Tuesday, January 31, 2012

SIKIT-SIKIT NAK PAKAI KAKULATOR.



Petang semalam saya beli mentol seperti gambar di atas di kedai Ah Seng (saya main letak jer nama tu)

Harganya RM6 sebiji.

Saya beli 3 biji.

"Berapa semua ?" saya tanya.

Ah Seng pun mengambil kalkulator ...

Apa ???

Nak kira banyak itu pun pakai kalkulator.

Ish ish ish .. ish ish ish .. ish ish ish !

ish ..

APA KTS DAH BUAT ?


Nota tangan: Sepatutnya entri ini dibuat lebih awal iaitu semasa pengunjung mencecah 200 ribu tempoh hari, tapi telah terlepas.

...................................................................................... 

1. Sungguh saya tidak sangka dalam tempoh dua tahun saya berblog pelawat boleh melebihi 200 ribu orang.  Kalau nak sebut dalam juta sudah boleh sebut poin 2 juta.  Ada juga perkataan juta di situ. Hebat sikit bunyinya.  Saya tidak membandingkan pencapaian saya dengan blog orang lain tetapi sebaliknya membandingkannya dengan jangkaan saya sendiri.

2. Sebenarnya saya berblog hanya untuk melayan kesukaan saya menulis. Saya akan merasa tenang setelah apa yang ingin diceritakan berjaya diterjemahkan ke dalam  blog walaupun mungkin tak ada orang baca atau komen. Misalnya ada satu entri saya yang sangat panjang lebar, remeh temeh, membosankan dan mengambil masa yang lama menyiapkannya, cuma  mendapat satu komen sahaja iaitu dari KTS. Namun saya tetap gembira kerana ada juga orang yang sanggup baca entri itu (klik kalau tak ada kerja) dan sudi komen.

3. Di sini saya ingin menyampaikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga keada semua sahabat follower, pengunjung yang sudi meninggalkan jejak dan juga pembaca senyap yang mengikuti tulisan saya yang nampaknya semakin hari semakin ramai.

4. Di kesempatan ini juga saya ingin memohon maaf kerana tidak dapat melawat semua blog sahabat follower dan kalau ada melawat pun jarak masa antara satu lawatan dengan lawatan seterusnya makin melebar.

5. Akhirnya saya juga nak minta maaf jika ada tulisan atau komen saya yang menyakitkan hati anda semua. Saya juga manusia biasa. Gading mana yang tak retak.

p/s: Saya tak tahu apakah kegiatan KTS sekarang, sehingga menyebabkan JAKIM dan kerajaan negeri memantaunya. Patutlah senyap jer !


Monday, January 30, 2012

SONYUM SOKOJAP 38: BUAT SENDIRI

.

 Gambar hiasan hasil carian Google.


Hari Jumaat lepas, saya pergi ke Plaza Ampangan, memperbaharui insuran kereta Makngahnya. Setelah hampir selesai, petugas kaunter tanya saya:

Petugas kaunter: Road tax kereta ni Pakcik nak buat sendiri atau nak kita orang buatkan ?

Saya: Boleh ke buat sendiri?

Petugas kaunter: Apesal pulak tak boleh ?

Saya:  Manalah tahu entah-entah  JPJ tak terima road tax buatan sendiri ?

Petugas kaunter: Terdiam sebentar dan sambil menarik nafas panjang, cuba menjelaskan .. "maksud saya ... "

Saya: Pakcik faham (saya memintas sebelum dia sempat menghabiskan ayat) .. Pakcik gurau je !

Petugas Kaunter:  Sambil ketawa dia membalas. "Salah saya Pakcik sebab cakap tak 'clear' dan menyambung ketawanya.



Nota kaki: Entri ini adalah kembar kepada entri ini  yang telah mendapat tempat pertama dari 6.5 juta results dalam carian Google. Walaupun sedikit teruja berada di tangga pertama, tapi hati kecil saya tidak percaya kerana bila saya guna Yahoo untuk mencari, tak ada pulak entri tu keluar. Mungkin Google sengaja nak menyedapkan hati saya kot.




Sunday, January 29, 2012

TERKENANG SEMASA DULU 44: HARI KELUARGA RT.

Peristiwa ini berlaku lebih dua tahun dahulu iaitu pada 2 Ogos 2009. Pada masa itu saya menjadi Pengerusi Rukun Tetangga Lavender Heights.

