Friday, October 25, 2019

KERANA ENGGAN BUANG SEKETUL BATU TANGAN ANDA PUTUS.


Gambar hiasan hasil carian Google.

Pada suatu hari, anda terjumpa seketul batu di atas jalan.  Batu itu agak besar sehingga boleh membahayakan penunggang motorsikal. Pada masa itu,  anda ada masa dan keupayaan untuk mengalihkannya ke tepi jalan,  namun anda enggan berbuat demikian.

Tidak lama lepas itu seorang penunggang motosikal melanggar batu tersebut hingga dia terjatuh ke atas jalan dan di langgar oleh kereta dari arah belakang. Akibatnya dia cedera parah dan meninggal di tempat kejadian.

Si mati tidak punya pekerjaan tetap, hanya bekerja kampung. Isterinya pula seorang suri rumah sepenuh masa menguruskan anak mereka seramai 7 orang.  Anak yang sulung berada dalam tingkatan 5. Oleh kerana kesempitan hidup,  dia terpaksa berhenti sekolah dan bekerja sebagai pembantu kedai untuk menyara ibu dan adik-adiknya.

Disebabkan gajinya tidak cukup untuk membeli keperluan harian,  dia telah mencuri duit kutipan kedai.  Akibatnya dia telah diberhentikan. Buntu kerana tiada cara untuk dapatkan wang, dia beranikan diri untuk merompak.  Rumah anda adalah rumah pertama yang dirompaknya.  Anda cedera parah di tangan kanan akibat ditetak dengan parang kerana anda cuba menghalangnya.  Akhirnya tangan anda tak dapat diselamatkan dan terpaksa di potong.

Tangan itulah yang tidak digunakan untuk mengalihkan batu yang dilanggar oleh bapa budak ini hari itu. 

Tuesday, October 22, 2019

DARI FESBUK # 27: SEMBILAN DARI SEPULUH.


Thursday, October 17, 2019

SONYUM SOKOJAP # 91: DULU KERJA KAT MANA?

Perbualan dengan jemputan yang baru dikenali semasa makan pada majlis kenduri anak kawan.

Dia: "Masih kerja lagi ke?"
Saya: "Pencen lama dah"
Dia: "Dulu last tuan kerja kat mana?"
Saya: "Kementerian Pelancongan"
Dia: "Ofisnya kat mana?"
Saya: "Putrajaya.. "
Dia: "Mesti seronok kerja kat Kementerian Pelancongan kan?"
Saya: "Kat mana-mana pun serupa"

Kemudian kita sambung cerita lain. Bla bla bla.  Bila saya mohon diri nak beredar, dia tanya,

Dia: "Lama ke tuan kerja kat Mindef dulu?"
Saya: "Bila pulak aku kerja kat Mindef" (Dalam hati)

Nota Kaki: Nama2 Kementerian tu bukan nama sebenar sebab nak bagi sedap cerita.


Friday, September 27, 2019

BAHASA MELAYU TIDAK PELIK TAPI UNIK # 14. CAKAP BERKIAS.


Bahasa Melayu halus dan berlapik. Penuturnya tidak mahu memalukan orang atau memalukan diri sendiri. Untuk itu mereka gunakan bahasa kiasan untuk menyampaikan maksud di hati.  Contoh.

1. Mereka kata anaknya "kerja ladang anggur" jika anaknya masih menganggur.

2. Mereka kata pergi "petik buah langsat" kalau mereka telah tersesat dan lambat tiba ke destinasi.

3. Mereka kata "anyam ketupat" ke? kalau mereka ingin menyindir orang yang sedang mengumpat.

4. Mereka kata "kalau kau tak nak, buang bawah pokok paku"  dengan maksud kalau kau tak hendak benda tu bagi kat aku. Dengan lain-lain perkataan penuturnya tertarik dengan barang milik seseorang tetapi segan nak minta.

5. Mereka kata "macam gagak bawa telur" kalau mereka nak mengusik orang yang berkulit gelap berdampingan dengan orang yang berkulit cerah.

6. Mereka kata "ada kerbau tak masuk kandang" kalau mereka nak beritahu seseorang yang ada nasi atau makanan terlekat pada pipinya.

7. Mereka kata "dulu Isnin dari Ahad" kalau nak beritahu seseorang yang baju dalamnya (singlet) terujulur atau terkeluar dari dalam baju.

Namun begitu ia hanya berkesan jika pendengar  memahami maksud penutur.  Sekiranya mereka tidak faham eloklah berterus terang untuk elakkan salah faham.

Saturday, September 7, 2019

DARI FESBUK # 26: BAHASA ORANG MUDA.


