Monday, September 30, 2013

MENJAWAB SOALAN SAIFULAZLIN.

Pada saat usia menjelang 60 tahun ini, saya berhasrat untu mengurangkan  aktiviti berblog kerana ia sangat memakan masa dan memenatkan.  Akan tetapi sebagai orang tua, rata-rata mereka memang suka bercerita. Kadang-kadang dia tak kisah pun ada orang dengar atau pun tidak. Jadi saya akan teruskan membuat entri bila ada benda yang ingin saya ceritakan. 

Namun begitu saya merasa sedih dan terkilan kerana tidak punya banyak masa untuk ziarah blog anda semua dan kadang-kadang komen anda pun, lambat atau langsung tak sempat nak balas. Kalau nak marah atau berkecil hati dengan saya, marahlah. Memang patut pun.

Sekali sekala terdapat suntikan semangat untuk terus berblog bila mendapat tahu ada orang yang meminati entri-entri kita, seperti komen di bawah.


.

Bagi menjawab solan Saiful itu (kerana dia tak ada blog dan fesbuk untuk saya menjawabnya secara terus dengan dia), saya ada 5 orang anak. Yang sulung dan kedua adalah perempuan. Ketiga - lelaki. Keempat - perempuan dan yang  ke - 5  atau yang bongsu adalah lelaki. Tiga anak yang pertama sudah bekerja dan berumah tangga dan tinggal berasingan, manakala yang ke 4 dan ke 5 masih lagi bersekolah dan tinggal bersama saya.

Terima kasih Saiful (saya harap dia baca entri ini) kerana bertanya dan sudi membaca entri-entri lama Pakngah. Teruskan. Kalau elok jadikan tauladan dan kalau tak elok, usah pedulikan. Hahaha.



Saturday, September 28, 2013

SONYUM SOKOJAP # 65 : MEMANG KELAKAT !

.

Kelakar, kelakau, kelakat.

Tak sangka entri saya ini dah sampai tahap kelakat. Hehe.



.

Friday, September 27, 2013

KISAH ANAK SAYA TAK SEMPAT MAKAN TENGAHARI.


Gambar hiasan - Haiqal pada 2 tahun lepas di atas kapal semasa menyusuri sungai Pearl di Guang Zhou, China.

Hari Jumaat minggu lepas anak bongsu saya, Haiqal (12 tahun) tak sempat makan tengah hari sebelum pergi sembahyang Jumaat kerana lewat keluar dari kelas.

Di dalam kereta semasa dalam perjalanan ke masjid, saya bertanya ..

"Iqal lapar ke ?"

"Taklah sangat .. masa rehat tadi dah makan nasi lemak". Jawabnya jujur.


"Kalau macam tu, tak matilah sampai selesai sembahyang nanti".  Usik saya.

 "Belum tentu .. sebab orang boleh mati bila-bila masa". Jawabnya lurus.

 "Ye tak ye juga ya .. pandai anak ayah".


Jujurnya saya separuh terkedu dan separuh lagi terperanjat mendengar jawapannya. 


Dari perbualan ini, saya berkesimpulan bahawa ada masanya anak-anak kita walaupun mereka masih kecil, lebih betul dari kita.



Thursday, September 26, 2013

TAKKAN BAHASA MELAYU LENYAP DI DUNIA !


200 bahasa lenyap di India. Berita Harian 8 September 2013.


Saya sikit pun tidak khuatir akan kedudukan Bahasa Melayu. Bahasa Melayu  tidak akan lenyap di Malaysia kerana keupayaan dan keghairahannya menyerap dan meMelayukan Bahasa Inggeris. 

Misalnya perkataan permaidani sudah janggal disebut dan kita lebih selesa menyebut karpet. Rumah sakit sudah jarang kedengaran digantikan dengan hospital. Perkataan bajet dah sedap diucapkan berbanding belanjawan. Perkataan perlahan pun dah tak ramai yang gunakan kerana lebih biasa dengan perkataan slow

Lama kelamaan Bahasa Melayu kita akan  bertukar menjadi Bahasa Inggeris jelmaan atau jadi-jadian.  Macam rupa orang yang sudah membuat 20-30 kali pembedahan plastik, dia masih dia tapi sudah sukar untuk dikenali. 