Sambutan penduduk taman kepada program Hari Keluarga RT, di luar jangkaan semua pihak. Hampir seribu orang turut serta. Rasa berbaloi kita bersengkang mata membuat persediaan.  Program ini juga mendapat liputan yang baik dari mass media tempatan. Peristiwa ini sentiasa menjadi kenang-kenangan kepada saya. Saya amat berpuashati dan gembira sehingga ketawa menampakkan gigi. Jarang sekali saya tertawa sampai menampakkan gigi jika ia tidak benar-benar menggembirakan hati saya.  Contohnya adalah seperti Gambar 6, 9 dan 10.

Kesemua ahli keluarga saya mengambil bahagian. Isteri dan anak kedua betugas di meja pendaftaran, anak ketiga menjadi jurugambar rasmi, anak keempat menghambil bahagian dalam pertandingan melukis dan membeli belah dan anak kelima dalam acara walkathon. Anak pertama pula menjaga anaknya kerana suaminya turut serta dalam walkathon.


Gambar 1. Awal-awal pagi yang sudah mula melawat kawasan dimulai dengan lawatan ke meja Makngahnya.



Gambar 2: Melepaskan peserta lelaki dewasa dalam acara walkathon.


Gambar 3: Anak bongsu saya yang bertopi merah, turut mengambil dalam acara walkathon. Masa tu dia masih kemetot lagi.



Gambar 4:  Melepaskan kakak-kakak yang juga tidak mahu ketinggalan mengambil bahagian dalam acara walkathon.


Gambar 5: Menyampaikan ucapan perasmian yang entah ada orang dengar atau tidak.


Gambar 6: Bersedia untuk memotong reben tanda perasmian.

Gambar 7: Sambutan dari kanak-kanak dalam acara melukis sungguh di luar jangkaan sehingga cenderahati yang disediakan tidak mencukupi. Kita cuma sediakan untuk 50 orang sahaja. Kesian kat budak-budak yang tak dapat. Tapi mereka seronok melukis walaupun tak menang atau tak dapat cenderamata penyertaan. 




Gambar 8: Anak keempat saya turut mengambil bahagian dalam pertandingan melukis.


Gambar 9: Menantu saya mendapat hadiah utama cabutan bertuah. Ramai yang meragui dan mengesyaki ada unsur pilih kasih. Pilih kasih apa ke bendanya. Saya cuma diminta menyampaikan hadiah dan tidak terlibat langsung dalam membuat cabutan.


Gambar 10: Sedang ditemuramah oleh pemberita dari sebuah akhbar (dah lupa namanya dan keratan akhbarnya pun dah tak jumpa). Gambar inilah yang saya crop dan dijadikan gambar profil sekarang ini.
.


Gambar 11: Kita menyambut kejayaan menganjurkan Hari Keluarga itu dengan mengadakan majlis makan malam untuk para petugas. Dalam gambar di atas kelihatan pengerusi memberi sepatah dua kata sambil melihat skrin yang ada lirik, gambar dan muzik.





Selanjutnya untuk gaya penceritaan yang lebih kontemporari bolehlah baca sini atau di blog rasmi Rukun Tetangga Lavender Heights di sini.


Friday, January 27, 2012

MARILAH KITA BERPESAN-PESAN KALAU TIDAK MAHU KESEORANGAN NANTI.

Baru sebentar tadi saya membaca tafsir al-Azhar hasil kerja Prof Dr. HAMKA. Saya sampai kepada tafsirannya di dalam surah An-Nisa' ayat 14 seperti di bawah. Ia sangat berkaitan dengan entri saya pagi tadi yang bertajuk "Janganlah Masuk Syurga Sorang-Sorang".


"Di sini kita mendapat kesan, bahawa dengan amal sendiri, masing-masing orang akan dimasukkan ke dalam syurga dan akan menikmati syurga itu bersama-sama. Sehingga ketika di dalam, mengecap nikmat yang kekal bersama-sama.  Karena kelezatan suatu nikmat ialah bisa dirasakan bersama. Tetapi bila dimasukkan ke dalam neraka, karena kesalahan sendiri, meskipun di dalamnya akan beramai-ramai juga, namun tidaklah akan ada hubungan kasih mesra dengan orang lain, karena masing-masing menderitakan azab sendiri-sendiri"

Tafsir Al-Azhar oleh Prof Dr. HAMKA, Juzu' 4,5,6 muka surat 291.

Jadi marilah kita saling ingat-mengingat dan berpesan-pesan supaya dapat masuk ke syurga dan menikmati kelazatannya bersama-sama.


JANGANLAH MASUK SYURGA SORANG-SORANG.


Bayangkan kalau kita pergi  berjalan-jalan sekeliling sebuah kampung tapi tiada berjumpa walau sekerat orang. Atau kita berjalan di bandar. Masuk kedai keluar kedai, masuk bank keluar bank, masuk supermarket keluar supermarket, masuk pawagam keluar pawagam, pun begitu, tak ada orang.

