Saturday, June 30, 2012

TIGA ENTRI PENDEK # 3: MUG, BUKU DAN KAIN SUTERA.

Terimalah tiga entri ringan di malam minggu sebagai memenuhi kuota hari ini.

Entri 1:  Mug. 


GadisBunga bertanya tentang mug saya. Saya kata masih sihat walafiat seperti terbukti dalam gambar di bawah.



..........................................................................................................................................

Entri 2: Buku apa ?



Aujinz bertanya buku apa yang diberikan oleh Tuan Temuk. Tajuk buku-buku tersebut adalah seperti di bawah.


.........................................................................................................................................

Entri 3: Apa ada di dalam beg ?

 Nieda nak tahu apa yang ada dalam beg yang saya tayangkan dalam entri sebelum ini. Antara isinya ialah kain sutera untuk Makngahnya buat baju  Raya Puasa nanti seperti gambar di bawah.

Friday, June 29, 2012

ADAKAH ANDA RASA SELAMAT ?


Utusan Malaysia - 27/6/2012.

Entahlah. Saya sendiri rasa tak berapa selamat.  Macamana saya nak rasa selamat kalau bulan lepas sahaja berlaku lebih 10 kes kecurian dan pecah rumah di taman perumahan saya.

Kalau nak kira, rumah saya sudah  tersedia 5 (lima) lapisan keselamatan, namun saya rasa masih tak selamat.

Lapisan keselamatan yang saya maksudkan ialah:

Lapisan 1. Pengawal keselamtan di pintu masuk taman.
Lapisan 2. Pagar kawasan rumah saya.
Lapisan 3. Jeriji pada setiap pintu dan tingkap.
Lapisan 4. Pintu kayu masuk ke rumah dan tingkap dari cermin.
Lapisan 5. Pintu kayu ke setiap bilik tidur.


Gambar 1: Rumah saya ada dalam gambar ini.

Namun begitu kadang-kadang saya masih tak nyenyak tidur setiap kali ada kes pecah rumah atau kecurian.

Masa saya kerja kat USA dulu, saya hanya ada dua lapis keselamatan iaitu pintu masuk ke rumah dan pintu ke bilik tidur, namun saya rasa selamat. Tak ada jeriji pada pintu dan tingkap, walupun tingkap dibuat dari cermin, namun tidak sekalipun rumah saya dipecahkan atau cuba di pecahkan. Kereta pun dibiarkan di luar rumah yang kadang-kadang tak berkunci pun.

Jadi adakah anda rasa selamat ?

 

Gambar 2:  Di persimpangan masuk ke rumah saya di Divine St. Lihatlah rumah yang tidak berpagar dan tidak berjeriji. Kereta yang nampak sekerat di sebelah kiri itu adalah kereta saya. Pada masa itu, model itulah yang paling panas.


Gambar 3: Anak-anak saya bebas bermain buaian di depan rumah tanpa saya sedikit pun merasa takut. Memang divine ! (Gambar tahun 1984).


Thursday, June 28, 2012

BANYAK MADU DI MAHA.

Semalam sebelah pagi saya pergi melawat MAHA sorang-sorang. Tapaknya terletak bersebelahan stadium Paroi. Walaupun saya pergi agak awal, namun di sepanjang kiri kanan jalan telah bersusun kenderaan. Akhirnya saya meletakkan kereta saya di sebuah stesyen minyak yang berdekatan. Berikut adalah beberapa keping gambar yang sempat saya ambil sendiri dan sedikit keterangan mengenainya.


Gambar 1: Masa saya sampai orang belum ramai lagi di khemah utama ini.  Kat depan itu ada orang bagi ceramah, tapi nampaknya lebih banyak kerusi dari pendengar. Kalau saya, hilang semangat nak bercakap kalau yang mendengar cuma dua tiga kerat.


Gambar 2: Ada ke madu yang tak manis ..  kena tanya Zizie ni !


Gambar 3: Semua nak bermadu. Nasib baik tak ada peria madu !