Cuba anda perhatikan perkataan-perkataan berikut yang telah di Melayukan. Saya kutip perkataan-perkataan tersebut dengan menyelak hanya beberapa muka,  surat khabar Berita Harian yang menyiarkan berita di atas.  Adakah kita tidak punya istilah atau ketandusan perbendaharaan kata dalam Bahasa Melayu untuk  menggantikan perkataan-perkataan tersebut ?

delegasi - lokasi - dedikasi - infrastruktur - polis - lokap - hospital - karpet - informasi - polisi - struktur - utiliti - projek - moderator - evolusi - fokus - objektif - subjektif - media - aspek - subsidi - agenda - fasa - potensi - identiti - suspek - sektor - strategi aset - komuniti - komersial - materialistik - logik - inovasi - komitmen - misi  - konflik - premis - implikasi - aksi - operasi - elemen - insiden - kategori - skuad - isu - deposit - glamor - karier - status - personaliti - logik - fungsi - aktif - kanser - risiko - imunisasi - individu - idola - promosi - konsep - program - episod - skop - kreatif - motif - fenomena - karakter - efektif - selebriti - aplikasi - krisis - hipokrit - fantasi - gosip - produk - spekulasi - dialog - mentaliti - promosi - solidariti - final  .....

Saya tiada masalah jika kita mahu mengambil dan meMelayukan bahasa Inggeris atau bahasa apa sahaja sekiranya perkataan itu tidak ada atau belum ada dalam Bahasa Melayu. Misalnya nama basikal yang telah sebati dengan Bahasa Melayu adalah dari perkataan Inggeris bicycle walau pun orang kampung isteri saya masih ramai yang memanggilnya gerek. 

Maka berbulu telinga saya bila tv mengumumkan akan buat siaran secara live perlawangan akhir bola sepak Piala Malaysia, sedangkan kalau buat siaran secara langsung apa salahnya?



Wednesday, September 25, 2013

WW # 86: BELUM READY NOMBOR 11.


WORDLESS WEDNESDAY 5 - MEMETIK PEACHES, 1982.

Perhatian. Ini sebenarnya entri lama yang diberi nafas baru pada gambarnya.  Bila saya tukar ke mode draf untuk kerja pengeditan pada gambar makngahnya dan diterbitkan semula, ia menjadi seolah-olah entri baru. Kalau dah muak tengok, sila abaikan. Ia hanyalah mengenai gambar saya dan isteri memetik buah peaches di USA buat kali pertamanya. Buahnya bukanlah sedap sangat - sedap lagi buah kuini kat tempat kita .. tekak sayalah.






* Hari ini dah masuk tiga hari saya demam + batuk. Dah pergi doktor. Kalau demam ini dapat menghapus dosa-dosa kecil saya, saya bersyukur. Saya juga minta maaf kerana tak larat nak lawat blog kengkawan. Untuk entri ini sebenarnya telah disiapkan minggu lalu lagi .. tinggal klik publish post sahaja. Selamat bertugas dan saya nak pergi sambung beristirehat.


.

Sunday, September 22, 2013

BILA BUAT KERJA GOTONG ROYONG.



  Gambar hiasan ihsan penulis yang ada kena mengena dengan entri ini.

Bila kita buat kerja gotong-royong seperti memotong dahan-dahan pokok yang menghalang pemandangan atau membersihkan longkang yang tersumbat di taman perumahan kita, biasanya ramai yang ingin turut serta menyumbangkan tenaga atau pun dalam bentuk lain seperti menyediakan makanan atau alat kelengkapan.

Namun begitu kerap kali juga kita berdepan dengan pelbagai reaksi yang tidak memberangsan dari penduduk melalui komen-komen mereka seperti contoh berikut.

Penduduk 1. Buat apa ramai-ramai ni ?

Penduduk 2: Mana boleh buat pembakaran terbuka  .. akai tak de ka ?

Penduduk 3: Ini usaha bodoh .. kenapa kita harus buat kerja-kerja majlis perbandaran.

Penduduk 4: Minta maaf tak dapat tolong .. hari ini saya sibuk sikitlah.

Penduduk 5: Ada sebatang pokok yang telah condong kat depan rumah saya. Boleh tak datang tolong tebang kan ? 


p/s: Lebih dari 3 tahun dulu, saya pernah buat satu entri yang seirama dengan entri ini. Saya sendiri suka membacanya. Rugi kalau anda tak membacanya.  Entrinya di sini.


