Sunday, December 13, 2015

AKHIRNYA KU TINGGALKAN PERLIS YANG INDAH KHABAR DAN RUPA.

Saya berpindah duduk di Perlis pada 25/3/2014 kerana menemani Mak Ngahnya menjaga bapanya yang sangat uzur. Cerita lanjutnya ada DI SINI. Dua orang anak saya (Ifa dan Iqal) yang masih bersekolah menengah juga saya pindahkan ke sini. Hari ini adalah hari terakhir kami berada di negeri Perlis yang indah dan permai ini.

Dari masa ke semasa saya ada update blog saya dengan cerita-cerita saya duduk di Perlis. Entri yang ini bolehlah dianggap penyudah atau kesimpulan pengalaman saya tinggal di Perlis.

Banyak kenangan manis dan ada juga yang sedih atau kurang enak sepanjang tempoh saya tinggal di negeri ini selama kira-kira satu tahun delapan bulan.  Saya mulakan dengan kisah sedih atau kurang enak dahulu. Tak banyak, cuma dua sahaja.


Gambar 1: Ayah mertua saya pergi buat selama-lamanya pada 19/2/2015.  Inilah pusara tempat bersemadinya arwah bapa mertua saya. Semogo rohnya tenang di sana bersama-sama roh para solihin. Di pusara inilah juga arwah isterinya atau arwah ibu mertua saya turut bersemadi.


Gambar 2: Satu peristiwa yang kurang enak pula ialah bila Makngah terlibat dengan kemalangan pada 15 Januari 2015. Itulah pengalaman pertama dia dan juga saya menguruskan kenderaan yang ditimpa musibah. Saya anggap ini adalah musibah kecil untuk mengelakkan musibah yang lebih besar.

Seterusnya saya nak cerita pulak perkara yang indah-indah dan baik-baik pula.

 

Gambar 3: Betullah apa yang dicoretkan dalam Utusan Malaysia bertarikh 26/1/2015 ini. Memang Perlis negeri yang indah khabar dan rupa.

 

Gambar 4: Inilah Sungai Santan yang terletak selang dua buah rumah dari rumah saya tinggal. Pada musim mengail ikan, ramai orang kampung terutama wanita memancing ikan di sungai ini.


Gambar 5: Di tebing Sungai Santan yang dibarisi pokok-pokok jati ini juga merupakan laluan jogging saya di kala ada mood dan kesihatan mengizinkan.


Gambar 6: Berurusan dengan Jabatan kerajaan juga cepat. Terbaru saya ada update status saya di fesbuk tentang pengalaman buat paspot anak perempuan saya seperti cetakan skrin di atas.




















Gambar 7: Untuk mendapatkan tempat letak kereta juga tidak sulit. Contohnya saya dapat meletak kereta betul-betul di hadapan sebuah bank dan ada dua petak lagi yang masih kosong. Masa itu saya ingat lebih kurang jam 10 pagi. Tak perlu berpusing-pusing mencari tempat letak kereta dan letak pun percuma.


Gambar 8: Saya sudah tentu akan miss capati daging yang secukup rasa. Kerap juga kami minum pagi di sini kerana harganya yang munasabah, layanan yang mesra dan cepat di samping rasanya sentiasa berada dalam jangkaan saya.


Gambar 9:  Umumnya harga makanan di sini secara relatifnya lebih murah dari Seremban. Tapi ada juga kueh atau masakan kegemaran saya yang tidak ada jual di sini dan kalau ada pun rasanya tidak sama.


Gambar 10: Sesi belajar mengaji al-Quran pasti akan terlekat di ingatan saya kerana saya mendapat beberapa ilmu baru yang sebelum ini tidak saya ketahui. Kelasnya diadakan selepas sembahyang Isyak' di masjid. Murid-muridnya kurang dari 10 orang walaupun jemaahnya hari Jumaatnya mencecah 3-4 ratus orang. Biasalah.


Gambar 11: Anak bongsu saya  Haiqal (di kiri sekali) dengan sebahagian dari kawan-kawan sedarjahnya. Tetapi selepas hampir dua tahun tinggal di sini, dia masih tidak pandai cakap Perlis.