Gambar 4: Ada pertandingn memancing ikan puyu ..  tak ada selera saya nak ambil bahagian. Rasa macam mancing ikan dalam akuarium sahaja. Tak ada thrill langsung.


Gambar 5: Makanan disediakan. Ada kipas angin. Lampu terpasang walaupun dah pukul 12 tengahari. Tapi apa gunanya kalau hidup hanya terkurung di dalam kandang. Kan ?
 

Gambar 6: Nasib baik ada amaran dilarang naik, kalau tidak teringin juga nak memanjat dan bergambar dari dalam benda alah ni.


Gambar 7: Salah seorang penjual bernama Zul yang sangat peramah.  Saya membeli produk yang dijualnya lebih murah dari yang dijual di Guardian. Tapi bukan produk yang boleh menghitamkan rambut !


Gambar 8:  Antara benda-benda yang saya beli, bendai inilah yang paling maha yang saya beli kat MAHA. Kalau boleh, rasa nak makan kulit-kulitnya sekali.

Mungkin saya akan pergi lagi pada malam terakhir Ahad ini kerana ada pertandingan akhir karaoke ! hehe 



ADA LAGI KISAH TUAH AYAM NAMPAK DI KAKI .

Datuk Seri Ali Hamsa rasmi menjadi Ketua Setiausaha Negara pada 24hb Jun 2012. Saya pernah bersama dengan dia di INTAN pada tahun 1986 - 1987 di bawah Pusat Tadbiran Ekonomi dan Dasar Awam (PUTERA). Pada masa itu tiada siapa yang menjangka satu hari nanti dia bakal menjadi Ketua Setiausaha Negara - jawatan yang tertinggi perkhidmatan awam.

 

Gambar 1: Datuk Seri Ali Hamsa mengadap PM pada hari pertama menjalankan tugas sebagai KSN.


Gambar 2: Beramah mesra dengan pegawai-pegawainya - Utusan Malaysia: 27/6/2012.

 
Gambar 3:  Di INTAN ada kursus pendek yang mengajar tenaga pengajar cara-cara untuk mengajar sebelum mereka mengajar. Kebetulan kami satu kelas.


Gambar 4:  Dia yang paling tinggi di barisan belakang sekali. Dan saya pulak berdiri sebaris dengan pegawai dan staf perempuan di Pusat tempat kami bertugas. Saya tidak tahu kenapa saya diperlakukan begitu.



Gambar 5: Gambar ini di hadapan sebuah rumah percutian  pegawai-pegawai kerajaan di Port Dickson. Dia berdiri di kiri sekali dan saya pula duduk di atas tangga di barisan hadapan. Barangkali sudah nasib saya kena duduk di depan sekali.

Dari segi perwatakan, dia adalah orang yang lemah lembut dari segi tutur katanya. Selain dari itu, saya perhatikan dari dulu hingga sekarang dia masih lagi tinggi lampai dan berkulit hitam manis. Saya gembira kerana ramai kawan-kawan sebaya dan juga yang lebih junior dari saya sekarang ini memegang jawatan tinggi dalam perkhidmatan awam dengan gelaran Dato', Dato' Seri malah Tan Sri.  Saya tidak kisah dan gembira dengan keadaan ini walaupun saya bersara hanya sebagai gurkha kerana bagi saya "tidak ada yang lebih baik dari apa yang telah terjadi".

Pesan saya kepada dia (walaupun saya tahu ia akan hilang di angin nan lalu,) buatlah kerja dengan ikhlas mengikut peraturan dan juga komensen. Kalau nak ikutkan orang yang tak suka dengan kita, satu kerja pun tak boleh buat.


Gambar bonus: Perhatikan perbezaan wajah kami dulu dengan sekarang.


Wednesday, June 27, 2012

TERKENANG SEMASA DULU # 54: DARI MCLEAN KE BLOOMINGTON (1982).

Saya rasa inilah kali pertama dalam hidup saya memandu kereta paling jauh dari timur ke barat. Punyalah jauh sehingga jarum jam perlu diputar untuk di sesuaikan dengan  masa tempatan. Selalunya kita buat begitu kalau naik kapal terbang. Saya ke Bloomington kerana menyambut Dato' (pada masa itu) Sanusi Junid. Saya pernah buat entri menyentuh sedikit tentangnya di sini.

