Wednesday, December 30, 2020

TERKENANG SEMASA DULU - 103: BAU-BAU HOLLYWOOD - 1984.

Selepas habis mesyuarat di Los Angeles, kami berempat telah ambil peluang bersiar-siar sekitar Beverly Hill dan Hollywood menggunakan kereta yg disediakan pihak hotel untuk menghantar kami ke airport. Sempat jugalah kami melihat rumah mewah selebriti2 terkenal serta bergambar kat "Walk of Fame" di mana diabadikan nama2 besar dalam dunia hiburan di laluan pejalan kaki. Merasa juga menaiki limo yang dipandu Mat Salleh merangkap pemandu pelancong sementara.

Cuma rasa sedikit terkilan kerana kami tidak bergambar dengan berlatarbelakangkan perkataan Hollywood yang terpampang di lereng bukit tu. Entah kenapa tidak ada seorang pun dari kami yang teringat untuk berbuat begitu.





Sunday, December 6, 2020

JANGAN KISAH ORANG LAIN BELI KUIH APA.

Saya ibaratkan berpolitik ni macam nak beli kuih untuk minum petang. Belilah kuih yang sesuai dengan tekak sendiri.  Kalau tak suka,  tak usah beli. Selesai masalah.  Jangan pula dicaci maki penjualnya atau kuihnya.

Dan satu lagi,  kalau orang lain beli kuih yang tak serupa dengan kuih yang awak beli,  jangan pulak pergi serang orang tu dengan kata2 yang kesat dan kotor.  Biarlah dia nak beli kuih apa pun.  Selera manusia tak sama.  Yang nak makan dia,  bukannya awak.  Dia beli pun bukannya minta duit awak.

Sunday, November 8, 2020

TERKENANG SEMASA DULU - 102 : WATER FRONT.

 Berlatarbelakangkan pasar terapung.


Di kalangan kawan-kawan, kami panggil tempat ini Water Front - tempat kami beli ikan, udang, ketam dll.  Ia tak jauh dari White House. Jualan dibuat dari dalam bot.  Bila air pasang senang sikit nak beli sebab bot terapung sama aras dengan tebing.  Bila air surut, kita kena membongkok sikit nak pilih ikan atau nak buat bayaran. Yang menariknya selain guna wang tunai, kita boleh guna kad kredit atau chek untuk buat bayaran. Semua hasil lautnya masih fresh,  bahkan ketamnya masih merangkak2 lagi. Kalau nak siang ikan,  ada gerai khusus sediakan khidmat menyiang ikan. Orang yang jual ikan tak buat kerja itu macam kat Malaysia. Sudah tentu ada bayarannya.  Tapi saya tak pernah guna khidmat tersebut kerana lebih suka siang sendiri. 

Gambar diambil pada tahun 1981.

Thursday, October 29, 2020

FORMULA 99.

Ada kawan hantar tulisan ini melalui wasap kepada saya.  Ia sangat bagus dibaca dan direnung oleh mereka yang sering merasa tidak cukup atau selalu merasa tidak puas dengan apa yang ada. 

🏡Dikisahkan ada seorang Raja yang sedang termenung melihat taman di depan istananya.

Ia gelisah kerana tak pernah merasakan ketenangan dan sulit sekali menemukan kebahagiaan...

Kesihatannya menurun, dia mulai susah tidur kerana beban fikiran yang mengganggu..

padahal selama ini ia tidur didalam kamar yang mewah dan tilam yang empuk.

Ditengah lamunannya, sang raja melihat seorang tukang kebun yang sedang bekerja sambil tertawa. 

Setiap hari ia datang dengan senyuman dan pulang dengan keceriaan. Gajinya hanya cukup makan dan rumahnya pun begitu sederhana.

Tak pernah tampak kesedihan di wajahnya. 

Saat dia pulang keluarganya telah menunggu dengan hidangan makan yang seadanya dan keluarga kecil ini pun makan dengan bahagia..

Raja pun hairan melihat orang ini. 

Ia memanggil penasihatnya dan bertanya, 

“Hai penasihatku,

telah lama aku hidup ditengah kegelisahan sedangkan aku memiliki segalanya. Tapi aku sungguh hairan melihat tukang kebun itu. Tak pernah tampak kesedihan di wajahnya, kadang2 ia tertidur di bawah rendangnya pohon, seperti tak ada beban dalam hidupnya, padahal ia tidak memiliki apa2.. !”

Si penasihat tersenyum dan berkata, 

*“Semuanya ditentukan dengan formula 99.* 

Bila tukang kebun itu terkena formula ini, maka hidupnya akan gelisah dan ia tak akan boleh tidur.”

“Apa yang kau maksud dengan formula 99..?” 

tanya raja.

“Besok malam perintahkan perajurit untuk menghantarkan hadiah kepadanya. Sediakan satu kotak wang dan tulislah 100 Dinar. Namun isi lah kotak itu dengan 99 dinar saja...”

Raja pun menuruti saran dari penasihatnya. 

Ketika hari mulai gelap, perajurit mengetuk pintu rumah tukang kebun ini dengan membawa hadiah.

Si tukang kebun membuka pintu rumahnya dan terkejut melihat perajurit membawa kotak hadiah.

“Ini hadiah dari raja untukmu.” 

kata si perajurit.

“Ya, sampaikan terima kasihku kepada raja.”

jawab tukang kebun sambil kegirangan melihat kotak dgn tulisan 100 dinar. 

Belum pernah ia memiliki wang sebanyak itu.

