau kita guna satu bilik pun, semua rumah terpaksa disejukan




Gambar 1. Tiga tahun saya menyewa rumah ini. Kelihatan tingkap di bahagian bawah rumah yang sekerat tertanam di dalam tanah.


Waktu  musim panas adalah masa yang menyeronokkan kerana kita bebas dari memakai pakaian sejuk yang berlapis-lapis. Namun begitu kalau kena berpuasa dalam musim panas, memang panjang waktu puasanya. Saya pernah mengalaminya. Kalau tak silap kita berpuasa dari jam 4 pagi hingga 10 malam. Tapi rahmat dan rahim Allah telah membuatkan kita tidak terasa lapar dan dahaga sangat. Sama sahaja rasanya macam puasa di Malaysia. 


Berikut adalah sebahagian gambar semasa musim panas antara tahun 1982-84 dengan sedikit keterangan di bawahnya. Rasanya ada di antara gambar itu yang kitar semula.


Gambar 2: Sebahagian warga Malaysia yang turut serta perkelahan anjuran kelab kedutaan Malaysia.

Gambar 3: Makngahnya sedang menghadapi makanan.


Gambar 4: Alangkah rampingnya kami masa itu. Hehe.


Gambar 5: Jamuan di rumah kenalan dari Malaysia. Kita berjamu di kawasan taman rumah tuan rumah.


Gambar 6: Jamuan di rumah orang lain pulak. Seronoknya bila dapat berkumpul sesama orang Malaysia.


Gambar 7: Geng lelaki pulak sedang santai di luar rumah.


Gambar 8: Anak-anak juga turut bergembira bermain sesama mereka.


Gambar 9: Kita juga membuat sate. Saya tukag kipas api je.
 

Gambar 10: Membakar sate di waktu yang berlainan pulak berdasarkan baju yang saya pakai.


Gambar 11: Anak saya bermain berseorangan di belakang rumah kerana tiada kawan datang bermain.


Gambar12: Anak saya bermain di hadapan rumah dengan anak-anak jiran. Bimbang nak ajak mereka masuk bermain dalam rumah.


Gambar 13: Masa ni anak saya sudah berdua. Adalah kawan untuk bermain buaian kalau tak bergaduh. 


Gambar 14: Kami juga gemar pergi  bersiar-siar membawa anak sulung kami ke taman-taman di bandaraya Washington DC. Kelihatan "Washington Monument" berbalam-balam di belakang kami.


Gambar 15: Di musim panas juga kita suka kunjung mengunjung. Boss dan rakan datang berkunjung ke rumah saya. Sudah tentulah ruan rumah duduk di tengah-tengah.

Gambar 16: Ini rasanya semasa kami berjalan raya.


Gambar 17: Kadang-kadang persatuan penduduk kawasan perumahan saya ada membuat gathering. Saya pun turut serta. Saya bawa kuih karipap dari rumah dan saya makan kuih saya sahaja.

Kalau tengok gambar-gambar itu tak nampak sangat macam kat tempat orang kan ? Kadang-kadang saya teringin juga untuk melawat kembali rumah yang pernah kami diami dulu. Tak tahulah sampai ke tidak hajat saya itu sebelum saya menutup mata buat selama-lamanya nanti.

P.S:  Dengan ini lengkaplah cerita saya berkaitan empat musim di USA.


Thursday, October 23, 2014

ADA KE ORANG SUKA KALAU KOMEN DIA TERPERANGKAP ?


Kebanyakkan blog yang saya jumpa, kotak komennya tidak di pasang comment moderation. Jadi sebaik saja kita klik terbitkan (publish) komen  kita, ia akan muncul dan boleh dibaca.

Saya seronok  kalau komen saya dapat dibaca semula. Terasa satu macam kepuasan. Sebaliknya bila komen kita ghaib selepas kita klik terbitkan,  timbul rasa tak berapa seronok.

Contoh kotak komen yang ada  comment moderation adalah seperti cetakan skrin di bawah. Satu dalam BI dan satu lagi dalam BM.
.

Your comment will be visible  after approval.


Ulasan anda akan dapat dilihat selepas kelulusan.


