Wednesday, February 27, 2013

WW # 63 : YB MELAWAT KAWASAN.




....................................................................................................................................

Sub-Entry: Tak Banyak Dapat Komen Tak Bermakna Tak Ramai Orang Baca. Kan ?



Entri saya semalam mengenai kenangan saya semasa bekerja di Kedutaan Malaysia di USA cuma mendapat 6 komen sahaja tetapi mendapat 1,347 pageviews  sehingga jam 8 pagi tadi. Terima kasih banyak-banyak kepada semua pengunjung serta pengomen amnya dan pembaca senyap blog saya khasnya di atas sokongan anda semua selama ini.

 Kesimpulannya saya akan meneruskan segmen Tekenang Semasa Dulu kerana ternyata ramai pembaca senyap yang berminat.

Tuesday, February 26, 2013

TERKENANG SEMASA DULU 75 - DI KEDUTAAN BESAR MALAYSIA, USA.

Kali ini saya nak tunjukan beberapa keping gambar kenangan berkaitan tempat kerja saya di Washington D.C dari tahun 1981 hingga tahun 1984. Rasanya inilah pertama kali saya tunjukkan tempat kerja saya di sana.


Gambar 1: Baru sampai dah disambut dengan salji .. tengok tu, seluar pun masih fesyen kembang semangkuk lagi.


Gambar 2: Di hadapan bangunan utama kedutaan Malaysia di USA.


Gambar 3: Keluarga besar kedutaan pada satu sambutan yang diadakan di kediaman rasmi pak duta.

Gambar 4: Di kanan sekali adalah seorang pegawai tinggi kerajaan yang melawat pejabat kami.


Gambar 5: Bergambar ramai dengan pak duta yang duduk di tengah-tengah.



Gambar 6: Ini kerani kawan saya. Merupakan Staf Ambilan Tempatan (LRS) yang berasal dari Malaysia. Dia berbangsa China tapi  cakap Melayunya lebih fasih dari orang Melayu sendiri.


Gambar 7: Kerani ini juga Staf Ambilan Tempatan berasal dari Indonesia. Dia bukan kerani saya tapi kerani kawan saya yang seorang lagi.



Gambar 8:  Ini baru kerani saya. Dia juga merupakan Staf Ambilan Tempatan berasal dari Johor dan berkahwin dengan mat saleh di sini.  Pejabat kami memperuntukkan seorang kerani untuk seorang pegawai. Saya berkongsi bilik dengan kerani saya. Senang kalau nak minta tolong, terus jer cakap nak apa.  Sebenarnya kami kekurangan ruang pejabat. Gambar ini dan gambar 6 dan 7 adalah di saat akhir sebelum saya kembali bertugas di Malaysia - 1984.
 

Gambar 9: Bergotong royong menolak kereta kawan yang terlekat kat salji sewaktu hendak pulang dari pejabat. Kebiasaannya bila musim salji ramai kawan-kawan yang bawa kereta buruk ke pejabat. Kereta cantik tutup dengan kelambu kat rumah.(Yang ini je gambar kitar semula)

Tiga tahun bekerja di USA rasanya sekejap sangat kerana negaranya besar untuk diterokai. Saya rasa banyak juga budaya mereka yang boleh kita contohi. Antaranya menepati waktu, menjaga kebersihan, tidak merosakkan kemudahan awam, beratur untuk menaiki bas atau membeli ikan, kejujuran seperti beli buah atau surat khabar bayar sendiri tak ada orang jaga, memandu secara berhemah, menghormati pendapat orang bila berdebat dan banyak lagi.

Pada masa ditukarkan ke sini, saya baru 3 tahun bekerja dengan kerajaan. Saya rasa  macam 'rusa masuk kampung'  bila mula-mula menjejakan kaki di sini. Semuanya itu kini tinggal kenangan yang indah dan sangat berharga. Banyak juga barang terutamanya pinggan mangkuk yang dibeli di sana masih lagi kami gunakan sehingga ke hari ini. Melihat dan menggunakannya membuatkan saya susah untuk melupakan Amerika lebih-lebih setiap kali melihat anak kedua saya yang lahir di sana.