Saya memandu ke Bloomington dari Viriginia bersama dua orang kakitangan tempat saya bertugas dan juga Makngahnya. Kereta saya pada masa itu bernama "Ford Mercury". Saya bergilir-gilir memandu dengan Baharin, Kakitangan Ambilan Tempatan (LRS) di tempat saya bertugas. Dia muda sedikit dari saya dan masih bujang. Seorang lagi ialah PA kepada boss saya. Oleh kerana pada masa itu, musim panas, maka tidak banyak sangat kelengkapan yang perlu dibawa atau persiapan yang perlu dibuat berbanding perjalanan dalam musim sejuk.

Oleh kerana kami semua masih muda dan teruja melihat negara orang, tak berapa terasa  letihnya walaupun sudah mengembara beribu-ribu batu.


Gambar 1: Inilah kereta yang membawa kami. Kereta terpakai, tapi sangat boleh dipercayai. Anak sulung itu saya sekarang sudah berumur lebih 30 tahun.


Gambar 2: Kejutan pertama. Sebelum ini di Malaysia saya belum pernah berjumpa rumah dibawa dengan lori di atas jalanraya. Bukan main lama baru saya dapat potong, sebabnya bila jalan depan clear jer dia orang bagi signal kanan, macam tak beri potong. Akhirnya baru saya sedar, memang signal belah kanan itu tanda boleh potong sebab di sini pemanduan adalah di sebelah kiri. Peghak betul !

  
Gambar 3: Sudah berada di Bloomington. Kami ambil gambar saja-saja atau saja-saja ambil gambar bila jumpa papan tanda.

 
 
Gambar 4: Ambil gambar saja-saja atau saja-saja ambil gambar bila jumpa air pancut .. yelah kat kampung kita mana ada air pancut.


Gambar 5: Di belakang sana adalah hotel tempat kami menginap.
Lihatlah gaya orang dulu-dulu berposing.


Gambar 6: Salah satu monumen di Bloomington. Tak tahulah apa rupanya sekarang ini !


Gambar 7: Dalam perjalanan tentulah kita kena berhenti untuk menyelesakan diri. Tandas mereka cantik dan sangat bersih.  Punyalah bersihnya, kalau tak ada tempat tidur, dalam tandas pun saya sanggup tidur. Bukan ada orang jaga pun.


Gambar 8: Sebuah lagi tandasnya yang berlainan rekabentuk pulak. Tandas kita pun dari segi rekabentuknya sekarang ini mungkin tak kalah, tapi dari segi kebersihan, sangat jauh bezanya.


Gambar 9: Saya tak ingat lagi berapa kali saya pergi  ke Bloomington. Kalau tengok gambar kat atas, pakaian saya menunjukkan sedang berada dalam musim sejuk. Dengan itu saya boleh membuat kesimpulan, saya pergi ke Bloomington lebih dari sekali. Sekali ikut jalan raya dan sekali ikut jalan udara kerana gambar di atas adalah kat airport.


Gambar 10:  Sebuah mug Indiana University, sebagai kenang-kenangan. Tanpa gambar-gambar di atas, mungkin saya sudah lupa saya ada pergi ke bandar Bloomington ini.

WW # 36: SAYA PUN (SIKIT-SIKIT) MINAT BOLA JUGA.

Tuesday, June 26, 2012

SONYUM SOKOJAP 43 : INJECT KAT MANA ?




Dialog Ifa dengan Maknya mengenai anak buahnya: 

kenapa Iris asyik nangis je mak ?
dia baru kena inject !
 inject kat mana ?
kat hospital ..
tau lah .. orang tanya inject tu kat tangan ke kat vontot ke .. ?
 ohhhhh !

.................................................................................

Sub-Entri: Hadiah dari Tuan Temuk.