Saya juga pasang benda itu tapi saya set untuk komen kepada entri saya yang sudah melebihi 5 hari. Kalau tidak, komen kepada entri-entri lama saya, pasti saya tidak perasan dan terlepas pandang. 

Yang saya maksudkan itu adalah kalau  benda itu sentiasa terpasang dan memerangkap komen kita walaupun untuk entri yang terbaru.

Saya faham kenapa ada blog tertentu yang memasangnya. Ia bertujuan untuk mengelakan komen-komen nakal, lucah dan tidak sewajarnya dari diterbitkan. Saya faham itu dan menghormati hak anda dan tidak berniat langsung untuk mempersoalkan tindakan anda itu.

Cumanya saya nak beritahu ada dua masalah yang saya hadapi kalau benda itu dipasang.

Pertama. Saya tak dapat tahu komen orang yang terdahulu untuk mengelakkan saya memberi komen yang serupa.

Kedua. Saya tak dapat nak semak kalau ada kesilapan ejaan atau tertinggal perkataan supaya dapat dibuang dan dibuat semula.

Kalau tak dapat tengok, saya bertawakal sahajalah agar komen saya itu tidak mengulangi komen orang yang terdahulu dan tiada kesalahan ejaan atau maksud.

Sekali lagi saya tegaskan, blog anda adalah hak anda. Terpulanglah kepada anda nak buat macam mana. Saya cuma memberi pendapat tentang masalah saya sahaja. Janganlah pulak ada yang marah.


Tuesday, October 21, 2014

SAYA DAPAT PENGHORMATAN DARI SEORANG RAJA.

Baru-baru ini semasa saya skrol laman fesbuk saya, tetiba saya tertarik dengan satu status di wall Raja Teromba II tentang pantun.
 
 

Sebahagian cetakan skrin status yang dimaksudkan.

Pantun memang menjadi minat saya sejak dibangku sekolah lagi. Selepas saya baca sekerat sahaja apa yang tertulis, hati saya terus kembang dan senyuman juga melebar kerana tidak disangka-sangka seorang Profesor yang terkenal dengan terombanya telah sudi memetik karya saya iaitu Panduan Ringkas Cara-Cara Mengarang Pantun untuk diangkat menjadi status di wall fesbuknya. 

Secara tidak langsung entri saya yang tidak sepertinya itu mendapat pengiktirafan dari seorang tokoh akademik yang mempunyai wibawa dalam bidang ini. Semasa saya membuat entri itu dulu terasa bimbang juga dikritik oleh mereka yang lebih arif tentang pantun dan puisi Melayu kerana saya bukanlah seorang sasterawan dan jauh lagi sebagai seorang ahli akademik. Saya menulis entri itu pun hanya berdasarkan rasa hati dan komensen sahaja. Mulai sekarang saya bolehlah merasa sedikit lega.
 
Sebelum itu saya berikan sedikit latar belakang Raja Teromba yang saya petik dari profil di blog beliau.

"Sekarang menjadi Ketua Jabatan Kesusasteraan Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjong Malim, Perak. Bidang Pengkhususan sastera Tradisional, Kesenian, Kebudayaan, Adat Melayu, Puisi Moden, Drama dan Teater Melayu".

     

Raja Teromba sedang berbicara tentang Adat Perpatih.


Saya juga mendapati entri saya itu agak ramai dan kerap dirujuk pembaca. Setakat hari ini, sudah menghampiri  20 ribu pageviews, jauh mengatasi entri-entri saya yang lain. Rasa berbaloi dan tidak sia-sia saya membuat entri itu dahulu.

Sehingga hari ini entri itu sudah mendapat 19,121 pageviews.

Terima kasih banyak-banyak Prof atas penghormatan ini. Saya sangat berbesar hati. Ia memberi semacam suntikan semangat dan dorongan kepada saya untuk terus menghidupkan blog Puisi Orang Tak Reti saya itu. Sebelum ini bukannya tidak pernah entri atau tulisan saya dikongsi, disalin atau dipetik, tetapi kali ini ia adalah berbeza kerana datangnya dari seorang ilmuan dan tokoh budaya yang saya segani.



.

