23.12.201 - Jumaat.
a. 7.00 - 8.45 malam - di surau mendengar kuliah Hadis oleh Ust. Hambali.
b. 9.00 - 11 malam - menghadiri majlis akad nikah anak kawan, makan malam + borak.
24.12.2011 - Sabtu
a. 11.30 - 1.00 tengahari - menghadiri majlis aqiqah dan doa kesyukuran.
b. 1.45 - 2.15 ptg - menghadiri kenduri kawin anak kawan.
c. 2.15 - 4.45 ptg - Ke Putrajaya menghadiri kenduri kawin anak kawan.
d. Malam - di surau mendengar Ceramah Tauhid oleh Ust. Surul + jamuan.
25.12.2011 - Ahad
a. Pagi - Ke Jempol menghadiri kenduri kawin anak kawan kemudian singgah rumah di kampung untuk memetik buah rambutan.
b. Malam - di surau mengikuti kelas tajwid dibawah bimbingan Ust. Fadhullah + jamuan ringan.
26.12.2011 - Isnin
a. 10.15 pagi - Ke Taman Tun Dr Ismail, KL, menghadiri kenduri Aqiqah.
b. 2.00 ptg. Singgah rumah seorang sahabat yang menderita kena stroke yang tinggal berdekatan.
c. Malam - sembahyang Maghrib di surau sebelum beredar menghadiri kenduri tahlil mertua Tan Sri Isa Samad yang meninggal dunia pada 25/12. Sembahyang Isyak di rumah Tan Sri + jamuan
27.12.2011 - Selasa.
8-00 - 11 pagi - Ke hospital Tuanku Jaafar ambil ubat ayah mertua dan semasa balik singgah pasar tani Ampangan dan juga Giant.
11.00 - 11.50 pagi - menyiapkan entri ini.
Berbalik kepada cerita kawan saya yang kena stroke tadi, ini bukanlah kali pertama saya mengunjunginya. Sudah hampir 14 tahun dia menderita. Dia adalah rakan sekerja saya suatu masa dulu sekitar pertengahan tahun 80an. Dia lebih tua beberapa tahun dari saya dan isterinya juga beberapa tahun lebih tua dari isteri saya. Mereka mempunyai 8 orang anak.
Keadaan fizikalnya amat menyedihkan dan menginsafkan saya. Walaupun dia masih mengenali saya dan ingatannya masih kuat tetapi tutur katanya amat sukar untuk dimengerti. Beberapa kali air mata saya mengalir di dalam kereta semasa memandu pulang mengenangkan betapa bertuahnya saya yang diberi kesihatan oleh Allah swt dan masih mampu memandu kereta seorang diri ke sana ke mari. Sebaliknya dia yang dulunya sihat walafiat dan sangat cergas, kini hanya terbaring di satu sudut tingkat bawah rumahnya. Segala keperluan termasuk untuk kebersihan dirinya perlu dibantu. Lampin pakai buangnya kena dipakaikan oleh orang lain. Hanya tangan kanannya sahaja yang masih boleh digerakkan. Dengan tangan itulah dia mengawal 'remote control' tv dan juga membaling apa juga objek yang sempat dicapainya, jika permintaan dia lambat dipenuhi.
"Setakat ini belum ada lagi yang kena kat saya" beritahu isterinya.
Saya cadangkan kepada isterinya supaya diberikan 'boomerang' kepada suaminya kerana bila dibalingnya nanti, boomerang itu akan balik mengenai dia. Saya bergurau dan kami sama2 ketawa termasuk kawan saya tadi.
Sejak beliau kena serang penyakit itu, isterinya dengan penuh setia, hormat dan kasih sayang menjaganya, menguruskan persekolahan anak-anak mereka di samping menjaga mertua. Pada masa ini masih ada lagi 4 orang anak mereka yang sedang menuntut di IPT.
Saya cukup kagum dengan kesetiaan dan pengorbanan Puan P melakukan itu semua seorang diri. Di raut wajahnya yang sentiasa tersenyum tergambar keredhaan terhadap segala dugaan dan kesusahan yang diterimanya. Di sebalik segala kepayahan menjaga suami, membesarkan anak2 dan menguruskan mertua, wajahnya masih tetap cantik seperti 30 tahun dulu seolah-olah tidak diusik usia. Mungkin dengan keimanan dan keridhaannya menerima segala ujian Ilahi itu telah memelihara wajahnya dari kedut dan kerut akibat keluh kesah dan sesalan.
Apa yang dihadapi oleh Puan P sekarang tidak banyak berbeza dengan apa yang dihadapi oleh Makngahnya sejak hampir 3 tahun lalu. Beliau kini harus menguruskan ayahnya yang tinggal bersama kami. Menguruskannya dalam ertikata memandikan, memakaikan pakaian termasuklah juga lampin pakai buang dan kadang-kadang menyuapkan makanan ke mulutnya. Cuma bezanya dengan kawan saya tadi, ingatan ayah Makngahnya hampir langsung sudah tidak ada tetapi dia masih mampu berdiri dan berjalan tanpa bantuan.
Sekarang nak tunjukkan beberapa keping gambar makanan yang saya nikmati semasa pergi kenduri2 tu.
Gambar 1: Pelbagai jenis kueh mueh disajikan selepas makan nasi. Ada tapai, apam Johol, kueh bakar dan buah Melaka di saming nenas potong. Saya makan lagi walaupun ini adalah rumah kedua kerana ada lauk rendang betik muda yang jadi kegemaran saya yang dah lama tak jumpa. Lupa pulak nak ambil gambar dia.
Gambar 2. Jemput makan kueh "kolopung" kata orang NS. Kueh ini banyak di jual semasa bulan puasa di PARAM.
Gambar 3: Satu lagi masakan popular di kalangan orang NS. Masak tempoyak pucuk kayu. Gambar 3, 4 dan 5 di rumah yang sama di Taman Tun.
Gambar 4: Cendol juga di hidangkan dan diikuti pula oleh teh tarik. Hajat tuan rumah kata tukang hidang. Saya pulak jenis orang yang tak suka menghampkan hajat orang.
Gambar 5: Saya didudukan semeja dengan Ustaz yang melakukan upacara Aqiqah, "belah mulut", berzanji dan "memotong jambul". Beliau adalah bekas pegawai ugama penjara yang mempunyai banyak cerita. Antara tugas beliau adalah mengiringi banduan Islam menjalani hukuman gantung termasuklah yang terakhir Mona Fandey. Bila dia tengok jam, saya rasa lega.