Gambar 12:  Pengalaman banjir selama kira-kira seminggu yang mengganggu sedikit keselesaan hidup saya. Kereta saya terpaksa ditumpangkan di rumah jiran di kawasan yang lebih tinggi. Pernah Menteri Besar Perlis datang melawat mengharung air menghantar bantuan bahan makanan kepada kami. Segan juga nak terima tapi kami terima juga sebab tak nak mengecilkan hati dia yang susah payah datang.


Gambar 13: Inilah gambar hadapan rumah saya yang walaupun kecil berbanding dengan rumah yang lebih besar, tetapi saya cukup seronok dan selesa tinggal di sini sejak berpindah dari kuarters di Putrajaya kira-kira 10 tahun lalu



Gambar 14: Ini pula gambar belakang rumah saya di Seremban - pandangan dari bilik tidur saya. Seronok duduk di sini kerana angin dari Bukit Putus bertiup tidak putus-putus.


Video banjir yang sempat saya rakam betul-betul di depan rumah saya. Macam pesta muda mudi.


Gambar 15: Kebetulan hari ini 13 Disember adalah hari ulang tahun kelahiran Ifa anak perempuan bongsu saya. Selamat ulangtahun kelahiran Ifa. Semoga menjadi anak yang solehah
 Dia baru selesai menduduki peperiksaan SPM pada 7hb yang lalu. Ayah doakan Ifa beroleh kejayaan dalam peperiksaan tersebut untuk mara ke fasa seterusnya yang lebih mencabar
Tentunya pembaca boleh meneka yang mana satu anak saya. Dia tu tidaklah rendah sangat tapi mat dan mek saleh tu yang tinggi sangat.


Gambar 16:  Saya tidak mampu menipu perasaan. Sebagai seorang atuk, saya sangat teruja untuk bertemu dengan ke empat-empat cucu saya ini dan seterusnya bersama-sama dengan mereka seperti sebelum ini. 
 
Sekejap lagi saya akan bergerak balik ke Seremban. Saya memohon dari anda semua yang  membaca coretan ini agar sudi apalah kiranya mendoakan keselamatan perjalanan kami sehingga sampai ke destinasi. Terima kasih banyak-banyak. Lepas ini saya akan mula bersiaran dari Nogori Sembilan pulak. Insyaallah.



Sunday, December 6, 2015

SONYUM SOKOJAP 75: OSMAN KANTOI CURI MOTORSIKAL.



 Gambar hiasan hasil carian Google.

Pada suatu lewat malam, seorang ayah telah dipanggil datang ke balai polis untuk menjamin anaknya yang tertangkap kerana mencuri sebuah motorsikal.

Dia sangat kesal, geram dan marah dengan perbuatan anaknya yang sangat memalukan dia. Sesampainya di balai, dia terus menerpa kearah anaknya sambil dengan suara yang tinggi, mengherdik anaknya ..

"Ayah tak pernah ajar Man buat kerja-kerja macam ni tau tak" ?

Tetiba ada seorang mamat yang juga kena tangkap atas kes yang lain menyampuk .. 

"Patutlah dia kena tangkap Pak Cik .."

Sambil memandang dengan tajam kepada budak itu sang ayah bertanya dengan nada suara ingin tahu.

"Kenapa pulak awak cakap macam tu ?" 

Dengan selamba mamat tu menjawab .. 

"Ye lah .. Pak Cik tak ajar dia .. kalau pakcik ajar cara-cara curi motor mungkin anak pakcik tak kena tangkap".

Kemudian meletus ketawa dari orang-orang yang sedang berada di situ.


Monday, November 30, 2015

ADAKAH BLOG SEDANG MENUJU KEPUPUSAN ?

Saya perhatikan ramai sahabat di bloglist saya yang tidak lagi aktif berblog atau mungkin juga sudah berhenti terus. Ada yang sudah lebih 2 tahun tidak buat entri baru. Dulu-dulu blogger seperti KTS, PCL, Yunus Badawi, Yus, Tijah misalnya adalah di antara blogger yang sangat aktif dan entri mereka  dinanti-nanti dan mendapat sambutan pembaca.

Apakah yang menyebabkan mereka tidak aktif atau berhenti berblog, saya pun kurang pasti. Apakah sudah jemu, bosan, hilang minat, sakit hati atau pun kecewa ? Entahlah.