Cetakan skrin sebahagian dari status di fesbuk saya.

Saya kena ambil masa nak faham ejaan anak2 muda dlm media sosial pada masa ini.

Berikut adalah beberapa perkataan yang saya pernah jumpa yang saya rasa saya tahu maknanya. Betul tak betul, tak tahulah.

kuar > keluar.
majuk > merajuk.
leh > boleh
watlek > buat rileks
korg > kau orang.
suh/soh > suruh.
sonok > seronok.
kim > kirim.
katne > dekat mana.
watpe > buat apa.
sokgi > besok pagi.
kemain > bukan main.
sume > semua.
umh > rumah.
ko > kau.
cmtu > macam tu.
nape > kenapa.
pape > apa-apa.
kj > kerja
leklu > rileks dulu.
chat > sihat.
kete > kereta.
pck > pakcik
kt > dekat.
pk > fikir.
pasan > perasan.
leklok > elok-elok.
pastu > lepas tu.
tanjat > terperanjat.
caner > macam mana.

Nak perbetul boleh, nak tambah pun boleh.

Tuesday, July 30, 2019

12 UNGKAPAN YANG SENANG DIUCAP ..

Percaya tak kalau saya katakan bahawa 12 ungkapan berikut senang diucap tapi bukan senang nak laksanakan:

1. Lupakan saja dik.
2. Bersabarlah bang.
3. Redha je lah kak.
4. Maafkanlah dia pakcik.
5. Halalkan saja makcik.
6. Buang yang keruh, ambil yang jernih saudara.
7. Bertolak ansurlah kawan.
8. Fleksibel lah sikit sahabat.
9. Rilekslah bro.
10. Ketepikan ego tu tuan.
11. Biarkan je lah lobai.
12. Marilah kita kembali kepada Al-Quran dan Hadis.

Tuesday, July 16, 2019

DARI FESBUK # 25: PENGALAMAN SINGKAT MAKAN SEMEJA DENGAN MUFTI.




Print sreen dari status fesbuk sendiri.

Pagi tadi saya pergi kenduri Aqeqah rumah anak saudara saya. Saya diminta duduk di meja utama dgn Datuk Mufti N9. Saya sgt keberatan sebenarnya tapi anak buah saya mendesak, maka terpaksalah juga duduk. Datuk Mufti sampai agak lewat semasa imam sdg baca doa.

Apa yg saya nak cerita ialah akhlaknya sebagai seorg ulamak yg berjawatan mufti. Apabila sampai, dia terus duduk atas tikar berhampiran pintu pagar di luar rumah di mana kasut selipar berterabur.

Dia ambil lauk yang berada di hadapannya shj walaupun lauk kambing turut dihidangkan. Saya lupa nak pusingkan benda alah tu kerana ingatkan dia tak suka kambing. Bila akhirnya saya pusingkan utk ambil gulai labu, secara kebetulan kari kambing berhenti bertepatan di hadapannya, barulah dia ambil. "Tadi tak nampak", katanya.

Yg paling menarik ialah perbuatannya bila nak basuh tgn lepas makan. Dia bangun menuju ke arah teko tempat air basuh  tangan selang dua kerusi dari tempat saya duduk. Kalaulah dia minta atau beri isyarat, saya akan segera menghulurkannya.

Semua tingkah lakunya mengambarkan akhlaknya yg tinggi. Dia tidak mahu orang membesar2kan dia dan dia juga tidak mahu menyusahkan orang lain.

Sayangnya saya terlupa bawak henfon.  Kalau tidak, pasti saya tunjuk gambar berselfie dgnnya.

Wednesday, June 26, 2019

WW # 168: NEGERI INI ADA BERTUAN.





Sunday, June 16, 2019

PAPA SEMPENA HARI BAPA.

Bila umur sudah melewati 60an, perasaan cepat sensitif. Misalnya bila mendengar lagu Paul Anka bertajuk 'Papa" di bawah membuat saya tersentuh. Walaupun ia sebuah lagu lama (1974) tapi baru akhir-akhir ini saya rasa demikian. Masa muda-muda dulu tak rasa apa-apa pun.



Terutamanya bila tiba kepada rangkap berikut, saya terbayang barangkali inilah keadaan yang akan saya lalui nanti ..

When she died
Papa broke down and he cried
And all he could say was, "God, why her? Take me!"
Everyday he sat there sleeping in his rockingchair
He never went upstairs
Cause she wasn't there

Sekali lagi jantung ini bagai direntap dan tanpa tertahan air mata saya mengalir laju bila tiba ke rangkap ini pula ..


And don't worry. I'm O.K. alone."