Kita masuk kedai pancing, tengok dan pilih pancing untuk dibeli. Bila nak bayar, tak ada orang. Masuk pawagam cerita Ombak Rindu sedang main, kita pun tengok sorang-sorang sebab penonton lain tak ada. Keluar pawagam terasa lapar, kita singgah kedai Mamak layan diri. Bila selesai makan, nak suruh kira dan nak bayar, tak ada orang. 

Bila teringin nak memancing, kita pergi kolam berbayar. Ikan punyalah banyak tapi tak ada orang lain memancing dan tak ada orang jaga. Kita pun memancing. Selepas dapat 7-8 ekor, berat 3-4 kilogram seekor, kita pun balik rumah. Hati cukup seronok tapi kepada siapa nak berkongsi cerita gembira. Kat rumah kita pun kita duduk sorang-sorang. Kemudian kita update blog dan facebook. Muat naik gambar-gambar ikan yang kita dapat, tapi selepas 14 jam, tak ada sorang pun komen. 

Kemudian kita pergi dari bandar ke satu bandar nak cari orang. Katalah dari Seremban pergi ke Muar. Kat lebuhraya hanya kereta kita sahaja yang ada. Bila minyak kereta habis, kita singgah isi minyak.  Tapi masih tak nampak orang. Pondok kutip tol pun tak ada orang. Kemudian kita pergi lagi ke selatan hingga ke Singapura. Pun begitu juga, masih tidak berorang. Cuba bayangkan keadaan kita pada masa itu. Alangkah sunyinya kerana hidup keseorangan.

Begitulah perumpamaannya kalau kita masyuk ke dalam syurga sorang-sorang. Bahkan syurga itu lebih luas sehingga tidak terbayang oleh kita keluasannya. Seronokkah kita kalau kita seorang sahaja berada di syurga yang maha luas nanti ?

Oleh itu janganlah berkelakuan semacam kita seorang sahaja yang  mahu masuk ke syurga. Saya ada jumpa seorang pak haji kat surau saya. Setiap kali datang dia mesti memakai jubah dan berkopiah putih.  Bila dia datang ke surau terus sembahyang sunat di satu sudut, kemudian sembahyang berjemaah, lepas tu belah tanpa bersama-sama berwirid, berzikir dan juga berdoa bersama imam dan selepas itu bersalam-salam bersama para jemaah yang lain. Kalau ada jamuan pun, beliau tak pernah turut sama. Mukanya sentiasa tersenyum tapi tidak pernah berkata-kata dengan kita kecuali kalau kita yang mula menegurnya.

Mungkinlah dengan berperangai begitu dia terhindar dari mendapat dosa mengumpat, bercakap kosong atau menyakitkan hati orang lain, tetapi cubalah bayangakan kalau awak masuk syurga sorang-sorang. Seronok ke ? 

Thursday, January 26, 2012

BANK YANG TIDAK TAHU MENGGUNAKAN KOMENSEN.

.

 Gambar hiasa hasil carian Google

Baru-baru ini sekeping cek saya telah dipulangkan kerana perkataan ribu saya tulis ritu. Sebenarnya memang saya tulis ribu tapi kerana kecantikan tulisan saya (klik), ia nampak seolah-olah macam ritu. Untuk itu saya dikenakan caj sebanyak RM10. 

Kenapa bank tidak langsung munggunakan komensen dalam hal ini. Sedangkan ejaan nama Muhammad pun macam-macam orang tulis. Ada Muhd; Ada Mohd; Ada Md. Bahkan ada yang tulis M sahaja. Tapi semua orang sedia maklum itu merujuk kepada Muhammad. Lagipun bukan semua orang tulisannya cantik macam tulisan saya.

Jadinya kalau yang tertulis atau nampak macam tertulis ritu, maknanya ribulah tu. Lainlah kalau yang tertulis tu terkurang satu 0 atau terlebih satu 0 dan bercanggah dengan amaun yang ditulis. Atau pun tidak bertandatangan. Lagipun kenapa tak telefon dulu minta pengesahan sebelum mereject. Kalau nak jual produk baru, bukan main pandai pulak menelefon !

Saya syak bank gembira mereject cek yang macam ini kerana setiap cek dia boleh kenakan RM10 sedangkan belanja stem dan pentadbiran saya rasa tak sampai pun RM5. Bayangkan kalau dia berjaya reject 10 ribu cek setahum !


.

Wednesday, January 25, 2012

WORDLESS WEDNESDAY 19 - KESIAN KAT KAMPUNG DIA TAK ADA WAYAR KAN !