Inilah cetakan skrin senarai blog yang sudah tidak aktif lagi atau berhenti berblog. Walaupun mereka telah tidak lagi aktif berblog, namun saya tetap mengekalkan (buat masa ini) link mereka dalam bloglist saya dengan harapan suatu hari nanti mereka bertemu jalan kembali.

 
Kepada sahabat blog yang lain yang masih aktif seperti Kakcik, Gedek, LM,  Kakzakie, Daddy Ziyyad teruskanlah berblog.



Friday, November 27, 2015

JANGAN BELASAH SASPEK IKUT SUKA.



 Gambar hiasan hasil carian Google. Kelihatan berpuluh-puluh bilah pisau tertusuk di badan suspek.


Kadang-kadang saya rasa nak turut sama melepuk suspek yang dipercayai peragut, pencuri atau perompak yang berjaya ditangkap oleh orang ramai. Kasi ajar sikit sama dia. Tapi saya tidak berbuat begitu kerana khuatir akan dua perkara.

1. Kalau dia tidak bersalah kerana mungkin berlaku salah faham. 

Saya pernah terbaca dalam akhbar kisah seorang lelaki yang disangka pencuri telah dibelasah hingga mati oleh penduduk di sebuah taman perumahan kerana kelakuannya yang mencurigakan. Sedangkan orang itu hanya datang ke tempat itu untuk mengunjungi rumah seorang janda yang tinggal di tempat tersebut. Sudah tentulah orang yang sudah beristeri akan berkelakuan mencurigakan kerana dia tidak mahu orang tahu perbuatannya itu. Penduduk taman berkenaan mengambil tindakan demikian kerana sering berlaku kejadian curi dan pecah rumah di situ.

2. Macamana henak tetapkan hukuman yang setimpal. 

Saya bimbang hukuman kita tidak setimpal dengan kesalahan yang dia lakukan. Kalau didapati bersalah oleh mahkamah, dia akan dikenakan hukuman penjara atau sebat atau denda setimpal dengan kesalahannya selepas melalui proses perbicaraan. Tetapi jika kita buat hukuman sendiri secara beramai-ramai, silap-silap budak yang curi duit RM14 kena belasah sampai mati sedangkan kalau di mahkamah mungkin dia dikenakan amaran atau berkelakuan baik untuk suatu tempoh tertentu sahaja.

Kesimpulannya janganlah kita melaksanakan undang-undang ikut suka hati sendiri kerana bila sudah ramai-ramai, tentu ada yang membuat provokasi dan mengapi-apikan perasaan yang mungkin menyebabkan keadaan tidak terkawal. Biarlah pihak berkuasa menguruskannya agar terhindar kejadian di mana orang yang tidak bersalah menjadi mangsa dan penjenyah pula dihukum dengan adil setimpal dengan kesalahannya.

 

Wednesday, November 25, 2015

APA KELEBIHANNYA KALAU KITA MENDAPAT BANYAK G+1 ?


Cetakan skrin yang menunjukkan saya mendapat 5,962 G+1

Sesungguhnya saya tidak tahu apa kelebihannya kalau entri kita mendapat banyak G+1 dari pembaca. Baru-baru ini semasa saya mencari sebuah entri lama untuk sesuatu sebab, secara tak sengaja saya ternampak satu entri lama saya mendapat sebanyak 5,962 G+1.

Selama ini saya tak kisah pun tapi bila melihat entri itu mendapat hampir 6 ribu G+1, saya curious juga nak tahu kebaikannya. Adakah ia akan menambah hasil Nuffnang misalnya ?

Angka 5,962 itu juga sentiasa berubah dari masa ke semasa. Kejap bertambah, kejap berkurang.  Ini pun saya tak faham kenapa jadi begitu.

Tolonglah kalau ada sesiapa yang tahu beri sedikit pencerahan. Terima kasih.


Entri saya yang mendapat hampir 6k G+1 berada di sini.



Monday, November 23, 2015

KALAULAH GIGI TAK BERHENTI BERTUMBESAR !



Pemegang rekod Guiness dalam kategori kuku terpanjang pada sebelah tangan.