Ia segera membawa masuk kotak itu dan menghitungnya bersama keluarga. Namun anehnya, jumlah wang didalam kotak itu hanya 99 dinar. Dia pun menghitung semula, tapi tetap jumlahnya 99.. 

Dia yakin, pasti ada wang yang jatuh. 

Dia mencari2 di-sekitar pintu, tapi tak menemukan apa2.. 

Akhirnya dia mencuba untuk menelusuri sepanjang jalan menuju istana.

Semalaman ia mencari, tapi tetap tidak menemukan apa2..

Matahari mulai terbit, raja beserta penasihatnya menanti tukang kebun ini. 

Tak berapa lama dia datang dengan wajah yang masam dan berkerut...

Raja pun terkejut dan bertanya kepada penasihatnya, 

“Apa yang terjadi..?

biasanya dia datang tidak dengan wajah seperti in...!”

Penasihat raja menjawab, 

“Duhai raja, begitulah kehidupan.. kita memiliki banyak hal namun kita mencari yang tidak kita miliki.

Orang ini mendapatkan 99 dinar secara percuma, namun ia sibuk mencari 1 dinar yang hilang..!”

Munculnya kegelisahan hati kerana kita mencari sesuatu yang tidak kita miliki, sementara kita tidak pernah mensyukuri banyaknya anugerah yang kita punya..!

Kisah ini memberi pelajaran yang sangat berharga bahawa nikmat ALLAH telah dicurahkan begitu banyak kepada kita, namun kita sibuk menanti sesuatu yang belum datang.. 

ALLAH SWT berfirman,

لَئِن شَكَرْتُمْ لأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

"Demi sesungguhnya.. Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras..".

(QS Ibrahim:7)

Bila kita selalu sibuk mencari sesuatu yang tidak kita miliki, maka kita tidak akan punya waktu untuk menikmati kenikmatan yang sudah kita miliki...

Maka, janganlah kita sibuk mencari sesuatu yang hilang, namun lupa dengan 99 kenikmatan yang ada di depan mata...

✅❤✅❤✅❤✅❤

Monday, September 28, 2020

DARI FESBUK # 31: SIAPAKAH BANGSA ASING ITU ?



Tangkap layar di wall saya.

Saya nak komen satu perkara iaitu tentang penggunaan istilah "bangsa asing". Sebenarnya sudah lama saya nak komen tapi tertangguh sebab ingatkan dah tak ada lagi orang kita cakap macam tu. Tapi saya silap sebab masih ada lagi orang kita yang guna ungkapan itu untuk merujuk kepada warga Malaysia bukan keturunan Melayu atau Bumiputera. Mungkin ramai yang tak perasan tapi saya perasan sebab ia mengusik hati saya tiap kali mendengarnya. 

Bagi saya penggunaan istilah itu tidak tepat. Orang asing hanya sesuai digunakan bagi bukan warga negara Malaysia yang datang melancong, bekerja termasuk PATI,  mendapat rawatan,  buat konsert,  bersukan dsb bukannya mereka yang memegang kad pengenalan BIRU. 

Saya tak tahu kenapa perkara ini masih lagi berlaku.  Mungkinkah kerana orang kita masih merasakan mereka itu bersikap macam bangsa asing?

Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke - 60.


*Entri tertangguh.

Thursday, September 10, 2020

GOTONG ROYONG PUN BOLEH MENYAKITKAN HATI.


Bila kita buat kerja gotong-royong seperti memotong dahan-dahan pokok yang menghalang pemandangan atau membersihkan longkang yang tersumbat di taman perumahan kita, biasanya ramai yang ingin turut serta menyumbangkan tenaga atau pun dalam bentuk lain seperti menyediakan makanan atau alat kelengkapan.

Namun begitu kerap kali juga kita berdepan dengan pelbagai reaksi yang tidak memberangsangkan dari penduduk melalui komen-komen mereka seperti contoh berikut.

Penduduk 1. "Buat apa ramai-ramai ni ?" Buat-buat tanya pulak.  AJK dah pasang banner sebulan yang lepas tentang aktiviti ini. 

Penduduk 2: "Mana boleh buat pembakaran terbuka, akai tak de ka ?" Ye lah, engkau sorang je yang ada akal.

Penduduk 3: "Ini kerja bodoh .. kenapa kita harus buat kerja-kerja majlis perbandaran" Ye lah, engkau sorang je yang cerdik dalam kampung ni. Orang lain semua bodoh belaka.

Penduduk 4: "Minta maaf tak dapat tolong, hari ini saya sibuk sikitlah" Ye lah awak sorang je yang sibuk. 

Penduduk 5: "Ada sebatang pokok yang telah condong kat depan rumah saya. Boleh tak datang tolong tebang kan ?"  Banyak cantik kau punya muka.


Sunday, August 30, 2020

KISAH SEHARI SELEPAS PRK SLIM.

 Berkenaan keputusan PRK Slim. 

1. Ada orang tu tak nyenyak tidur sebab calon dia kalah. 

2. Ada orang tu tidur lena macam biasa,  tak kisah pun siapa menang atau kalah. 

3. Ada orang tu tak tahu pun siapa menang. 

4. Ada orang tu tak tahu pun ada PRK. 

5. Ada orang tu tak tahu pun kat mana Slim. 

6. Ada orang tu tak tahu pun apa maksud PRK. 


Saya nombor 2. Anda pulak nombor berapa?

Saturday, August 22, 2020

APA PERSAMAAN ORANG POLITIK DENGAN KAKI PANCING?

Gambar hiasan hasil carian Google.