PERMISSION DENIED !


Padan muka saya.
 Masa blog dia terbuka hari tu tak nak masuk hari-hari.

Sekarang duduklah depan pintu terkulat-kulat sorang-sorang !



Monday, February 25, 2013

KALAU PANDAI MEMINJAM ..



Dulu saya pernah buat entri khusus tentang masalah dan derita orang yang meminjamkan wang, kali ini saya nak cerita masalah orang yang meminjamkan barang atau benda pulak.

Kita bukanlah mengharapkan barang yang kita pinjamkan itu bila dipulangkan makin bertambah baik tetapi biarlah dalam dua keadaan, iaitu:

1.  Dalam keadaan yang munasabah.

Misalnya kalau kita pinjamkan kereta yang minyaknya penuh, maka kita mengharapkan semasa orang memulangkan kereta itu biarlah minyaknya penuh juga. Kita tidaklah mengharapkan tayar kereta kita semakin tebal bunganya masa dipulangkan. Kita pun munasabah juga.

Saya pernah meminjamkan kotak sejuk (cool box) pada seseorang yang ingin berniaga cendol semasa bulan puasa. Bila dipulangkan kepada saya, saya dapati kotak itu penuh lubang sana sini. Rupanya dia memcecahkan air batu menggunakan alat yang tajam (ice pick) seperti gambar di atas dan tentulah ada masanya terbabas dan tercocok dinding dan lantai kotak itu. Akhirnya saya sedekahkan kotak itu kepada dia.

2. Dalam keadaan yang masih boleh dikenali oleh tuannya. 

Misalnya kalau kita pinjamkan tangga, masa dikembalikan nanti janganlah pula tangga itu penuh diselaputi cat sampai kita tak pasti samada itu tangga kita atau tidak. Kes ini juga pernah berlaku kepada saya. Tapi saya terima kembali tangga itu sebab kondisinya masih baik, rupa parasnya sahaja yang tidak cun seperti masa ia dipinjamkan.

Jadinya kalau satu hari nanti kita terpaksa meminjam barang orang, maka ingatlah masa barang itu dipulangkan ia hendaklah berada dalam keadaan yang munasabah dan juga dalam keadaan yang boleh dikenali oleh tuannya yang empunya. 

Nota: Kalau ada yang terlepas membaca entri yang saya sebut dalam intro itu dan berhajat hendak membacanya silakan ke sini.


Saturday, February 23, 2013

PERADABAN MENDEKATI KEHANCURAN.



 Cerita 1: Pembunuhan di sekolah - Amerika.



 Cerita 2:  Pembakaran rumah penduduk Rohingya - Myanmar

 

Cerita 3: Penderaan bayi - Malaysia.

Mari kita renungkan tulisan almarhum Dr HAMKA dalam Tafsir Al-Azhar yang mula ditulisnya menjelang tahun 1960.  Nampaknya kesemua yang ditulisnya pada masa itu (terutama yang saya boldkan) sudah menjadi kenyataan sekarang ini. 

"Walaupun apa nama teori yang dikemukakan dan isme yang diperjuangkan namun hakikatnya hanya satu, yaitu keadilan dan kemakmuran bertambah jauh. Yang merata bukan kekayaan, melainkan kemiskinan. Sebab dasar semuanya itu hanya satu, yaitu memandang bahwa hidup hanya hingga dunia ini saja, Baik politik atau sosial atau ekonomi, atau kebudayaan, atau hubungan kelamin laki-laki dengan kelamin perempuan atau seni sekalipun, atau apa saja kegiatan hiduap, sudah dibatasi hanya di dunia ini saja. Hari perhitungan tidak ada, akhirat tidak ada. Semuanya itu dipandang hanya khayal ahi agama. Yang betul adalah fikiran manusia dan yang betula adalah filsafat hidup dan "Struggle of Life" perbuatan dan perjuangan hidup siapa yang kuat menang dan siapa yang lemah hancur.  Jika hancur tidak ada yang membela lagil. Benar atau salah suatu pendirian bukanlah menjadi pertimbangan. Yang memutuskan adalah kekuatan. Bukan kebenaran. Dan untuk mencapai suatu maksud yang dituju, maka segala usaha untuk mencapai itu adalah halal. Yaitu menurut ajaran Machiaveli.