Saya diberikan hadiah tersebut kerana berjaya dalam perlumbaan yang dianjurkannya di sini. Dalam bungkusan tersebut terdapat dua buah buku yang sesuai dibaca oleh orang yang seusia saya beserta sekeping kad bertulisan tangan yang cantik. Saya belum pernah membeli atau membaca buku-buku tersebut sebelum ini.
Terima kasih Tuan Temuk. Buat susah-susah aje !

Monday, June 25, 2012

SAYA SUKA BLOG INI # 1: APA NAMA.



Nama blog: APANAMA.

Nama pemilik: ZACK BAHARI.

Alamat: http://muafakatmembawaberkat.blogspot.com/

Ini pertama kali saya buat segmen ini. Memang sudah lama saya bercadang nak buat tapi asyik tertangguh sehinggalah saya berjumpa blog APANAMA ini.

Sebenarnya pemilik blog ini adalah kenalan saya sejak dari zaman univerisiti lagi (1974) sehinggalah sekarang. Selama ini saya terfikir juga takkan tak ada kawan-kawan yang seangkatan dengan saya dulu yang mempunyai blog sendiri. Entah macamana ditakdirkan saya memasuki satu group  baru-baru ini dan saya ketemu dia di sana.

Blog APANAMA ini bolehlah saya kategorikan sebagai blog ilmiah dan informatif tidak seperti blog saya yang banyak entri remeh temeh. Selain dari itu, ZACK  amat aktif dan produktif dalam membuat entri. Walaupuan saya lebih dulu berblog dari dia, tapi dia telah berjaya membuat lebih 6,000 entri sehingga hari ini, sedangkan saya baru sebanyak 800 sahaja.

Saya sangat mencadangkan anda semua memasukkan blog APANAMA ini ke dalam bloglist anda agar tidak terlepas membaca entri dari blog yang berisi ini.


sila klik untuk masuk.


AADK.



Saya rasa ramai yang tidak tahu  apa itu AADK. Ini berdasarkan pengalaman saya sendiri. Bagaimanapun saya mungkin silap dan saya harap saya silap.

AADK maknanya Agensi AntiDadah Kebangsaan. Ia adalah sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Dalam Negeri. Peranan dan fungsinya seperti tergambar pada namanya adalah untuk mencegah dan membanteras penagihan dan penyalahgunaan dadah.

Siapa tahu tarikh sambutan Hari Antidadah Antarabangsa ?

Tarikhnya ialah 24 Jun setiap tahun.  Saya juga rasa ramai yang tidak tahu atau tidak sedar mengenainya kecuali mereka yang bekerja di AADK atau NGO-NGO yang berkaitan. Kenapa jadi begitu ?

Bolehkah dadah dihapuskan ?

Boleh, kalau kita mahu, dengan syarat tidak ada 'gunting dalam lipatan', musuh dalam selimut atau musang berbulu ayam" seperti yang dibayangkan dalam keratan akhbar di bawah.

Ancaman pengganas komunis yang lebih besar dan terancang, mempunyai logistik yang lengkap serta mendapat sokongan sebuah negara kuasa besar pun boleh kita kalahkan, takkanlah dadah tak boleh.

Laporan dari Sydney seperti di bawah pastinya menarik perhatian AADK.



Sunday, June 24, 2012

RAGAM PEMANDU DI LAMPU ISYARAT.


Gambar petang kelmarin bersama anak, cucu dan menantu di pantai Teluk Batik, Lumut.

Hari ini saya bersiaran dari Manjung. Saya bertolak dari Senawang kira-kira jam 10 pagi semalam. Ikut lebuhraya PLUS, melencong ikut lebuhraya LATAR keluar di Kuala Selangor terus ke Tanjung Karang, Sabak Bernam, Hutan Melintang dan sampai Manjung kira-kira jam 2 petang.

Cuaca di sini agak nyaman kerana dirahmati dengan curahan hujan  ringan sejurus sebelum saya tiba.

Semasa dalam perjalanan saya sempat memperhatikan pelbagai gelagat pemandu  kenderaan semasa mendekati lampu trafik di persimpangan jalan.  Tabiat dan sifat-sifat mereka saya simpulkan seperti berikut:

 perlahan masa lampu kuning - patuh.
 pecut masa lampu kuning - normal.
berhenti masa lampu merah - normal.
 pecut masa lampu merah - samseng.
 pecut  masa lampu hijau - normal.
 brek masa lampu hijau - mereng.