TERKENANG SEMASA DULU 18 - JALAN-JALAN CARI YU.


Masa saya kerja kat USA dulu (81 - 84) banyak juga

Universiti yang saya lawati.

Bukan semua Universiti di sana standardnya sama. Pada masa itu secara kasarnya ia boleh dibahagikan kepada 5 peringkat.
"most competitive, highly competitive,
competitive, less competitive, non-competitive".
Mungkin sekarang sudah berubah agaknya.
Saya pun sudah tidak mengikutinya lagi.

Di antara Universiti yang "most competitive" ialah
Universiti Harvard, Cornell, Princeton, Yale dan beberapa buah lagi.
Sayangnya tak ramai pelajar Malaysia belajar kat sana.
Pada masa itu, di Universiti Harvard,
antara pelajar kita yang belajar di sana adalah
Raja Muda Perak sekarang ini. Kebanyakan pelajar kita belajar di Universiti yang bertaraf "competitive" atau "less competitive" sahaja.



Antara Universiti yang pernah saya lawat ialah:


Gambar 1: Western Michigan University, Kalamazoo.
Rasanya saya pernah ke sini sebanyak dua kali.




Gambar 2: University of Southern Mississippi.



Gambar 3: University of South Alabama.



Gambar 4: Southeast Missouri State University



Gambar 5: Harvard University - sepentas dengan Brother Anwar.




Gambar 6: Philadelphia University - Semeja dengan Dr M (gambar kitar semula)



Gambar 7: Ohio University. Kengkadang Makngahnya pun nak ikut sama.



Gambar 8: University Universal Studios. Opps terlajak sudah !

..................................................................................................................


Siri Jelajah Maya - Mug 1.


Dalam lawatan saya ke Universiti, saya mesti beli samada mug atau
rantai kunci atau kedua-duanya.

Mug dalam gambar ini agak istimewa, kelakar dan kreatif ciptaannya.

Di situ ada tertulis - YOU ASKED FOR HALF A CUP OF COFFEE



Gambar dari arah depan



Gambar dari sisi atas.
Cumanya saya tidak pasti, kalau kita minta setengah cawan, dia akan bagi penuh
atau bagi setengah sahaja air kopinya !


. .

Saturday, September 21, 2013

TEKA TEKI LOYAR BURUK VERSI BLOG.

Sebentar tadi saya buat teka-teki kat fesbuk. Saya ingatkan semua orang masih tidur dan menjangka orang pertama pasti boleh menjawabnya dengan betul. Rupanya ramai yang respon dan ramai yang tak dapat jawab walaupun saya dah kata teka teki tu loyar buruk. 

Cuba baca soalan dan jawapan yang diberikan. Kesian kat dia orang yang penat-penat perah otak mencari jawapan. Hehe.


 

... bersambung kat bawah.


Ini membuatkan saya bersemangat untuk membuat teka-teki loyar buruk lagi bila ada idea nanti kerana kepuasannya tidak terhingga bila ramai yang tak dapat jawab. He he he.



Friday, September 20, 2013

ADUH ENGGAK SESUAI (AES)

Pada hujung tahun lepas, saya ada sentuh AES yang saya kononkan bermakna  Adakah Engkau Setuju di entri ini. Di entri tersebut saya menyatakan rasa tidak setuju dan tidak praktikalnya AES ini dan menjangka ia akan menjadi gajah putih. 

Semalam melalui laporan di dalam akhbar The Star, kita diberitahu bahawa syarikat yang bertanggungjawab memasang dan mengoperasikan sistem itu  telah diambil-alih oleh syarikat milik kerajaan - AES Solution Sdn Bhd.  Dan kerajaan terpaksa membayar sekian banyak pampasan kepada syarikat pemilik AES sebelum ini. Beruntunglah mereka !

Ini satu lagi contoh tindakan penswastaan yang setengah masak. Kita semua tahu bahawa bukan semua 'barangan' yang boleh diswastakan. Dalam perbincangan akademiknya dikatakan hanya 'private goods' sahaja yang sesuai dan boleh diswastkan. Manakala 'public goods' patut diletakan dibawah tanggung jawab pemerintah. Sebelum itu saya minta maaf sekiranya saya tersilap dalam mengulas subjek public dan private goods ini kerana ianya sudah hampir 30 tahun saya pelajari semasa membuat kursus di peringkat sarjana dulu.  Dalam hal ini saya lebih setuju mengatakan bahawa AES ini merupakan public goods kerana ia melibatkan aspek penguatkuasaan undang-undang. Contoh-contoh public goods adalah seperti hal ehwal pertahanan, keadilan, alam sekitar, penguatkuasaan undang-undang dan seumpamanya.

