Friday, May 3, 2013

ULAMAK SEPATUTNYA MENENANGKAN SEMUA PIHAK DAN BUKAN MEMENANGKAN SESETENGAH PIHAK.




Saya ingin menyatakan dengan tegas di sini bahawa saya bukannya ingin berkempen untuk sesiapa atau parti mana. Sekarang ini saya kira anda semua telah menetapkan pendirian calon dari parti mana yang akan dipangkah. Saya sendiri pun belum memuktamadkan parti mana yang saya ingin undi pada 5hb nanti. Mungkin ada lagi kejutan-kejutan yang boleh mengubah fikiran saya di saat-saat akhir.

Cuma saya harus mengongsikan dalam entri ini sedutan kuliah bulanan dari Ustaz Al-Banjari (seperti gambar di atas) di surau taman saya pada hari Sabtu minggu lepas, berhubung dengan kewajaran  ulamak bergiat aktif dalam sesebuah parti politik yang ditimbulkan oleh seorang jemaah. 

Menurut beliau, ulamak adalah milik semua orang tanpa mengira fahaman politik. Mereka adalah pewaris Nabi dan Nabi tidak pernah dan tidak sekali-kali membeza-bezakan umatnya berdasarkan keturunan, darjat, daerah dan berdasarkan hakikat itu adalah  tidak wajar seseorang ulamak membeza-bezakankan umatnya berdasarkan fahaman politik.

Ulamak bertindak sebagai penghubung antara orang ramai dengan Allah melalui ilmu dan amalannya. Oleh itu tidak patut mereka bersekutu atau di tarik ke dalam mana-mana parti politik kerana ini akan meyebabkan dia hilang sifat keberkecualiannya atau kebebasannya memberikan pendapat atau nasihat. Dia sepatutnya mendoakan kesejahteraan kepada semua orang. Namun begitu, sebagai manusia, dia akan berat sebelah kepada parti yang di anggotai apalagi kalau dia sendiri yang memimpinnya. Dan lebih buruk lagi, dia juga mungkin akan mencaci-maki atau berkata yang tidak baik terhadap parti lawannya. Menurutnya lagi, orang politiklah yang sepatutnya menyekutukan diri bersama dengan orang-orang lain dengan ulama dan bukan sebaliknya agar mereka kelak boleh memerintah dengan baik sesuai dengan ajaran Islam. Begitulah lebih kurang maksud beliau yang dapat saya fahami.

Saya amat bersetuju dengan pandangan Ustaz Al-Banjari kerana perpecahan yang serius yang berlaku di dalam masyarakat Melayu dan Islam selama ini adalah berpunca dari perpecahan ulamak akibat kecenderongan masing-masing  kepada parti-parti politik tertentu. Maka timbullah ulama PAS, ulamak UMNO, ulamak BERJASA dan sebagainya. Sepatutnya mereka bertindak sebagai agen penyatuan tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya akibat dari ulamak memihak kepada sesebuah parti politik tertentu.  Sebarang kesalahan dipihaknya akan didiamkan tetapi sebalik kesalahan yang kecil di pihak lawannya, akan diperbesar-besarkan.

Ada orang berkata bahawa parti politk ini kotor dan mengibaratkannya umpama setong najis. Kalau kita ingin membersihkannnya, lebih wajarlah kita berbuat demikian dari luar. Kalau kita masuk ke dalamnya walaupun dengan tujuan baik  untuk membersihkannya, mahu tidak mahu badan kita akan terpalit dengan najis jua.

Itulah sebabnya ulamak di zaman dulu-dulu tidak mahu atau amat keberatan untuk bekerja di istana kerana khuatir mereka akan hilang kebebasan  untuk memberikan pendapat atau menegur salah laku raja (pemerintah). Tiba-tiba saya teringat watak lucu Qadi dalam filem "Musang Berjanggut"


Contoh.

Terlebih dahulu saya ingin meminta maaf kerana menggunakan gambar-gambar berikut yang saya jumpa dalam blog-blog politik sebagai contoh  untuk menunjukkan  natijah kalau ulamak telah menjadi ahli politik.



Gambar 1: Mungkinkah penyokong  UMNO akan bersembahyang di sini apa lagi jika imamnya Tuan Guru Nik Aziz dan sebaliknya pula jika dalam surau itu ada tergantung gambar DS Najib ?