Memang ada lagu versi Melayunya yang dinyanyikan oleh Allahyarham Latif Ibrahim tapi ia tidak meninggalkan kesan kepada saya kerana liriknya sudah diubah 180 darjah  dan persembahannya tidak 'sampai'.

Berikut adalah lirik penuh lagu nyanyiam Paul Anka:

Everyday my papa would work
To try to make ends meet
To see that we would eat
Keep those shoes upon my feet
Every night my papa would take me
And tuck me in my bed
Kiss me on my head
After all the prayers were said
And there were years
Of sadness and of tears
Through it all
Together we were strong
We were strong
Times were rough
But Papa he was tough
Mama stood beside him all along

Growing up with them was easy
The time had flew on by
The years began to fly
They aged and so did I
And I could tell
That mama she wasn't well
Papa knew and deep down so did she
So did she
When she died
Papa broke down and he cried
And all he could say was, "God, why her? Take me!"
Everyday he sat there sleeping in a walking chair
He never went upstais
All Because she wasn't there

Then one day my Papa said,
"Son, I'm proud of how you've grown"
He said, "Go out and make it on your own.
Don't worry. I'm O.K. alone."
He said, "There are things that you must do"
He said, "There's places you must see"
And his eyes were sad as he
As he said goodbye to me

Every time I kiss my children
Papa's words ring true
He said, "Children live through you.
Let them grow! They'll leave you, too"
I remember every word Papa used to say
I kiss my kids and pray
That they'll think of me
Oh how I pray
They will think of me
That way
Someday


Ya Allah biarlah saya pergi dahulu.


Thursday, May 30, 2019

SHRAF MZB

Saya cadang nak cuti panjang,
Buat entri pun tiada yang pandang,
Saya rasa mcm cakap sorang-sorang,
Jumpa lagi kalau sama-sama umur panjang.

Selamat hari raya aidil fitri kepada semua pembaca,
Seandainya ada tulisan saya yang sumbang atau menyentuh jiwa, maaf jua yang saya pinta.




.

Friday, May 17, 2019

KISAH BOSS IKUT ARAHAN.

Kerja sudah selesai. Mari kita pulang.


Semalam saya repair atap dan bumbung rumah. Bila hujan berlaku kebocoran. Tapi yang saya nak cerita sebenarnya tentang gelagat pekerja dengan taukehnya. Saya tertarik bila pekerjanya (orang Indonesia) menyuruh-arah taukehnya (orang tempatan) buat itu ini dan ambil itu ini. Taukehnya dengan rela dan patuh mengikut sahaja arahan pekerjanya itu. Contoh, "boss, tolong bagi saya spanar nombor 7 boss".  Lalu taukeh yang dipanggil boss tadi bersegera pergi ke kereta mengambil dan menyerahkan benda yang diminta kepada pekerjanya. Ini suatu fenomena baru yang menarik bagi saya.

Moral cerita: 

1. Yang penting bukan pangkat atau kedudukan tetapi kerja dapat disiapkan dengan segera dan memuaskan hati pelanggan.

2. Kadang-kadang ada pekerja yang lebih tahu dari boss dalam aspek-aspek tertentu dan boss juga tidak semestinya sentiasa betul.



Monday, May 6, 2019

A.K.U K.E.L.I.R.U - 35: PEDULI.

Kadang-kadang saya keliru bila nak guna atau memahami maksud perkataan peduli.

Misalnnya;

1. Pedulikan dia.
2. Usah pedulikan dia.
3. Tak usah pedulikan dia.

Macam sama sahaja maksudnya.

Tapi takkanlah pulak.

Thursday, April 18, 2019

CUBA JAWAB SOALAN INI !

Kenapa kita sibuk nak cari kelemhan orang. Mari kita sama-sama nilai diri kita dengan bertanyakan soalan-soalan berikut:

1. Solat berjemaah kita cukupkah pada setiap waktu di surau atau masjid?

2. Solat tahajud kita adakah dikerjakan setiap malam atau banyak kali terlepas?

3. Solat dhuha kita adakah dibuat secara istiqamah setiap hari atau ikut dan?

4. Sedekah pulak sekerap mana kita lakukan?

5. Ilmu tauhid, feqah dan tasauf sudah habiskah  dikuasai?

6. Ilmu tajwid dan bacaan Quran kita sudah sempurnakah?

7. Bahasa Arab kita sudah mahirkah atau baru nak mula?

8. Mulut dan lidah kita adakah sentiasa dibasahi dengan zikir atau membawang?

9. Mata kita adakah sentiasa mencari dan melihat tanda-tanda kebesaran Allah?

10. Telinga kita adakah digunakan untuk mendengar perkataan yang baik-baik?

11. Kaki kita adakah untuk membawa berjalan ke majlis-majlis ilmu?

12. Tangan kita adakah hanya membuat pekerjaan yang diredhai Allah?

13. Fikiran kita adakah untuk sentiasa mengingat keagungan Allah?

14. Air mata kita tertumpah adakah kerana membayangkan azab Allah atau kerana tengok cerita Korea?

15. Apakah benar pengakuan kita dalam bacaan iftitah bahawa solat, ibadat, hidup dan mati kita hanya kerana Allah?

Saya tak tahulah orang lain tapi saya belum lulus. Bahkan bagi soalan nombor 7 tu, masih lagi terkial-kial di peringkat asas.


Tuesday, April 9, 2019

CERITA LAWATAN KE JEPUN # 8 : PENARIK BECA.

Satu pemandangan yang menarik hati saya ialah kewujudan penarik beca di Jepun. Memang betul-betul tarik dengan tulang empat kerat, bukan kayuh macam kat Melaka tu. Saya terlihat banyak penarik beca di kawasan tempat menjual ole-ole di Akasuka. 

Alangkah sayangnya saya tak sempat menaikinya kerana harus mengejar masa kerana ini adalah hari terakhir kami di Jepun.



Kalau dapat naik macam ni, seronok juga (gambar hasil carian Google)



Dapat bergambar dengan penarik beca pun jadilah.

Entah musim bila pulak dapat berkunjung ke sana lagi ? Hmmm ... entahlah.

Friday, March 29, 2019

RISAUKAN DIRI SENDIRI.

Ada dua golongan yang terperanjat di akhirat kelak.

Golongan pertama terperanjat kerana pahala mereka hilang bahkan jadi muflis sedangkan mereka telah banyak membuat amal ibadat semasa hidup di dunia.

Golongan kedua terperanjat kerana mendapat banyak pahala sedangkan mereka tidak banyak melakukan amal ibadat semasa hidup di dunia.

Golongan pertama kehilangan pahala akibat suka mengumpat, memfitnah serta mengadu domba dan pahalanya berpindah kepada golongan kedua yang diumpat, difitnah atau menjadi mangsa adu domba golongan pertama.

Jadi jagalah diri dari perbuatan mengumpat, memfitnah atau mengadu domba, lebih2 lagi perbuatan mengumpat peribadi atau batang tubuh seseorang seperti mengatakan pendek, gemok, kembang, gelap, kerepot dsb. Jangan aibkan orang kerana kita juga punya aib. Tiada siapa tahu kesudahan hidup seseorang. Mungkin pendosa yang kita kutuk siang malam bertaubat dengan sebenar2 taubat dan Allah terima taubatnya serta mati dalam keadaan beriman sedangkan kita sendiri belum tahu lagi kesudahan hidup kita. Kalau kita rasakan kita suci, doakan mereka yang tersilap supaya segera bertaubat serta memohon Allah mengampunkan dosa2nya.

# Dalam rangka mengingatkan diri sendiri serta menyahut seruan saling berpesan-pesan kepada kebaikan.

Tuesday, March 19, 2019

PATUTKAH KITA LALAI?


Image result for moving
Gambar hiasan hasil carian Google.

Katalah kita dapat surat arahan bertukar (transfer order) ke kedutaan Malaysia di Norway untuk suatu tempoh yang tidak dapat dipastikan.  Dan kita diberi masa cuma 24 jam sahaja untuk membuat persiapan.

Pada masa itu mungkin kita tak ingat makan minum kerana sibuk membuat persiapan. Bermacam-macam benda yang perlu diselesaikan. Antaranya:

# Bagaimana dengan rumah, nak sewakan atau nak tinggalkan begitu sahaja? Kalau nak sewakan siapa nak uruskan mencari penyewa? 
Kalau nak jual tentu tak cukup masa dan siapa pulak nak uruskan.

# Bagaimana dengan kenderaan kita yang ada 2-3 buah tu. Nak jual ke tidak? Kalau nak jual, siapa nak uruskan. Kalau tak jual, siapa nak jaga?