Di samping itu juga kita juga diberitahu bahwa saman yang dikeluarkan hanya sebanyak RM150 sahaja berbanding dengan RM300 sebelumnya. Berita ini tentulah disambut dengan gembira oleh mereka yang telah menerima saman tetapi masih belum membayarnya. Pada masa yang sama, keputusan ini akan sangat menyakitkan hati pemandu yang telah membayarnya. Seolah-olah mereka yang tidak patuh dengan undng-undang diberi diskaun 50% dan sebaliknya.


Keratan akbar The Star mengenai pengumuman kadar asas saman yang baru dan pengambil-alihan syarikat konsesi - The Star, 19 September, 2013.
 
Itu sebab kali ini akronim AES saya tukar dan kononkan bermakna Aduh Enggak Sesuai. Setuju tak ?



Thursday, September 19, 2013

ADA HARINYA SEMUA TAK MENJADI.

Kadang-kadang pada hari tertentu, apa yang kita buat semuanya tak menjadi. Misalnya bila kita lalu sesuatu jalan, semua lampu trafiknya sebaik kita sampai je bertukar merah. Dan ada harinya pula, bila kita sampai je hijau, sampai je hijau.

Beberapa hari lalu saya ingin memperbaharui cukai jalan kereta Makngahnya. Sebelum itu kenalah ambil insuran. Sampai kat kedai jual insuran, petugasnya tidak ada. Pergi mesyuarat kata budak yang jadi penunggu kedai.

Sebelah petangnya saya pergi semula. Barulah petugasnya ada. Kemudian selepas selesai urusan insuran,  saya pergi Pejabat Pos kat Centre Point, Seremban.  Pejabat tu terletak di tingkat 2. Cadangnya nak naik lif, tetapi lif pulak sedang dibuat penyenggaraan.

Gambar 1: Kenapalah hari ini sangat dia orang nak buat penyenggaraan. Esok tak boleh ke ?


Kemudian saya beralih untuk menaiki eskalator, menatang tu pulak tidak bergerak. Kerana tiada pilihan, terpaksalah saya menapak naik.

 
Gambar 2: Eskalator yang tidak berfungsi. Untuk makluman, budak perempuan dua orang tu bukanlah anak saya !

Sesampainya di pejabat pos, saya diberitahu tahu oleh petugas, talian JPJ 'off-line' dan dinasihatkan untuk pergi membuatnya di JPJ. Sekali lagi saya terpaksa menapak untuk  turun.

Besoknya saya pergi ke JPJ Seremban untuk menyudahkan kerja yang belum selesai. Nasib baik JPJ tidak pindah pejabat.
 
Pernah juga saya mengalami hari yang semuanya menjadi seperti terakam di entri ini. Saya percaya anda juga pernah mengalami kejadian yang serupa.  Kan ?


 

Wednesday, September 18, 2013

WW # 85: ADA BEZA TAK SELUAR SEKARANG DAN SELUAR DULU ?


Tuesday, September 17, 2013

BAHASA MELAYU DI HARI MALAYSIA.

Baru-baru ini anak saya menarik perhatian saya kepada video perbicaraan mendiang Tan Beng Hock. Katanya ramai orang mentertawakan Bahasa Inggeris seorang peguam berbangsa Melayu semasa dia menyoal pathologis dari Siam itu.


Sedutan video perbicaraan mendiang Tan Beng Hock.

Setelah menontonnya saya membaca komen-komen yang diberikan. Saya dapati ramai sungguh orang yang memberi komen dengan menggunakan bahasa  kesat kepada peguam Melayu tersebut termasuklah orang kita hanya kerana Bahasa Inggerisnya tidak  setanding dengan Bahasa Inggeris yang dituturkan oleh Putera Charles dari England. Salah satunya seperti di bawah. 