Thursday, October 16, 2014

PERNAHKAH ANDA BERADA DALAM SITUASI INI - 3: BUAT KOPI ?


 Gambar hiasa hasil carian Google.


Kita terasa nak minum kopi.
Kita ambil teko, buka tudungnya, masukan air panas dan masukan kopi.
Kita ambil bekas gula. Kita buka tudungnya.
Kita ambil beberapa sudu gula dan masukan ke dalam teko.
Kita kacau, kacau dan kacau.
Kita rasa kopinya. Ok. 
Kita ambil tutup teko dan kita tutupkan kebekas gula.
Cepelop.
Kita latah. Kita ketawa atau diketawakan.

Pernahkah ia terjadi kepada anda sebelum ini ?



Wednesday, October 15, 2014

WW # 110: LU JANGAN MAIN-MAIN SAMA GUA, NANTI GUAR JENTIK !


Monday, October 13, 2014

ORANG YANG MENYURUH KITA BERSYUKUR BILA HARGA MINYAK NAIK PATUT DIPERIKSA OTAKNYA.

 

 

Gambar hiasan hasil carian Google.

 

Ugama Islam menganjurkan supaya kita bersyukur bila mendapat nikmat dan redha serta sabar bila menerima sesuatu yang tidak kita sukai.  


Oleh itu jika ada orang menyuruh kita bersyukur bila harga minyak naik, ternyata pemikiran orang itu sudah senget dan perlu dibuat 'balancing' semula.
 
Kenaikan harga minyak yang turut memberi kesan kepada kenaikan harga barangan lain merupakan sesuatu yang tidak disukai oleh semua orang.  Bahkan mungkin bagi sesetengah orang yang hidupnya kais pagi makan pagi, kenaikan itu merupakan suatu bala.


Saya dapati ramai sahabat yang beranggapan  bahawa  saya menyuruh mereka bersyukur dengan kenaikan harga minyak melalui entri tersebut.  Kalau anda berfikiran begitu, anda silap sebenarnya. Bahkan dari sudut susunan logik bahasa pun ia tidak  kena  bila kita disuruh bersyukur kepada sesuatu yang tidak kita sukai.

 

Bacalah betul-betul entri saya itu sekali lagi  dan fahami maksud yang tersurat. Saya cuma menyuruh kita bersyukur kerana minyak masih lagi boleh dibeli walaupun harganya sudah naik. Cuba bayangkan kekalutan yang akan berlaku, kalau minyak tidak ada di pasaran. Pada masa itu harga 10 sen seliter pun tidak akan ada maknanya lagi. 

 

Ia serupalah dengan orang yang berkata "saya bersyukur semua keluarga saya selamat walaupun rumah saya hangus terbakar".  Orang itu bersyukur bukan sebab rumah dia terbakar tapi bersyukur sebab keluarganya terselamat. Begitulah dengan saya yang menyarankan kita supaya bersyukur kerana minyak masih lagi boleh dibeli walaupun harganya meningkat dan bukannya saya suruh bersyukur sebab harga minyak naik.

 

Kesimpulannya, tidak sekali-kali saya suruh sesiapa bersyukur di atas kenaikan harga minyak baru-baru ini.

 

Rasanya saya belumlah sepandir itu lagi untuk menyuruh orang berbuat demikian.

~

 

Thursday, October 9, 2014

KISAH POKOK PINANG KALAH DENGAN POKOK PUTAT.

Beberapa minggu lepas, saya membuang satu dahan pokok putat yang menaungi pokok ciku dan pokok cempedak saya. Nak jadikan cerita, hujung dahan putat itu tersangkut kat pokok pinang dan terhalang untuk jatuh ke tanah. Kerengga pulak punyalah banyak. Lalu saya tinggalkan begitu sahaja dahan putat itu selepas tidak tahan diserang kerengga. 

Seterusnya langsung saya masuk ke dalam bilik tidur saya dan mula membuka komputer untuk berblog atau berfesbuk. Tetiba saya terdengar bunyi 'rak rak rum'. Rupanya pokok pinang yang saya katakan itu, tercabut akarnya dan terbungkang tumbang.  Ia tewas setelah beberapa lama diasak oleh dahan pokok putat yang yang telah saya potong itu.