# Bagaimana dengan persekolahan anak-anak ?

# Bagaimana dengan pekerjaan isteri dengan CIMB misalnya ?

# Nak lipat pakaian dan lain benda yang patut dan perlu dibawa.

# Nak cari beg untuk letak pakaian sendiri, isteri dan anak-anak.

# Nak cari pakaian panas kerana kerana cuaca di sana sedang tersangat sejuk.

# Nak buat paspot anak dan isteri yang telah luput masanya.

# Dan banyak lagi kalau nak disenaraikan.

Itu antara perkara yang perlu diuruskan dalam tempoh 24 jam. Begitulah misalnya kita hidup di dunia ini bila-bila tiba masa boleh diarahkan untuk "pindah" ke sana. Kita tidak diberi masa 24 jam tapi serta merta, tidak cepat atau pun tidak terlambat sesaat. Oleh hal yang demikian kita kenalah sentiasa standby atau bersiap sedia setiap masa dengan bekalan untuk ke sana.

Oleh kerana kita tak tahu bila nak "ditukarkan" kesana, tu sebab kita selalu lalai atau menyangka lambat lagi.

Ingatan untuk diri sendiri.


Sunday, March 10, 2019

KISAH SE PAGI DI KAMPUNG PAGI.

Pada 2hb dan 3hb Mac lalu kami seramai 10 orang kombinasi pemancing otai dan separuh otai telah pergi memancing di Kampung Pagi, Ulu Tembeling. Grup pertama seramai 4 orang pergi sehari lebih awal pada hari Jumaat petang.  Grup saya seramai 6 orang lagi bertolak pada pagi Sabtu dan kami semua balik selepas makan tengah hari, pada hari Ahad besoknya. Memang sekejap sangat, cuma semalam sahaja tapi nak buat macamana kerana masih ada peserta dalam kumpulan kami yang masih bekerja.

Hasilnya tidak berapa memuaskan kerana air sungai sangat cetek. Tapi  matlamat kami bukan semata-mata untuk mencari ikan. Kalau nakkan ikan, beli kat pasar lebih senang dan ekonomik. Alasan klise bila tak dapat ikan. Ikan itu perkara ke dua atau sampingan. Kalau dapat syukur, tapi kalau tak dapat tidak mengapa. Rezeki Allah yang tentukan. Mungkin bukan dalam bentuk ikan, tapi digantikan dengan keselamatan dalam perjalanan pergi dan balik. Itu pun rezeki juga dan ia lebih utama. 

Berikut saya kongsikan beberapa keping gambar. Jangan lupa baca 'caption' di bawahnya untuk mengetahui kisah yang berkaitan dengannya.



Gambar 1: Pasukan peninjau pertama yang bertolak sehari lebih awal.


Gambar 2. Dalam perjalanan dari jeti ke rumah rakit. Muka beseri-seri penuh pengharapan dan debaran.


Gambar 3: Inilah rumah rakit tempat kita bernaung selama dua hari satu malam. Sungguh selesa.

Gambar 4: Kami juga dihantar dengan bot untuk memancing di lubuk yang disyaki ada banyak ikan. Kawan saya sedang menanti sentapan ikan yang tak kesampaian sampai ke sudah. Tetapi pemandangan di belakang tu yang mahal yang dapat menghilangkan rasa hampa di dalam dada.

Gambar 5: Rezeki kawan saya di rumah rakit. Ikan sebarau datang menyerah diri memakan umpan pancingannya. 


Gambar 6: Kawan saya bergaya dengan ikan kerai dan ikan tengalan yang ditangkap di lubuknya.


Gambar 7: Seorang kawan saya menaikan ikan lampam yang boleh tahan besarnya. Kalau tak percaya cuba besarkan gambar tu.


Gambar 8: Saya juga mendapat seekor ikan menangis - kerai - cry, melalui pemancingan di rumah rakit. Tak yah penat-penat cari lubuk.


Gambar 9: Ikan sebarau yang kawan saya dapat dan kerai yang saya dapat dikorbankan sebagai lauk tambahan  makan tengah hari. Saya tak tahu siapa yang meratah ekor ikan kerai tu. Saya tidak mengesyaki sesiapa. Mungkin ikan yang kecik tu yang buat kot.


Gambar 10: Kami makan sambil bersila di atas lantai. Isteri tuan punya rumah rakit yang masak. Tentulah ikan sungai. Waktu malamnya di tempat yang sama saya tidur dengan kawan saya walaupun bilik mencukupi kerana ingin merasakan hembusan dingin angin malam yang segar dari sungai.


Gambar 11: Dalam bot masa nak balik. Kelihatan muka masing-masing nampak tak ceria walaupun nak balik rumah kerana sedih nak meninggalkan rumah rakit. Sebenarnya sedih sebab tak banyak dapat pun ia juga. Tapi pemancing tegar, tidak pernah kenal putus asa.