Orang politik ni macam kaki pancing juga.  Walau pun orang lain lihat dia dah uzur atau terlalu tua, semangat untuk memancing tak pernah pudar. Selagi terdaya,  mereka tetap akan turun memancing.  Kalau tak larat ke laut luas,  mereka akan memancing di tepi pantai. Kalau tak larat menebing sungai,  mereka akan memancing di kolam berbayar.  Pokoknya mancing tetap mancing. 

Kadang2 kalau tak ada duit untuk bayar mancing di kolam,  mereka pergi melepak tengok orang lain mancing untuk lepas gian. Harap-harap ada kawan yang memancing suruh jaga pancing dia sekejap, sementara dia pergi tandas atau pergi solat. Dapatlah pegang batang pancing walaupun sekejap. Jadilah. Bagi orang yang bukan kaki pancing mereka tidak akan faham bahkan ramai yang mempersendakan mereka. 

Begitulah juga orang politik. Kepada mereka yang tak faham perangai orang politik,  cuba fahami perangai kaki pancing.  Tak banyak beza. 

Selepas itu tak perlulah nak kutuk atau sindir mereka kecualilah anda memang berjawatan tetap sebagai pengkritik orang politik

Monday, August 17, 2020

TOLONG JANGAN MENGUNGKIT.

Pernah dengar tak orang berkata lebih kurang begini,

"Kita tidak sepatutnya mengungkit2 kesalahan dia yg lalu kerana sebagai PM dia telah banyak berjasa kepada bangsa dan tanah air"

Bagi saya begini.  Sesiapa pun nak jadi PM tiada siapa yang paksa.  Tetapi bila sudah dilantik, dia kena laksanakan tugas dan tanggung jawab seperti yang diharap dan dijangkakan. Tak timbul soal jasa dsbnya.  

Kalau semua nak claim jasa,  maka semua penjawat awam dari PM, MB,  polis, bomba, doktor,  jururawat,  pemandu sampai ke peon, masing2 ada jasanya selaras dengan tugas dan tanggungjawab yang ditetapkan dan diharapkan. 

Bahkan kalau nak dikira,  gurulah yang paling banyak berjasa. 

Semua individu yang berjaya samada menjadi Ketua Polis Negara,  Ketua Hakim Negara, Ketua Pengarah Kesihatan, Ketua Setiausaha Negara, PM,  MB dll adalah hasil didikan mereka. Tetapi mana boleh dia mencanangkan jasanya pernah mendidik mereka kerana bukankah tugas seorang guru untuk mengajar. Saya ambil contoh guru kerana anak sulung saya adalah seorang guru. Dan seandainya seorang guru  melanggar undang2, dia akan ditangkap,  dibicara dan dihukum walaupun mungkin yang menangkap dan menghukumnya itu adalah bekas anak murid dia sendiri.  Bolehkah dia guna alasan pernah berjasa mengajar mereka dahulu untuk mengelak dari didakwa dan dihukum? 

Memang Islam ada menganjurkan supaya penganutnya mengenang jasa tapi dalam masa yang sama Islam juga lebih melarang kita mengungkit2 jasa kita. 

Kesimpulan.  Sebagai pemimpin atau sesiapa sahaja yang makan gaji,  kamu tidak dinilai berdasarkan apa yang kamu telah buat,  tapi dinilai berdasarkan apa yang kamu patut buat tapi tak buat. 

Cuma sekadar itu. Kalau apa yang saya kata itu salah,  maafkan saya. 



Tuesday, August 11, 2020

SUKAN APA BOLEH BUAT BANYAK DUIT?

Sukan apa yang paling banyak boleh buat duit pada masa ini ? 


a. Berlari, 

b. Berenang, 

c. Melompat, 

d. Boling, 

e. Memanah, 

f. Tinju. 


Saya jawab 'c'. 



Tuesday, July 14, 2020

INI PARLIMEN KE?

Semalam sekerat hari saya ikuti persidangan Parlimen.  Saya tidak gembira melihat apa yang terjadi.  Terpekik terlolong di sana sini. Tetapi bukanlah semua MP berkelakuan begitu.  Cuma beberapa kerat sahaja. 

Kenapa ini terjadi?

Saya simpulkan sebabnya dengan dua perkataan, iaitu "BALAS DENDAM".

Begini. 

Masa BN memerintah dulu, persepsi umum mengatakan speaker lebih memihak kepada MP dari BN.  Masa itu MP dari PH simpan sahaja rasa marah,  tak puas hati,  geram dsb. Bila PH pula memerintah, mereka balas dendam.  Kali ini MP dari BN pula merasakan apa yang dirasakan oleh MP dari PH dahulu. Mungkin dalam hati mereka berkata,  "nantilah bila kami memerintah semula,  tahulah nasib engkau".

Itulah yang terjadi semalam. Banyak perkataan yang tak sesuai diucapkan,  lawak hambar di samping tidak menghormati peraturan dewan.

Perbuatan atau sikap ini tidak baik.  Ia lebih teruk dari program debat masa saya bersekolah menengah dahulu. 

Bilakah agaknya mereka akan berubah?



Nota kaki: Saya tidak menyebelahi mana2 pihak.

Thursday, July 9, 2020

SEANDAINYA ANDA TERTINGGAL DI NEGARA ORANG.

Ini soalan andaian tapi tidak mustahil boleh berlaku. 

Katalah anda melancong ke luar negara (contohnya Jepun) bersama rombongan yg besar (melebih 20 orang),  tetiba anda tertinggal dari grup atau tersesat sendirian, apa yang harus anda buat? 

Waktu sudah hampir 8 malam.  Tentunya kedutaan sudah tutup. Lagipun kedutaan terletak kira-kira 400 km dari tempat anda sedang berada sekarang. 