.

Tuesday, January 24, 2012

TEKNIK MUDAH NAK JADI JUARA .


3 bulan kaji SBPA: Penambaikan untuk puas hati penjawat awam - Berita Minggu 22/1/2011.

Kalau kita mahu menghilangkan sesuatu benda,  syaratnya sesuatu benda  itu mesti ada terlebih dahulu. Kalau benda itu tidak ada, bagaimana hendak menghilangkannya.

Begitulah dengan masalah. Kita hanya boleh menghilangkannya, jika masalah itu sudah ada.

Kadang-kadang ada orang yang ingin menjadi JUARA dengan mudah, sengaja mencipta masalah yang dia tahu boleh selesaikan dan kemudiannya dengan mudah menyelesaikannya. Tentulah dia akan dikagumi dan segera menjadi popular.

Saya teringat cerita Nujum Pak Belalang (kalau tak silap). Dia suruh anak dia sembunyikan lembu orang kampung. Bila tuan punyanya sibuk cari, ahli nujum tersebut menawarkan khidmat nujumnya. Sudah tentulah tilikan dia tepat kerana dia sudah bersekongkol dengan anaknya menyembunyikan lembu tersebut.

Dalam konteks negara pula, saya buat contoh seorang PM dari satu negara, bukan Malaysia, yang ingin menjadi juara, meminta secara senyap-senyap supaya Menterinya mengharamkan pengimpotan beras dari Thailand. Tetapi sebelum itu Syarikat adik dia telah membuat kontrak pengimpotan beras dari negara Vietnam. Akibatnya timbul masalah kekurangan beras. Rakyat pun mula bising. Bila keadaan sudah gawat dengan tunjuk perasaan di sana sini, dia pun buat pengumuman bahawa masalah beras akan diselesaikannya dalam tempoh seminggu. Bijak. Bijak.

Ini adalah sekadar contoh sahaja. Tidak ada kena mengena dengan sesiapa, baik yang masih hidup atau yang  masih mati.

Kalau saya tahu ada orang yang sengaja mencipta masalah yang dia tahu dia mampu menyelesaikannya, semata-mata kerana hendak menjadi juara dengan mudah, maka saya akan menjauhkan diri dari dia sejauh yang mungkin. Tak dapat gelaran Dato' pun tak apalah.

Dalam kes semakan semula SBPA ini, saya tidak percaya ada orang yang nak jadi juara cara mudah semacam itu. Tak masuk akal.



Sunday, January 22, 2012

TERKENANG SEMASA DULU 43: TORONTO, KANADA 1983

Kita (dengan kawan sepejabat dan keluarganya) pernah melawat ke dua bandar utama di Kanada iaitu Toronto dan Ottawa. Di kedua-dua tempat itu, kita menumpang tidur di rumah kawan. Selamat belanja hotel dan makan minum. Di Toronto kita menginap di rumah kawan yang bekerja di Jabatan Penuntut Malaysia. Dan di Ottawa di rumah kawan yang bekerja di Kedutaan Malaysia di sana.

Berikut lihatlah gambar-gambar yang sempat dirakam, yang masih baik yang ada dalam simpanan saya. Nak cerita lebih-lebih pun, dah banyak yang lupa.


Gambar 1: Di pintu masuk ke Kanada dari Amerika. Pintu yang tak ada daun pintu.



Gambar 2: Sempat juga bergambar selepas urusan Imigresen selesai.
Gambar 3: Di sebelah kedai yang menjual cenderamata.

Gambar 4:  Bangunan CN Tower dari kejauhan. Saya memang teruja tengok menara ini sebab kat kampung saya belum ada lagi menara macam ni pada masa itu. Sekarang pun masih belum ada juga.
Gambar 5:  Masa itu saya terfikir, kalaulah saya banyak duit, saya  nak buat satu menara macam ni kat Bukit Nenas. Tak lama selepas itu  orang lain buat sebab duit saya masih belum cukup lagi pada masa itu.

Gambar 6: Di kaki menara CN Tower.  Perlu ke sebut tower lagi ?



Gambar 7: Dari dalam menara. Kelihatan tasik/sungai di sekitar bandaraya Toronto luas terbentang di belakang sana.
 

Gambar 8: Ronda-ronda di bandar Toronto di musim panas. Kanada adalah negara 4 musim. Kita di Malaysia ada 3 musim. Musim panas, musim hujan dan musim durian. Kakngah tertidur dalam kereta tolaknya. Dia memang kuat melengset (tidur) sampai sekarang.