Umumnya kita belum ada gigi semasa kita dilahirkan.
Kemudian ia beransur-ansur tumbuh dan panjang hingga sampai satu masa ia akan berhenti bertumbesar (growing).
Sebaliknya pula, kuku kita pula sudah ada dan lengkap sifatnya sejak kita dilahirkan. Ia semakin hari semakin panjang tanpa henti hingga terpaksa dipotong dari masa ke semasa kecuali kita nak jadi macam Shridhar Chillal orang dalam gambar hiasan kat atas.

Sekarang cuba bayangkan kalau gigi kita kita macam kuku. Tak berhenti bertumbusar setiap hari.
Teruklah kita kena potong gigi kita dari masa ke semasa.
Kalau tidak dipotong, anda bayangkan sendiri rupa wajah kita.
Sebagai gambaran, cuba bayangkan gigi anggota TLDM yang membuat operasi dan terpaksa berada di lautan selama 5-6 bulan yang tiada kemudahan untu memotong gigi, bila mereka kembali ke darat. Mungkin macam gambar kat bawah kot .. hehe.

 
Subhanallah. Bijaksananya Allah mengatur.


Monday, November 16, 2015

BAHASA MELAYU TIDAK PERLIK TAPI UNIK # 7 - ROTI TELUR.



 Roti telur hasil carian Google.


Bahasa Melayu tidak pelik tapi unik.
Roti telur maknanya telur tu telur ayam. Bukanya telur itik atau telur ikan walaupun telur itik dan telur ikan pun telur juga.

Bila ada orang ajak kita makan nasi, tentulah termasuk lauk sekali. 
Takkanlan makan nasi sesaja. Jangan bimbang.

Lauk daging, maksudnya daging tu daging lembu bukannya daging rusa atau daging arnab walaupun daging rusa dan arnab pun daging juga.

Jadi ada perkataan atau istilah yang terus boleh difahami walaupun perkataan itu boleh membawa pelbagai makna kepada orang yang diluar lingkungan budaya penuturnya. 

Jadi adalah pelik kalau kita order roti telur, kita cakap "roti telur ayam" kepada pembuatnya.

Sama peliknya jika penjualnya tanya telur apa bila kita order roti telur.

Lainlah kalau dia nak bergurau. 

 p/s: Google pun tahu rupa roti telur bila kita Google. Hehe.

Friday, November 13, 2015

TERKENANG SEMASA DULU 89 - RONDA-RONDA SEKITAR WASHINGTON D.C, DI MUSIM TAK SEJUK.


Gambar dalam simpanan saya masa kat Amerika pun dah ngujung-ngujung. Begitu juga minat nak berblog-blog pun dah turut mengujung. Orang yang nak baca pun dah kurang dan nak komen pun dah tak ada. Contohnya entri saya sebelum ini tak ada siapa pun komen. Huhu.

Kali ini saya nak kongsi gambar kami ronda-ronda di sekitar Washington D.C di musim panas yang saya rasa belum pernah tersiar. Tetapi kalau ada gambar yang sudah tersiar, saya mohon maaf. Saya memang lemah dalam bab indeks-mengindeks gambar dalam simpanan.

Saya suka musim panas walaupun suhunya kadang-kadang melepasi 40 darjah calcius sebab masa siangnya panjang. Dekat pukul 10 malam baru nak gelap. Bagi kaki pancing macam saya, musim ini saya manfaatkan sepenuhnya.

Orang-orang sini pulak cukup ceria bila tiba musim panas. Mereka seronok bermandi cahaya matahari kat tepi pantai, taman-taman dan juga kat kawasan rumah sendiri. 



Gambar 1: Struktur yang macam pensil tegak kat belakang kami tu namanya adalah Menara Washington.  Nampak tak ?

 

Gambar 2: Tugu siapa ntah. Main ambil jer gambar.


Gambar 3 Kalau tengok tiangnya, saya rasa ini bukan rumah orang.

 
  
Gambar 4: Cantik tak rambut makngahnya ? hehe


Gambar 5: Macam orang tak bertegur sapa je gayanya.


Gambar 6:  Agaknya anak sulung saya cuba melarikan diri dari ibunya.


Gambar 7: Saya rasa loceng tu kalau kat Malaysia harus hilang kena curi dek mat lalok.
  
 

Gambar 8: Saya pun dah lupa apa yang ada kat dalam bangunan tu. Sayang sekali saya tidak mencatit butirannya di belakang gambar pada masa itu. Ingatkan saya boleh ingat bila tengok gambar.
 