 Gambar 1: Begitulah jadinya kalau akar tidak kukuh, senang sahaja tumbangnya bila ditolak dan diasak.

Saya bergegas keluar melihat apa kesudahannya. Makngahya berteriak memanggil saya kerana sangkanya saya masih berada di luar.

Saya dapati hujung pokok pinang itu hanya beberapa kaki sahaja lagi hendak menghempap atap rumah dan sepohoh pokok harum manis saya yang hidup subur menghijau. Setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan kepada Allah SWT kerana telah mengelakkan kami dari bencana.


Gambar 2: Cuba perhatikan jarak batang dan pucuk pokok pinang itu (yang sudah saya kerat) dari cucur atap dan pokok mangga harum manis saya.

Pengajaran: Kadang-kadang kalau kita bernasib baik, sesuatu masalah itu akan selesai dengan sendirinya kalau kita biarkan begitu sahaja buat seketika. Kadang-kadanglah. Bukan sentiasa.

Monday, October 6, 2014

INI ENTRI KONTROVERSI - LEBIH BAIK NAIK HARGA DARI LANGSUNG TAK ADA.

Sambutan hari Raya Haji tetap meriah di sini. Sehari sebelum itu, iaitu hari Sabtu jalan sungguh sesak menuju ke pasar sehari Balai Baru dengan kenderaan orang ramai bertali arus berurusan membeli persiapan raya.


Gambar 1:  Pertama kali saya tengok sesak sebegini.

Sembahyang raya juga penuh masjid. Kereta yang diletakkan di sepanjang jalan menuju masjid sudah tidak lagi ikut peraturan. Tapi toleransi dan kesabaran orang kampung sangat tinggi. Tiada langsung bunyi hon atau orang meninggi suara. Masing-masing sabar menunggu di dalam atau di samping kereta masing-masing.


Gambar 2: Saya bersembahyang di Masjid al-Saadah.

Selepas sembahyang raya, saya membantu jiran depan rumah yang membuat korban. Hujan pulak 80% dari masa siang. Saya perhatikan semangat bergotong royong masih lagi tebal di sini.
 

Gambar 3:  Kelihatan kaum ibu sedang tekun menyediakan lauk pauk untuk makan tengahari.

Saya tidak mendengar ada orang bercerita atau mengeluh tentang kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen beberapa hari sebelum ini. Tidak seperti ramai rakan-rakan di fesbuk yang menyatakan kemarahan masing-masing kecuali seorang dua yang menyokong. Sampai ada yang mengajak tukar kerajaan. Janganlah jadi seperti rakyat Iraq atau Libya yang seronok sangat nak menjatuhkan Saddam dan Gaddafi dahulu. Apa jadi sekarang ?
.

Gambar 4:  Luahan perasaan seorang pemegang akaun fesbuk kerana kenaikan harga minyak.

Mungkin bagi orang kampung yang buat bendang, yang ke sana kemari rata-rata naik motor kapcai, kenaikan harga itu tidak berapa terasa. Kalau pun terasa, mungkin mereka akan ejas dengan cara mengurangkan hisap rokok sebatang sehari.  

Atau mungkin juga mereka bersyukur kerana minyak masih lagi boleh dibeli dimana-mana steseyen minyak pada bila-bila masa. Kalau sudah tidak lagi dijual, duit berjuta pun tak guna. Orang kita kalau tunggu sejam untuk isi minyak pun sudah bising satu Malaya, saya tidak dapat bayangkan apa akan jadi kalau tiada minyak.


Gambar 5: Ini pernah berlaku kat UK.  Sumber sini.

Setelah pernah tinggal di luar negara dan melawat banyak tempat di dunia ini, saya masih lagi menyatakan negara Malaysia adalah yang terbaik. Saya langsung tidak teringin untuk tinggal menetap di mana-mana negara yang pernah saya tinggal dan lawati.  Melancong bolehlah. Bahkan ada juga saya terdengar orang mengatakan Malaysia ini adalah ibarat syurga berbanding negara lain. Kalau tak percaya tanyalah orang Bangla, Myanmar, Nepal, Filipina, Kampuchea, Indonesia dan lain-lain yang mencari makan di negara kita.