Anda pulak tidak tahu nama dan alamat tempat penginapan serta tidak tahu nombor telefon mana2 ahli rombongan. 

Jawapannya. 

Tunggu saja ditempat yang terakhir sebelum terpisah. Jangan ke mana-mana. Sudah pasti ketua rombongan atau orang lain akan datang menjejaki anda.  Tetapi kalau anda bergerak ke sana ke sini, ke sana ke sini,  sukar untuk menemukan anda. 

Friday, July 3, 2020

JANGAN BELI IKUT KEMAMPUAN.

"Belilah ikut keperluan dan bukannya ikut kemampuan walaupun kita sememangnya berkemampuan"

Satu pesanan yang kadang-kadang saya sendiri pun susah nak ikut terutamanya kalau termasuk dalam kedai pancing

Tuesday, June 30, 2020

KISAH ORANG DENGAN SIMPANG.




3 jenis orang dengan simpang.

Jenis 1. Sebelum sampai simpang, dia dah fikir nak belok ke mana.

Jenis 2. Bila dah sampai simpang, baru dia fikir nak belok ke mana.

Jenis 3. Bila dah lepas simpang baru dia terfikir nak belok ke mana.


Siapakah biasanya orang jenis 3 itu?


.

Thursday, June 11, 2020

PERIBAHASA COVID19.




1. Seekor kerbau membawa lumpur habis semua terpalit.
Seorang pekerja kena COVID, habis satu kilang kena tutup.

2. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.
Alang-alang cuti PKP,  biar sampai ke hujung tahun.

3. Kalau tak dipecahkan ruyung,  manakan dapat sagunya. 
Kalau tak buat ujian Covid,  mana nak tau positif ke tidak.

4. Jangan disangka air yang tenang tiada buaya.  
Jangan disangka orang yang nampak sihat tak bawa virus Covid.

5. Marahkan nyamuk, kelambu dibakar.
Marahkan virus Covid, topeng muka tak nak pakai.


Sila sambung ...

Saturday, June 6, 2020

SIAPA TIDUR CEPAT?

Kebiasaannya. 

® Tidur cepat, bangun cepat - atuk. 

® Tidur cepat, bangun lambat - cucu. 

® Tidur lambat, bangun lambat - anak.

® Tidur lambat, bangun cepat - nenek/ibu/isteri. 

® Tidur lambat,  bangun cepat,  lepas tu tidur balik - suami. 

Saturday, May 30, 2020

KITA TIDAK SERUPA.

Minat kita tidak serupa.  Dan itu adalah rahmat.

1. Ada orang minat kesusasteraan seperti pantun,  seloka, syair,  gurindam,  sajak dsb. Ada orang yang "geli' untuk bergaul dengan orang jenis ini.

2. Ada orang minat berambut panjang. Ada orang yang tidak minat berambut.

3. Ada orang minat bermain golf.  Ada orang minat memancing ikan atau udang.

4. Ada orang suka cakap berkias atau beralas.  Ada orang suka cakap terus terang (direct to the point).

5. Ada orang suka letak lemari menyimpan cenderahati kat ruang tamu.  Ada orang suka letak lemari buku dalam bilik tidur.

6. Ada orang suka duduk rumah satu tingkat. Ada orang suka duduk kondo.

7. Ada orang suka makan durian.  Ada orang baunya pun tak tahan. 

8. Ada orang suka bela kucing dalam rumah.  Ada orang suka bela ikan dalam rumah.

Namun begitu jika minat orang lain itu bertentangan dengan hukum hakam agama, undang2 negara atau norma masyarakat, tidak bolehlah kita hormati atau bersetuju dengannya. 

Jika tidak demikian halnya,  marilah kita raikan dan hormati minat orang lain yang berbeza dengan minat kita.  Kelak anda akan dapati dunia ini indah dan seronok untuk di diami.




Thursday, May 28, 2020

DARI FESBUK # 30 : NORMAL BAHARU KE NORMA BAHARU?


Semalam saya buat status bertanyakan istilah mana yg tepat merujuk kpd situasi kita melawan Covid-19 sekarang,  samada NORMAL baharu atau NORMA baharu. Bermacam2 pendapat diberikan. Terima kasih semua.

Dlm satu komen, saya ada menyebutkan bahawa perkataan normal dan norma (norm) tu kedua-duanya adalah perkataan Inggeris. Jadi cara paling mudah dan selamat utk kita mengetahui mana satu yang lebih tepat,  kita lihat mcm mana org Inggeris menggunakannya. Jgn ikut cara org kita kerana banyak perkataan Inggeris yg kita gunakan berlainan makna dgn bahasa Inggeris sebenar.  Contohnya perkataan action,  sound,  terror,  chop dsb,  punya maksud yg berlainan dlm BM kita.

Dari semakan saya secara sepintas lalu,  saya dapati dua gergasi penyiaran dunia berbahasa Inggeris iaitu CNN dan BBC menggunakan "new normal" atau "normal baharu" dalam rencana atau siarannya. Normal baharu bermaksud perbuatan yang dulunya di anggap tidak normal,  kini sudah dianggap normal. Contoh yang terbaik adalah penjarakan sosial. Lama kelamaan, ada yg berpendapat perbuatan "new normal" akan menjadi "now normal".



BBC menggunakan istilah 'New Normal'


CNN juga menggunakan istilah 'New Normal'

Ada juga yg kata perkataan normal dan norma itu sama shj maksudnya. Saya tak berapa setuju.  Untuk bezakan makna normal dgn norma,  kita tengok contoh ayat berikut:

"Setelah tiga hari lobai Salleh terlantar kat hospital kerana demam panas,  hari ini suhu badannya telah kembali NORMAL.