Gambar 9:  Bangunan yang ini pun saya tidak tahu namanya.  Apa-apa pun saya suka dan saya kagum dengan seni binanya yang mewakili senibina dulu-dulu. Bangunan sekarang pun cantik juga, tapi kurang keseniannya. Mungkin nak cepat siap atau dari segi faktor kegunaan praktikal dan harganya.

Begitu lama sudah berlalu, kini dua orang anak saya dalam gambar-gambar tersebut sudah berumah tangga. Yang sulung sudah beranak dua. Dan yang ke dua, masuk anak ke dua dan Insyaallah bulan Disember ini bertambah seorang lagi cucu saya.



Wednesday, November 11, 2015

WW # 130: DIHANTUI KEBIMBANGAN.


Friday, November 6, 2015

CONTOH KATA-KATA PENYEDAP BICARA.


Bulan pun nampak dekat pada penglihatan mata kasar kita.

Kadang-kadang kita dengar orang berkata-kata yang mana kata-kata tersebut tidak membawa makna yang jelas dan konklusif, tidak boleh dipegang atau pun mengelirukan. Contohnya:

"Saya akan pastikan masalah yang sama tidak akan berulang pada masa hadapan"


Kalau masalah itu berulang juga, kata-kata yang serupa akan berulang lagi.

"Walaupun saya seorang peragut, saya juga ada maruah"

Jadi maruah itu apa maksudnya ?

"Walaupun saya sering memukul isteri saya, itu tidak bermakna saya tidak sayang kepada dia"

Agaknya kalau dia betul-betul dah tak sayang lagi, entah macamana pulak dia buat kepada isteri dia.
 
"Projek itu akan disiapkan dalam masa yang terdekat" 

 Dekat itu berapa lama ? 3 minggu, 3 tiga bulan atau 3 tahun ? 

"Walaupun saya tidak pernah menderma atau bersedekah, itu tidak bermakna saya kedekut"

Mungkin dia tak kedekut untuk perkara-perkara lain. Bersangka baiklah.

  "Walaupun saya tak pernah balik ke kampung menjenguk ibu bapa saya, itu tidak bermakna saya sudah melupakan mereka"

Mungkin dia sibuk sangat kot. Sekali lagi, bersangka baiklah.





Wednesday, November 4, 2015

WW # 129: RUPANYA SELAMA INI SAYA SYOK SENDIRI ..

Tuesday, October 27, 2015

CARA TERSEMBUNYI NAK BERITAHU ORANG KITA DAPAT DATO'.

 Gambar hiasan hasil carian Google.


Terlebih dahulu saya minta maaf jika ada yang terasa hati dengan entri saya ini. Saya tidak langsung berniat untuk menyakitkan hati sesiapa. Tiada nama sesiapa pun saya sebut. 

Tahniah kepada mereka yang mendapat gelaran Dato' baru-baru ini. Tentulah banyak jasa bakti yang telah dicurahkan hingga mendapat pengiktirafan sedemikian tinggi.

Kebanyakan kenalan saya yang menerima darjah kebesaran ini tidak menghebahkanya kepada umum. Cuma keluarga dan rakan rapat sahaja yang tahu. Kita cuma tahu bila ada kenalan rapatnya beritahu atau terlihat nama atau gambarnya keluar kat surat khabar.

Bagi yang sudi berkongsi kegembiraan dengan rakan-rakan mereka, kadang-kadang lucu juga membaca ayat yang mereka gunakan dalam fesbuk, wasap atau sms mereka.

Saya pernah terjumpa dalam fesbuk, wasap atau sms tulisan seperti berikut ..

1. Beritahu yang dia baru dapat Dato' buat kali pertama. 

"Alhamdulillah syukur dan terima kasih banyak-banyak kerana berkat doa sahabat semua saya telah dianugerahkan gelaran Dato' sempena keputraan Sultan Negeri Antah Berantah baru-baru ini". 