Gambar 6:  Beratur untuk mengisi minyak di Abuja. Sumber:  Sini



 Gambar 7: Kelam kabut untuk mengisi minyak motor di Sulawesi Selatan. Rasanya Indonesia turut menjadi ahli OPEC.  Sumber: Sini.


Pada masa ini kira-kira 50% dari 1.2 billion orang penduduk India tidak ada tandas di rumah dan membuang air besar secara terbuka.  Pada hal mereka lebih dulu merdeka dari kita bahkan India merupakan antara negara yang terawal bertamaddun di dunia ini.

 

Gambar 8: Hampir 600 juta orang penduduk India membuang air besar secara terbuka kerana tiada tandas di rumah. Sumber:  Sini


Saya percaya kalau kerajaan India menaikan harga minyak sebanyak 20 sen seliter dan wang itu digunakan untuk menyediakan tandas percuma kepada rakyatnya, dalam masa 2-3 tahun sahaja masalah tandas itu boleh diselesaikan. Saya rasa itu lebih afdal lagi dari melaksanakan program pergi ke Mars yang kerajaan mereka laksanakan itu.



Gambar 9: India melancarkan misi ke Mars:  Sumber: Sini

Hairannya orang-orang India yang tidak bertandas di rumah mereka itu, tidak pula bertindak berarak di jalan raya melaunngkan reformasi untuk menukar kerajaan.


Friday, October 3, 2014

KITA SEMUA HANYALAH PEMEGANG AMANAH.



لِّلَّهِ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَمَا فِى ٱلۡأَرۡضِ‌ۗ


Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah - 2/284.

Oleh itu janganlah kita berlagak sombong dengan harta benda dan wang ringgit yang kita miliki kerana bila-bila masa sahaja semuanya boleh diambil semula oleh pemiliknya kalau Dia berkehendak dan kita sedikit pun tiada daya dan kuasa untuk menahannya.

Sebaliknya kita haruslah sentiasa bersyukur dengan nikmat pemberianNya dan beramal soleh sebagai tanda kesyukuran diatas segala kenikmatan yang dipinjamkanNya.

Ingatan kepada diri sendiri dan juga kepada rakan-rakan sekelian yang sudi diperingatkan.

Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha dari saya kepada semua kaum muslimin dan muslimat pembaca blog ini, walau di mana sahaja berada. Maaf zahir dan batin.




Thursday, October 2, 2014

SONYUM SOKOJAP 70 - ARWAHNYA ADA LAGI KE ?



Pemandangan sebenar pada hari kejadian.

Dua minggu lepas sempena cuti sekolah saya balik menjenguk rumah di Seremban. Memancing udang galah adalah satu agenda wajib saya.

Pada pagi hari yang dijadualkan, saya dihantar oleh Makngahnya kerana sebelum itu kita dah janji nak makan roti canai dulu kat gerai tepi sawah, tak jauh dari tempat berkelah Ulu Bendul.

Selepas selesai meroti canai, saya bergegas ke kolam pancing. Sebaik sampai saya segera sediakan pancing.

Oleh kerana saya dah lama tak memancing, penjaga kolam yang telah lama mengenali saya datang berborak. Saya ceritalah kenapa dah lama tak datang mancing kerana balik ke Perlis menjaga bapa mertua saya.

Dia pun mula cerita yang dulu dia juga menjaga arwah emaknya yang uzur.

Saya yang antara dengar tak dengar tapi buat-buat macam dengar kononnya,  bertanya.

"Arwah emaknya ada lagi tak ?"

Saya tengok Makngahnya dah tersenyum kat saya. Saya tahu kenapa. Kalau dah arwah mana nak ada lagi. Tapi yang bestnya penjaga kolam tu jawab:

"Dah tak ada dah .. "

Saya memang begitu. Kalau tengah asyik buat kerja apa lagi sedang menyediakan peralatan pancing, bukan ambil perhatain sangat kalau orang bercakap.

Yang orang ini pun satu, tengah orang sibuk sediakan pancing, masa tulah dia nak bercerita.