Dlm contoh ayat tersebut tentulah perkataan norma tidak sesuai digunakan, sekaligus menolak pandangann yg mengatakan perkataan normal dan norma itu sama sahaja maksudnya.

Ini adalah pendapat saya sahaja.

#taksetujupuntakapa

Tambahan.  

Sekarang saya dapati semua akhbar telah menggunakan istilah normal baharu dan tidak lagi norma baharu seperti sebelum ini. 


Sebelum ini Astro Awani menggunakan istilah Norma Baharu.

Friday, May 22, 2020

DARI FESBUK # 29: TAHU TAK KENAPA?


Monday, May 18, 2020

RAGAM MANUSIA DI BULAN RAMADHAN.


Empat jenis manusia Islam di bulan puasa.

1. Ada yang berpuasa dengan mematuhi sepenuhnya segala rukun dan syaratnya serta turut melakukan segala sunatnya.

2. Ada yang berpuasa tapi tidak kerjakan anjuran yang sunat dan dalam masa yang sama turut melakukan perkara yang makruh.

3. Ada yang tak berpuasa tanpa alasan syarie tapi tidak pula mengerjakan apa-apa maksiat.

4. Ada yang tak berpuasa tanpa alasan syarie di samping dalam masa yang sama turut membuat maksiat. 

Yang nombor 4 tu paling teruk,  tapi ada berlaku.


Saturday, May 16, 2020

PADAH UBAT TURUN BERAT BADAN.



Gambar sekadar hiasan.

Ubat turunkan berat badan tu agak mahal harganya,  RM50 sebiji dan hendaklah dimakan 3 biji sehari selama se bulan.

Siti merayu minta ayahnya belikan.  Menyedari akan masalah berat badan anaknya, ayahnya bersetuju untuk membelikan ubat tersebut.

Selepas makan ubat tersebut selama sebulan,  berat badan Siti sikit pun tak turun tapi berat badan ayahnya yang turun sebanyak 6 kg. Bila ayahnya baca semula iklan ubat itu, baru dia sedar yang dia sudah terkena.

"Barang siapa yang membeli ubat ini,  dijamin berat badannya akan turun sekurang-kurangnya 5 kg dalam tempoh sebulan. Jika tidak, wang anda akan dikembalikan"

Rupanya yang turun berat badan adalah orang yang membeli bukannya orang yang memakannya.


.

Tuesday, May 12, 2020

TAK NAMPAK BATANG HIDUNG.



Gambar hiasan hasil carian Google.


Dalam Bahasa Melayu juga ada kaedah "walau disebut sebahagian, tapi yang dimaksudkan adalah semuanya"

Contoh:

1. Jika isteri suruh kita basuh pinggan mangkuk, yang dimaksudkannya bukan hanya basuh pinggan mangkuk sahaja tetapi semua yang ada dalam sinki termasuklah cawan,  piring, gelas,  sudu,  garpu, kuali, teko dsb.

2. Jika ada yang cakap,  batang hidung dia pun tak nampak,  yang dimaksudkan seluruh tubuh badan dia tak kelihatan,  bukan setakat batang hidung dia je yang tak nampak.

3. Jika ada orang ajak makan nasi,  bukanlah dimaksudkan makan nasi semata-mata tapi termasuklah juga semua hidangan di atas meja yang merangkumi lauk pauk, air minum dan juga pencuci mulut.

Nota kaki: Entri ini diletak bawah label 'entri saja-saja".  Jadi tak usahlah ambil serius sangat.


Friday, May 8, 2020

MARI KITA BOIKOT.

Kisah ini berlaku pada tahun 50an mengenai sebuah kedai runcit di sebuah kg Melayu tradisional yg jauh di pendalaman. Pemiliknya bukan seorg Melayu tulin. Pada masa itu, hanya itulah satu2nya kedai runcit yg ada dlm kampung tersebut.  Kedai runcit lain yg terdekat adalah kira-kira 8 batu jauhnya di sebuah kg yg lain.

Pada suatu hari, entah mcm mana mungkin kerana terlalu marah, taukeh kedai runcit itu telah mengeluarkan kata2 yg disifatkan sebagai menghina org Melayu. Oleh kerana terlalu marah dgn kata2 taukeh tersebut,  penduduk kg pun berpakat utk memboikot kedai berkenaan.

Dgn semangat yg berkobar2, masing2 pun beralih membeli barang keperluan dari kedai runcit milik Melayu di kg yg berjiran. Dipendekkan cerita, selang 5-6 hari mulalah masing2 tawar hati kerana kedai Melayu tersebut terletak jauh dan harga barang2 pula umumnya lebih mahal. Utk ke kedai tersebut sgt meletihkan kerana terpaksa berjalan kaki atau mengayuh basikal.  Maka akhirnya mereka bersetuju utk membeli semula barang2 keperluan dari kedai runcit di kg mereka. Sebelum itu diputuskan seorg drp mereka berjumpa taukeh kedai tersebut utk memberi amaran. Beginilah kata2 wakil tersebut,

"Saya sebagai wakil penduduk kampung ini ingin beri amaran kepada kamu,  jika sekali lagi kamu cakap mcm itu,  kita akan boikot terus kedai awak.  Ingat.  Ini adalah amaran terakhir yang pertama"

Taukeh kedai tersebut dgn nada kesal telah berjanji utk tidak mengulangi kata2 yg pernah diucapkan sebelum ini.