..............................................................................................................................................................


Sub-Entry: Jawapan kepada Monalea dalam entri "Akhirnya Google Tewas"



Dalam entri saya yang bertajuk "Akhirnya Google Tewas" sebelum ini, dua kesimpulan yang ingin saya sampaikan ialah:

1. Di dunia ini lebih banyak unsur negatif dari yang positif. Dengan itu kita dituntut untuk sentiasa berwaspada.

2.  Google ada terlepas mencatatkan satu entri saya tetapi tidak begitu dengan malaikat yang ditugaskan oleh Allah untuk merekodkan segala sesuatu yang kita lakukan baik yang zahir mahupun yang batin. Merekodkan yang batin atau yang  terniat oleh kita, pastinya sampai bila-bila pun tidak akan dapat dibuat atau dikesan oleh Google.  Itu saya yakin.


Saturday, June 23, 2012

MASUKLAH SEPENUHNYA.

Percaya bermakna tiada keraguan. Bila ada keraguan walaupun sedikit, itu tidak percaya namanya. Itu dipanggil zan, syak atau waham. Percaya atau yakin itu umpama isteri yang tertidur dengan nyenyaknya, mungkin sehingga berdengkur di sebelah suami ketika suami memandu kereta. Kadang-kadang sehingga terpaksa dikejutkan bila sudah sampai ke destinasi. Jika ada sedikit keraguan, pastinya si isteri itu tidak akan tidur senyenyak itu. 

Keraguan pula umpama suami yang tertidur di sebelah isteri yang memandu kereta. Bila sedikit sahaja isterinya membrek secara deras, si suami akan segera terjaga. Suami itu belum sampai taraf yakin terhadap kemampuan isterinya memandu kereta. Ini adalah sebagai ibarat sahaja kerana realitinya mungkin sebaliknya.

Dalam konteks percaya kepada Allah yang merupakan tonggak pertama dalam rukum iman, adakah kita telah benar-benar percaya ? Percaya kepada Allah bermakna bahawa apa sahaja perintah atau laranganNya wajib dipatuhi tanpa sedikitpun keraguan. Apakah kita tidak sedikit pun ragu bahawa apa yang disuruh oleh Islam itu baik dan apa yang ditegahnya itu tidak baik ? Kalau kita benar-benar percaya, mengapa masih terdengar suara yang mengatakan ada hukum Allah  yang sudah tidak sesuai dengan zaman. Misalnya dalam perlaksanaan hukum hudud, pengharaman riba, keharusan berpoligami.

Tidak percaya dengan tidak mahu atau tidak mampu melaksanakannya adalah dua perkara yang berbeza.

Kalau kita tidak percaya kepada mana-mana hukum Allah, akidah kita boleh tergelincir dan boleh menjadi kafir dan tempat orang kafir adalah di neraka.  Nauzubillah.  Tetapi kalau kita tidak mahu atau belum mampu atau malas melaksanakannya, kita boleh menjadi fasiq sahaja dan berdosa.

Sayangnya kadang-kadang kita memilih-milih untuk percaya. Misalnya bila kita diwajibkan berpuasa, tidak ada keraguan tentang itu adalah suruhan Allah yang wajib dituruti. Bahkan ada orang yang cukup percaya dengan suruhan itu sehingga tidak seharipun meninggalkan puasa walaupun dia tidak sembahyang. Begitu juga dengan bab zakat. Kita berlomba-lomba dan bersungguh-sungguh sekali melaksanakannya.

Tidak ada pula kedengaran  orang Islam yang mengatakan suruhan berpuasa itu tidak adil. Tidak pernah kedengaran  orang Islam mempersoalkan kenapa mereka  sahaja diwajbkan berpuasa sedangkan orang yang bukan Islam tidak. Tidak ada orang Islam yang merungut kenapa orang bukan Islam yang makan dikhalayak ramai tidak ditangkap dan dihukum. Begitu juga tidak ada kedengaran orang Islam mengatakan hukum berzakat itu tidak adil kerana hanya orang Islam yang diwajibkan berzakat. 