Saya rasa sedih dan sakit hati dengan komen-komen yang sungguh zalim yang dilemparkan kepada peguam Melayu tersebut kerana Bahasa Inggerisnya yang tidak begitu polished. Saya hairan bercampur sedih dengan mentaliti orang kita yang memandang rendah kepada orang Malaysia yang tidak begitu fasih berbahasa Inggeris. Saya meluat dengan mereka kerana mereka memandang tinggi dan mulia kepada orang yang pandai Berbahasa Inggeris. Bagi saya mereka sepatutnya memandang rendah dan hina kepada warganegara kita yang selama ini hidup berlantaikan dan berbumbungkan Bumi Melayu tetapi tidak fasih berbahasa Melayu.

Dalam nada yang sama kita sudah lebih 56 tahun merdeka tapi tahap penguasaan Bahasa Melayu sebagai lingua franca di kalangan warga negara Malaysia samada di antara kaum bahkan sesama kaum Melayu sendiri semakin merosot dan menyedihkan.

Sebaliknya sejak akhir-akhir ini terdapat gerakan dan desakan yang kuat agar Bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar di sekolah-sekolah seperti dahulu, kononnya untuk mewujudkan integrasi nasional. Mungkin puak-puak ini tidak sedar, bahawa di Mesir semua rakyatnya menguasai bahasa Arab tetapi mereka berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Negara Korea terpecah dua walaupun mereka satu bahasa dan satu budaya. Alasan tak masuk akal !

Secara peribadi saya tidak anti Bahasa Inggeris. Bahkan saya melanggan dan membaca akhbar berbahasa Inggeris di rumah dan gemar menonton berita dalam Bahasa Inggeris.

Dalam konteks ini secara kasar barangkali saya boleh  mengelompokan rakyat kita kepada 4 kumpulan berasaskan tahap penguasaan BM dan Bahasa Inggeris mereka.


Kelompok 1.  BM bagus,  BI  bagus.

Bahasa Inggeris dan Melayunya sama-sama bagus. Tahniah dan syabas kepada mereka.

Kelompok 2. BI tak berapa bagus, BM bagus.

Bahasa Inggerisnya tak berapa bagus tapi Bahasa Melayunya bagus. Ini tidak langsung menghairankan saya kerana mereka hidup dan berlindung di bawah langit kepulauan Malay Archipelago.

Kelompok 3. BM tak bagus, BI tak bagus.

Bahasa Inggerisnya tidak  bagus dan Bahasa Melayunya juga tidak bagus (mengikut nahu yang piawai). Sebagai orang awam atau orang biasa, kelompok ini tidak menghadapi masalah besar dalam komunikasi harian.  Mungkin juga ramai golongan tua dipendalaman yang tidak bersekolah atau bersekolah setakat sekolah rendah termasuk dalam kelompok ini. Jika mereka hidup dalam lingkungan yang sama, mereka juga tidak ada masalah.

Kelompok 4. BI bagus,  BM teruk.

Bahasa Inggerisnya bagus, Bahasa Melayunya hancur. Saya cukup terbakar dengan mereka dari kelompok ini lebih-lebih lagi kalau mereka bebangga dengannya dan memandang rendah pula kepada BM.

Mengikut penilaian saya, saya rasa saya berada dalam kelompok ke 2 dan anda pula fikir anda dalam kelompok mana ?



Sunday, September 15, 2013

SONYUM SOKOJAP 64 : NAK TENGOK-TENGOKKAN.



  Gambar hiasan hasil carian Google.


Sambung cerita sonyum sokojap sebelum ini.

Kawan yang menalipon saya itu singgah sebentar di rumah saya sebelum meneruskan perjalanannya ke KL. Sebaik sampai di rumah saya, kita pun bersembang,  bermula dengan bertanya khabar. Saya katakan kaki kanan saya kebas-kebas bila lama berdiri atau duduk bersila. Dia pun berkata ..

'Mari sini biar aku tengokkan' sambil dia menepuk-menepuk kusyen di sebelah dia.

Saya pun pergilah duduk sebelah dia sambil berharap dia akan berbuat sesuatu. 

Selang beberapa ketika, kerana dia tidak berbuat apa-apa, tetapi hanya memandang sahaja ke arah kaki saya, lantas saya pun bertanya ..

'Kau nak buat apa dengan aku ni ?'

  Dia pun menjawab dengan selamba ..

'Kan aku dah cakap aku nak tengok je .. !'

Ketawa saya terus berderai mendengar jawapannya.