Gambar 2: Saya pasti tidak selesa kalau bersembahyang dalam surau atau masjid ini walaupun saya tidak memusuhi personaliti dalam gambar-gambar tersebut.


Gambar 3: Walaupun ia hanya bendera parti, saya juga berpendapat ia sangat tidak wajar digantungkan di dalam masjid yang merupakan rumah Allah untuk semua orang melakukan ibadat tanpa mengira parti politik.

Kesimpulan saya. Allah tidak memerlukan mana-mana parti politik untuk menyelamatkan Islam tetapi parti politiklah yang memerlukan Allah untuk menyelamatkan mereka.

Selamat menunaikan tanggunjawab anda sebagai pengundi. Sebelum itu silalah tontoni video di bawah ini sampai habis dan mungkin ramai yang akan menitiskan air mata. Adakah anda juga begitu ?

17 comments:

  1. 1. betul, kecenderungan golongan ulama memihak sebelah pihak dalam memberikan pendapat/teguran semestinya disebabkan tangan, kaki dan mulut mereka telah diikat oleh badan/parti yang menaungi mereka. jadi, kita yang akan keliru jika berlaku sebarang permasalahan atau konflik.

    2. rupanya kita sendiri pun tak sedar yang kita sebenarnya tak dapat membezakan antara sanjung/hormat dengan taksub keterlaluan terhadap pemimpin. terlalu banyak masa dihabiskan untuk menuding jari ke arah orang lain.

    *maaf tuan, sekadar pendapat...

    ReplyDelete
    Replies
    1. komen anda sangat relevan .. terima kasih di atas input tambahan itu. sangat benar sekali dan tiada apa yang hendak saya maafkan.

      Delete
  2. Aina pun tak faham sekarang kita hidup nak bertuhankan apa? Bertuhankan parti politikkah?

    Tuntutan dunia telah menenggelam kan hati para ulama terhadap tuntutan akhirat.

    ReplyDelete
  3. Kalau betul terjadi, sedihnya

    ReplyDelete
  4. Pak Ngah.. setuju sangat dengan Ustaz Nuruddin dan tulisan Pak Ngah.

    ReplyDelete
  5. Penjelasan tentang peranan ulama' yang Pak Ngah tuliskan memang benar belaka. Maka bila ada Ulama' yang mengeluarkan kenyataan di media berhubung dengan memberatkan sesebuah parti, I smell something fishy there. Sama ada beliau terpaksa, ataupun kenyataan dan penjelasan beliau sebenarnya lebih panjang lebar, tetapi hanya di edit beberapa rangkap dan ayat untuk kelebihan sesuatu. Ulama' yang suci hatinya dan masih utuh di atas landasannya akan tetap kukuh pendirian dengan agama.

    Selain daripada itu, Allahu'alam.

    ReplyDelete
    Replies
    1. saya percaya masih ramai lagi ulamak yang kukuh pendirian ugama mereka dan tidak memihak kepada mana-mana parti ..

      Delete
  6. Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. berkata: Telah bersabda Rasulullah saw.; "Sudah hampir sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam ini kecuali hanya namanya, dan tidak tinggal daripada Al-Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit. Dari mereka berpunca fitnah, dan kepada mereka fitnah ini akan kembali".

    H.R : Al-Baihaqi

    SESUNGGUHNYA KEBENARANNYA SUDAH TERNYATA BERLAKU SEKARANG. TAK KIRALAH ULAMA PR / BN, KEMBALILAH MENJADI ULAMA YANG SEBENAR.

    WALLAHUAKLAM.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hadis tersebut sudah semakin menjadi nyata .. saya khuatir memikirkan jika Allah menjatuhkan hukumannya di dunia ini.

      Delete
  7. Assalamualaikom,

    Tuan,

    Izinkan saya berkongsi pandangan di 'rumah' tuan ini.

    Masing-masing bernawaitukan mencari kebenaran.Masing-masing ada hujah. Di sinilah wujudnya kecondongan dan perbezaan.

    Dalam dunia realiti, tidak ramai orang alim yang berdaya untuk berada di dua pentas yang khalayaknya berlainan fahaman. Pendek kata, beliau (orang alim itu) akhirnya akan lebih 'menyantuni' satu pihak untuk survival kaedah berdakwah yang diyakininya.