Gambar 9: Seperti biasa saya akan membeli satu dua cenderahati sebagai kenang-kenangan. Yang ini gambar pinggan. Kalau guna untuk makan, tentu lambat nak sudah.

Gambar 10: Benda ini saya tak tahu namanya dan juga tak tahu nak bagi nama, tapi cantik.

Selesai cerita semasa Toronto. Lepas ni cerita kami semasa di Ottawa pulak.



 * Siapa nak tengok  tasik air tawar yang terendah di atas muka bumi ini, sila klik sini. 



.

Friday, January 20, 2012

JANGAN KOMPLEN KALAU IKAN MAHAL.

Dalam entri saya dan juga fb saya semalam ada disebutkan sepintas lalu tentang aktiviti memancing saya pada hari Rabu malam Khamis yang lepas. 

Berikut adalah catatan ringkas bergambar berhubung dengan aktiviti memancing saya bersama empat orang sahabat lagi.


Gambar 1: Kami  bertolak dari rumah kira-kira pukul 5.45 petang menujuk jeti nelayan  Port Dickson. Air masih lagi surut dan bot belum boleh keluar. Air pasang semula selepas jam 9 malam. Sementara itu kita sembahyang Maghrib,  makan malam dan kemudiannya sembahyang Isyak. 
Nampaknya jeti ini menjadi kubu kuat BN.


Gambar 2: Sempat juga bergambar meniru gaya Gedek.


Gambar 3: Sementara menunggu air pasang, saya melihat orang kita bermain judi tanpa menghiraukan waktu Sembahyang Maghrib dan Isyak. Saya ambil gambar pun dia orang tak perasan. Yang sedihnya tempat dia orang berjudi ini adalah bersebelahan dengan surau tempat kita sembahyang tadi.

Gambar 4: Di ruangan yang sempit inilah kita gunakan untuk duduk memancing, tidur bersempit-sempit secara bergillir-gilir, bersembahyang dan sebagainya.


Gambar 5:  Kira-kira jam 11 malam tekong bot dengan anak bujangnya menurunkan pukat. Panjang pukatnya lebih dari 1km dan mereka mengambil masa lebih dari satu jam untuk menurunkannya. Kalaulah saya yang menurunkannya, sampai sekarang pun agaknya saya masih dalam bot.


Gambar 6:  Kira-kira jam 3 pagi mereka menaikan pukat dengan hasil tangkapan. Nampak tak ikan yang bergelimpangan di sebelah kanan bot. Menurut tekong, berat pukat ini setelah basah terkena air adalah lebih kurang 3 ton. Kesemua ikan yang majoritinya ikan Tenggiri yang berjaya dinaikkan adalah sebanyak 50 ekor. Kerja menaikan pukat ini mengambil masa kira-kira  2 jam.


Gambar 7: Berehat dalam perjalan balik ke jeti. Sampai di jeti dia punya taukeh sudah tunggu maa !


Gambar 8: Setiap orang mendapat 5 ekor. Saya dapat empat ekor ikan Tenggiri dan seekor ikan Parang yang kesemuanya ada bertelur. Kalau beli kat pasar rasanya mungkin dekat RM200 kot disamping tidak lagi begitu segar.
Sebelum itu nak beritahu, kita bayar taukeh bot itu RM500 (iaitu RM100 seorang) dan perjanjiannya, kalau kita dapat ikan hasil pancingan kita  yang punya manakala ikan yang berjaya dipukat pula kita bahagi 50-50.


Gambar 9:  Saya dengan 2 dari 5 ekor ikan segar bahagian saya. Salahkan anak saya kerana mengambil gambar tak cukup sifat.


Pemerhatian saya:

1. Yang kaya tetap taukeh dan orang tengah. Yang kekal dan terus miskin adalah nelayan yang barangkali tidak ada pilihan atau selesa dengan cara hidup begini.

2. Sesungguh rezeki di tangan Allah kerana ada bot yang cuma dapat 2 ekor sahaja walaupun kita memukat di kawasan yang sama.

3. Masih ada lagi, orang kita yang suka berjudi menghabiskan masa dan duit. Larangan Allah dalam surah al-Maidah ayat 90 seperti tertera dalam 'header' di atas  itu mungkin sudah tidak ada dalam benak fikiran mereka.

4.  Perangai sebenar sahabat kita boleh dilihat dan dinilai sepanjang aktiviti ini, samada mereka jenis enau dalam belukar atau aur di tepi tebing dan sebagainya.


Thursday, January 19, 2012

MANA BOLEH TAHAN !