Tetapi faham-faham seperti ini sudah nyata tidak akan membawa ummat manusia kepada kebahagiaan. Kehancuran mental dan moral, habisnya rasa percaya mempercayai di antara manusia, timbulnya penyakit jiwa yang menyeluruh, hancurnya nilai-nilai budi, dan jatuhnya manusia dari perikemanusiaa kepada kebinatangan di pertengahan Abad keduapuluh ini menunjukkan bahawa peradaban yang tidak percaya kepada hari akhirat ini sudah mendekati kehancurannya. Begitulah di dunia, apatah lagi di akhirat".

HAMKA - TAFSIR AL-AZHAR, JUZUK 7:  SURAH  AL- AN'AM - MUKA SURAT 171.

p/s: saya cadangkan pembaca sekelian membaca entri tentang nasib rakyat Rohingya di Myanmar dalam blog http://www.tokobakso.com/ . Tetapi sebelum itu, saya harus memberi amaran dan peringatan bahawa gambar-gambar yang dipaparkan dalam entri tersebut adalah sangat mengerikan dan mungkin mengganggu perasaan sesetengah orang.

Entrinya adalah di sini.

Setelah melihat kesengsaraan dan penderitaan yang di alami oleh penduduk Rohingya tersebut timbul rasa amat bersyukur di hati saya yang hidup di bumi Malaysia yang bertuah ini. Semoga kita dan anak cucu kita tidak mengalami selama-lamanya apa yang di alami oleh penduduk Rohingya tersebut.

Marilah kita sama-sama mendoakan agar rakyat Rohingya tersebut diberi pertolongan oleh Allah SWT dan di pihak kita pula membantu setakat mana yang boleh mengikut kemampuan kita.

Thursday, February 21, 2013

SPESIS KECERDIKAN.

Sebelum saya mempersembahkan entri hari ini, izinkan saya menyampaikan ucapan ribuan terima kasih kepada sahabat-sahabat berikut yang telah sudi berkunjung serta mengucapkan selamat ulangtahun kelahiran sayha yang ke 59/61 tahun semalam. Semoga Allah juga memberkati kehidupan anda semua.

Nastyna, Amie, smbotak, jeragang, Cik Eka, kasihibu, 4feet8, ahmad humairi, notie, CiKPuaNLawA, yang baik Ishak,Ummiarissa Mahdi, Kakzakie, Encik Anif, hayatunfadzila, Temuk, atie, faraherda.razalan, Zana, my name is lily, Cahaya, pB, Amin A. R, UniMeOw, Azrul Zakuan, Rapunzeel Cikilolo, Bin Muhammad, Aziela, ieda79, Yunus Badawi, aTieYusof Family, nadz, Munnafendy, ilass, || NaFiRaa ||, Takde Maknanye, Ajuya Rashid, Wee Zawiah, makchaq, Aku Bapak, Bearcat, nurbijen, Queenie, zie marziah, onn Lajer, uji6june, Kakcik Nur, Zuhairi Zainal, Norizan J


 .................................................................................................


Entri Hari Ini.


Gambar hiasan: Mahasiswa UM sedang bergumbira di masa senggang - 1977.


Kita tidak boleh dan jangan meramalkan nasib seseorang dengan hanya melihat atau menilai keadaannya semasa kecil.

Jangan sekali-kali kita berkata ..  "budak ni dah besar besok kompon jadi setan".

Kita bukan Tuhan yang menentukan masa depan seseorang. Mungkin seorang budak yang mengong semasa kecil akan menjadi orang yang sangat cemerlang bila dia dewasa kelak atau sebaliknya. Saya sendiri pernah lihat banyak kes seumpama ini.

Dalam konteks ini, saya rasa kecerdikan seseorang itu boleh dibahagikan kepada 4 spesis.