Nota kaki.  Ini bukan kisah benar. Ia ada kena mengena dgn yg masih hidup atau pun yg telah mati.


Gambar berikut sekadar hiasan.


Friday, May 1, 2020

DARI FESBUK # 28: KISAH GEROBOK REZEKI.

Saya cukup kagum dengan sikap org Jepun yang pemurah, bertimbang rasa dan tidak mementingkan diri sendiri semasa mereka menghadapi bencana Tsunami beberapa tahun dulu. 

Kini saya dapat menyaksikan sikap yang serupa di kalangan rakyat Malaysia semasa berdepan dengan PKP. Setiap hari di sana sini saya membaca laporan ttg NGO, badan sukarela, syarikat korporat, orang perseorangan dsb berlumba2 menghulurkan bantuan kepada mereka yang kesempitan samada menggunakan dana sendiri atau pun dana yang dikumpulkan melalui sumbangan orang ramai. Misalnya saya sangat berbangga dengan inisiatif AJK Masjid Qaryah Ibnu Khaldun di taman saya yang mempelopori gerakan mengumpul dana dan menyampaikan bekalan makanan kepada penduduk setempat dan juga penduduk di kawasan2 yang berhampiran melalui projek Gerobok Rezekinya. Dan melalui program "out reach"nya pula, mereka telah berusaha mencari kelompok yang terputus bekalan kerana menyedari ada golongan yang tercicir seperti pekerja kontrak warga asing yang mendiami rumah2 kongsi yang terpencil. Tidak tergambar betapa gembira dan bersyukurnya mereka tatkala menerima sumbangan yang dihantar oleh team Gerobok Rezeki.

Selanjutnya jemput lihat beberapa keping gambar kerja-kerja pengagihan pek bahan makanan asas kepada penerima-penerima di sekitar bandar Senawang.


Penulis dengan Pengerusi Masjid Qaryah Ibnu Khaldun, Lavender Heights - Tn Haji Md Asna.



 







 






Semoga Allah memberi kekuatan dan ketabahan kepada mereka untuk meneruskan misi kemanusiaan ini serta memberkati usaha mereka semua. Syabas dan tahniah.

Sunday, April 26, 2020

GANJARAN TAK LANGSUNG DARI PEMOTONG RUMPUT.


Gambar 1: Sebelum.


Gambar 2: Selepas

Petang semalam ada orang datang potong rumput kat rumah saya.  Saya bayar lebih sedikit darapada biasa. "Duit raya", kata saya.

Nak jadikan cerita,  tak sampai setengah jam kemudian, saya terima mesej dari seseorang beritahu dia ada transfer duit ke akaun saya. Dia pernah pinjam duit saya kira2 tiga tahun lalu. Saya tak pernah pula minta atau ingatkan dia suruh bayar balik hutangnya. Tapi bila orang dah nak bayar,  takkan saya nak tolak pulak.

Saya cerita ini bukan nak riak. Jangan silap faham. Saya cuma nak tunjuk melalui kisah saya ini akan kuasa sedekah. Tak semena2 tergerak hati orang yang pinjam duit saya tu untuk bayar balik hutangnya. Siapakah yang menggerakan hati orang itu kalau bukan Allah.

Kemudiannya hati kecil saya berkata,  "Itulah kau berkira sangat nak sedekah kat Bangla tu tadi. Kalau kau tak berkira, entah-entah orang yang pinjam duit kau lebih lama dan lebih banyak daripada tu tergerak pulak hatinya nak bayar"



Friday, April 24, 2020

JANGAN BERAT DALAM DUA PERKARA.

Seseorang itu dikira sombong jika dia berat dalam dua perkara,  iaitu:

1. Berat untuk memuji kebaikan orang lain;  dan

2. Berat untuk mengaku kelemahan diri sendiri.


.

Tuesday, April 21, 2020

SELOKA MUSIM PKP.

I Stay At Home Awareness Campaign And Coronavirus Prevention Stock ...


Musim PKP ni banyak orang yang kesempitan,
Ramai yang bantu, ada juga yang ambil kesempatan.

Musim PKP ni banyak orang yang terkurung,
Ramai yang suka, ada juga yang murung.

Musim PKP ni banyak kilang yang tutup,
Ramai yang susah, ada juga yang cukup.

Musim PKP ni tak boleh berjemaah di surau.
Ramai yang sedih, ada juga yang tak hirau.

Musim PKP ni susah nak beli barang,
Tapi khabarnya ramai juga yang bertambah kembang.

.







Saturday, April 18, 2020

JASA PLASTIK PEMBUNGKUS ROTI

Gambar hiasan hasil carian Google.

Kita hidup ini ada peranan masing-masing.  Kadang-kadang kita terlupa akan peranan orang lain. Mungkin mereka yang pada pandangan kita tidak penting itulah yang telah menyelamatkan kita.  Umpama plastik pembungkus roti yang dibuang ke dalam tong sampah, dialah yang telah melindungi roti yang kita makan dari kekotoran agar kita terselamat dari virus yang boleh mengancam kesihatan.

Begitulah dengan orang miskin.  Jangan sekali-kali dipandang hina. Entah kerana sedekah kita yang tidak seberapa menjadi asbab terelaknya kita dari dimasukkan ke dalam neraka di sana nanti.


Saturday, April 11, 2020

MARI BELAJAR BAHASA NEGERI SEMBILAN: PELAJARAN 19.




PEMERHATIAN 19: Perkataan sama tapi makna tak sama.

Saya perhatikan banyak perkataan dari bahasa baku tapi dalam dialek N9 ia memberi makna  yang berbeza dan unik.