Seorang anak buah saya sudah membooking  buah yang masak untuk dibuat benih. Jadi saya nak bagi dia masak kat pokok dulu  baru petik. Tapi belum sempat  petik, buah mangga yang hampir masak sudah diambil orang tanpa kebenaran saya.  Bukan sekali, dah banyak kali. Dan terakhir, semalam 3 biji sekali ghaib. Cerita lanjut pasal pokok dan buah mangga tersebut ada di sini.


 Gambar 1. Iqal bersama buah mangga pada 17/1/2011 pada kira-kira 6.15 petang sekembalinya dia dari sekolah.


Gambar 2: Buah mangga seperti gambar atas cuma tinggal tangkai sahaja setelah diambil orang.
 Gambar ini di ambil pada kira-kira jam 2.10 petang pada 18/1/2011.


Gambar 3: Tuan Tanah tak sanggup lagi kehilangan buah mangganya lalu  mengambil keputusan yang drastik untuk memetik kesemua buah yang ada di atas pokok. Setiap biji beratnya melebih 1 kg.


 Gambar 4: Ini bukan gambar mangga tetapi adalah gambar henfon saya yang ada kamera yang mengambil gambar mangga-mangga tersebut yang akan menjadi saksi di sana nanti tentang kewujudan dan kehilangan buah-buah mangga saya. Semoga orang yang mengambil buah mangga tesebut  panjang umur dan  sempat bertaubat dan memulangkan kembali buah mangga saya.


p/s:  Saya baru balik dari memancing semalaman di PD. Nanti saya buat satu entri khas mengenainya.


Wednesday, January 18, 2012

PTD KENA 'REJECT'

.



Orang kita cuma mahu mendengar dan tak menjawab balik bila ditegur, jika yang menegur itu memenuhi salah satu atau kesemua ciri-ciri berikut;

1. Mereka yang menegur itu ada kuasa memberi anugerah, gelaran, pangkat dan sebagainya.

2. Mereka yang menegur itu boleh mempengaruhi pihak yang memberi anugerah, gelaran, pangkat dan sebagainya.

3. Mereka yang menegur itu ada kuasa memberi keuntungan material seperti lesen, duit, tanah, kawasan balak dsb. Itu sebab ada anak-anak yang tak mengendahkan  teguran ibubapanya kalau ibubapanya papa kedana dan mengharapkan bantuan mereka.

4. Mereka yang menegur itu ulamak selagi mana teguran mereka tidak menyentuh kegemaran orang yang ditegur. Itu sebab masih ramai yang menghisap rokok, walaupun ada ulamak yang telah mengharamkannya.

Selain dari itu, kalau orang kita kena tegur dan terkena egonya dan mereka pula tak ada hujjah untuk menjawabnya, maka akan keluarlah ayat-ayat seperti berikut:

"dia tu sapa nak menegur aku ..  SPM pun tak lulus"

"dia tu sapa nak nasihatkan aku  ..  belajar ugama pun setakat pondok je"

"dia tua sapa nak menegur aku .. masa sekolah rendah dulu bangang macam aku juga"

"dia siapa nak menegur aku .. kalau tak puashati pindah je lah ke negara lain"

"kau perempuan, apa tahu"

"kau budak-budak, jangan nak tunjuk pandai"

"kau orang tua .. diamlah. bela cucu lagi baik"

Maknanya orang kita gemar melihat siapa yang menegur dan bukannya apa yang ditegur, sedangkan Islam menyuruh kita seperti yang dinyatakan dalam Surah Al-Asr supaya berpesan-pesan dan saling mengingati antara satu sama lain.

سُوۡرَةُ العَصر
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
 وَٱلۡعَصۡرِ (١) إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَفِى خُسۡرٍ (٢) إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ (٣)


Demi Masa! (1) Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; (2) Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.  (3)

Bila saya cakap dengan memetik ayat Quran macam ini,  risiko untuk mendapat komen seperti di bawah adalah besar ..

"Tak usah nak berlagak alim lah .. bukan aku tak tahu kau tu siapa"


Nota kaki: Bila saya sebut orang kita, bukanlah bermaksud semuanya. Tapi tak laratlah pulak saya nak menyenaraikan mereka yang bukan orang kita. Serupalah bila ada orang kata orang Negeri Sembilan suka makan pedas. Orang yang bercakap begitu tidak memaksudkan semua orang Negeri Sembilan dan orang yang mendengar pun faham apa yang dimaksudkan oleh orang yang bercakap itu.  Saya kena menyatakan ini, kerana akan ada nanti mereka yang gemar  berhujjah dari sudut teknikaliti, nahu, istilah dan sebagainya.

Video di bawah sesuai ditonton oleh orang yang tidak mahu berada dalam kerugian.