Spesis 1. Masa kecik cerdik dan bila dah besar pun cerdik.
Spesis 2. Masa kecik cerdik tapi bila dah besar tak cerdik.
Spesis 3. Masa kecik tak cerdik tapi makin besar makin cerdik.
Spesis 4. Masa kecik tak cerdik dah bila dah besar pun tak cerdik.


Saya sendiri saya tak tahu saya berada dalam spesis mana, tapi yang pasti saya bukan berada dalam Spesis 1.

Apa-apa pun samada cerdik atau tak cerdik, itu semua adalah takdir dan termasuk dalam perancangan Allah swt belaka yang harus kita redhai.

Agak-agak anda pulak berada dalam spesis mana ?


Wednesday, February 20, 2013

HARI INI UMUR SAYA SUDAH 61 TAHUN.


Kad kertas ucapan selamat hari lahir untuk saya yang Ifa buat sendiri.

Pagi tadi semasa saya bangun untuk sembahyang Subuh, saya terlihat kad ucapan tersebut di bawah pintu bilik tidur saya. Ingat juga Ifa anak perempuan saya akan hari jadi saya walaupun kami selalu gaduh-gaduh.  Entah pukul berapa diselitkannya saya pun tak tahu. Masa saya masuk tidur kira-kira jam 12 malam tadi, benda alah tu belum ada lagi.

Saya lahir pada 20 Februari 1954. Kalau mengikut kiraan bulan orang putih/Masehi, hari ini umur saya masuk 59 tahun. Tetapi kalau mengikut kiraan bulan Islam/Hijrah, hari ini umur saya sudah 61 tahun.  Untung 2 tahun kalau saya kira mengikut tahun Masehi berbanding Hijrah. Jadinya kalau nak insaf, kiralah ikut bulan Islam/Hijrah, tapi kalau nak  rasa lebih muda, kiralah ikut bulan orang putih.



Saya lahir pada 16hb Jamadilakhir 1373 dan hari ini adalah 9hb Rabi'ul  Akhir 1434. Kalau ditolakkan hari ini dengan hari saya lahir, maka dapatlah kiraan umur saya dalam bulan Hijrah

Harapan saya hanya satu iaitu semoga mendapat keredhaan dari Ilahi. Dan cita-cita saya juga hanya satu iaitu mati dalam keadaan beriman. Insya-Allah.



 * Saya pernah menulis mengenai tema yang sama di sini.

Monday, February 18, 2013

TERKENANG SEMASA DULU 74 : MELAYAN TETAMU DARI TANZANIA

Semasa saya bekerja di salah sebuah unit di Jabatan Perdana Menteri pada tahun 90an dulu, saya pernah menjadi salah seorang petugas yang menyambut dan mengaturkan lawatan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tanzania ke Malaysia. Beliau datang membuat lawatan rasmi bersama isterinya beserta seorang pegawai kanan dan seorang pegawai rendah yang menguruskan kemudahan  boss-boss dia.

Antara tempat yang dilawati yang berada di luar Kuala Lumpur ialah Langkawi. Berikut adalah beberapa keping gambar di sekitar lawatan tersebut.


Gambar 1: Disambut dengan muzik tradisional. Adapun lelaki yang ang bercermin mata hitam di belakang sekali itu adalah saya.



Gambar 2: Duduk di hadapan saya di sebelah pegawai perempuan itu adalah pegawai rendah yang saya maksudkan dalam intro di atas. Beliau juga menjadi orang perantara kami.


Gambar 3: Melihat orang membuat kueh karas di perkarangan makam Mahsuri.


Gambar 4: Melawat hotel yang disiapkan kurang dari dua bulan untuk kegunaan tetamu yang menghadiri LIMA yang pertama.


Gambar 5: Di ladang pemeliharaa  biawak  buaya. Cer sebut biawak buaya cepat-cepat sepuluh kali.


Gambar 6: Pengalaman pertama kali menaiki kereta buaya.



Gambar 7: Melawat dan mendengar taklimat di LADA pada 6 Julai 1994.