Tetapi bila kita hendak melaksanakan hukum potong tangan kepada pencuri, maka akan ada suara mengatakan tidak adil kerana hukum itu tidak terpakai kepada mereka yang bukan Islam. Nanti ramailah orang Islam yang kudung. Sedangkan arahan untuk berpuasa dan arahan untuk memotong tangan itu adalah dari sumber yang satu iaitu Allah swt. Adakah hukum puasa dan zakat itu sahaja yang baik dan betul dan hukum yang lain tidak baik dan tidak betul ? Adakah kita ingin mengingkari perintah Allah dalam ayat berikut yang menyuruh kita mematuhi SEGALA hukum-hukumnya dan bukan memilih ikut sedap rasa sendiri.
 

سُوۡرَةُ البَقَرَة

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِى ٱلسِّلۡمِ ڪَآفَّةً۬ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٲتِ ٱلشَّيۡطَـٰنِ‌ۚ إِنَّهُ ۥ لَڪُمۡ عَدُوٌّ۬ مُّبِينٌ۬
(٢٠٨)

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. (208)


Begitu juga dalam keharusan berpoligami. Kenapa harus ada keraguan tentang hukum ini. Kenapa kita mencari ruang untuk mencemuh dan menolaknya. Kenapa bila ada kes anak terbiar kerana bapanya berpoligami kita akan bingkas mengambilnya sebagai contoh keburukan berpoligami. Sedangkan berapa banyak anak yang terbiar yang bapanya tidak berpoligami, kita pejamkan mata.

Saya menimbulkan isu ini bukan kerana teringin sangat hendak berpoligami. Dan kalau dibuat bancian, berapa peratuskah suami di negara ini yang berpoligami.  Dan juga kalau dilanjutkan bancian itu, berapa peratuskah nisbah keluarga  berpoligami yang berantakan berbanding keluarga yang tidak berpoligami. Saya membangkitkan isu ini kerana tidak mahu ada rakan-rakan blogger kita samada perempuan mahupun lelaki yang terpengaruh dengan dakyah barat dan hasutan syaitan yang sentiasa berusaha menimbulkan keraguan tentang kesyumulan Islam. Kalau kita tidak sanggup berpoligami atau tidak mahu suami berkahwin lain kerana tidak mahu berbahagi kasih atau kekayaan misalnya, itu boleh difahami dan boleh dimaafi tetapi jangan sekali-sekali mengingkari atau menolak  hukum Allah yang mengharuskan poligami itu sebagai hukuman yang tidak sesuai dengan zaman.  Tidak sanggup atau belum bersedia melaksanakannya adalah berbeza dengan menolak atau mengingkari hukum itu. 

Saya ingin menceritakan kisah benar dalam keluarga saya.  Ada seorang saudara tua saya (lelaki) mengingatkan saya adik beradik supaya jangan terlibat dalam poligami kerana tidak mahu keluarga menjadi kucar kacir.  Akan tetapi selang beberapa tahun kemudian, dia sendiri  yang berkahwin dua. Bila saya berjumpa dia selepas itu, tanpa saya bertanya atau menyentuh sedikit pun perkahwinan dia yang kedua itu, dia berkata "siapalah abang yang ingin menolak takdir"

Ini soal akidah. Kalau kita gagal satu, kita gagal semua. Ia bukan macam ibadah. Kalau kita tidak sembahyang Subuh tetapi sembahyang fardu yang lain kita lakukan, kita hanya berdosa dalam meninggalkan sembahyang Subuh sahaja. Tetapi tidak dalam soal akidah, kalau kita menolak satu, maka kita gagal semuanya. Sayang sekali kalau kita melaksanakan rukun Islam yang lima itu sepenuhnya, tetapi kerana ragu dengan satu hukum Allah maka ibadat kita itu menjadi sia-sia sahaja. Bagi diri saya mudah sahaja, kalau saya berjumpa dengan perintah Allah yang sukar saya fahami rasionalnya, maka saya akan berkata kepada diri saya "Perintah itu benar dan aku terima sepenuhnya. Cuma aku sahaja yang jahil yang belum memahami hikmahnya"