Monday, January 16, 2012

MARI KITA LIHAT BILIK KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN KEWANGAN !

Beberapa tahun dahulu, saya berpeluang menyertai lawatan ke UK dalam rangka mengumpul maklumat untuk melaksanakan program tertentu di Malaysia. Antara tempat yang saya lawati ialah Kementerian Kewangan atau Perbendaharaannya.


Gambar 1: Sempat juga bergambar di lobi bangunan ini sebelum
di jemput masuk oleh tuan rumah.


Sesuatu yang menarik perhatian saya ialah cara mereka menggunakan ruang pejabat yang ada. Mereka mengamalkan konsep pejabat terbuka yang benar-benar terbuka. Yang memeranjatkan saya ialah pejabat Ketua Setiausahanya (KSU) juga terbuka. Rasa macam tak percaya pulak bila saya ditunjukkan bilik KSU tersebut.  Untuk makluman yang tidak tahu, KSU adalah jawatan pegawai kerajaan yang tertinggi dalam sesebuah kementerian.

Lihatlah bilik atau lebih tepat lagi 'cubicle' tempat dia bekerja seperti yang ditunjukkan kepada saya oleh pegawai di sana. 



Gambar 2: Semua orang boleh tengok apa dia buat. Tak ada peluanglah dia nak berblog atau berfb.  Tetiba saya rasa bersalah bila memikirkan bilik pejabat saya di Malaysia pada masa itu.


Gambar 3:  Dari penilaian saya, mungkin bilik pejabat KSU Perbendaharaan, UK ini lebih kecil dari ruang pejabat sesetengah bilik Pengerusi JKKK di Malaysia. Dan kalau dia nak minum, katanya dia kena bancuh sendiri.
Selanjutnya renung-renungkan kata-kata Hanafiah seorang pelajar yang sedang membuat PhD di New Zealand pada masa ini, dalam komennya kepada entri saya baru-baru ini seperti di bawah.




Saya juga banyak kali berpeluang melihat dan memasuki bilik KSU di beberapa kementerian di Malaysia. Bezanya macam langit dengan bumi. Punyalah besar dan mewahnya bilik KSU kita berbanding bilik KSU di Kementerian Kewangan UK. Sedangkan mereka lebih kaya dan berkemampuan dari kita.  Rasanya kita ini lebih British dari British. 


Saya percaya ramai juga KSU kita yang telah melawat bilik KSU di UK ini, tapi hairannya tak hendak pulak dia orang menirunya.

p/s: Agak-agaknya bilik KSU Kementerian Kewangan kita besar mana ya. Dulu saya tak berpeluang masuk.  Ada sesiapa pernah masuk ? Cuba cerita !

.

Sunday, January 15, 2012

JAWAPAN KEPADA KOMEN DARI 2a5d6fac-3d91-11e1-97e2-000bcdcb5194.

Lanjutan dari enti saya bertajuk Cukup-Cukuplah Tu PTD saya mendapat komen yang agak menarik dan lain dari yang lain dari  2a5d6fac-3d91-11e1-97e2-000bcdcb5194   seperti di bawah.


 


Bila saya buat entri "Cukup-Cukuplah Tu PTD" saya sudah bersedia untuk menerima komen seperti itu. Sebab itu, saya buat secara terbuka (bukan dalam bentuk surat layang) tanpa menyembunyikan identiti saya. Dan yang keduanya, kalau saya mahu, boleh sahaja saya 'delete' komen dari tuan 2a5d6fac-3d91-11e1-97e2-000bcdcb5194 itu kerana ia tidak selari dengan tulisan saya dan juga saya tidak tahu identiti penulisnya.  Walaubagaimana pun saya boleh meneka bahawa dia ini adalah seorang pegawai PTD yang telah JUSA kerana hanya pegawai JUSA sahaja yang amat kecewa bila kerajaan menangguhkan pelaksanaan SBPA ini.

Kalaulah ditakdirkan Kerajaan yang memerintah selepas PRU 13 nanti sependapat dengan saya, saya rasa orang yang macam  2a5d6fac-3d91-11e1-97e2-000bcdcb5194   ini akan segera menukar haluannya. Dan kalau Kumpulan Pelaksana masih tidak berpuas hati dengan hasil semakan yang akan dibuat kepada SBPA ini, tidak mustahil kerajaan sekarang akan berubah kerana setiap kakitangan Pelaksana membawa sekurang-kurangnya 4 undi secara purata jika diandaikan ibu bapa, mertua dan adik beradik mereka juga turut tidak berpuashati dan bersimpati dengan mereka.


Berikut adalah reaksi saya kepada komen dia.