Gambar 8: Di luar rumah KSN (Tan Sri Ahmad Sarji) sebelum menghadiri majlis makan malam. Saya lihat muka saya hampir 20 tahun dulu berbanding sekarang sikit pun tak berubah. Tetap nampak tua macam itu juga.

Ada dua perkara yang saya nak cerita di sini.

Cerita 1. Semasa di Langkawi sesampainya di hotel, rombongan mereka terus dipersilakan menikmati minuman selamat datang. Saya lihat pegawai rendahnya risaukan nasib beg boss-boss dia dan juga beg dia. Saya kata usah risau, saya akan uruskannya. Mereka cuma ada 3 beg sahaja dan saya kenal beg mana kepunyaaan siapa. Bila sudah tahu bilik masing-masing saya pun meminta pekerja hotel menghantar beg-beg tersebut ke bilik yang berkenaan. Rupanya ini menjadi kehairanan kepada pegawai rendah tadi macamana beg-beg mereka itu boleh masuk ke bilik yang betul.

Cerita 2. Pada majlis makan malam terakhir di rumah KSN kita di KL, kami ternanti-nantu juga kalau-kalau KSN dia mempelawa kami membuat lawatan balas ke negara mereka. Dalam hati saya, kalau ada lawatan balas, tentu saya akan dibawa berasama. Malangnya sampai ke sudah, tiada undangan dari mereka. Hampeh. Hari terakhir saya bertanya kepada pegawai rendah tadi kenapa jadi begitu. Beginilah jawapan dia lebih kurang .. 

"kami sebenarnya malu untuk mengundang tuan-tuan semua ke negara kami kerana kami langsung tidak mempunyai hotel dan juga kenderaan yang baik atau yang agak selesa untuk kemudahan tuan"

Begitulah pandangan orang luar terhadap kita tetapi malangnya ada orang kita yang langsung tidak menghargainya dan menganggap segala kemajuan dan kemudahan yang kita nikmati sekarang ini datang dengan sendiri tanpa ada pihak yang merancang dan mengusahakannya.  

 

Sunday, February 17, 2013

SONYUM SOKOJAP 55 : KISAH CHE WEL.


Gambar hiasan hasil carian Google.

Saya baru mendengar cerita ini semasa bersembang sesama rakan-rakan setaman di pondok operasi RT beberapa minggu lalu. Ceritanya begini ..

Tersebut kisah seorang pesakit mental bernama Che Wel telah memanjat dan berada di atas pokok kelapa dari pagi hingga ke petang. Puas ibubapa, adik beradik, saudara mara serta orang kampungnya memujuk supaya dia turun namun tidak diendahkannya. Selepas letih memujuk, ada seorang mencadangkan supaya dikenakan ugutan.

Setelah dibenarkan oleh keluarga pesakit tadi, orang yang mencadangkan itu mengambil kapak dan berpura-pura ingin menebang pokok kelapa itu. Jangankan takut malah tindakan orang itu ditertawakan oleh Che Wel.

Kemudian ketua kampung mencadangkan supaya dipanggil orang yang sakit mental juga untuk berurusan dengan pesakit mental seperti Che Wel ini. Lalu dipanggillah  Che Ngong yang rumahnya berdekatan untuk menjayakan misi ini.

Sebaik tiba, Che Ngong pun mengeluarkan sebilah pisau cukur dan menjerit  kepada Che Wel yang berada di atas pokok itu ..

 "Baik kau turun sekarang, kalau tidak aku tebang pokok ini" sambil dia menunjukkan pisau cukur yang ada di tangannya. Tetiba Che Wel yang berada di atas pokok itu menggelungsur turun dengan sangat lajunya.

Orang ramai pun tercengang dan salah seorang di antaranya bertanya kepadanya:

"Tadi ada orang nak tebang pokok itu dengan kapak engkau tak takut, tapi bila dia tu nak tebang dengan pisau cukur, kenapa pulak engkau takut sangat ?"

Dengan muka yang bersungguh-sungguh Che Wel menjawab ..