Contoh:

1. Pahit - Rasa yang tidak sedap seperti biji langsat. N9: Pait  - Jangan harap.
2. Jalang - Perempuan tak baik. N9 - Tak pekat atau cair.
3. Cuci - Basuh. N9 - Rosak, musnah.
4. Kawan - Sahabat. N9 - Isteri atau suami
5. Panggilan - Macam panggilan telefon.  N9 -Jemputan kawin.
6. Segan - Malu.  N9: Sogan - Malas
7. Tindik - Membuat lubang pada cuping teling atau hidung. N9 = Menindas kutu dengan kuku.
8. Bayang - Bentuk hitam yg terjadi daripada sesuatu benda yg menahan cahaya. N9 - Berjalan atau berdiri yang terhuyung-hayang.
9. Korek - Menggali. N9: Kokoghek - Baki makanan dalam bekas.
10.Kelapa. - Sejenis buah atau nyior. N9 - Menyemai anak benih.
11. Pokok - Pohon. N9 -Terpulang, terserah.
12. Teragak -  Terfikir (timbul sesuatu fikiran dgn tiba-tiba atau dgn sepintas lalu), terlintas di hati. N9 - Teringin, teringat. 
13. Kencang - Laju, deras. N9: Koncang - Mesra.
14. Titik - Tanda N9. Pukul 
15. Serik - Tak mahu buat lagi. N9: Soghik - Susah, miskin.
16. Biak - Menjadi banyak. N9: Becak, lecah.

Pelajaran sebelumnya ada di sini. 

Thursday, April 9, 2020

JANGAN PANDAI KUTIP JE !.

Gambar hiasan hasil carian Google.

Tipikal orang Malaysia suka dan cepat menghukum. Contoh, kalau ditularkan kisah seorang ibu tunggal yang miskin beranak lima sudah tidak makan nasi tiga hari, maka akan tersemburlah komen-komen dari mereka yang sangat prihatin kepada pusat pungutan zakat. Antaranya yang biasa kita baca atau dengar ialah:

"Pusat Zakat tidur ke ?"
"Kutip je pandai. Jawablah di akhirat nanti"
"Janganlah asyik nak mesyuarat je"

Mereka tidak pernah bertanya dan menyelidik apa puncanya ibu tumggal tu jadi demikian tapi sebaliknya terus menjatuhkan hukuman kepada pusat zakat. Mereka terima bulat-bulat cerita yang ditularkan itu tanpa usul periksa.

Sebelum beri komen,  tahukah kita berapa jumlah kutipan zakat setahun dan berapa dan untuk apa dan kepada siapa ia telah dibelanjakan? Yang lebih menjengkilkan kebanyakan mereka yang buat komen tu satu sen pun tak hulurkan bantuan.

Mungkin juga yang buat komen itu ada yang akan berkata bahawa mereka tidak ada masa nak menyiasat itu semua, tapi mahu tidak mahu kita wajib dengar cerita dua belah pihak dahulu. Kalau tidak, simpan sahaja komen sedemikian atau beri komen dalam bentuk pandangan atau cadangan dan bukannya dalam bentuk menilai atau menghukum.

.

Wednesday, April 8, 2020

BERI BETIS NAKKAN BERAS WANGI.


Walaupun ada betulnya peribahasa "beggars can't be choosers" itu,  tetapi ingatlah sebagai pemberi hendaklah kita beri apa yang terbaik. Janganlah beri benda yang dah rosak, yang tamat tempoh, yang tidak berkualiti dan seumpamanya.

Di pihak penerima juga janganlah mengada-ngada.  Orang dah beri beras tempatan Cap Ayam, ambil sahajalah.  Jangan pulak tanya,
"Beras Jasmine Sunwhite AAA Special Fragrance tak ada ke? "


Saturday, April 4, 2020

KISAH PENJUAL TELUR DAN PEMBUAT BAULU.


Tersebutlah kisah seorang penjual telur dan pembuat baulu di sebuah kampung. Mereka telah lama berkawan dan berurusan jual beli. Pada suatu hari pembuat baulu telah membeli seratus biji telur dari penjual telur. 

Dipendekkan cerita, bila pembuat baulu nak buat baulunya, didapati sebiji telur yang dibelinya telah rosak. Dia sangat marah dan terus keluar menuju ke gerai tempat penjual telur. Masa itu penjual teluar sedang bersiap-siap hendak menutup gerainya.

Sebaik melihat penjual teluar, dengan muka mencuka dia pun meluahkan kemarahannya.

Pembuat baulu: "Kenapa kau jual telur busuk kat aku"

Penjual teluar:  "Betul ke apa yang kau cakap ini ? Berapa semuanya yang busuk tu?"

Pembuat baulu:  "Sebiji je, tapi rosak habis seluruh adunan baulu aku"

Penjual Telur: "Aku minta maaf banyak-banyak. Aku tak tahu pun ada di antara telur yang aku jual tu yang busuk"

Pembuat baulu: "Lain kali periksalah dulu sebelum jual. Jangan nak cari untung je"

Berdesing telinga penjual telur bila mendengar kata-kata pembuat baulu itu. Segera dia teringat tak berapa lama dahulu dia pernah beli baulu darinya terkurang sebiji. Dia lantas menyebutkan perkara itu kepada pembuat baulu.

Panjual telur: "Aku pun pernah beli baulu dari kau tak lama dulu terkurang sebiji. Tapi aku halalkan je. Aku fikir takkanlah sebab baulu sebiji, rosak habis persahabatan kita selama ini. Lagi pun aku tahu takkan engkau sengaja berbuat begitu"

Mendengar kata-kata penjual telur itu, pembuat baulu terus terdiam dan tertunduk malu.