1. Saya Skeptikal. Perbezaan terbesar antara sektor awam dan swasta ialah birokrasi. Walaupun ramai yang tak suka birokrasi, tapi ia adalah 'necessary evil'. Semua pegawai walau  di Jabatan atau Kementerian mana mereka berada harus patuh kepada semua Surat Pekeliling, Pekeliling, Garis Panduan dan arahan2 yang dikeluarkan dari masa ke semasa oleh Agensi Pusat seperti JPA, Perbendaharaan, Unit Perancang Ekonomi, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, MAMPU, Akauntan Negara dan lain-lain.  Dengan itu ruang untuk penjawat awak berkreatif dalam pengurusan adalah amat terhad. Kalau bakat dari luar di ambil masuk, mereka juga harus patuh kepada peraturan yang ada. Mereka tidak boleh menguruskan sesebuah Kementerian atau Jabatan, mengikut citarasa mereka. Bahkan saya yakin, bahawa satu hari nanti Tuan  2a5d6fac-3d91-11e1-97e2-000bcdcb5194 akan merasa kesal  jika ditakdirkan terpaksa bekerja di bawah bakat terbaik yang dibawa dari luar nanti. Manalah tahu bakat tersebut merupakan suami seorang Menteri atau menantu seorang Menteri Besar yang dah kena 'reject'. Semuanya mungkin belaka. Kalau itu berlaku saya harap dia kenanglah entri ini nanti.

2. Saya Hairan. Semua orang tahu, pada masa ini tapisan dan penilaian yang dibuat untuk memasuki PTD adalah sangat ketat. Hanya yang benar-benar terbaik (cream of the cream) yang lulus segala ujian dan tapisan sahaja yang akan terpilih. Di samping itu mungkin majoriti yang memohon juga mempunyai Ijazah Pertama Kelas Pertama bahkan ada yang ada Ijazah Sarjana. Mereka juga kemudiannya dihantar berkursus di INTAN sebelum memasuki perkhidmatan. Kemudian setelah bekerja akan dihantar lagi mengikuti kursus samada di dalam atau diluar negara. Adakah JPA masih tidak yakin dengan bakat pegawai-pegawai  mereka untuk menerajui Kementerian atau Jabatan Kerajaan ? Kalau benar, alangkah malangnya nasib pembayar cukai.

3. Saya Tersenyum. Dia kata "PTD tua saja yang takut dengan bayang2 sendiri bila nak buka jawatan Ketua Perkhidmatan pada orang luar macam cacing kepanasan".  Dia tahu saya sudah pencen. Mengapa pulak orang pencen perlu merasa takut dan jadi macam cacing kepanasan. Adakah dia ingin merujuk kepada diri sendiri ? Jelaslah saya menulis bukan untuk diri saya tetapi saya menulis kerana memikirkan nasib malang pegawai-pegawai muda tak kiralah sama mereka PTD, Guru, Pertanian, IT dll serta pekerja bawahan yang juga turut melibatkan anak, adik serta saudara mara saya yang  berkhidmat dalam kerajaan pada masa ini. 

4.  Saya Sedih. Saya sedih kerana dia menghina PTD tua termasuklah bekas bos-bos dia dulu dan bapa/ibu atau pakcik/makcik dia kalau mereka juga PTD. Sikap PTD seperti dialah yang menyebabkan perkhidmatan lain semakin menyampah dengan PTD.  Lagipun apa kena mengena umur dalam membahaskan isu ini.  Adakah PTD tua atau orang tua tidak boleh memberi pendapat ? Hanya orang yang ketandusan idea sahaja yang biasanya menggunakan umur, bangsa, jantina dalam perbahasan. Selain dari itu saya sangat pasti bahawa  Tuan juga akan tua satu hari nanti. 

Akhirnya silalah baca artikel dalam Berita Harian  hari ini yang "menggemakan" apa yang saya tulis sebelum ini. Saya harap dia juga akan menulis surat kepada Berita Harian mempertikaikan apa yang ditulis oleh saudara Azhar Abu Samah itu.


  
Berita Harian - 14 Januari 2012.
 
.......................................................................................

Sub-Entry: Rekod Kedatangan Dipecahkan.



Sehingga jam 8 pagi tadi iaitu waktu tutup pengiraan, jumlah pengunjung ke blog saya semalam adalah seramai 1,836 orang.  Ini merupakan rekod tertinggi dari segi jumlah kedatangan ke blog saya dalam satu hari. Terima kasih kepada anda semua terutamanya yang sedang membaca catatan ini.




Nota kaki: Hari ini saya melanggar kebiasaan saya tidak mahu menulis perkara yang berat-berat di hujung minggu.