"Che Ngang tu kan ge gila .. orang gila bukan boleh kira sangat"


p/s:  Ada tak sesiapa yang belum mendengar lawak ini ?


Saturday, February 16, 2013

KISAH NASTYNA DAN KTS

Dulu saya pernah ada peminat yang sentiasa membaca dan meninggalkan komen di blog saya. Namanya KTS. Entah apa silap dan salah saya, tiba-tiba dia berhenti melawat dan juga membuat komen.  Mungkin secara tak sedar atau tak sengaja saya ada menyakitkan hati dia. Entahlah.

Baru-baru ini saya mendapat  seorang follower yang gemar membaca entri lama saya dan meninggalkan komen. Namanya Nastyna dan mengikut profil di blognya dia kini menetap di German. Walaupun baru beberapa hari berkenalan di alam maya, dia telah panggil saya Pak Ngah.

Pagi tadi saya buka blog, saya tengok ada 12 komen dia yang terperangkap untuk diluluskan.


Sebenarnya banyak lagi komen dia kepada entri lama saya yang telah saya lepaskan.

Saya minta maaf kepada Nastyna kerana tidak menjawab kesemua komen dia. Walau bagaimanapun dua komennya saya ketengahakan di sini yang ingin saya beri sedikit ulasan atau balasan


Memang semua komen dia dan juga tentunya komen orang lain tidak lepas dari pembacaan saya. Saya juga macam dia, pasti akan respon kalau ada komen yang berupa pertanyaan yang serius.


Kesian kat suami dia sampai jam dua pagi masih lagi membaca blog saya. Dia kata dia kena translate entri saya kepada suaminya. Saya agak suaminya tentu bukan orang Malaysia.

Terima kasih Nastyna.

Thursday, February 14, 2013

PENANGAN BUSUK.

Salah satu tempat untuk ping blog secara percuma ialah di busuk.org. Saya selalu ping blog saya di sana. Ternyata ia telah berjaya meningkat dan mengekalkan trafik ke blog saya walaupun pada hari-hari yang saya tidak buat entri baru.


Cetakan skrin busuk.org yang menyenaraikan entri-entri pilihannya.


Semalam blog  saya dilawati oleh lebih seribu pengunjung. Ia adalah gara-gara busuk.org yang telah menyenaraikan sebuah entri saya yang bertajuk "MENGAPA SAYA TENGOK BOLA WALAUPUN SAYA TIDAK MINAT BOLA" dalam segemen 'artikel pilihan busuk'. Saya terperanjat seronok kerana entri itu saya buat pada tahun 2011.


cetakan skrin menunjukkan bilangan pengunjung ke blog saya.


Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada pentadbir busuk.org kerana memilih salah sebuah entri saya untuk disenaraikan di bawah artikel pilihan busuk.



Kepada anda semua (bagi yang masih belum), cubalah ping entri anda di busuk.org dan lihatlah hasilnya.

Tuesday, February 12, 2013

FERRARI PUN TERSANGKUT JUGA BILA JALAN SESAK.

Entri kali ini ringan sahaja. Cuma sekadar nak mengemaskini blog. Hari Sabtu lepas, saya hadir dua kenduri kawin. Satu di taman perumahan saya dan satu lagi di Dengkil bersebelahan Wetlands.


Gambar 1: Bergambar dengan pengantin, ibubapanya dan sahabat lama. Macam biasa Makngahnya tak dapat pergi kerana menjaga bapanya . Taman Arked, Dengkil.

Dah lama saya dengar nama Wetlands, baru kali ini sampai. Boleh tahan cantiknya dan berpoteni untuk di majukan oleh usahawan yang kreatif dan inovatif.



Gambar 2: Di perkarangan kompleks Paya Indah Wetlands, Dengkil. Cuma sempat bergambar tapi tak sempat meneroka.