Video kami semasa akan bertolak ke jeti untuk pulang ke rumah dengan dilepaskan oleh Pak Uda iaitu tuan punya rumah rakit yang sangat baik hati dan juga sangat warak orangnya


Hati sayu meninggalkan rumah rakit tempat kita bersenda gurau, tidur baring, makan minum dan memancing. Insyaallah bila air sudah dalam sikit nanti, kita akan sampai lagi. Bukan jauh sangat pun. Cuma 326 km je perjalanan sehala.

Alhamdulillah kami selamat sampai ke rumah masing-masing tanpa sebarang insiden yang tidak diingini. Jalan jem tu biasalah. Terima kasih Allah. 

Monday, February 25, 2019

SANA SINI BOSSKU.

Gambar hiasan hasil carian Google.

Baru-baru ini saya berkesempatan bersembang dengan seorang kawan setaman. Walaupun duduk setaman, jarang juga ada kesempatan untuk bertemu begini. Kami berborak agak panjang juga lewat sarapan yang tak berapa pagi di sebuah gerai di area Ampangan. Dulu dia seorang pegawai tinggi di sebuah kementerian dan sudah bersara sejak setahun yang lalu. Kini dia sudah beralih arah. Sebelum PRU sehingga baru-baru ini dia penyokong tegar Dr M dan PH. Bila saya tanya apa sebab pendiriannya berubah, beginilah jawapannya lebih kurang.

"Bukanlah bermakna saya sokong Najib tapi saya dah hilang kepercayaan kepada PH. Saya tak kisah kalau janji nak hapuskan PTPTN, tutup tol, nak tutup kilang arak dan sebagainya tak dapat ditunaikan kerana saya tahu itu adalah janji-janji politik yang tak mudah dilaksanakan. Dan saya tak harap pun.  Yang saya fed up tu mereka cakap tak serupa bikin. Menteri-menterinya asyik nak berpolitik dan menyalahkan kerajaan dulu macam perangai pembangkang. Tapi bukanlah semua menterinya macam tu.  Gobind Deo, Antony Loke dan Menteri Kesihatan nampak ok. Mereka buat kerja dan kurang merapu".

Saya mencelah bertanyakan siapakah menteri yang merapu yang dimaksudkannya. Dia sebut beberapa nama tapi tak manis untuk saya tulis di sini. Kemudian dia menyambung lagi,

"Yang saya tak boleh terima ialah pemansuhan GST". Nada suaranya makin meninggi. 

"Kalau harga barang turun dan hasil bertambah tak apalah jugak. Sekarang gaduh bajet tak cukup. Kan ke sengaja cari penyakit. Satu lagi saya geram ialah tentang AES. Kata dulu nak hapuskan tapi sekarang bukan sahaja dikekal bahkan ditambah lagi bilangannya dengan pelbagai alasan ..".

Dia menggunakan ganti nama 'saya' bukan 'aku' mungkin kerana menghormati umur saya yang 4 tahun lebih tua dari dia.

Ada lagi perkara-perkara lain yang dia tak puas hati yang turut disentuhnya. Antaranya ialah isu LGBT, serangan kepada ugama Islam dan Raja-Raja Melayu. 

"Dia orang ni sudah sangat melampau memperlekeh ugama kita, sedangkan Dr M langsung tak buat apa-apa kenyataan atau teguran terhadap puak pelampau ni".

Suaranya bergetar dan nadanya tegas menyampaikan rasa hatinya yang seolah-olah telah tidak terganggung lagi untuk diluahkan.

Sebelum suhu menjadi terlalu  panas, saya mohon untuk beredar.  Sambil itu sempat juga saya bertanya pandangannya yang terakhir tentang fenomena bossku. Katanya benda tu takkan bertahan lama. 

"Takkan nak berbossku sampai PRU akan datang".  Saya pun fikir begitu. Saya rasa tak lama lagi jemulah mereka mengulang-ulang ungkapan yang sama.

Saya berkeras untuk bayar sarapan pagi itu untuk meredakan kemarahannya.

Nota kaki. Saya syak dia ni suka bawak kereta laju-laju. Tu sebab dia marah AES tidak jadi dihapuskan.



Sunday, February 17, 2019

SONYUM SOKOJAP # 90: SUAMI BERDAKAP DENGAN JIRAN SEBELAH RUMAH.

Gambar hiasa hasil carian Google.


Antara kesalahan semasa menaip yang boleh memalu, mencemas, menimbulkan silap faham dan melucukan pembaca.