Dalam hati saya berkata .. "Sekali lagi kau kenakan aku  .. hampeh betul"

Dia pun turut tertawa dan saya mengirinya ketawanya buat seketika sebelum menukar topik perbualan.


* pecah rekod dua hari berturut-turut segmen Sonyum Sokojap.

Saturday, September 14, 2013

SONYUM SOKOJAP 63 : TENGOK TV YANG 'ON'.


Gambar hiasan hasil carian Google.


Petang semalam kawan saya telefon dari Johor meminta maaf kerana tidak dapat hadir kenduri kawin saya punya anak hari tu. Sebaik mendengar deringan telefon, saya pun mengangkatnya seraya berkata:

Saya: Assalamualaikum.

Dia: Alaikumsalam .. tengah buat apa tu ?

Saya: Tengok TV ..

Dia: TV tu 'on' ke tidak ?

Saya sedikit kehairanan dengan pertanyaan dia, tapi tetap menjawab: 'On' lah .. kenapa ?

Dia: Hahaha .. nasib baik. Kalau tengok tv tak 'on' .. dah tak lama lah tu.

Saya. Hahahahahahahaha (dalam hati berkata-kata .. ciss ..terkena aku hari ni)


Dapat tak 'joke'nya ?

..............................................................................................................

Sub-Entry: Kisah Menarik Kawan Saya Masuk Surat Khabar.

Saya tak nak cerita lebih-lebih apakah kisahnya sebab dia ada buat entri khas di blog dia. Silalah ke sini untuk mengetahui kisahnya yang telah berulang alik antara Seremban - KL selama 8 tahun.

Friday, September 13, 2013

KISAH SEDIH SEORANG PEMBUAT LABU SAYUNG.


 Contoh labu sayung hasil carian Google.


Tersebutlah kisah seorang pembuat labu sayung yang sangat gigih. Dia diperintahkan oleh Raja untuk membuat labu sayung mengikut spesikasi yang telah ditetapkan. Antaranya tidak boleh retak atau sumbing di mana-mana dan jumlahnya tidak boleh kurang dari 17 biji sehari semalam.  Sang Raja tidak pula memberitahu bilakah dia akan mengambil labu-labu sayung yang telah dibuat itu. Selepas 60 tahun barulah Sang Raja melihat dan menilai labu-labu sayung yang telah buat.

Setelah dibuat penilaian satu persatu, didapati tiada sebiji pun labu sayung yang telah dibuat dan tersimpan sejak sekian lama itu yang sempurna. Setiap biji ada sahaja cacatnya di sana sini. Akibatnya semua labu sayung tersebut ditolak oleh Sang Raja dan baginda amat murka dan enggan memberi sebarang upah kepada pembuat labu sayung tersebut.

Cubalah bayangkan keletihan dan kesukaran yang dilalui oleh pembuat labu sayung itu menyiapkan labu-labu sayung tersebut selama berpuluh-puluh tahun.  Dia juga tidak boleh marah kerana dia sendiri melihat akan labu-labu sayung hasil kerjanya yang ada retak dan sumbing di merata tempat. Alangkah hampanya. Alangkah sia-sianya kerja dia selama ini. Untuk membuatnya semula, masa sudah tidak mengizinkan.

Cuba gantikan setiap labu sayung itu dengan setiap rakaat kita sembahyang iaitu 17 rakaat sehari semalam. Apakah sembahyang yang kita lakukan setiap hari selama 60 tahun (berdasarkan umur saya) semuanya sempurna - bebas dari sebarang kecacatan. Saya sendiri harus mengakui dengan jujur bahawa seingat saya, tidak ada satu pun solat saya yang tidak ada cacat celanya terutama pada hati dan fikiran yang tidak membulat kepadaNya sepanjang mengerjakan solat. Belum pernah khusyuk 100 % dari takbir hingga salam. Ada sahaja benda yang mengacau-ganggu konsentrasi saya setiap kali menunaikan solat. 

Tiba-tiba saya merasa malu memohon untuk memasuki syurgaNya.


..................................................................................

Sub-Entry: Pelawat semalam.




Pageviews today - 1,385.

Semalam saya tidak ada membuat entri baru tetapi kunjungan ke blog saya melebihi dari hari sebelumnya. Terima kasih kepada Azieazah yang memaut entri ini dari entri dia di sini.