Hari Ahad semalam pula saya ke Pusat Komuniti, Taman Koperasi Polis, dekat Batu Caves. Dari rumah saya ikut Lebuhraya LEKAS. Jalan menghala ke KL, lengang.  Bila mendekati kawasan Cheras dan memasuki Jalan Lingkaran Tengah (MRR), jalan mula sesak. Saya lihat sebuah Ferrari pun ikut tersangkut dalam kesesakan. Walau pun harganya mungkin lebih RM 1 juta, tapi bila menempuh jalan yang sesak, dia pun tak boleh buat apa. Sama sahaja nasibnya dengan kereta yang bukan Ferrari macam kereta saya.

Saya tak bawa kad jemputan sebab entah letak kat mana. Main redah jer. Setelah bertanya 3-4 kali, akhirnya saya sampai juga ke dewan itu. 

Saya suka pergi kenduri kenduri kawin yang diadakan di rumah atau di dewan yang bila sampai boleh terus makan. Tak perlu tunggu makan bersama-sama dengan orang lain macam kenduri kat hotel besar-besar. 


Gambar 3: Masa pengantin bersanding, tetamu dah ramai yang balik. Itulah nasib pengantin kalau kenduri kawin  makan tak serentak - Pusat Komuniti, Taman Koperasi Polis, Batu Caves.

Saya pernah buat satu entri mengenai "kemalasan" saya kalau kena pergi kenduri kawin kat hotel besar. Saya baca semula entri tersebut dan tersenyum sorang-sorang. Kenapa sekarang ini saya tak ada idea nak menulis macam itu lagi. Mungkin demam belum kebah sepenuhnya lagi kot. 


Friday, February 8, 2013

MATI SYAHID PUN BELUM TENTU MASYUK SYURGA.

 
Gambar hiasan - hasil carian Google.


Syarat utama kepada ibadat kita diterima dan mendapat pahala dari Allah swt adalah ikhlas. Lawan kepada ikhlas ialah riak. Adalah amat sukar untuk mencapai status mukhlisin dalam beribadat kerana iblis sentiasa menggoda kita dengan pelbagai tipu helah sehingga hari kiamat.

Saya terjumpa sebuah hadis yang agak panjang yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah seperti berikut:

Dari Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w bersabda:

Yang pertama kali diseru pada hari kiamat adalah orang yang menghafal al Quran, orang yang mati syahid dan orang kaya.

Kepada orang-orang yang menghafal al Quran, Allah berfirman: "Apakah Aku tidak mengajar kamu membaca al Quran yang Aku turunkan kepada RasulKu?"

Jawab mereka: "Tentu sahaja, ya Tuhanku"

Firman Allah seterusnya: "Untuk apa ilmu yang engku miliki itu?"

Jawab mereka: "Saya amalkan dan saya kaji siang dan malam"

Firman Allah lagi: "Engkau dusta!"

Para Malaikat juga berkata: "Kamu dusta!"

Firman Allah: "Sebenarnya engkau ingin mendapat pujian dari orang ramai bahawa engkau seorang qari. Maka cukuplah pujian ramai sebagai pahala untukmu"

Sekarang, giliran orang kaya pula dihadapkan kepada Allah.

Firman Allah: "Apakah Aku tidak memberi kekayaan kepada mu, hingga engkau tidak memerlukan sesiapa pun?"

Jawabnya: "Tentulah ya Tuhanku. Hamba telah mendapat kakayaan dariMu".

Seterusnya Allah berfirman: "Engkau gunakan kekayaan yang Aku berikan itu untuk apa?"

dia menjawab: "Saya gunakan untuk bersilatulrahin dan bersedekah"

Maka Allah berfirman: "Engkau berdusta!"

Firman Allah seterusnya: "Sesungguhnya engkau ingin mendapat pujian sebagai seorang yang pemurah. Nah, ambillah pujian itu sebagai bahagian untuk mu"

Kini, tiba giliran yang yang mati syahid dihadapkan kepada Tuhan.

Allah berfirman: "Apa yang engkau lakukan selama di dunia?"

Jawabnya: "Saya diperintahkan untuk turut serta dalam perang sabil dan perintah itu saya turuti hingga saya mati dalam peperangan itu"

Firman Allah: "Kamu dusta!"

Kemudian Allah berfirman: "Sebenarnya engkau hanya ingin dipuji sebagai seorang pahlawan yang berani dan pujian itulah bahagian untukmu".