Dakap (cakap). Contoh: "Suami saya selalu berdakap dengan jiran saya"

Kaya (kata). Contoh: "Dia kaya datang ramai-ramai pun tak apa"

Sula (suka). Contoh: "Jangan sula ikut jalan belakang"

Katak (kapak). Contoh: "Lobai Salleh terpaksa pinjam katak Haji Dahan untuk tebang pokok rambutan yang condong di luar pagar rumahnya"

Jin (ijn). Contoh: "Saya tak dapat kerja hari ini sebab ayah saya masuk jin tengah malam tadi"

Bersikat (bersilat). "Walau pun dia tak pandai bersikat, tapi dia boleh menewaskan perompak itu"

Jubur (bujur). "Muka ratu cantik itu berbentuk jubur"



Sekian.


Thursday, February 14, 2019

SIAPA BERJAYA MEREBUT GADIS CANTIK INI ?

Gambar hiasan hasil carian Google.

Ini kisah seorang gadis pelari yang pantas, pernah menjadi juara sekolah yang sangat cantik yang tingal di sebuah kampung yang aman damai. Ramailah jejaka yang tergila-gila dan menyimpan hati untuk memperisterikannya. Gadis itu sedar ramai yang meminatinya dan dia selalu memikirkan bagaimana cara untuk memilih calon yang terbaik yang cocok dengan minatnya. 

Satu hari dia mendapat idea dengan membuat cabaran kepada semua lelaki yang meminatinya. Dia beritahu mereka barang siapa yang boleh berlari bersamanya sebanyak 10 pusingan padang bola di kampungnya akan dipilih menjadi suaminya. Pak Maun yang sudah berumur hampir 70 tahu dan berjalan pun menggunakan tongkat yang telah lama menduda pun ingin menyahut cabaran tersebut.

Dipendekkan cerita bila tiba hari larian seperti yang telah ditetapkan, bersesak-sesaklah lelaki yang ingin mengambil bahagian di padang bola di kampung tersebut.

Bila selesai lima pusingan, separuh dari peseta yang mengambil bahagian meninggalkan padang bahkan ada yang pengsan kerana tidak larat mengikut rentak larian gadis itu. Yang menghairankan semua orang ialah gelagat Pak Maun. Dia bukan sahaja mampu berlari bersama gadis itu bahkan dalam pusingan terakhir dia berjaya memintas dan menunggu gadis tersebut di garisan penamat. Tujuan dia berbuat begitu adalah untuk menunjukkan kehebatan beliau.

Pelari yang lain tentulah merasa cemburu dan hairan melihat peristiwa yang tidak disangka-sangka itu. Mereka beramai-ramai  mengucapkqn tahniah kepada Pak Maun. Apa yang memeranjatkan semua ialah gadis itu telah tidak menerima Pak Maun kerana katanya Pak Maun tidak mengikut peraturan yang telah ditetapkannya.

"Saya kata saya mahukan lelaki yang mampu berlari bersama saya, bukannya berlari mendahului saya".


Sudah tentulah Pak Maun tersangat kecewa. Dalam hal ini siapa yang bersalah?


Thursday, February 7, 2019

SONYUM SOKOJAP # 89. KALAU LGBT NAK PANGGIL APA ?


Tuesday, January 29, 2019

MEMANG BERGETAH !

Bergetah tak cempedak yang kawan saya beri?


Kalau semua anak menantu dan cucu saya balik, fikir dua kali juga nak beli cempedak goreng untuk sarapan pagi atau minum petang sekarang ini kerana harganya agak mahal. Mungkin bukan musimnya. Kalau nak beli, 50-60 ulas tak cukup untuk sekali hadap.

Tetiba ada rezeki datang bergolek. Petang semalam ada kawan hantar sebanyak 4 buah kat rumah saya. Sebuah dah goreng pagi tadi dan rasanya sebijik macam cempedak goreng. Semoga pokok cempedak kawan saya itu terus hidup subur dan mengeluarkan buah yang elok dan banyak hingga ke akhir usianya.

Maksud saya usia pokok itu.




Wednesday, January 23, 2019

KALAU TAK SUKA JANGAN BUAT KERJA-KERJA NI.

Although it was in a parking bay, a Glasgow business reckoned it was restricting access for their vehicles. So a forklift was brought in to move it one space away from the entrance
Gambar hiasan hasil carian Google.



* Kalau tak suka asap, jangan jadi penjual satay.

* Kalau tak suka menunggu, jangan jadi pemandu.

* Kalau tak suka kena leter, jangan bangun lewat.

* Kalau tak suka kena ceramah, jangat lewat solat.

* Kalau tak suka kena langkah, jangan duduk di muka pintu.

* Kalau tak suka kena sumpah, jangan blok kenderaan orang.



Friday, January 18, 2019

TERKENANG SEMASA DULU - 101: CERITA SAYA BERSEKOLAH DI SEKOLAH MENENGAH RENDAH TERIANG HILIR.