    Penglibatan orang alim (ulamak) dalam politik tidak perlu dihalang kerana 4 orang Khalifah yang memimpin umat Islam selepas wafatnya Rasulllullah adalah mereka yang sangat alim lagi warak.

    Segala kelemahan (jika ada) di kalangan orang alim (ulamak) yang terlibat dalam politik adalah kelemahan individu berkenaan dan bukannya kelemahan institusi orang alim (ulamak).

    Malah orang alim yang menginfakkan hidupnya kepada kerja-kerja dakwah di masjid/surau juga tidak terlepas dari tuduhan dan tohmahan. Bermacam macam ungkapan yang tidak sedap didengar dilontarkan kepada mereka.

    Sesungguhnya, orang alim yang terjun dalam dunia politik ada etika dan pantang larangnya. Orang alim yang tidak minat berpolitik juga ada etika dan pantang larangnya.

    Saya memohon maaf jika ada di antara pendapat saya tidak tepat dan berbesar hati untuk dicerahkan. T.Kasih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alaikumsalam.

      Saya percaya apa yang dimaksudkan oleh Ustadz Al-Banjari adalah ulamak/tuan guru/ustadz yang menyampaikan kuliah atau mengajar agama di surau, masjid, dewan dsb. Kalau mereka hendak bergiat dalam politik silakan, tapi berhentilah menjadi guru yang mengajar di surau atau masjid kerana ia akan menyebabkan murid2 keliru dan berpecah dua. Satu yang menyokong dan satu lagi yang tidak bersetuju dengannya. Saya sendiri sedang mengalaminya di surau taman perumahan saya.

      Delete
  8. assalamualaikum ... ulama kah bila dengan sengaja mengaibkan saudara seagama di khalayak ramai ? dah terang lagi bersuluh , Islam dah menghukumkan bahawa mengaibkan orang lain di khalayak ramai itu berdosa besar ! ... Masjid / surau itu tempat ibadah dan rumah Allah . jangan kerana taksub dengan parti , kita sanggup menepikan fungsi rumah Allah itu sendiri . Tidak berdosakah imam dan bilal serta ajk masjid membiarkan rumah ibadah itu dijadikan alat ? Sekiranya jemaah yang bersembahyang itu menghadap gambar2 tersebut dan dihatinya hilang kekhusyukan beribadah , siapa yang akan tanggung dosa ? ... Jangan libatkan diri dengan politik kalau tidak mahu menabung dosa . Banyak mana pun amalan ibadah kita , belum tentu dapat menghapuskan dosa2 kita yang kita tak tahu berapa banyak jumlahnya ... wallahu 'alam

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alaikumsalam.

      setuju .. dosa mengumpat adalah dosa yang pertama sekali di tapis oleh Malaikat yang menjaga langit di tingkat pertama .. di sini pun sudah ramai yang gagal.

      Delete
  9. article ni sangat menarik! terima kasih. nice to note :)

    ReplyDelete
  10. As salam Tuan Hamzah,

    Saya sememangnya menunggu-nunggu ulasan & artikel seperti ini... Tahniah! Saya juga bersetuju dgn saudara Fairus... meremang pula bulu roma membaca tiap bait hadis... Wallahu'alam...

    ReplyDelete
    Replies
    1. alaikumsalam.

      saya cuma menyampaikan .. kalau ada yang terima, syukur, kalau tidak mahu, tak mengapa, hutang saya sudah saya selesaikan.

      Delete
  11. moga2 allah memberi hidayah pd saudara2 kita???...xda lg kata2 yg blh di ungkap ..hanya doa dan rahmat dr allah shaja petujuk pd kita...semua...

    kita tgk saja keadaan saudara2 kita....semangat mmg semangat...tp dah lebih pd yg lain bkn pd allah ....allahhuakbar...sedih..takut...ape yg berlaku skrg...allah dah tunjukkan...manusia x prasan atau???....

    ReplyDelete

Kalau tak tahu macamana nak panggil saya, panggil je Pak Ngah. Semua komen yg berbentuk pertanyaan lambat laun akan cuba saya jawab. Terima kasih. Sila datang lagi.