(Sepanjang ingatan saya, tak pernah pun doakan dia dapat Dato')


2. Beritahu dia dah banyak kali dapat Dato'.

"Setelah 7 kali saya mendapat gelaran Dato' dari pelbagai negeri, inilah kali pertama saya menerimanya tanpa ditemani oleh isteri tersayang kerana beliau terpaksa dimasukan ke hospital malam tadi kerana diserang sakit batuk dalam perut" 

(Nasib baik dia beritahu. Kalau tidak saya ingatkan dia baru 6 kali dapat Dato')

Paling buat saya tersenyum ialah peristiwa hampir 10 tahun yang lalu. Ada seorang pegawai khas menteri dapat gelaran Dato'.  Umur dan gred jawatannya jauh lebih rendah dari saya. Saya pun tak pasti macamana nak panggil dia sebab sebelum ini saya panggil dia nama atau awak sahaja dan dia pula memanggil saya encik. Lalu saya tanya dia ..

"Kena panggil dato' juga ke"


Nak tahu apa dia jawab ?

"Saya tak kisah. Cuma bimbang Tuanku murka nanti".

Dalam hati saya terketawa. Tapi ada juga betulnya. Sebab penat-penat je tuanku bagi darjah kebesaran tapi orang tak hormat.


Sekali lagi saya minta maaf kepada yang terasa. Tiada langsung niat saya nak mempersenda cuma saya gemar memerhati gelagat manusia. Lagipun apa yang mereka tulis atas cakap itu tidak ada yang salahnya, cuma saya sahaja yang gatal-gatal tangan buat entri ini.




Tuesday, October 20, 2015

KERETA TERPAKAI MILIK SIAPA ANDA MAHU BELI ?




Saya suka tengok iklan kenderaan untuk dijual di applikasi Mudah.my atau Motor Trader kat henfon. Hari-hari mau tengok, walaupun sekejap. Sambil tengok sambil berangan-angan. Macam ketagih pulak. Memang saya ada bercadang nak tukar kereta kerana kereta sekarang dah berusia lebih 10 tahun dan sering terbatuk-batuk. Insuran pun dah kena "loading".

Saya tertarik dengan bahasa dan teknik pengiklanan yang dibuat oleh para penjual. Selain dari menceritakan kebaikan dan kehebatan kenderaan yang ingin dijual, ia juga turut menyatakan siapa pemiliknya. Antara pemilik yang sering saya lihat dinyatakan ialah milik seorang wanita, doktor, dato'. 

Saya pun tak pasti adakah kalau kereta itu dimiliki oleh doktor misalnya, ia mesti kereta yang sihat. Apakah kalau kereta yang dimiliki oleh seorang Dato' itu, tak pernah alami kemalangan.

Dan saya lagi tidak pasti mengapa pengiklan menyatakan milik serang wanita ?


Saya nak tanya, kalau anda nak beli kereta terpakai, kereta milik siapakah pilihan anda ?

a. Wanita,
b. Doktor,
c. Dato' (atau Tan Sri).
d. Lain-lain ( eg.Imam, Mudim dsb)


Entri ini berkaitan dan saya sangat syorkan untuk di baca walaupun penulisnya bukan seorang Dato'.




Tuesday, October 13, 2015

NAMA MALAYA TERKENAL SAMPAI KE AMERIKA ?

Malaya adalah panggilan British kepada nama Tanah Melayu. Kalau disebut Malaya, maknanya Tanah Melayulah tu. Tahu tak, nama Malaya bukan sahaja terkenal di sekitar nusantara tapi sudah lama sampai ke USA. 
 
Tak percaya, mari saya buktikan. Kat USA ada seorang penyanyi wanita yang agak popular bernama Malaya. Sila tengok videonya di bawah.


Malaya Watson yang baru berumur 18 tahun, adalah seorang penyanyi dari Southfield, Michigan. Dia mendapat tempat ke lapan dalam pertandingan American Idol musim ke - 13 yang lalu. Sumber - Wikipedia.


Di bawah saya buat cetakan skrin mengenai Malaya Watson untuk sesiapa yang ingin mengenali beliau dengan lebih lanjut.

 

Ada juga nama sebuah majlis perbandaran di negara republik Indonesia yang bernama Tasikmalaya. Jangan pulak kita sibuk-sibuk marah kat Indonesia kerana mengambil nama Malaya bahkan sepatutnya kita berbangga dan juga menginsafi bahawa betapa akrabnya hubungan kita dengan mereka dalam wilayah nusantara ini.



Bukan sahaja di USA, duta besar Filipina ke Malaysia pada masa ini juga bernama Malaya. Mungkin ramai lagi yang bernama Malaya di Filipina.