Dari tahun 1967 hingga 1969, saya bersekolah di Sekolah Menengah Teriang Hilir, Jelebu, Negeri Sembilan dari tingkatan 1 hingga tingkatan 3. Saya tinggal di Kampung Bukit Gajah, Pelangai, Pahang. Saya berulang alik bersama-sama 5-6 orang kawan satu sekolah sejauh kira-kira 34 kilometer setiap hari dengan menaiki basikal kerana pada masa itu hanya sekolah ini sahajalah yang paling hampir dengan rumah saya. Maknanya saya keluar negeri setiap hari untuk bersekolah. Walaupun jarak itu adalah agak jauh dengan menaiki basikal, lebih-lebih lagi bagi kami yang masih lagi dianggap budak-budak namun kita tak pernah merasa penat walaupun hari-hari hanya makan nasi tanpa sebarang suplemen.

Bila hari hujan, akan lambatlah kami sampai ke sekolah. Tetapi cikgu faham dan tidak memarahi kami pelajar-pelajar luar negeri yang terlewat datang. Cuma rugilah kerana terlepas beberapa mata pelajaran. Duit belanja selalunya cuma 20 sen sehari, jika tidak ada kelas petang. Kalau ada kelas petang, lebihlah sedikit. Dapatlah beli 2 biji kueh, atau se piring mee goreng untuk mengalas perut sementara sampai ke rumah balik dari sekolah sebelah petang nanti. Sayangnya tidak banyak gambar yang ada dalam simpanan saya kerana tidak ada murid yang memiliki kamera pada masa itu. Cuma bila kena ambil gambar ramai atau ada acara seperti sukan, akan ada jurugambar dari luar datang mengambil gambar. Sudah tentulah kita kena bayar kalau hendakan gambar tersebut. Berikut adalah 3 keping gambar hitam putih yang masih ada dalam simpanan saya.


Gambar 1: Bersama guru kelas di tingkatan 1, Dato' Hassan bin Malek yang pernah jadi Menteri dan Duta di Kemboja. Saya duduk depan di kanan sekali. Murid lelaki yang di kiri sekali adalah ketua darjah kami. Saya tidak tahu dan tidak ingat kenapa saya kena duduk depan walhal saya tidak memegang apa-apa jawatan samada ketua darjah atau pengawas atau sebagainya. Nak kata saya jahat, rasanya tidaklah jahat sangat.


Gambar 2: Di hari sukan sekolah. Saya dah lupa nama rumah saya. Dua orang dewasa yang berkaca mata hitam itu adalah guru-guru kami.



Gambar 3: Gambar ini saya sudah lupa tahunnya secara tepat dan saya berada di tingkatan berapa. Yang pasti tahunnya kalau tidak 1968 adalah tahun 1969.


Tadi saya kata saya berulang alik dari Kampung Bukit Gajah, Pahang ke Sekolah Menengah Teriang Hilir, Negeri Sembilan sejauh 34 kilometer sehari. Jarak itu disahkan oleh oleh Google Map seperti di bawah sebagai bukti. Sekarang ini kalau tak ada bukti orang tak percaya atau susah nak percaya.




Gambar 4: Cetakan skrin dari Google Map yang menunjukan jarak dan masa diambil jika berkereta selama 19 minit. Kalau naik basikal hampir sejam baru sampai, itupun jika tidak berlaku kesesakan jalan raya.

Selepas menduduki peperiksaan SRP (Sijil Rendah Pelajaran) setaraf  PT3 pada masa ini, bilangan pelajar yang lulus adalah tidak ramai. Kalau tidak silap saya cuma 16 orang sahaja. Oleh kerana bilangan yang sedikit itu maka tingkatan 4 di sekolah kesayangan kami tidak dapat dijalankan. Tentulah ia atas arahan Jabatan Pelajaran dengan alasan yang wajar. Maka kami terpaksa berpisah dan berpindah ke sekolah pilihan masing-masing untuk ke tingkatan 4 dan seterusnya. Apa nak buat. Itulah tadkir yang telah direncanakanNya. Saya memiliha untuk bertukar ke Sekolah Menengah Bandar Tinggi, Jelebu bersama-sama dengan 4 orang kawan yang lain. Selanjutnya mungkin saya akan cerita dalam entri yang lain pulak. Insyaallah.


Friday, January 11, 2019

ALAM SEMULA JADI ?



Keindahan alam semula jadi ...!!!

Bukankah alam ini Dia yang menjadikan ?

.
.

Wednesday, January 9, 2019

WW # 168 : KECIK-KECIK DAH PANDAI.