Pengajaran: Hidup ini kenalah berlebih kurang dan bersangka baik.  Janganlah hanya kerana satu sebab yang mungkin tidak disengajakan oleh kawan atau kenalan kita, habis rosak atau terlerai ikatan persahabatan yang telah terjalin sejak sekian lama.

Tuesday, March 31, 2020

SONYUM SOKOJAP # 92 : INGATKAN EMAS.



Suami: Melampau betul harga mask sekarang. Dari 80 sen dia orang jual sampai dua ringgit satu"

Isteri: "Satu apa?"

Suami: "Satu kepinglah"

Isteri: "Ingatkan satu gram"

Suami: "Mana ada orang jual mask pakai timbang"

Isteri: "Mana pulak tak adanya. Kan hari tu saya beli gelang pakai timbang"

Suami: "Itu emas bukan mask"

Isteri: "Ohhh .. ingatkan emas tadi"



Saturday, March 28, 2020

BERLAKU ADIL JUGALAH KEPADA ORANG KAYA.



KALAU ada orang kampung yang bervideo dekat rumahnya yang buruk dan usang, sambil berpesan kepada penonton supaya duduk di rumah, saya percaya tak ada orang yang akan cakap kat dia jangan nak menunjuk-nunjuk.

Tapi BILA ada orang kaya yang berbuat demikian dekat rumah dia,  pasti ada yang kata  tak usahlah nak menunjuk-nunjuk. Nak buat macamana. Itu kan rumah dia. Habis tu memang orang kaya tak boleh tunjuk rumah mereka ke? Takkan dia nak pergi bervideo dekat rumah orang lain yang buruk pulak.

Dalam pada itu saya juga sedar memang ada orang kaya yang suka menunjuk-nunjuk. Saya pun tak selesa dengan perangai mereka,  tapi saya tak pernah pun kecam dia. Pokok dek diolah asalkan dia tak ganggu hidup saya.




Friday, March 20, 2020

NAK TAHU BERAPA JENIS TAKUT?

Takut tu ada dua.

Takut adat dan takut khurafat. 

Takut adat - Misal, takut harimau dsb. Ini dibolehkan. Bahkan ia perkara biasa.

Takut khurafat - Misal, bersin masa nak keluar rumah, lalu tak jadi sebab takut ada bala dsb. Yang ini tak boleh.

Ustaz Norazman @ Masjid Bandar Senawang.

Wednesday, January 22, 2020

NAK TAHU 3 KATEGORI PEMANCING ?

Gambar hiasan hasil carian Google.

Pada hemat saya secara kasarnya terdapat 3 kategori pemancing.

1. Yang biasa-biasa.

Guna batang buluh atau bertam buat joran. Mancing pun kat parit atau lubuk kat rumah. Tak mancing kolam atau kelong berbayar. Modalnya beberapa ringgit je untuk beli tali pancing, mata pancing, pelampung dsb.

2. Yang sedang-sedang.

Guna joran dan mesin yang dibeli  Selalunya pergi memancing di sungai, tasik, kolam atau kelong berbayar. Kalau mancing di sungai, tasik atau laut, mereka guna bot sewa secara berkongsi. Belanja purata memancing  bulanan kategori ini jarang melebihi satu ribu ringgit.

3. Yang luar biasa.

Kategori ini ada enjin dan bot sendiri. Harga enjin dan bot boleh mencecah puluhan ribu ringgit. Memancing pun selalu kat laut dalam. Kadang-kadang naik kapalterbang pergi mancing sampai ke Maldives atau sewa helikopter mancing di kaki Gunung Tahan. Belanja purata bulanan boleh melebihi RM10 ribu.

Saya pada masa ni berada dalam kategori 2 dan susah nak sampai kategori Yang Luar Biasa sebab mabuk laut kalau memancing di laut dalam. Tapi yang sebenarnya saya tak banyak duit.  

Nota kaki: Jangan ingat pemancing hanya kategori 1 sahaja.


Friday, January 3, 2020

KISAH SCRAMBLER TENAGA PENGAJAR KENA CLAMP.

Kisah Benar.


Tak lama lepas graduasi,  saya telah ditawarkan menjadi Pengajar (tutor) di Jabatan Antropologi dan Sosiologi,  UM. Bila dapat gaji pertama saya terus beli motor scrambler.  Entah kenapa saya tak terfikir nak beli kereta masa itu.  Dipendekkan cerita,  satu hari saya letak motor saya di tempat berbumbung untuk tenaga  pengajar akademik. Bila saya nak ambil motor kemudiannya, saya tengok motor saya sudah kena kunci (clamp). Saya pun pergi ke bahagian keselamatan minta dibukakan. Beginilah lebih kurang dialog saya dengan seorang petugas,

Saya: "Minta maaf encik, motor saya kena kunci. Boleh tak tolong bukakan"

Petugas: "Awak letak kat mana?".

Saya pun beritahu di mana saya letak motor.  Mendengarnya terus muka petugas berkerut seraya berkata,

"Patutlah kena kunci.  Situ tempat letak kenderaan tenaga pengajar"

Segera saya menjawab sambil menghulurkan Kad Kampus saya,

"Saya pun tenaga pengajar juga .."

Petugas segera mencapai kad tersebut dan memerhatikan muka saya serta gambar dalam kad berkenaan.  Saya perhatikan dia agak terperanjat,  lantas berkata,

"Jom saya bukakan .. "

Siapakah yang silap di sini?



Inilah rupanya Kad Kampus saya yang saya maksudkan.