.
J Eduardo Malaya - Duta Besar Filipina ke Malaysia.


Setem Malaya bernilai 30 sen yang memuatkian peta
Persekutuan Tanah Melayu.

Begitulah serba sedikit tentang Malaya untuk pengetahun anda. Semoga ia ada manfaatnya. Sekian.
 

Friday, October 9, 2015

ALA .. SUNAT JE.

 Surah Al-Isra


وَمِنَ ٱلَّيۡلِ فَتَهَجَّدۡ بِهِۦ نَافِلَةً۬ لَّكَ عَسَىٰٓ أَن يَبۡعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامً۬ا مَّحۡمُودً۬ا

Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah sembahyang tahajud padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji (79).


Selalu kita dengar jawapan "ala .. sunat je" dari mereka yang ingin mengelak atau tidak bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah sunat.

Alasannya "kalau tak buat tak berdosa ..".

Saya rasa prinsip atau kefahaman ini perlu diperbetulkan kerana ia boleh mendorong orang meringan-ringankan dari melakukan amalan sunat. Hendak menyalahkan mereka yang berkata begitu sepenuhnya tak boleh juga kerana itulah yang diajarkan di sekolah atau di surau oleh ustaz atau penceramah ugama selama ini.

Saya cadangkan ubah paradigma pengajaran dengan mengingat atau menasihatkan begini ..

"Sunat ni kalau buat dapat pahala, tapi kalau tak buat sangatlah rugi !"

Dengan berkata begitu mungkin akan timbul dorongan kepada orang yang mendengarnya untuk mengerjakan ibadah-ibadah yang sunat.

Oleh itu janganlah kita lepaskan peluang untuk membuat ibadah sunat jika berkesempatan, setidak-tidaknya melakukan solat sunat Tahajjud kerana ia merupakan satu gesaan dari Allah SWT seperti petikan ayat Quran (17:79) di atas. Mungkin mereka yang masih bekerja susah untuk melakukan solat sunat Dhuha atau solat sunat-sunat yang lainnya di tempat kerja. Sedangkan solat sunat Tahajjud boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja kerana ia tidak mengganggu masa kerja kita selain masa untuk melakukannya juga adalah panjang. 

Bagi mereka yang telah menjadikan amalan melakukan solat Tahajjud sebagai satu rutin, tahniah. Teruskan dan pertingkatkan. Dalam pada itu ingatlah pesan Nabi ini.

Rasullah SAW bersabda: "Sesiapa yang hendak tidur dan berniat untuk bangkit bagi mengerjakan Solat Sunat Tahajjud, kemudian tidurnya terlajak sampai ke pagi, maka dicatat niatnya itu sebagai satu pahala, manakala tidrunya pula dikira sebagai kurniaan Allah yang diberikan kepadanya". (Riwayat al-Nasai'i dan Ibny Majah r.a)




Monday, October 5, 2015

CONTOH JAWAPAN YANG TIDAK MEMBANTU.




Saya percaya anda pernah mendapat jawapan yang sekadar jawapan. Jawapan yang kita terima dari soalan yang diberikan, tidak memuaskan hati. Kita yang bertanya benar-benar ingin tahu jawapannya tetapi yang menjawab tidak tahu jawapan yang tepat, namun dia nak jawab juga.  Mungkin takut nanti orang kata dia bodoh sangat, kalau jawab tak tahu. Maka keluarkan jawapan-jawapan serupa ini.

Misalnya kalau kita bertanyakan berapa jauh jarak ke Tasik Kenyir, dia jawab:

"jauh juga .."

Atau kalau kita tanya, bilakah kerja-kerja pemasangan airkon kat masjid ni nak siap:

"rasanya tak lama lagi siaplah tu"

Atau bila kita tanya pegawai kita, berapakah bajet pembangunan kementerian kita pada tahun ini:

"tahun ni tak pasti pulak bos .. tapi tahun lepas kita dapat RM314 juta"

Atau kalau kita tanya anak sulung kita kat mana adik dia:

"baru kejap tadi dia ada .."

Kadang-kadang saya malas nak ucap terima kasih kalau dapat jawapan macam tu.

Pernahkah anda dapat jawapan seumpama itu ?


~