Saya cuma ingin mengingatkan dan menyampaikan. Kalau ada yang terasa hati dengan entri ini, apakan daya saya. Saya teringat kata-kata seorang alim suatu ketika dulu kepada seorang yang meragui hukum Islam begini ..   "saya tahu kubur kita masing-masing, tapi saya bimbang akan berjiran dengan kamu di dalam kubur nanti"

p/s: Agak lama dulu saya ada menerima satu komen dari Unknown terhadap satu entri lama saya di sini. Saya tertarik membacanya dan terus menyimpananya. Berikut saya terbitkan komen beliau untuk perkongsian bersama.
 
  

Thursday, June 21, 2012

AKHIRNYA GOOGLE TEWAS.

Dengan bantuan Google saya dapat mengesan buat masa ini unsur negatif ( - ) lebih banyak dari unsur positif ( + ) di dunia ini .  Results unsur negatif ada sebanyak  4,250,000,000 dan results unsur positif hanya sebanyak 1,050,000,000. Mungkin ada sesuatu yang boleh diambil iktibar di sini.


Sebanyak 4,250,000,000  results bila saya taip simbol -


 Cuma sebanyak 1,050,000,000 results bila saya taip  simbol +


Satu lagi, akhirnya Google tewas.  Kalau sebelum ini taiplah apa sahaja sampaikan tanda titik ( . )  akan ada hasil carian Google tapi bila saya masukkan   ÷  + -  x =   Google tewas. Simbol itu adalah tajuk entri saya yang ini.  Hahaha ..


SAYA BELI KAMERA ( KOS RENDAH ) YANG BARU.


Kamera yang baru saya beli sedang berposing di depan kamera henfon saya !

Apa yang bagusnya kamera ini ialah ia ada skrin kedua kat depan. Tak payahlah nak agak-agak bila ambil gambar. Bila saya tengok kamera ini kat kedai, perkara pertama terlintas dalam kepala saya ialah blogger Gedek.  Dia ambil gambarnya sendirian Bhd.  Mungkin pengeluar kamera ini peka akan masalah yang dihadapi oleh orang-orang seperti Gedek semasa mengambil gambar.

Dengan kamera ini, sekali ambil pasti jadi. Saya telah membuktikannya seperti di bawah. Kemudian saya bermain-main dengan Picasa .. lalu terjadilah apa yang telah terjadi. Menyeramkan !


 Saya cadang nak guna gambar tersebut sebagai gambar profil yang baru .. ada siapa kisah ?

Kemajuan teknologi tidak pernah dan tidak akan berhenti. Sebelum ini saya tak pernah terfikir kamera seumpama ini akan tercipta. Dalam Wawasan 2020, salah satu terasnya adalah seperti berikut

    Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, mempunyai daya perubahan tinggi dan memandang ke depan, yang bukan sahaja pengguna teknologi tinggi tetapi juga menyumbangkan kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan.

Tak tahulah saya kita dah ada keluarkan kamera sendiri ke belum masa ini ?

Di samping itu, kita juga  jangan takut untuk bereksperimen atau selesa dengan produk yang ada. Lihat Samsung. Sekarang dia telah berjaya menerajui pengeluaran henfon pintar. Mungkin tidak lama lagi dia akan menjadi pemimpin dalam teknologi kamera pula - mengalahkan Jepun yang selama ini menguasai pasaran dunia. Itu belum bercakap fasal K-Pop lagi !

Saya percaya kita juga boleh memintas atau tidak pun setanding dengan Korea Selatan, dengan syarat kita yakin pada diri sendiri, bahasa sendiri dan budaya sendiri. 


p/s: Satu sen pun saya tak dapat dari pengeluar kamera ini tapi saya ada satu kenangan yang sangat manis di Korea Selatan seperti yang pernah diceritakan di sini !





Wednesday, June 20, 2012

WW # 35: MAI SAIGON.