Tuesday, September 10, 2013

CERITA SAYA MENERIMA MENANTU PEREMPUAN PERTAMA.

Entri kali ini saya nak cerita sikit tentang perkahwinan anak saya yang ketiga - Muhamad Norhasyraf. Akad nikah dan kenduri di sebelah perempuan dibuat pada 31 Ogos dan sebelah kami dilangsungkan pada hari Ahad, 8 September 2013. Syukur kepada Allah yang maha esa kerana atas sifat Rahman dan RahimNya majlis kami telah berjalan dengan selamatnya.


Gambar 1: Inilah gambar pengantin semasa kecil. Cepatnya masa berlalu.

............................................................................

Bahagian Pertama: Di Gopenghagen Perak - 31 Ogos 2013.


Sebelum ini saya sudah menerima dua menantu lelaki. Kali ini baru dapat menantu perempuan. Sekarang adalah orang yang nak tolong Makngahnya kat dapur.  Menantu kali ini orang Gopeng. Gambar-gambar berikut adalah dari kamera henfon saya (kecuali gambar nombor 12). Nak tunggu gambar dari jurugambar rasmi entahkan bila.



Gambar 2: Seminggu sebelumnya kami berkumpul adik beradik membincangkan persiapan kenduri dan perkara-perkara yang berkaitan dengan rombongan ke Gopeng.

 -

Gambar 3: Akad nikah diadakan di Masjid Gopeng. Punylah panjangnya khutbah nikahnya. Kalau saya yang kena, mungkin dah lari ikut pintu belakang.
.

Gambar 4: Tunjuk benda ni sebenarnya nak beritahu nama menantu. Hehe.


Gambar 5: Terlupa nak pakai songkok .. tak kisahlah kan .. bukan saya yang nak kawin. hehe.


Gambar 6: Suap orang dulu-dulu tak macam ni .. masing-masing pengapit pegang tangan pengantin yang diapit dan saling suap-menyuap dan tepis menepis. Kadang-kadang terbabas ke pipi atau ke hidung pengantin. Memang meriah dan lucu sangat.

 .......................................................................................................

 Bahagian Dua: Di Senawang, Negeri Sembilan pulok - 8 September 2013.

Kalau di Gopeng kenduri dibuat di dalam dewan,  tetapi di sebelah kami kenduri dibuat di bawah khemah atas jalan raya depan rumah. Kenapa saya suka buat kenduri bawah khemah atas jalan raya, telah saya nyatakan sebabnya di sini.


Gambar 7:  Sebelah paginya macam biasalah, grup marhaban Makngahnya ingin beraksi.



 Gambar 8: Antara tetamu awal yang hadir adalah Tan Sri Isa Samad dan isteri yang juga merupakan jiran saya. Pada masa itu makanan baru  saja terhidang dan saya belum sempat memakai kain samping.


Gambar 9: Perarakan tiba pengantin. Nasib baik hari tak hujan walaupun sekarang ini musim hujan. Syukur.


 Gambar 10:  Antara geng blogger dan fesbuk yang turut memeriahkan majlis kami. Dari kira RKA, Ibu Intan, al-lavendari, Kakcik dan Azieazah.

 

Gambar 11:  Pengapit perempuan sebelah kanan sekali adalah anak perempuan saya. Lambat lagilah rasanya nak dapat menantu lagi.
Entahkan sempat atau tidak.



Gambar 12: Berbeza sungguh dengan pelamin emak dan abahnya dulu. 



Gambar 13:  Kerja-kerja akhir membuka dan mengangkut khemah oleh katerer. Hari pun dah mula nak hujan.

 

Gambar 14: Gambar bonus. Adik ipar saya  yang keletihan sempat bermimpi di atas pelamin sebelum mimpinya dimusnahkan kerana terpaksa bangun untuk balik sambung tidur kat rumahnya - malam sebelum kenduri


Saya minta ampun dan maaf kerana tidak dapat mengundang semua follower atau pembaca blog ini.  Semasa perkahwinan  anak saya sebelum ini saya pernah buat jemputan terbuka dan sambutannya sangatlah mengecewakan saya. Jadi kali ini saya cuba menghadkan jemputan kepada rakan-rakan blogger yang saya rasa dapat hadir sahaja. Itupun ramai yang tak dapat datang atas pelbagai sebab yang saya fahami.