Kemudian Rasulullah menepuk lututku sambil bersabda: "Ya Abu Hurairah, mereka itu adalah orang-orang yang mula-mula sekali merasakan panasnya api neraka".


Sungguh-sungguh hati saya merasa kecut bila membaca hadis ini. Rasa-rasa macam tiada peluang untuk masuk ke syurga memandangkan orang yang mati syahid, dermawan dan qari pun dihumban ke dalam neraka kerana riak apalagi saya yang tidak pernah sunyi dari melakukan pelbagai dosa. Hanya rahmat, keampunan dan belas kasihan Allah sahaja yang saya harapkan untuk mendapat ridhaNya.

Sumber: Minhajul Abidin - Wasiat Imam Ghazali. Victory Agencie. Mukas surat 393 -395.


.......................................................................................................................................

Thursday, February 7, 2013

DERITA ALAHAN.



Gambar 1: Status saya di fesbuk pada hari Isnin lalu. Terima kasih kepada semua yang telah mendoakan saya agar segera sembuh.


Sehingga hari Jumaat 2 minggu lepas saya sudah tak sedap badan selama seminggu - batuk bertalu-talu-talu, tekak sakit, letih dan tak ada selera nak makan. Saya gagahkan juga pergi ke Manjung ke rumah abang ipar saya yang menerima menantu (lelaki) buat buat kali pertama. Dari Seremban ke Manjung, Makngahnya yang memandu.  Dah sampai sana kenalah ikut aturcara orang sana. Tak kan nak duduk saja.

Dalam pada itu sempat juga curi-curi pergi memancing kat jeti Lumut. Dapat sekor Ikan Tetanda pun sudah dapat melepas gian yang selama ini terpaksa di bendung.



Gambar 2: Ikan ini walupun kecil, tapi kuat melawan. Aktiviti sebelah pagi 27/1.



Gambar 3: Dengan pasangan pengantin baru pada sebelah petangnya. Lelakinya orang Kuala Pilah ( 2-0 ).
 

Balik  ke Seremban pada hari Isninnya saya gagahkan juga memandu separuh jalan. Sampai rumah saya pergi klinik lagi sekali. Habis ubat sakitnya masih begitu juga. Pagi Jumaat minggu lepas (1/2/2013), batuk saya berdarah. Saya terus pergi ke klinik. Setelah dibuat xray, saya dikenalpasti mengidap radang paru2 dan disuruh masuk hospital untuk rawatan rapi. Maka mulai petang Jumaat lepas saya masuk hospital swasta berdekatan rumah hinggalah keluar kelmarin - 6/2/2013.

Nak jadikan cerita tak lama selepas dimasukan ke hospital, saya telah disuntik dengan antibiotik. Tak sampai 5 minit saya telah diserang alahan yang sangat teruk. Badan rasa terbakar, nafas tersekat-sekat, seluruh anggota menggeletar dan gatal yang amat sangat. Saya rasa masa itu seolah-olah sudah berada di hujung nyawa. Kelam kabutlah kakitangan hospital berusaha merawatnya. Selepas kira-kira satu jam setengah barulah saya rasa lega sikit. Nasib baiknya masa kena alahan tu, saya sudah berada dalam wad.

Selepas itu bermulalah rawatan penyakit broncitis saya dengan pelbagai kaedah. Ada ubat dimasukkan melalui suntikan, nebolizer (sedut), telan dan juga fisio. 

Alhamdulillah setelah berada dihospital selama  6 hari 5 malam, saya telah dibenarkan keluar.



Gambar 4: Saya ditempatkan di sini - tingkat 2. Gambar sebelum balik petang semalam.

Selama 6 hari di hospital, tugas menguruskan rumahtangga terpikul dibahu Makngahnya seorang diri dan nampaknya dia telah berjaya menjalankannya dengan cemerlang. Syabas !

Masa ini sakit baru pula timbul untuk melunaskan bayaran bil hospital.


Akhirnya terimalah serangkap pantun dari saya di sini.