Kalau nak baca jemputan terbuka saya semasa perkahwinan anak saya yang sebelum ini, silalah klik kat http://al-lavendari.blogspot.com/2011/05/undangan-ke-majlis-perkahwinan-anak.html


Monday, September 9, 2013

ADAKAH ANDA PANDAI BERGAYA ?




Ini adalah entri ringan di pagi Isnin. Hanya untuk suka-suka. Jangan pula ada yang meroyan membacanya.  

Semalam ada kenduri di rumah saya. Seronok dapat berjumpa sanak saudara dan sahabat handai yang datang dari jauh dan dekat. Tapi macam biasa, tuan rumah tetap merasa terkilan kerana tidak mampu hendak mengundang semua  dan tidak berkesempatan untuk bersembang dengan lebih lama dengan setiap tetamu.

Hari ini sambil melayan keletihan, saya melihat gambar-gambar tetamu yang datang berkunjung. Selepas melihatnya, saya menggolongkan mereka (dalam konteks bergambar) kepada 4 golongan iaitu: 

Golongan 1. Ada orang tu tak berapa cantik tapi kelihatan cantik sebab pandai bergaya.

Golongan 2. Ada orang tu memang cantik dan bertambah cantik kerana pandai bergaya.


Golongan 3. Ada orang tu memang cantik tapi kelihatan tak cantik sebab tak pandai bergaya.


Golongan 4. Ada orang tu tak berapa cantik, bergaya macamana pun tetap kelihatan tidak cantik.


Sesungguhnya saya yakin dan percaya bahawasanya, saya berada dalam Golongan ke 4 itu. Hehe.



Friday, September 6, 2013

SESUNGGUHNYA AL-QURAN ITU PASTI BENAR. PERHATIKAN SAHAJA AYAT 6, SURAH AN-NAHL SEBAGAI CONTOH.




سُوۡرَةُ النّحل
وَلَكُمۡ فِيهَا جَمَالٌ حِينَ تُرِيحُونَ وَحِينَ تَسۡرَحُونَ 

 Surah An-Nahl, ayat 6.

"Dan bagi kamu pada binatang-binatang ternak itu, keindahan (yang menarik hati) ketika kamu membawanya balik untuk berehat (pada waktu petang) dan ketika kamu membawanya keluar (pada waktu pagi)"

Cuba perhatikan betul-betul ayat ini, macam terbalik ya tak ? Kenapa Allah mendahulukan menyebut keindahan binatang ternak ketika mereka balik ( ke kandang ) pada waktu petang dan kemudian barulah Dia menyebut membawanya keluar di waktu pagi. Bukankah sepatutnya keluar dahulu di waktu pagi dan balik di waktu petang.

Di sinilah terletaknya keindahan, ketelitian, kebenaran ayat-ayat al-Quran.  

Melihat binatang ternak (katalah kambing) ketika pulang ke kandang di waktu petang sudah pasti lebih menggembirakan berbanding melihatnya keluar di waktu pagi. Di waktu pagi binatang ternak itu masih kelaparan dan meluru keluar bila pintu kandang dibuka. Hati penternak juga pada masa itu mungkin akan turut terasa sedikit bimbang bila melepaskan mereka. Entahkan ada yang hilang, entahkan ada yang kemalangan, entah ada yang mati dan entah ada yang sakit nanti.

Sebaliknya alangkah indah dan menarik hati bila melihat kambing-kambing itu yang sudah kekenyangan dan berlenggang lenggok semasa kembali ke kandang di waktu petang. Hati penternak juga tentunya merasa lega bila melihat semua kambing yang dilepaskan di waktu pagi kembali ke kandang dengan selamat dan secukupnya.

Maka benarlah ayat itu (dan juga seluruh ayat-ayat yang ada di dalam al-Quran) disusun sedemikian rupa dimana adalah lebih indah dan menyenangkan melihat kambing balik di waktu petang berbanding semasa melepaskan mereka di waktu pagi. Maka usahlah ada sebarang keraguan walaupun sebesar zarah bahawa al-Quran adalah kalam Allah yang benar dari dulu dan selamanya yang wajib kita yakini dan ta'ati sepenuhnya .

Subahanallah.


* ini adalah entri terjadual. 

 

Wednesday, September 4, 2013

WW # 84: WAJAH-WAJAH BARISAN PENYAMBUT TETAMU SUKARELA.